Saya tak main forex.

Ini pendapat dan prinsip saya setakat ini. Kalau anda rasa saya salah, saya terbuka untuk dikritik dan diberikan pencerahan.

Kalau anda punya alasan yang dapat meyakinkan yang saya rasa boleh diterima pakai, yang membuktikan saya salah, saya dengan terbuka boleh ubah pendirian. Tak perlu malu mengaku salah dan ubah kepada yang betul.

Tolak untuk main forex

Ada banyak orang datang jumpa saya dan kongsikan ilmu bagaimana nak buat duit dengan menggunakan duit yang saya dah ada.

Salah satu darinya adalah dengan main forex.

Ideanya mudah saja. Bagi duit kat dia orang untuk dilaburkan dengan main forex, supaya duit itu menjana keuntungan secara konsisten.

Mereka akan cuba yakinkan anda dengan sistem yang digunakan.

Sebagai jurujual, tentu mereka hebat untuk yakinkan diri anda bahawa apa yang mereka tawarkan adalah yang terbaik dan dapat membuatkan anda kaya raya.

Biasanya, setakat ini saya akan tolak apa saja tawaran untuk main forex. Malah pernah kakitangan salah satu syarikat saya tanpa berbincang memngambil pendekatan cuba menjana pendapatan syarikat dengan main forex. Apabila saya membuat semakan rawak dan mengesannya, dengan segera saya ambil tindakan berikan arahan berhenti dari main forex.

Saya tak selesa dengan idea buat duit dengan guna duit macam itu. Itu bukanlah perniagaan. Dan tidak juga menghampiri apa yang saya faham tentang pelaburan dalam perniagaan.

Ia benar-benar satu aktiviti tikam duit untuk dapat duit.

Tolak untuk main bitcoin

Macam main forex, Ini juga satu lagi tawaran yang sedang hot di kalangan mereka yang sedang ketagih buat duit kononnya dengan cara mudah.

Guna bitcoin dalam transaksi perniagaan bagi saya tak ada masalah. Anda boleh buat pertukaran produk atau servis dengan apa saja sistem mata wang atau sebarang benda yang diterima umum sebagai bernilai dan dibenarkan undang-undang.

Tapi beli dan jual bitcoin untuk buat untung saya tak selesa. Ianya sama juga macam main forex kat atas tadi. Tikam bitcoin beli bitcoin. Tikam duit buat duit.

Semua berkisar tentang duit, duit dan duit.

Gunakan sistem dan perjalanan kewangan duniauntuk buat duit dengan menggunakan modal duit.

Main saham di USA dalam USD

Selain dari tawaran main forex, baru dua tiga hari lepas saya terima satu lagi tawaran untuk buat duit dengan tikam duit.

Dengan bermodalkan USD10 ribu, atau USD20 ribu.  Atau kalau nak cepat kaya lagi boleh bubuh banyak lagi seperti USD100 ribu atau lebih banyak lagi.

Anda akan buat untung dalam 15% ke 20% sebulan atau mungkin sehari.

Semua idea guna duit untuk buat duit zaman kita sekarang adalah jauh lebih canggih. Teknologi yang ada membuatkan dunia kewangan dah jadi terbuka tanpa ada sempadan lagi.

Tambah pula dengan adanya teknologi blockchain sekarang. Sistem kewangan sedang melalui satu lagi fasa yang tak pernah terfikir oleh manusia sebelum ini.

Banyak negara yang sedang giat mengkaji dan mengumpulkan segala maklumat pasal blockchain dan kegunaannya serta kesannya jika dia masuk dalam sistem kewangan sesebuah negara. Bab itu memang agak berserabut, kalau anda macam saya, yang buta ilmu kewangan dan teknologi baru dunia.

Ada lagi perkembangan baru yang menarik.

Munculnya pula AI. Robot yang bijak boleh belajar, macam ada akal yang boleh berfikir.

Semua gabungan ini digunakan pula oleh jurujual skim guna duit buat duit untuk yakinkan anda buat pelaburan. Robot yang bijak masuk sistem main saham.

Robot hanya akan pastikan untung saja yang akan berlaku! Robot tak ada perasaan, jadi segala keputusan adalah bebas dari unsur emosi.

Wow! macam bagus!

Kalau tak kuat iman, mahu goyang juga terketar-ketar nak serahkan duit yang ada.

Ya lah! siapa tak mahu duit RM300 ribu yang ada kat akaun sekarang esoknya dah beranak jadi RM350 ribu. Lusa dah beranak jadi RM410 ribu. lepas itu keesokkan harinya dah naik jadi RM450 ribu pulak.

Perghhh! Gila! tak sempat sebulan dari RM300 ribu dah melebihi sejuta!!!

Jumlah duit naik meningkat tak berhenti-henti banyak dan banyak lagi.

Juta dan juta… !!!

Tolak prinsip gila duit

Atas dasar prinsip hidup yang saya pegang, saya biasanya akan tolak apa saja tawaran untuk buat duit dengan tikam duit macam itu.

Biarlah mereka janjikan bulan dan matahari sebagai habuannya, saya tak lapar duit sampai macam itu.

Apa yang saya nak dalam dunia ini adalah kehidupan yang aman damai, ringkas dan dapat memberikan kepuasan serta kebahagiaan.

Untuk itu, saya bukannya kejar supaya ada banyak duit.

Banyak mana sekalipun, ianya tak akan pernah ada banyak selagi anda tak tahu berapa banyak yang boleh dikatakan banyak dan kat mana akhirnya banyak perlu berhenti.

Dan hidup ini bukanlah tentang kumpul duit yang banyak.

Duit diperlukan hanya sekadar supaya ianya mencukupi untuk menyara kehidupan yang anda mahukan.

Perkataan utamanya kat sini adalah ‘Mencukupi’.

Cukup untuk sara gaya hidup yang anda mahukan.

Tentukan gaya hidup yang anda mahu

Untuk tahu berapa duit yang cukup, anda perlu tahu terlebih dahulu gaya hidup yang macam mana anda mahu.

Nak jadi dermawan masyarakat?

Nak jadi sumber sediakan peluang pekerjaan kepada seribu orang?

Nak jadi glamour di gilai oleh jutaan manusia?

Nak jadi sederhana, bermanfaat kepada masyarakat tanpa glamour dan terdedah kehidupan anda?

…… ?

Gaya hidup macam mana yang anda mahukan?

Buat senarai lengkap dan pegang teguh pada gaya hidup yang anda mahu capai itu. Selepas itu baru fikirkan bagaimana nak uruskan segala kehidupan anda termasuklah urusan mendapatkan duit yang mencukupi bagi menyara kehidupan itu.

Itulah yang lebih baik dalam memberikan kepuasan hidup.

Tapi itupun masih belum dapat memberikan kebahagiaan maksimum lagi.

Anda perlu tahu bahawa kebahagian maksimum bukanlah pada apa yang anda ada. Tapi ianya datang bila anda dapat menggunakan sumber yang ada bagi membantu selesaikan masalah orang lain.

Ini bukan saya cakap secara kosong.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa kebahagian yang paling lama kekal dalam minda manusia adalah kebahagiaan yang timbul hasil dari usaha melepaskan kebutuhan manusia lain.

Usahawan fokusnya bantu manusia lain

Dari situlah saya buat keputusan untuk jadi usahawan.

Memang itu kerja usahawan pun. Membantu melepaskan masalah yang manusia lain hadapi. Saya kumpulkan segala sumber yang ada untuk menyediakan jalan penyelesaian buat membantu pelanggan yang perlukan produk atau servis yang ada pada saya.

Duit dapat, dan kebahagiaan serta kepuasan pun dapat.

Duit itulah saya boleh gunakan untuk sara gaya hidup yang saya mahu dan saya jelas berapa yang diperlukan.

Dalam masa yang sama bisnes saya dapat membantu orang lain punya masalah.

Tikam duit buat duit untuk apa?

Cuba kita kembali kepada aktiviti tikam duit untuk buat duit yang saya terangkan kat atas tadi.

Kenapa setelah anda dah tahu apa yang anda mahu, berapa yang mencukupi, tiba-tiba nak disalurkan pulak kesemua duit itu untuk buat duit dengan jauh lebih banyak lagi?

Untuk apa?

Dah berubah gaya hidup kepada yang baru pulak ke?

Atau ada kah  masalah orang lain yang anda selesaikan dengan bisnes tikam duit buat duit tu?

Tentu ada yang akan kata, semua untung dari aktiviti tikam duit buat duit tu berikanlah pada sekolah anak yatim, pada surau, pada masjid dan pada mana-mana lagi badan kebajikan yang anda rasakan baik.

Kalau macam itu, kenapa tak bagi seketul duit tu pada semua badan kebajikan tu dan biarkanlah mereka yang mendapat faedah hasil dari keuntungan guna duit buat duit. Kenapa anda nak libatkan diri pulak kat situ.

Tak lain dan tak bukan kerana masih ada perasaan tamak dan seronok, kalau ada duit simpanan yang amat banyak meningkat dan meningkat tak pernah turun. Itulah tujuan utamanya. Anda gila duit. Bukannya nak tempuhi perjalanan hidup yang bermakna  dan seimbang.

Kalau dah gila duit, semua jalan yang membawa anda kepada cara mudah untuk buat duit akan anda langgar tanpa pertimbangan yang mendalam lagi.

Melabur dalam saham macam mana?

Melabur dalam saham bagi saya adalah sama dengan melabur dalam perniagaan yang anda buat.

Bezanya kalau perniagaan, anda sendiri uruskan. Dalam saham pulak anda hanya berikan modal dan orang lain yang profesional dan berkelayakan yang akan uruskan perniagaan tersebut.

Sama juga prinsipnya macam perniagaan anda sendiri.

Perlulah pilih perniagaan yang anda yakin bermanfaat dan dapat memberikan nilai tinggi pada masyarakat.

Bukannya perniagaan yang entah apa-apa seperti syarikat judi seumpamanya. Memang boleh buat duit pada pelaburan di syarikat perniagaan judi tu. Mana ada syarikat judi yang tak untung. Tapi judi terang-terang lebih mendatangkan kerosakkan pada manusia daripada kebaikan.

Melabur dalam pasaran saham berbeza daripada melabur dalam forex atau lain-lain skim buat duit dengan duit.

Kalau nak melabur dalam saham, lebih afdal jika anda laburkan di pasaran saham negara sendiri. Lebih afdal bantu masyarakat dan negara sendiri berbanding negara lain. Kenapa nak pi melabur kat USA pulak?

Itu kerja institusi yang ada modal kewangan besar seperti Tabung Haji, KWSP dan lain-lain seumpamanya. Biarlah mereka yang buat kerja besar tu. Itupun perlu dilebihkan pelaburan dalam negara berbanding luar negara. Sebab pelaburan dalam negara ada manfaat serampang dua mata.

Kalau duit kepunaan anda sendiri, dan duit pula tak berapa nak jenuh (banyak), sudah tentu melabur dalam perniagaan yang anda sendiri buat dan uruskan adalah jauh lebih menyeronokkan dan mendatangkan hasil yang lebih menarik.

Dari pengalaman, duit yang saya laburkan ke dalam perniagaan sendiri memberikan pulangan berpuluh kali ganda lebih baik berbanding melabur kat saham. Kenapa nak sibuk laburkan duit kat bisnes orang lain.

Sekali gus anda boleh pilih bisnes yang sesuai untuk anda hidup dalam gaya kehidupan yang diingini.

Jadi akhirnya, patah balik kepada apa yang saya katakan kat atas tadi. Tentukan gaya hidup, dan uruskan kewangan supaya ianya mencukupi dengan menjalankan perniagaan yang anda rasa happy!

Akan ada lagi soalan cepumas. Kalau semua berfikiran macam saya, maka tak akan lahirlah jutawan atau billionair yang hebat yang daat mengharumkan negara.

Saya tak risau masalah itu. Sebab akan sentiasa ada kemunculan jutawan dan billonwan setiap zaman dari kalangan masyarakat. Kalau tak ada Syed Mokhtar yang sekarang ni, sudah pasti akan ada orang lain yang main peranan sebagaimana Syed Mokhtar tu. Nama hanyalah sekadar watak. Jadi tak perlu nak risau.

Apa pendapat anda?

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge