Tahun 1999, saya datang ke Lembah Kelang untuk cari peluang berniaga di kotaraya.

Kuala Lumpur merupakan pusat pentadbiran negara kita. Kebanyakan peluang yang ada di Malaysia akan bermula dari kotaraya megah ini.

Memang teruk kehidupan di kotaraya. Lebih teruk dari kehidupan di kampung. Persaingan sangat kuat. Masing-masing cuba ke depan. Bila berada dalam keadaan kelam kabut macam tu, sudah tentu ada kaki orang lain yang akan kena pijak. Samada sengaja atau tidak sengaja.

Walaupun cabarannya sangat besar, ramai yang bersaing, tapi periuk kawah yang tersedia di kotaraya bersaiz gergasi.

Kalau saya dapat kerak dari lebihan nasi yang hangitpun kat dasar periuk tu, nilainya sudah tentu masih jauh lebih besar berbanding kat kampung.

Itulah yang saya fikirkan. Sebab itu saya datang. Nekad berusaha cari jalan. Hidup sebagai usahawan kecil yang kerdil sehingga lah sekarang.

Tinggalkan bisnes dan celapak naik kapal

Beberapa tahun yang lalu saya tinggalkan semua kerja dan loncat naik kapal lebih dari seminggu. Masa itu bisnes dah jalan lancar. Saya dah ada pendapatan tetap hasil dari beberapa bisnes yang dah berjaya dibina.

Semua bisnes masa tu dah boleh dilepaskan. Tak perlu berikan tumpuan sangat pada urusan seharian. Ada orang yang menguruskannya.

Keinginan untuk merasa pengalaman duduk belayar atas kapal beberapa hari merupakan salah satu dari ‘impian perlu buat sebelum mati’ yang saya ada.

Saya pesan pada kawan-kawan yang rapat, kalau ada peluang macam tu, tolong beritahu.

Dengan kehendak Tuhan, peluang itu sampai juga akhirnya.

Saya terus sambut. Walaupun notis sangat pendek. Saya cari jalan untuk jayakannya juga. Saya dengan seorang lagi kawan, juga seorang usahawan, pergi ke limbungan kapal di Port Klang terus celapak naik kapal.

Kapal itu akan bergerak dari Klang melalui persisiran pandai ke Melaka, pusing, melalui persisiran Indonesia. Masuk Johor, lintas Singapura dan masuk ke Pantai Timur. Perjalanan berakhir di Terengganu.

Kalau tak silap, kami berlayar selama 7 hari 8 malam. Siang dan malam duduk atas kapal. Ada lebih kurang 23 orang krew kapal, seorang kapten, siap ada tukang masak tersedia dalam kapal tu.

Setiap hari, kapal akan bergerak selepas solat subuh secara berjemaah di dek kapal. Terus bergerak sehinggalah ke magrib. Masa itu kami berlabuh dan lepak atas kapal, tidur sehingga ke subuh. Waktu malam diisikan dengan aktiviti memancing, berborak atau melayan perasaan.

Perjalanan selama lebih seminggu itu memang satu pengalaman baru tak pernah saya lalui seumur hidup sebelum itu. Nanti saya akan ceritakan lebih panjang di lain artikel jika ada kesempatan.

Jual bisnes di bandar, mula bisnes baru di kampung

Apa yang nak saya ceritakan adalah salah satu pengalaman ketika berlayar tu.

Kami berlabuh di persisiran pantai Terengganu. Tak jauh dari Pulau Kapas. Kapten kenal seorang kawannya yang duduk di Pulau Kapas itu yang jalankan bisnes resort unik.

Bila dengar tawaran pertanyaan kapten, samada nak pergi tengok pulau kapas atau tidak, kami tak fikir panjang.

Tentu mahu!.

Bot kecil diturunkan dan beberapa orang anak kapal ikut sama ke Pulau Kapas yang tak berapa jauh dari Kapal kami.

Kami terus ke resort kawan kapten tu. Berkenalan dan jamu makanan di restoran unik kawan kapten.

Dia buat chalet di sekitar pantai itu, saya tak ingat berapa buah chalet yang dia ada. Mungkin dalam 10 buah atau lebih sikit. Tapi yang bestnya kesemua pelanggannya adalah pelancong luar negara. Dan paling mengkagumkan, kesemua chalet yang dia ada itu dah ditempah penuh untuk selama 2 tahun ke depan.

Pakej yang dia sediakan termasuk makan dan minum di restoran ynag dia sendiri usahakan khas untuk para penyewa chaletnya.

Dia santai saja. Tenang dan kelihatan sangat bahagia.

Kedua-dua orang anaknya di sekolahkan di International School di Kuala Terengganu. Setiap pagi, dia pergi hantar dan petang, ambil anaknya dengan menaiki bot.

Kos sekolahkan anak-anak kat situ 2 orang bukanlah murah. Itu bayangan menunjukkan bisnes yang dia buat laku keras dan menguntungkan.

Bila saya tanya macam mana dia boleh dapat idea buat bisnes macam ni kat Pulau Kapas. Malahan pula cara yang dia buat itu bukan idea kampung. Sangat luar biasa dan ke depan.

Dari ceritanya barulah saya tahu yang dia asalnya berniaga di Kuala Lumpur sebelum ini. Bersabung nyawa berusaha cari makan dalam industri logistik.

Setelah lama hidup dalam keadaan yang macam tak ada kehidupan, akhirnya dia buat keputusan menjual kesemua bisnes logistiknya berserta aset yang dia ada. Lagipun ketika dia jual itu ekonomi sangat malap.

Dengan duit yang ada, dia datang ke Terengganu, masa itu agaknya harga tanah masih murah dan dia beli tanah kat Pulau Kapas. Di situ, dia mula usahakan bisnes resort.

Pendedahan kepada dunia logistik dengan pelanggan dalam dan luar negara memberikan kelebihan untuk dia merangka idea bisnes yang unik dan luar biasa.

Apakah perasaannya dengan bisnes yang dia buat itu berbanding bisnes dahulu di kotaraya?

Bila saya tanya soalan itu padanya, dia senyum. Senyuman penuh kepuasan keluar dari riak air mukanya. Itu keputusan yang terbaik pernah dia buat dalam hidup.

Usahawan bandar perlu jual bisnes, balik kampung

Semenjak dua menjak ini, semua pengalaman itu makin mendapat perhatian, keluar balik dari dalam benak kepala saya.

Perasaan nak lari balik kampung, tak semestinya kampung sendiri, makin kuat terasa. Bukan rimas atau rasa dah tak tahan dengan kerenah pusat bandar. Tapi lebih kepada cetusan idea untuk menyumbang satu kelainan kepada pembinaan kelompok usahawan baru di Malaysia.

Saya terfikirkan bagaimana usahawan terutamanya Melayu yang dah ada pengalaman dan pendedahan bandar, boleh memberikan sumbangan kepada perkembangan negara kita. Dalam masa yang sama, menikmati gaya hidup yang santai yang lebih sesuai dengan budaya orang kita.

Ideanya mudah saja.

Mulakan dari sekarang, luangkan masa untuk berjalan ke luar, kawasan kampung atau penempatan terpencil yang jauh dari pusat bandar. Kampung yang jauh dari pusat industri besar.

Pusat industri besar ini kerjanya adalah merompak kesemua anak-anak muda lelaki dan perempuan untuk menjadi hamba kerja mereka sebagai operator pengeluaran di kilang tersebut. Gaji lumayan ditawarkan yang memang tak dapat dikampung.

Habis semua lari dan habis kampung sunyi sepi. Saya dah tengok semua ini terutamanya di Pulau Pinang. Habis anak-anak muda kampung sehingga yang berada di Baling, Kedah umpamanya lari ke P Pinang jadi pekerja kilang.

Bukan sikit-sikit. Puluhan atau ratusan rbu pekerja. Kampung jadi sunyi sepi.

Sebab itu saya cadangkan pergi cari penempatan terpencil yang jauh dari perompak anak-anak muda ini.

Tanah kat kawasan sebegitu masih murah. Jika nampak ada peluang, beli tanah di situ dan mula usahakan projek makanan dan minuman istimewa khas keluaran kampung terpencil itu.

Perlu dmulakan dengan usaha pertanian sebab itu asas kepada kesemua industri yang ada di dunia ini. Mungkin tanam padi, sayur, buah-buahan dan lain-lain seumpamanya. Tapi bukan sebarang usaha pertanian. Ianya mestilah berkonsepkan organik yang selamat dari pencemaran.

Usaha sedemikian boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk kampung itu.

Dengan pendedahan usahawan selama di pusat bandar sebelum ini, usaha membina jaringan boleh dilakukan untuk pasarkan produk unik kampung ke luar.

Mungkin boleh anjurkan expo produk kampung sebulan sekali. Jemput penduduk sekitar dan kawan-kawan usahawan dari pusat bandar, datang shopping dan bina perhubungan bisnes dengan semua usahawan yang ada di kampung tersebut.

Saya bayangkan usaha ni boleh dikembangkan sehingga kampung itu mampu keluarkan bahan mentah seperti tepung, roti, sos dan lain-lain lagi untuk bekalan penduduk di situ. Kampung yang ‘self-sustained’ kata orang putih. Lebihannya boleh dipasarkan keluar.

Ringkasnya, dalam artikel angan-angan yang pendek ini, usaha ini akan menghasilkan banyak masyarakat usahawan luar bandar yang berdikari. Mereka akan kembangkan kampung ke tahap yang lebih meriah tanpa merosakkan budaya tolong menolong dan nilai ketimuran orang kita di kampung.

Saya bayangkan sebuah kampung yang maju, kekal ciri-ciri budaya ketimuran. Restoran yang kemas terurus tahap 5 bintang. Kegiatan ekonomi yang maju mesra alam. Penduduk yang saling kenal mengenali. Siap ada kilang proses yogurt keluaran tempatan … ! indahnya ..

Kena cari seorang usahawan kaya raya sebagai anchor untuk explore mana-mana kampung terpencil. Beli tanah luas, dan mula usahakan projek ni.

Kawan-kawan usahawan lain dari industri yang berbeza, akan turut sama tinggalkan pusat bandar dan mulakan bisnes mereka di penempatan terpencil itu. Semuanya perlu diusahakan secara berkumpulan.

Tentu best macam tukan!

Kembali ke kampung, teroka kawasan yang jauh terpencil. Tukar gaya hidup. Dan mula bina semula kehidupan yang lebih seimbang.

Ada yang nak joint usaha macam ni tak?

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge