Berapa jumlah duit yang anda perlu untuk jalani kehidupan yang selesa


Lebih 20 tahun lalu, zaman awal datang cari makan di Lembah Kelang ni, saya ikut seorang kawan ke Melaka.

Kawan yang bawa itu merupakan jurutera sebuah syarikat minyak antarabangsa. Dia uruskan kerja penyelengaraan semua stesen minyak syarikat di kawasan selatan. Jika ada pembinaan stesen barupun dia yang akan tengok juga.

Skop kerja yang begitu dah tentu membuatkan dia ada jaringan usahawan, terutamanya kontraktor yang ramai. Orang bisnes yang akan cari dia berbanding dia perlu cari orang bisnes.

Itu merupakan sebab utama saya ikut dia.

Ke mana saja diajak, jadi pemandunya pun tak apa, saya tak akan tolak. Mahu petik rangkaian jaringan businessman kaya yang dia kenal.

Anda tentu tahu bahawa kontraktor yang buat kerja untuk syarikat minyak antarabangsa dah tentu kaya dan berjaya. Kriteria untuk dilantik sebagai kontraktor bukan main-main. Proses dan prosedurnya level tinggi antarabangsa.

Kalau takat jaguh kampung, baki akaun bank cukup makan beli jagung ayam saja, dah tentu tak layak.

Dengan semua syarat ketat itu, tetap berbaloi untuk diusahakan. Jika anda lulus diterima, ertinya dah dapat masuk dalam lubuk emas.

Namun begitu, ada juga kontraktor yang kecundang.

Bukan sebab projek kecil atau bayaran tak setimpal. Tapi disebabkan salah urus kewangan dan bisnes. Perjalanan saya ke Melaka kali itu adalah untuk bertemu seorang kontraktor yang ada masalah sedemikian.

Kita berikan nama Karim padanya untuk mudah cerita. Tapi itu bukan nama sebenar.

Tentukan gaya hidup sendiri

Sebenarnya itu bukan kali pertama saya bertemu Karim.

Dah kenal dia sebelum ini, kerap berjumpa sejak diperkenalkan kawan saya, pegawai syarikat minyak tu.

Tapi saya bukan nak fokus pada Karim.

Pertemuan kali ni di Melaka, adalah untuk berjumpa dengan seorang lagi kontraktor yang dah ambil alih syarikat Karim. Dia ada masalah kewangan dan kontraktor tu, berbangsa Cina, akan selamatkan syarikatnya.

Kami berjumpa di sebuah kedai kopi kecil tepi jalan kampung saja. Karim, kawan dan saya berborak dulu sementara menunggu kontraktor cina tu datang.

Saya bayangkan tentu Cina itu seorang yang bergaya. Kereta besar dan mewah. Macam taukeh cina lain yang saya kenal.

Tak lama menunggu, muncul seorang lelaki cina. Umur pertengahan 40-an rasanya. Dia kenakan baju t-shirt biasa saja. Fasih cakap melayu. Sebaik sampai disapanya Karim. Selesai kami berjabat tangan, dia terus duduk sekali.

Saya fikir tentu salah seorang dari kenalan Karim kat Melaka tu. Tak mungkin itu kontraktor yang banyak duit yang kami tunggu. Dia datang hanya naik sebuah motosikal kapchai honda lama sahaja.

“Kemerei sangat Cina ni! takkan ini taukeh cina kaya tu?”, suara skeptikal tak matang keluar berbisik dalam kepala mentah saya.

Rupanya sangkaan saya meleset sama sekali!

Itulah dia. Cina, kontraktor kaya yang ditunggu.

Setelah diperkenalkan Karim, saya ternga-nga melihat Cina sederhana dan ringkas itu. Masih tak dapat terima. Malu pada diri sendiripun ada.

Tapi, kenapa dia berbeza?

Itu soalan yang menarik minat saya untuk bertanya padanya.

Jawapan yang diberikan memang banyak memberi kesan dalam cara pemikiran saya selepas itu. Ilmu baru buat budak yang masih mentah. Yang nak belajar berniaga dan cuba untuk hidup di pusat bandar.

Terang cina itu, perkara pertama yang perlu dibuat adalah tentukan cara dan gaya macam mana kita nak hidup. Bila dah pasti, kekal saja begitu dan abaikan apa saja orang nak kata.

Hidup kita, kitalah yang tentukan sendiri. Bukan kawan, bukan masyarakat dan paling penting, bukan iklan.

“Perkara yang saya paling benci tak mau tengok, dengar atau baca adalah iklan”, kata-kata dari kontraktor cina itu yang saya masih ingat sampai sekarang.

Iklan bermain dengan emosi kita. Mengusik nafsu terhadap perkara yang hampir kesemuanya tidak diperlukan.

“Abaikan iklan, abaikan akhbar, abaikan tv dan radio, kita akan selamat!”, selamba saja cakap Cina itu sambil tersenyum girang.

Itu falsafah dia. Itu yang buat dia jadi macam itu. Kaya dan berjaya, tapi tak nampak bergaya pun. Dia relaks saja, hidup ikut caranya yang tersendiri.

Itu bukan kali pertama saya jumpa Cina kaya yang selamba gaya hidup lansung tak nampak kaya.

Ramai yang saya jumpa macam itu bila saya ikut kawan-kawan kaya lain yang pergi berurusan bisnes. Terutamanya di kawasan pinggiran bandar.

Mereka selamba, merendah diri, sama gaya macam semua orang lain tapi miliki hartanah dan perniagaan yang besar dan laju aliran kewangannya.

Berapa jumlah duit diperlukan

Pernah tanya soalan itu tak?

Mungkin pernah.

Tapi saya yakin jawapannya adalah, anda mahukan satu jumlah yang banyak. Paling tidak 10 kali ganda dari apa yang anda dapat sekarang. Lebih bagus kalau 100 kali ganda.

Semua orang akan fikir begitu jika salah tanya soalan penting di atas.

Untuk tentukan jawapan yang betul, anda perlu terlebih dahulu fikirkan cara macam mana nak jalani kehidupan.

Adakah cara susah, sederhana atau mewah?

Hanya 3 pilihan itu saja yang ada.

Logiknya, ramai yang pilih samada sederhana atau mewah. Terpulang kepada cita rasa, pembawakan dan status semasa masing-masing.

Yang pentingnya WAJIB ada keputusan nekad dan jelas cara hidup mana satu yang anda benar-benar mahu jalani.

Jika dah buat keputusan. Jelaskan dengan lebih lengkap dan terang makna sebenarnya.

Contoh. Jika anda pilih sederhana, gariskan apa yang anda perlu ada untuk duduk dalam status kehidupan sederhana itu.

Senaraikan semua material yang diperlukan. Rumah, kenderaan, persekolahan, jenis pakaian, makanan, penjagaan kesihatan, lokasi tempat tinggal, jalan-jalan, kebajikan, sumbangan dan sebagainya.

Dari kesemua perkara tersebut, anda akan dapat satu jumlah duit yang perlu ada untuk sara semua keperluan itu. Jumlah duit itu termasuklah jumlah bulanan yang masuk dan juga jumlah simpanan yang perlu ada dan dikembangkan.

Jika anda perlukan RM10 ribu sebulan. Dengan jumlah itu anda dapat tunaikan semua keperluan. Dan masih ada berbaki untuk disimpan. Maka, anda sudah boleh hidup dengan senang dan selesa.

Dalam keadaan itu, tak perlu nak sedih kalau tak dapat RM 1 juta pun. Tak perlu kecewa jika tak ada bisnes multi jutaan pun.

Nak buat apa?

Anda dah selesa. Fokus kepada hidup dan minat anda ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Itu saja.

Melainkan anda ada benda nak buat yang perlukan banyak duit. Ada impian untuk ubah dunia, ubah masyarakat.

Atau masih belum capai gaya hidup yang diingini.

Jika begitu, maka teruskan lah lagi merancang, adjust dan berusaha sampai dapat.

Kalau sekadar suka-suka teringin nak ada RM 1 juta, tak payah nak buang masa. Sembang kat kedai kopi ketika berborak dengan kawan-kawan saja tak apa. Balik rumah padamkan saja.

Jika tidak diuruskan keinginan atau lintasan nakal yang blur itu, hanya akan timbul rasa tak puas hati dengan apa yang ada saja. Itu bahaya dan membuatkan anda hilang kenikmatan dalam kehidupan.

Saya hanya berikan konsep cara nak tentukan jumlah duit yang diperlukan untuk hidup selesa. Anda sendiri perlu buat kiraan.

Muhasabah diri betul-betul.

Tanya banyak kali, samada apa yang disenaraikan itu benar-benar perlu berdasarkan gaya hidup yang dah ditentukan.

Pastikan ianya bukan sebab ikut orang, ikut masyarakat, ikut iklan atau ikut kawan.

Moga bermanfaat!

Post a Comment

Previous Post Next Post