Saya sambung siri ke-2 tentang 5 angka wajib untuk ukur perkembangan perniagaan yang sedang anda jalankan.

Kalau anda terlepas baca artikel yang pertama dalam bab ukur perkembangan perniagaan ini, sila pergi baca lekas.

Lepas itu baru sambung artikel ini supaya anda lebih faham dan mudah hadam.

Klik kat sini untuk baca artikel siri pertama tersebut.

Saya dah kongsikan 3 angka pertama yang wajib anda usahakan untuk mendapatkan ukuran. Dengan berbuat demikian anda dah menapak ke satu langkah penting untuk ukur perkembangan perniagaan anda.

Dan seterusnya, dari angka-angka tersebut, anda boleh merangka strategi untuk kembangkan dan tingkatkan perniagaan anda.

3 angka awal ukur perkembangan perniagaan

Saya ulang semua 3 perkara tersebut;

  1. Berapa ramai orang dah tahu tentang kewujudan perniagaan anda
  2. Berapa ramai dari yang tahu itu jadi pelanggan anda
  3. Berapa ringgit secara purata setiap pelanggan berikan duit kepada bisnes anda.

Mudah bukan?

Mudah untuk diceritakan.. saya tahu!

Tapi agak sukar untuk dilaksanakan.

Bayangkan kalau anda buat bisnes jual nasi lemak depan jalan di taman tempat anda tinggal. Macam mana agaknya nak ukur berapa orang yang dah tahu anda berniaga kat situ?

Tapi kalau nak maju, itulah yang menarik untuk anda selesaikan. Itulah idea yang perlu anda cari atau tanya dari kawan-kawan yang anda rasa lebih geliga otaknya.

Angka tak perlu tepat sangat dalam bab berapa ramai yang tahu tu.

Kreatif sikit buat andaian. Mungkin anda boleh kira berapa rumah ada di keseluruhan taman tersebut. Atau anda boleh anggar berapa ramai yang biasanya lalu kat jalan tu dalam tempoh anda berniaga dari pagi sampai tengahari.

Ok! kita tinggalkan sebentar pelajaran dari artikel yang lalu tu.

Sekarang saya sambung lagi 2 perkara yang penting untuk ukur perkembangan perniagaan yang sedang anda jalankan tu.

#4. Berapa kerap pelanggan anda beli

Kalau sebelum ini anda dah ukur berapa, secara purata, setiap pelanggan berbelanja dalam bisnes anda, sekarang perlu pula kira berapa kerap dia ulang beli.

Sebab itu dalam artikel sebelum ini, saya tekankan perlu pastikan anda ukur setiap pelanggan secara unik.

Bergantung kepada perniagaan yang anda jalankan, kekerapan pelanggan ulang beli adalah berbeza. Kalau anda jual nasi lemak, anda boleh ukur dalam tempoh sebulan atau mungkin seminggu. Kira berapa kerap setiap pelanggan anda datang ulang beli.

Bila dah dapatkan kesemuanya, anda perlu buat kiraan purata pulak. Katakan dalam tempoh seminggu ada yang datang 5 kali, ada yang datang 2 kali dan ada yang datang sekali sahaja. Jadi campur semuanya dan kira berapa purata setiap pelanggan tu datang dalam tempoh seminggu.

Kalau anda buta matematik, pergi tanya anak atau adik anda yang darjah 6. insyaallah dia boleh tolong kirakan purata untuk anda.

Macam yang saya kata tadi.

Kekerapan pelanggan ulang beli bergantung pada produk yang anda jual. Kalau anda buat perniagaan jual kereta umpamanya, paling kerap pelanggan datang mungkin 2 kali dalam tempoh 5 atau 7 tahun. Susah nak cari orang sewel yang datang beli kereta kerap-kerap sebulan sekali.

Untuk industri kereta, kenalah buat kiraan dalam tempoh 5 tahun, untuk dapatkan gambaran kekerapan ulang beli setiap pelanggan. Kalau jual rumah pula nak kena kira tempoh 20 tahun sekali.

Itu semua adalah gambaran untuk berikan idea bahawa kekerapa ulang beli adalah salah satu faktor asas yang perlu anda pertimbangkan bila nak buat sesuatu perniagaan.

Kira jumlah jualan yang anda buat

Cuba perhatikan semula semua angka yang saya suruh kira setakat ini. Mula-mula anda kira berapa ramai yang tahu, katakan 1 ribu orang.

Kemudian kira pulak berapa ramai dari yang tahu itu datang beli. Katakan peratus prospek tukar jadi pelanggan adalah sebanyak 20%.

Ertinya akan ada 200 prospek yang jadi pelanggan anda.

Jika seorang belanja RM20 setiap kali datang ke kedai. Anda dah boleh kira berapa kesemua pelanggan anda belanja. Dalam contoh angka yang saya berikan kat atas tu, anda sekarang ada 200 X RM20 = RM2,000

Selepas itu anda dah kira berapa kerap seorang pelanggan tu ulang beli.

Katakan dalam kes jual nasi lemak, purata seorang pelanggan akan datang sebanyak 2 kali dalam tempoh seminggu.

Ada 200 orang datang seminggu, seorang belanja RM20 dan setiap orang akan datang 2 kali dalam tempoh seminggu.

Jadi hasil jualan perniagaan anda dalam tempoh seminggu adalah sebanyak RM4 ribu !

Cuba semak catitan hasil jualan anda dalam buku kira-kira perniagaan anda untuk seminggu berniaga. Anda akan dapat lebih kurang macam itulah hasil jualan.

Nampak tak?

Dengan semua kiraan yang saya suruh buat di atas tadi, ia sebenarnya menceritakan proses dari mula sampai akhir di mana bisnes anda buat jualan. Itulah asasnya dan tak ada apa lagi yang perlu ditambah.

Secara teori, semuanya mudah dan ringkas.

#5. Berapa margin untung bersih perniagaan

Sekarang anda perlu kira perkara paling akhir dan juga perkara paling penting dalam perniagaan yang anda jalankan. Ia melibatkan aktiviti dalaman yang anda boleh kawal sepenuhnya. Tak libatkan pelanggan lagi.

Iaitu peratusan margin untung bersih yang perniagaan anda jana setiap minggu.

Saya andaikan anda dah tahu macam mana nak kira untung bersih perniagaan anda.

Campur semua hasil jualan, tolak kos jualan dan tolak kos tetap. Anda akan dapat untung bersih perniagaan.

Katakan setelah anda buat semua kiraan, dari hasil jualan sebanyak RM 4 ribu seminggu, anda dapat buat RM800 bersih setiap minggu.

Untuk kira margin untung bersih anda perlu bahagikan 800 dengan 4000. Anda akan dapat 0.2

Bila darab dengan 100, anda akan dapat angka peratusan margin keuntungan bersih perniagaan anda tu.

Iaitu 20%

Itu maksudnya bisnes yang ada jalankan buat 20% keuntungan bersih berbanding jualan.

Ukur perkembangan perniagaan anda sekarang

Panjang manapun anda buat kiraan, teruk manapun anda berniaga, akhir sekali, 20% itulah yang anda perlu tahu dan pantau setiap hari, minggu, bulan dan tahun.

Kalau anda ada guna sistem perakaunan, ada kerani yang masukkan semua maklumat invoice dan segala maklumat jualan dan perbelanjaan yang masuk dan keluar ke dalam perniagaan anda, semua itu jadi amat mudah.

Anda boleh semak berapa untung perniagaan yang sedang dijalankan.

Dengan sistem perakaunan, dan dengan ada seorang kerani yang berdedikasi buat semua catitan dan masukkan segala rekod ke dalam sistem, anda dapat semua maklumat sekali gus. Maklumat berkenaan pelanggan, produk apa yang dia beli, berapa ringgit dia belanja sekali beli, berapa kerap dia ulang datang ke premis perniagaan anda dalam tempoh yang tertentu.

Kalau anda buat bisnes kecil-kecilan, terpaksalah buat secara manual kesemua itu. Manual atau sistem, yang pentingkan kena buat.

Kalau tak tahu tolong belajar.

Bukannya susah sangat pun. Tak perlu masuk Universiti untuk kira untung dan rugi.

Tingkatkan untung bersih perniagaan anda

Macam mana nak tingkatkan keuntungan bersih perniagaan anda?

Paling asas, anda perlu mulakan dengan mengukur berapa yang anda buat sekarang. Macam contoh yang saya terangkan kat atas tadi, saya berikan peratusan margin untung bersih perniagaan anda adalah 20%.

Ertinya, dalam setiap RM1 jualan yang anda buat, ada 20 sen untung bersih masuk ke dalam akaun perniagaan anda.

Sebab itu saya suruh ukur MARGIN !

Tak kisah berapa hasil jualan yang anda buat, margin sepatutnya tak ada perubahan.

Samada anda jual RM4 ribu seminggu, atau RM10 ribu seminggu, kalau betul kiraannya, margin anda tetap lebih kurang dalam 20%. Kalau lari jauh, tentu ada yang tak kena dengan perniagaan anda tersebut.

Itu perkara paling awal yang anda perlu pantau sekarang.

Semak semula semua data sebelum ini, Tengok balik bulan lepas, dua bulan dan sampai ke 6 bulan lepas. Betulkah margin keuntungan perniagaan anda adalah 20%.

Atau mungkin peratusan margin naik turun macam yoyo. Tak tentu hala dan tak stabil. Jika itulah keadaannya, itulah kerja pertama yang anda perlu selesaikan sekarang.

Buat analisa dan cari punca kenapa margin untung bersih anda tidak stabil. Cari punca dan selesaikan supaya ianya lebih stabil dan anda boleh kawal perniagaan itu.

Ukur perkembangan perniagaan berterusan

Saya ingatkan artikel ini akan pendek saja. Tapi nampaknya, apa yang nak saya sampaikan masih belum habis, tapi dah lebih dari seribu perkataan dah saya taip.

Saya dah terangkan kesemua 5 perkara penting yang anda wajib ukur dalam perniagaan.

Apa saja perniagaan anda, kesemua 5 perkara asas itu adalah sama sahaja. Yang akan membezakan bila nak buat peningkatan nanti adalah strategi yang boleh digunakan bergantung kepada jenis perniagaan.

Kalau anda jenis yang mudah belajar sendiri hanya dengan bacaan, artikel ini perlu saya tambah sikit saja lagi untuk anda lebih faham kemudian mula buat perlaksanaan. Kalau yang cekap tu tentu dah boleh tangkap macam mana nak majukan perniagaan anda tu.

Tapi jika anda jenis yang suka belajar secara DIY, memang amat perlukan seorang mentor atau coach perniagaan. Pergi cara mentor atau coach yang ada ramai kat luar tu terutamanya dalam FB, tanya berapa harga untuk mereka bimbing dan pantau kesemua perkara yang saya terangkan kat atas tu.

Atau anda boleh berhubung dengan saya sendiri kalau nak saya yang jadi mentor atau coach anda.

Kalau anda rasa berkenan nak pakai khidmat saya, kita boleh atur sesi bimbingan secara 4 mata selama 6 bulan. Kita boleh mula belajar buat semua aktiviti tingkatkan perniagaan itu bersama, sebulan sekali, sampai anda fasih dan tahu bagaimana nak teruskan ukur perkembangan perniagaan secara berterusan.

Saya stop kat sini dulu.

Nanti saya buat satu lagi sambungan artikel bagaimana nak guna kesemua 5 ukuran yang saya dah kongsikan kat atas tadi dan juga dalam artikel yang pertama dulu.

Sebelum itu saya berikan sedikit panduan. Ideanya mudah saja. Anda hanya perlu fikirkan bagaimana nak naikkan kesemua angka yang anda dah ukur tu.

Untuk kerja rumah, saya cabar anda untuk tingkatkan kesemua angka sebanyak 10%

Saya jamin jika anda naikkan kesemua 5 angka tersebut sebanyak 10% setiap satu, untung bersih perniagaan anda akan meningkat sebanyak 61% !!!

Tak mau ka?

Total
11
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge