2 matlamat pada amalan membaca

By | 31/05/2012
Kenapa amalan membaca ada pada anda

Kenapa kita perlu jadikan amalan membaca sebagai amalan rutin seharian hidup kita telah saya tulis sebelum ini.

Saya rasa semua orang setuju bahawa amalan membaca merupakan satu aktiviti yang berfaedah, tetapi mungkin ramai yang menyangka orang yang kuat membaca adalah orang yang pandai.

Bagi saya, orang yang banyak kuat amalan membaca tidak semestinya pandai. Tetapi yang pastinya mereka yang banyak membaca menjadi manusia yang lebih banyak ‘tahu’.

Banyak tahu tidak bermakna pandai. Orang yang pandai adalah orang yang tahu menggunakan apa yang dia tahu dan menjalinkan ikatan serta menghubungkan segala banyak perkara yang dia tahu tersebut.

Hasil daripada jalinan berbagai perkara yang dia tahu mencetuskan pula satu perkara yang baru, sebab itu kalau orang tak pandai, tak akan mampu buat begitu.

Jadi kalau setakat tahu berbagai perkara tetapi tidak tahu untuk apa kegunaan semua yang dia tahu itu serta tidak tahu menghubungkan perkara yang belum terhubung, bukanlah pandai namanya.

Oleh itu untuk mereka yang risau takut-takut orang akan mengatakan padanya ‘pandai’ sebab kuat amalan membaca a.k.a rajin, anda telah mendapat satu jawapan untuk menolak apa yang orang akan katakan pada anda itu.

Sebab apa saya kata begitu adalah kerana kebanyakan daripada kita seperti telah terlatih agar tidak melakukan sesuatu yang boleh membuatkan orang menyangka kita hebat. Kononnya atas alasan merendah diri, maka lansung tak buat usaha untuk hebat.

Dalam ertikata lain orang kita tak suka menunjuk-nunjuk sebab dilarang sejak kecil, segala perkara yang boleh ditafsirkan sebagai mahu menonjolkan diri menjadi sesuatu yang tidak digemari.

Bila cikgu tanya siapa nak jawab soalan, semua orang takut angkat tangan walaupun dia tahu jawapan kepada soalan yang ditanya. Ini semata-mata kerana dikhuatiri orang akan kata mahu tunjuk pandai.

Jika anda sudah bersetuju dengan apa yang saya tulis di atas, bermakna anda sudah bersedia mahu menjadikan amalan membaca sebagai tabiaat harian.

Sebelum kita lihat apa petua mudah untuk menjadikan kegiatan atau amalan membaca seperti amalan makan nasi, kita perlu terlebih dahulu tahu kenapa orang lakukan amalan membaca.

Mereka yang bersusah payah mengeluarkan duit atau meminjam buku untuk dibaca sebenarnya atas 2 sebab sahaja:

  1. Untuk bersantai
  2. Untuk belajar
Apa sahaja buku atau majalah yang kita pegang untuk dibaca tidak akan lari daripada dua matlamat tersebut di atas dan kedua-duanya mempunyai cara yang berbeza, bagaimana kita membaca.

Bagi buku-buku yang kita baca untuk tujuan bersantai, biasanya kita akan baca habis satu ayat demi satu ayat dari mula hingga habis.

Contoh buku-buku seperti ini adalah seperti kisah dongeng, novel dan seumpamanya. Jadi ingat anda hanya perlu membaca habis keseluruhan buku yang berada dalam kategori bersantai sahaja.

“Amalan membaca buku sehingga habis adalah untuk buku dalam kategori santai hiburan sahaja.”

Bagi mereka yang membaca buku atas dasar mahu belajar. Mereka membuka buku itu untuk mencari perkara-perkara yang mahu diketahuinya. Kebiasannya ia berupa isi-isi penting atau laporan serta fakta yang kita belum tahu.

Secara puratanya sebuah buku tebal yang anda mahu belajar mengandungi 20% sahaja isi-isi penting di dalamnya, selebihnya 80% lagi adalah huraian dan goreng semata-mata.

Jadi jika anda mahu belajar sesuatu dari sebuah buku, anda hanya perlu membaca atau mencari 20% sahaja daripada keseluruhan tulisan yang terdapat di dalamnya.

Jika anda membaca keseluruhan buku tersebut untuk belajar, anda sebenarnya hebat kerana menjadikan buku ilmiah sebagai bahan bacaan hiburan santai!.

Apabila kita memahami perkara di atas, amalan membaca akan menjadi sesuatu yang tidak menakutkan malah menyeronokkan.

Jika ada manusia yang tidak suka kedua-dua perkara yang saya sebutkan diatas, dia perlu segera pergi ke depan cermin untuk pastikan samada dia benar-benar manusia.

Adalah sesuatu yang pelik jika ada orang yang tidak suka bersantai dan tak ada lansung perkara yang mahu ketahui atau dipelajarinya.

Selamat bersantai dengan amalan membaca…!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge