Gaya hidup ringkas adalah gaya hidup sihat

By | 29/05/2012

Saya berbincang tentang falsafah gaya hidup ringkas dengan beberapa sahabat ketika minum petang tadi.

Salah seorang sahabat mengutarakan satu masalah jika semua orang amalkan gaya hidup ringkas maka habislah semua perniagaan mewah-mewah akan bungkus gulung tikar kerana tidak ada lagi orang yang akan membelinya.

Sahabat itu juga mempersoalkan tentang kedudukan produk-produk mewah yang akan kehilangan pelanggan mereka kerana semua orang mula cenderung untuk menjadikan haya hidup mereka ringkas.

Hasilnya nanti membuatkan semua barangan yang mahal-mahal sudah tidak mendapat perhatian lagi.

Saya berpendapat gaya hidup ringkas tidak bermakna hidup susah. Gaya hidup sederhana tidak bermakna hidup selekeh. Sederhana dalam kehidupan itu sendiri amat subjektif dan tidak mempunyai nilai tetap.

Kehidupan mesti ada tanda aras minimun yang perlu dipenuhi. Perkara asas yang setiap manusia perlu penuhi adalah:

  • Makanan
  • Tempat perlindungan dan
  • Pendidikan

Tiga perkara tersebut di atas, kita tidak dapat elakkan untuk meneruskan kehidupan yang bermakna.

Cuma makanan jenis apa yang kita ambil, pendidikan tahap mana yang kita mampu dan tempat perlindungan bagaimana yang kita selesa adalah sesuatu yang amat subjektif.

Masing-masing ada keperluannya sendiri bergantung kepada keadaan masyarakat, suasana muka bumi, keperluan untuk meneruskan hidup dan lain-lain seumpamanya. Itu semua menentukan tahap sederhana yang kita takrif.

Jika kita duduk di bumi khatulistiwa umpamanya, memakai kod, tali leher, kasut kulit tinggi, baju sejuk dan lain-lain bukanlah satu keperluan.

Malah mereka yang memakai kod, bertali leher yang menjerut leher dan berkemeja lengan panjang ditambah lagi dengan baju dalam sambil berbincang di kedai kopi tanpa penghawa dingin atau berjalan kesana sini melihat projek bangunan ditengah rembang adalah satu perbuatan yang boleh dikatakan agak bodoh.

Tetapi malangnya ada juga mereka yang berbuat begitu. Itulah satu contoh yang kita namakan gaya hidup yang menyusahkan diri sendiri, yang sepatutnya ringkas bersesuai dengan suasana mukabumi yang kita tinggal.

Berkenaan barangan berjenama pulak, adakah ia akan mula hilang pelanggan tidak timbul.

Ini disebabkan barangan berjenama datang sekali dengan kualiti. Kita tidak mempercayai suatu barang yang berjenama dan dijual dengan harga yang tinggi jika kualitinya sama sahaja dengan jenama berbeza dan berharga rendah.

Jika kualitinya sama, faedah yang kita dapat sama sahaja di antara dua jenama tetapi yang satu lagi lebih murah, maka tidak bijaklah jika kita masih meneruskan membeli jenama yang mahal.

Oleh itu bagi mereka yang mementingkan kualiti dalam kehidupannya dan dalam masa yang sama mahu amalkan gaya hidup ringkas akan memilih barangan berjenama yang terbukti kualitinya.

Apabila kita berfikiran sebegitu maka satu lagi kesan yang amat baik yang berlaku dalam masyarakat perniagaan adalah terbentuknya sistem ekonomi yang berfaedah dan bukan menjana sistem ekonomi yang membazir.

Aktiviti ekonomi positif akan terbentuk di mana kesemua produk perniagaan akan memikirkan kesesuaian dan faedah yang didapati oleh masyarakat berbanding hanya untuk menipu dan buat duit.

Keadaan aktiviti yang positif dan berfaedah secara lansung akan menghalang lambakan barangan tiruan yang mana ianya tidak berkualiti dan sebenarnya membeli barangan tiruan adalah satu pembaziran wang semata-mata mahu menipu orang bahawa kita punya banyak wang. Hidup dengan menipu sebegitu bukalah cara satu gaya hidup yang sihat.

2 thoughts on “Gaya hidup ringkas adalah gaya hidup sihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge