Ingat tak, bila kali pertama anda mula berpuasa di bulan Ramadan?

Terus terang, saya memang tak ingat lansung. Entah bila agaknya saya mula berlatih puasa bulan ramadan masa zaman kanak-kanak dulu.

Sedar-sedar, dah tua sekarang. Bulan Jun ini dah masuk 50 tahun saya lalui pengalaman berpuasa di bulan ramadan.

Syukur pada Allah yang kurniakan kehidupan, sampai umur yang saya ada sekarang. Samada sempat saya lalui berpuasa sekali lagi di bulan ramadan untuk kali ke 51, memang tak ada siapa yang tahu.

Apa yang boleh saya kenangkan hanyalah apa yang dah dilalui sebelum ini.

Itulah yang nak cuba saya tulis kali ini.

Dah jemu rasanya tulis pasal bisnes tak habis-habis. Motivasi juga dah agak membosankan. Dah ada banyak blog muncul yang saya rasa jauh lebih baik dari blog ini dalam bab ilmu berbisnes dan ilmu motivasi.

Nak fokus tulis pasal apa pulak saya sendiri tak berapa pasti sekarang.

Rasanya nak lebihkan kepada bab hidup ringkas pulak selepas ini. Kalau anda ada idea yang mahu disebarkan berkenaan hidup ringkas, bolehlah bantu saya berikan idea tersebut. Atau boleh buat artikel dan hantarkan kepada saya di mohdshubhi@gmail.com untuk kita siarkan di blog ini kelak.

Kita pergi ke kenangan puasa di bulan ramadan kembali..

Bulan ramadan zaman kanak-kanak

Macam yang saya nyatakan kat atas tadi. Saya lansung tak ingat bila kali mula saya berpuasa di zaman kanak-kanak dulu.

Mungkin ketika darjah 1, 2 atau 3, entahlah. Yang saya ingat memang saya ada berpuasa ketika zaman sekolah rendah dulu kat sekolah Stowell, Bukit Mertajam. Masa tu, saya pernah masuk ke dalam tandas dan hirup air paip ketika berpuasa di bulan ramadan.

Masih dapat saya bayangkan suasana dalam tandas yang bersih di sekolah rendah Stowell Bukit Mertajam dulu. Kepala paip dalam sinki marmar putih itu keluarkan air yang sejuk dan bersih. Minum ketika dahaga puasa, terasa air tu macam ada gula yang manis.

Itu sajalah yang saya buat, minum. Tak makanpun. Tak ada siapa yang tahu betapa leganya belasah air paip yang sejuk tu di dalam tandas.

Satu lagi aksi tipu puasa masa zaman kanak-kanak dulu yang saya ingat adalah ketika tak tahan tengok lepat pisang duduk dalam periuk tersusun cantik.

Masa sahur tak sempat nak makan lepat tu, dan bila dah siang, semakin lama nampak semakin menyelerakan. Bila mak tak ada saya ambil seketul dan makan cepat-cepat… lega rasanya.

Macam itulah puasa ketika kanak-kanak. Sekali sekala tewas. Puasa lebih kepada taat arahan orang tua saja. Juga untuk kecapi nikmat berbuka puasa sekeluarga di waktu magrib nanti.

Kalau tipu puasa memang tak ada nikmat lansung ketika berbuka. Rasa tewas dan lemah diri. Rasa menyesal kenapa tak dapat nak tahan tadi, membuatkan hilang nikmat kepuasan berbuka secara beramai-ramai dengan keluarga.

Rasa bersalah bertambah bila terkenangkan makan makanan hasil penat lelah ibu bertungkus lumus masak untuk anak-anaknya yang disangkakan berpuasa.

Pengalaman tipu itu rupa-rupanya megajar saya berfikir apa yang sebenarnya berlaku.

Kalau tak tipu, tentu tak dapat rasa menyesal. Tak dapat rasa diri lemah menipu diri sendiri. Tak dapat rasa malu berbuka puasa ramai-ramai dengan semua orang lain yang jujur berpuasa.

Kalau tak tipu juga, tentu saya tak dapat rasa bagaimana sayu diri terkenangkan susah payah mak masak, untuk anak-anak yang dia rasa bangga, berjaya selesaikan tugasan berpuasa.

Maka azam untuk bersabar dan cekalkan diri selepas itu timbul dalam benak kepala.

Dan dengan semua pengalaman itu akhirnya membentuk diri saya yang cekal berpuasa sehingga sekarang walau apapun yang berlaku.

Puasa di luar negara

Puasa paling panjang pernah saya lalui adalah ketika berada di luar negara.

Selama 5 tahun, 5 kali ramadan berturut-turut saya berpuasa di Perancis. Kena puasa ketika musim panas, memang perit panjangnya.

Musim panas di sana siangnya amat panjang dan malamnya pula amat pendek. Jadi bila kena tahan lapar dari terbit matahari sampai tenggelamnya di waktu magrib, memang jauh lebih panjang dari kat Malaysia.

Tapi alhamdulillah tak ada masalah untuk ditunaikan kewajipan tersebut.

Puasa di perantauan itu juga ajar saya tak banyak songeh dengan makan. Bersahur dengan segelas air susu dan 2 atau 3 biji kurma sudah jadi perkara biasa. Malah berbuka dengan Quaker Oats campur susu panas juga dah jadi perkara biasa.

Masa berpuasa kat luar negara juga bermulanya kesedaran nak baca Al-Quran. Tapi malangnya bila buka Quran merangkak-rangkak nak habiskan sebaris ayat. Baru sedar yang selepas selesai qatam Quran, qatam betul-betul. Tak buka-buka lagi.

Di situ bermulanya usaha untuk lancarkan semula bacaan. Saya minta kawan berbangsa Arab ajar dan betulkan bacaan. Dan akhirnya membaca Al-Quran jadi amalan rutin sehinggalah merebak kepada membaca habis terjemahan dan tafsiran Al-Quran.

Buka puasa dengan marka

Rasanya bab buka puasa dengan marka ini memang satu pengalaman yang susah nak cerita. Seronok dia memang lain macam. Maklumlah berduaan satu meja, berdepan merenung mata berbual sambil tunggu masuknya waktu magrib.

Orang penuh dalam kedai memang tak terasa lansung. Hakikatnya, lapar dan dahagapun tak dirasakan juga. Semua yang diingini ada depan mata. Tak makan tak minum memang tak ada apa-apa selagi dapat berbual dan duduk bersama.

Itulah yang saya rasa dari pengalaman sekali dua buka puasa dengan marka. Itupun salah satunya, marka setuju untuk ambil hati saya yang dianggapnya terlalu baik atau bendul. Dan masa berbuka itu juga dia beritahu yang saya lansung tak sesuai dengan dia. Bedebah betul habis duit belanja buka puasa untuk dikecewakan pula.

Walau apapun, yang saya belajar dari buka puasa dengan marka ini adalah, ianya satu amalan yang sia-sia. Amalan berpuasa itu sendiri tak seiring dengan berpacaran berduaan buka puasa dengan marka.

Lebih baik tunggu hari tak puasa untuk keluar makan dengan marka, makan tengahari atau malam, daripada berbuka puasa dengan marka di bulan ramadan.

Berbuka di masjid jika musafir

Kalau keluar kawasan atas urusan kerja, maka masjidlah yang akan jadi tempat singgahan berbuka saya. Amat jarang untuk saya pergi cari kedai makan buat berbuka.

Berbuka kat masjid memudahkan segala urusan beribadah lain.

Biasanya selepas berbuka, boleh terus magrib berjemaah. Selepas itu kalau tak cari kedai mamak melepak sekejap, boleh duduk kat masjid tunggu waktu insya dan seterusnya solat tarawih.

Memang berbuka di masjid jika bermusafir adalah amalan yang paling saya suka.

Masa itu juga saya dapat rasakan bagaimana jadi orang yang susah yang ambil manfaat dari kemurahan hati manusia menjamu berbuka.

Saya pernah berbuka di Masjid di Kuantan. Sampai lambat dan kebetulan semua hidangan makanan dah kena ambil. Saya duduk bersila buat muka sedih tunggu magrib masuk sedangkan kat depan tak ada apa-apa makanan.

Saya lihat semua orang dah sapu semua makanan untuk diri masing-masing. Malah ada yang ambil lebih dari sebungkus pun. Dalam keadaan semua tahu yang saya tak ada apa-apa makanan, seorang pun tak sudi hulur dan kongsikan makanan mereka.

Memang lapar betul mereka. Nasib baik saya ada bawa air mineral. Baki air yang ada dalam botol kecil itulah saya berbuka. Dan hari itu saya berbuka dengan air suam itu saja sehingga selesai solat magrib. Lepas itu terpaksa pergi cari kedai makan untuk alas perut.

Itu pengalaman yang amat perit. Tapi nasib baik saya bukannya tak ada duit. Bayangkan jika saya insan dalam kesukaran tak ada apa-apa dalam poket. Alamat berlaparlah saya kat kuantan tu. Itulah yang dapat saya selami dari pengalaman yang menimpa.

Balas dendam di Masjid di Perak

Kemudian dalam masa yang lain, saya berbuka di sebuah masjid di negeri Perak. Mereka hidangkan nasi beriani hari itu. Orang ramai penuh dan semua lauk habis. Saya sempat ambil seketul daging dan seketul ubi kentang. Itupun dah kira lazat.

Kemudian datang seorang abang. Dia hanya dapat nasi beriani saja dan sedikit kuah daging. Itupun saya lihat dia tak kisah dan nampak riak muka lega penuh kesyukuran padanya. Semua orang lain sedang asyik pulun makanan masing-masing tak peduli orang lain lagi dah.

Pengalaman kena buat tak tau dari orang ramai mengajar saya untuk buat tahu pada abang tersebut. Saya bahagikan daging kecil yang saya ada, belah dua ubi kentang dan saya masukkan ke dalam pinggannya.

Dia terkejut dan mahu menolaknya. Saya kata tak apa, kita sama-sama rasa nikmat yang Tuhan berikan. Dan air mata saya memenuhi kelopak mata bila saya lihat air matanya menitik dengan perbuatan saya itu.

Memang tak sia-sia semua pengalaman terkena yang ditempuhi sebelum ini. Dapat saya gembirakan orang yang tahu apa itu makna mendapat simpati dari orang lain.

Sebenarnya banyak lagi yang nak diceritakan tentang pengalaman puasa ramadan ni. Yalah ! 50 tahun pengalaman puasa ramadan, tentu ada banyak cerita kan. Tapi cukuplah setakat ni dulu buat kali ini. Moga dapat manfaat buat yang membacanya.

Selamat menyambut syawal

Mungkin ini artikel akhir bulan puasa ini.

Jadi saya ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut syawal dan selamat menyambut hari raya aidilfitri pada semua pembaca.

Total
9
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge