Jika berjaya tak payah berlagak

By | 25/02/2013

Cuba fikirkan kejayaan yang telah anda kecapi selama ini. Tak kisah samada kejayaan besar atau kecil, ia adalah sesuatu yang cukup membahagiakan.

Kita sering terpanggil untuk berkongsi dengan sesiapa saja, di mana saja kita berada tentang kejayaan kita. Mata kita bersinar ceria setiap kali menceritakan bagaimana kita berjaya.

Ayat-ayat yang terhambur keluar dari mulut rasanya masih tidak cukup untuk menggambarkan kehebatan perasaan. Semua yang dirasa itu merupakan perasaan biasa sebagai manusia yang suka dipuji.

Sekadar mendengar orang sebutkan wahhhh!, terhadap cerita kejayaan kita sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita tersenyum lebar penuh bertenaga.

Bagaimana ia berhasil?
Sekarang cuba fikirkan semula bagaimana setiap kejayaan tersebut terhasil. Secara ikhlasnya adakah anda rasa ianya disebabkan kehebatan dan kekuatan diri anda sendiri?

Jika kita jujur, kita akan akui bahawa setiap kejayaan yang datang bukanlah kerana kita hebat atau kerana berusaha keras. Kebanyakan dari masa usaha yang dilakukan rasanya tidak cukup untuk kita mengambil pujian.

Kadangkala kita sorokkan bahawa kejayaan yang dikecapi datangnya dari satu pertolongan yang tidak disangka-sangka dan tidak ada kena mengena dengan usaha kita.

Namun begitu, yang pastinya kita sentiasa punyai impian yang tersemat dalam jiwa agar kejayaan yang diidamkan itu berlaku. Impian yang sering melekat dalam hati membuatkan ianya lama kelamaan menjadi realiti.

Pengalaman saya
Saya mula berpuasa sunat Isnin Khamis sejak tahun 2005. Sejak itu saya tidak pernah tinggalkannya walau dalam apa keadaan sekalipun. Kecuali jika hari isnin atau khamis jatuh pada hari-hari yang diharamkan berpuasa.

Aapakah saya berusaha keras kearah merealisasikan impian amalan sunat tersebut? jawapannya tidak sama sekali. Apa yang ada hanyalah sekadar impian dan hasrat untuk melakukannya satu ketika nanti, entah bila.

Pada bulan ramadan tahun 2005 itu, setelah habis menyambut syawal pertama, saya terus sambung berpuasa enam. Selesai puasa enam saya terus sambung pula puasa isnin dan khamis terus menerus sampailah ke hari ini.

Ikhlasnya saya sendiri tak pasti dari mana datangnya kekuatan sehinggakan ianya menjadi mudah tanpa ada sedikitpun paksaan. Adakah kerana saya hebat berbanding orang lain? sesekali tidak!, saya sendiri tahu dan sedar di mana kedudukan saya.

Puasa walaupun sakit
Semenjak kecil saya akan berpuasa ramadan dalam keadaan sakit. Setiap kali puasa, kepala terasa pening dan sakit seperti hendak pecah. Oleh kerana sudah terbiasa sesuaikan diri dengan kesakitan itu maka saya dapat menahannya.

Saya sangkakan semua orang alami kesakitan yang sama sebagaimana saya alami. Begitu jugalah apabila saya mula berpuasa sunat isnin khamis, sakit yang sama berdenyut-denyut seperti biasa. namun saya dapat tahan kerana dan biasa sangat.

Sehinggalah satu hari saya ditimpa musibah dan mendapatkan rawatan. Saya alami sakit kepala yang lebih hebat dan tidak tertahan. Setiap kali kesakitan itu datang saya yang dah tua bangka ini menangis menahan kesakitan tersebut.

Begitulah hebatnya sakit itu, saya yang amat jarang menangis. Dek kerana hebatnya kesakitan, saya tidak dapat buat apa-apa selain menitiskan air mata dan menangis menahan kesakitan.

Dipendekkan cerita, setelah dirawat selam hampir dua minggu, akhirnya kesakitan itu hilang sehinggalah ketahap sakit biasa yang sering saya alami jika berpuasa.

Kebetulan hari itu saya puasa dan berkata sakit itu biasa saja akibat berpuasa. Orang yang merawat saya itu tersenyum kerana katanya mana ada orang pening bila berpuasa.

Saya kata itulah yang saya alami selama lebih 10 tahun berpuasa setiap isnin dan khamis!. Dia hairan dan bertanya samada saya ada bertanya pada orang lain keadaan saya tersebut. Saya tidak bertanya pada orang kerana sangkakan semua orang mengalami rasa yang sama!.

Diringkaskan cerita dia meneruskan rawatannya dan alangkah takjubnya saya segala pening dan kesakitan tersebut hilang!. Rupanya puasa tidak mengakibatkan kita pening. Dan saya berpuasa kini dalam keadaan yang jauh lebih mudah berbanding selama 10 tahun sudah!!!

Apa yang saya belajar
Saya terfikirkan betapa dalam keadaan sakit saya mampu berpuasa sunat isnin khamis sedangkan mereka yang biasa tidak mampu melakukannya. Alasannya adalah mencabar dan sukar menahan nafsu.

Bukan bermaksud saya mahu tunjukkan bahawa saya hebat berbanding orang lain. Tetapi sebenarnya itu merupakan satu lagi hujah bahawa kemampuan saya berpuasa bukanlah kerana saya hebat.

“Semua itu hanyalah semata-mata kerana Allah mengizinkan saya untuk melakukannya”

Jika bukan dengan kehendak Allah, jika bukan dengan anugerah Allah, nescaya jika saya sihat walafiat, mampu tak makan sepuluh hari berturut-turutpun sudah tentu tidak akan dapat mengamalkan puasa sunat tersebut!.

Begitulah juga dengan kesemua perkara yang berlaku pada diri. Apa saja kejayaan yang dikecapi semuanya berlaku dengan kehendak Allah dan tidak ada ruang sebenarnya untuk saya tuntut bahawa ianya adalah dari usaha dan kekuatan saya.

Banyak berlaku dalam perjalanan hidup segala usaha yang dirancang dan dilaksanakan tidak memberikan hasil yang saya mahukan. Tapi sebaiknya hasil yang dikehendaki dapat juga saya miliki bukanlah dari apa yang saya usahakan. Ia datang entah dari mana-mana.

Sekali lagi saya ulang, apa yang ada hanyalah sekadar impian. Niat dan keinginan untuk mencapai sesuatu dan diikuti dengan usaha dengan cara yang kita mampu. Buatlah apa saja dan jangan berhenti, jika anda sabar apa yang diingini akan datang jua walaupun ianya bukanlah dari hasil usaha anda!

Oleh itu jika anda berjaya, tak payahlah bongkak, saya yakin ia bukan disebabkan kehebatan anda, ia semata-mata anugerah dan kehendak Allah.

“Jika anda mendapat nikmat, bersyukurlah, jika ditimpa musibah, bersabarlah!”

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Jika berjaya tak payah berlagak

  1. Anonymous

    so, apa yg menyebabkan pening tiap2 kali puasa tu ? Curious nak tau..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge