Macam mana nak kurangkan tekanan hidup ?

PRU 14 dah dekat dah. Ramai orang politik dan peminat politik dok sibuk berkempen. Antara isu yang popular diwar-warkan oleh orang politik adalah tekanan hidup yang semakin meningkat pada rakyat jelata.

Kalau kita lihat semua janji-janji manis pihak yang berlawan, hampir kesemuanya memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat. Penganalisa politik selalu sebut yang manifesto kempen politik PRU 14 ini amat bersifat “Populis”

Populis adalah ambilan dari perkataan Inggeris, ‘Populist’.

Ertinya bersifat Kerakyatan. Atau memberikan tumpuan pada orang kebiasaan. Rakyat biasa seperti anda dan saya yang berenang dalam lautan kehidupan tanpa ada apa-apa keistimewaan baik dari segi keturunan, harta, pangkat atau kabel.

Sudah tentu kesemua janji-janji manis itu bermatlamatkan untuk kurangkan tekanan hidup rakyat jelata yang biasa-biasa. Ertinya para pemimpin kat atas tu sedar bahawa ramai orang dilanda masalah hidup yang agak mencabar sekarang.

Janji kurangkan tekanan hidup

Apa janji-janji orang politik untuk kurangkan tekanan hidup?

Semuanya menjurus kepada perihal ekonomi. Semuanya menjurus kepada masalah rakyat biasa yang tertekan untuk cari duit bagi memenuhi keperluan hidup. Masalah paling biasa orang mengeluh (begitulah dakwaan orang politik) adalah kos kehidupan yang semakin tinggi.

Minyak mahal nak diisikan ke dalam kenderaan. Ikan Kembung mahal sedangkan itulah lauk paling popular dan rutin orang kebanyakan. Makan kat kedai mamakpun dah tak murah sekarang. Roti canai dah tak semurah dahulu lagi, begitu juga dengan teh tarik.

Kos pengajian juga melambung naik. Kos anak-anak ke sekolah juga turut sama naik.

Mana nak simpan duit untuk beli rumah. Malah permohonan untuk dapatkan loan rumah juga ditolak mentah-mentah oleh pihak bank. Lambakan rumah kha suntuk mereka yang berpendapatan rendah jadi bertimbun-timbun. Bukan orang tak mau beli. Tapi bank tak rasa mereka layak meminjam.

Secara umumnya itulah yang dikatakan tekanan hidup. Dan segala janji dilemparkan untuk selesaikan semua masalah tersebut.

Adakah dengan menyelesaikan semua masalah kos sara hidup itu dapat kurangkan tekanan hidup anda dan saya? Adakah semua janji itu dapat tingkatkan rasa bahagia kita untuk hidup esok, lusa dan tulat?

Cara kurangkan tekanan hidup

Bab untuk kurangkan tekanan hidup ini dah jadi satu subjek yang amat banyak dikaji oleh para saintis.

Samada di negara maju, mahupun dinegara mundur, manusia didapati hidup makin tertekan. Malah masalah tekanan hidup semakin meruncing pada penduduk di negara maju berbanding negara mundur.

Nampaknya, penduduk negara maju, yang banyak duit, gaji tinggi, ada kerjaya yang baik, ada rumah, ada kenderaan, ada pendidikan dan ada segalanya, tidak dapat atasi masalah tekanan hidup. Malah hidup mereka semakin tertekan.

Sampai ada kajian yang kata kalau anda ambil air yang mengalir keluar dari rumah ke rumah masuk ke kolam pembentungan, anda akan dapati kandungan air itu penuh dengan ubat atau dadah ‘antidepressant’.

Punyalah ramai rakyat negara maju telan ubat penenang jiwa.

Puncanya adalah disebabkan mereka hidup dalam keadaan tertekan.

Apa yang tak kena sebenarnya?

Kajian demi kajian dilakukan untuk cari punca kenapa orang moden semakin lama semakin tertekan. Dan nak diringkas cerita, kesemua kajian menjurus kepada 3 perkara utama yang akan saya senaraikan kat bawah ini.

Anda perlu semak betul-betul dan pastikan 3 perkara ini dielakkan. Supaya masalah tekanan hidup dapat dikawal atau paling tidak, dikurangkan, kalau tak boleh dihapuskan terus.

Mungkin anda rasa macam tak tertekan sangat hidup sekarang.

Kalau masih ok dan masih rasa bahagia dan hidup bermakna, ertinya anda masih terhindar dari terperangkap dengan 3 perkara tersebut. Jadi semak dan pastikan jangan alpa.

Pastikan anda elak 3 perkara berikut…

#1. Jangan biarkan diri kesunyian

Ini punca utama yang membuatkan orang di negara maju hadapi masalah tekanan hidup. Mereka rasa kesunyian.

Walaupun dia kerja saban hari dalam tempoh yang panjang. Berhubung dan berkomunikasi tak henti-henti dengan bermacam jenis orang, rakan sekerja, pelanggan, boss dan lain-lain. Tapi jiwanya kesunyian.

Malah walaupun dia ada pasangan hidup, ada anak-anak dan ada saudara mara. Jiwanya masih tetap kesunyian. Jiwa sunyi bukan bermakna anda duduk seorang diri dalam hutan. Duduk ditengah orang ramai di dalam ceramah Pakatan Harapan juga boleh membuatkan jiwa anda sunyi.

Kajian kat Amerika mendapati, sejak 2004, majoriti warga Amerika hanya ada paling ramai hanya 2 orang teman rapat. Dan keadaan itu semakin teruk sekarang sebab majoriti yang ditanya akan jawab jumlah rakan rapat mereka adalah ‘tiada’!.

Kes macam itu mungkin masih tidak melanda anda sekarang. Tapi tak lama dah nak datang ke negara kita. Memang dah ada ramai orang, terutamanya yang berkerjaya, hebat, ligat, tapi hakikatnya tak ada teman rapat.

Jika anda tak ada orang yang boleh dikongsikan segala cerita hidup anda, samada suka atau duka, lawak atau sedih, lucah atau bersih, serius atau santai, ertinya anda tak punya teman rapat. Itulah yang akan membuatkan anda jadi kesunyian.

Bila saya renung semula. Buat perbandngan semasa kat kampung dulu dengan sekarang, memang terasa benarnya kajian yang dilakukan terhadap manusia moden sekarang. Jumlah teman rapat rupa-rupanya semakin berkurangan.

Tak sama macam kawan-kawan ketika dikampung dulu. Ramai dan tak pernah sunyi. Hingga jenuh nak menempis pulak untuk limitkan masa dihabiskan dengan berbagai aktiviti.

Jadi, bermula dari sekarang, ambil berat teman rapat yang masih ada. jangan sombong dan kedekut masa untuk diperuntukkan kepada mereka. Begitu juga masa untuk anak-anak dan pasangan hidup. Luangkan masa bersama secara tetap supaya perhubungan terjalin dan dirapatkan. Begitu juga dengan saudara mara.

Perlu adakan masa untuk pastikan anda tidak rasa kesunyian.

Kalau ada janji dari mana-mana ahli politik yang menyediakan polisi agar anda dapat eratkan silaturahim bersama keluarga, kawan-kawan dan saudara mara. Maka itulah yang terbaik dan perlu diberikan sokongan.

#2. Elakkan harta dan darjat jadi sasaran utama

Kenapa anda kerja kuat?

Kenapa anda selfie tunjukkan kejayaan dengan hasil jualan, pakaian, kereta mewah, rumah tersergam indah, pasangan yang hebat dan sebagainya?

Kalau anda pulun kerja kuat, tak henti-henti dan tak habis-habis dengan matlamat utamanya adalah untuk buat harta, anda sedang ambil jalan yang salah sebenarnya.

Kalau anda selfie kongsikan semua kehebatan dan kegedikan anda dengan matlamat utama untuk kejar darjat, anda juga sedang mengikuti jalan yang salah sebenarnya.

Apa saja yang anda pulun buat dengan matlamat utama untuk kejar harta dan darjat akan membwa kepada tekanan hidup.

Mungkin anda sangka bila dapat kesemua itu anda bahagia dan hidup semakin kurang tekanan. Tapi hakikatnya memang tak jadi macam itu.

Bukan saya kata. Tapi berdasarkan kajian juga. Semakin tinggi dorongan anda mendapatkan harta dan darjat kedudukan, semakin tertekan hidup anda. Jadi elakkan harta dan darjat sebagai sasaran utama yang anda ambil berat sungguh-sungguh. Ia tidak menjamin kepada berkurangnya tekanan hidup.

Sebaliknya, jika anda buat semua itu, kerja kuat, kongsikan aktiviti, dan lain-lain lagi seumpamanya disebabkan anda memang puas dengan kerja tersebut, rasa seronok dan dapat memberikan ketenangan dan keasyikan menikmatinya, maka anda ada di jalan yang betul.

Mereka yang suka dengan apa yang dilakukan sebab mereka suka, dan buan sebab nak kejar duit atau darjat, didapati hidup lebih bahagia dan tekanan hidup terkawal.

Contoh mudah adalah jika anda main gitar untuk jadi artis terkenal berbanding jika anda main gitar macam saya main setiap malam dodoikan isteri nak tidur. Kalau anda main gitar macam saya, sebab saya suka dan asyik melayan petikan dan nyanyian bisikan perlahan sebelum tidur, anda akan rasa lebih bahagia dan tidak tertekan.

Jika pulun main sebab nak jadi artis pujaan, maka tekanan hidup anda akan memuncak. Sedangkan kedua-duanya adalah aktiviti yang sama, tapi tak sama matlamatnya. Itu contoh mudah yang boleh anda fikirkan sekarang.

Adakah kerja anda sekarang untuk pulun kejar duit dan darjat, atau anda memang syok sangat dengan kerja tersebut?

Jika ada orang politik yang janjikan polisi untuk serlahkan keunikan dan minat rakyatnya dan mendorong rakyat meluahkan bakat yang ada yang dia suka, maka itulah pilihan yang boleh diberikan pertimbangan serius.

#3. Elakkan dari terperangkap dalam batu

Cuba pergi tengok orang asli kat dalam hutan. Buat test MRI kat otak mereka untuk kesan kedudukan saraf yang memberikan ukuran tahap tekanan.

Anda akan dapati tahap tekanan yang ada pada mereka amat rendah.

Atau lebih mudah lagi.

Cuba ukur tahap tekanan anda ketika duduk tengah pusat bandar dan bandingkan pula tahap tekanan anda ketika duduk dalam taman kehijauan. Buat dalam masa dan hari yang sama.

Anda akan dapati kalau kat bandar, tekanan adalah tinggi, bila masuk duduk dalam taman kehijauan, tiba-tiba tahap tekanan akan turun secara drastik.

Hakikat mengadakan diri anda di tempat yang hijau berhun=bungan dengan alam sekitar semula jadi, dapat melegakan tahap tekanan dengan sendirinya.

Tak payah nak masuk duduk dalam hutan kalau tak boleh. Sekadar duduk di dalam bandar juga tapi suasana kehijauan dan alam sekitar semula jadi dipelihara dan disemarakkan dengan baik sudah memadai untuk kurangkan tekanan dalam jiwa anda.

Kalau anda kaki bersenam, elakkan pergi kayuh basikal mesin dalam bangunan penuh cermin tu. Elok pergi jalan kaki atau jogging kat taman yang ada pokok, anak sungai atau tasik buatanpun tak apa.

Jadi elakkan dan jauhkan diri anda dari batu. Dekatkan diri kepada tempat yang terpelihara alam sekitarnya, kurang ditebang pokok yang rimbun dan lain-lain lagi yang menunjukkan alam sekitar diutamakan di situ. Insyaallah anda akan kurangkan tekanan hidup walaupun masalah tetap ada.

Jika ada polisi orang politik yang menjadikan pemeliharaan alam sekitar dan menjadikan bandar yang hijau dan berazam tidak merosakkan muka bumi pilihlah mereka.

Jika polisi mereka adalah untuk membangunkan negara dengan meminimumkan kerasakan alam sekitar, pilihlah mereka. Orang politik itu mungkin faham bahawa tekanan hidup bukan dapat diatasi dengan bangunkan batu di seluruh tanah Malaya sampai semua pokok ditebangnya. Kerja mungkin banyak dan duit mungkin senang cari. Tapi kalau hari-hari terperangkap dalam batu buatan, tekanan hidup akan tetap tinggi dan mengundang lebih ramai orang untuk bunuh diri walaupun dia banyak duit.

Polisi kurangkan tekanan hidup

Maaflah jika anda rasa tak selesa saya sebutkan bab politik sikit dalam artikel kali ini.

Tapi kena cakap juga sebab baang PRU 14 terasa amat panas sangat sekarang. Jadi macam tak normal pulak kalau saya tak sebut lansung.

Sekurangnya artikel ini memberikan sedikit idea untuk anda buat keputusan dalam memangkah pada 9 Mei 2018 nanti. Moga idea yang saya utarakan dapat membantu anda membuat penilaian samapada polisi yang orang politik janjikan benar-benar nak membantu rakyatnya kurangkan tekanan hidup atau tidak.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge