Anda dah berniaga?

Kalau dah berniaga, artikel ini sangat relevan untuk anda.

Bukan setakat relevan, malah amat penting untuk dihadam sampai faham.

Kalau anda faham apa yang akan saya kongsikan dalam artikel ini, anda akan rasa mudah dan tak akan hilang punca mencari jalan bagaimana nak majukan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang.

Tambah pulak jika baru berniaga. Elok sangat untuk saya dedahkan perkara asas ini.

Namun begitu, ramai yang dah lama berniaga pun sebenarnya tak berapa perasan formula ringkas ini Yang mampu berikan pedoman mudah untuk melayari perniagaannya.

Oleh itu jika anda dah lama berniagapun, sila berikan perhatian pada apa yang saya ak kongsikan ini.

Apa berlaku bila dah berniaga?

Seram sejuk!

Ya! mungkin ini yang sering berlaku bila dah berniaga.

Sebelum berniaga, ketika hanya sekadar angan-angan, semuanya dibayangkan hebat. Rasa idea anda terlalu hebat. Sure berjaya. Tentu tak menang tangan nanti orang berebut nak bagi duit kat anda.

Paling lucu, tak mahu share idea niaga tu dengan kawan-kawan.

Dengan sesiapa saja anda curiga. Takut kalau orang tahu idea niaga anda tu, orang akan libas curi idea hebat tersebut. Jadi diam-diam simpan semua idea tu dalam kepala.

Syok sendiri bila tak ada sesiapa yang cabar segala andaian hebat yang bakal membuatkan anda masuk TV dan keluar majalah serta semua akhbar harian di Malaysia. Semua orang yang pandang rendah keupayaan anda tentu akan terkedu nanti.

Begitulah andaian penuh bunga mengharum yang bersinar dalam benak kepala anda.

Tapi bila dah berniaga, mula rasa seram sejuk.

Awat semuanya yang dibayangkan macam tak jadipun?

Awat duit keluar laju sangat?

Yang masuk pula macam tersekat-sekat jauh terlalu lembab berbanding yang keluar?

Walau macam mana sekalipun yang berlaku, anda perlu relaks dan cuba faham proses perniagaan bila dah berniaga ini.

Berikut apa yang berlaku bila anda dah berniaga.

#1. Siapa yang tahu kewujudan bisnes anda

Bila dah berniaga, ini soalan pertama yang anda perlu khuatirkan.

Berapa ramai yang dah tahu kewujudan perniagaan anda bila dah berniaga tu?

Ambil kertas dan buat anggaran dan kiraan sekarang.

Hanya ada dua kumpulan manusia sahaja di awal permulaan bisnes anda itu. Pertama mereka yang tahu pasal bisnes anda dan keduanya mereka yang tak tahu.

Hakikat yang anda perlu terima adalah, orang yang tak tahu terlalu jauh, amat jauh lebih besar daripada mereka yang tahu. Tak payah nak perasan hebat setakat manapun. Itu hakikat sebenar yang berlaku pada semua perniagaan yang baru bermula.

Itu berita baik sebenarnya.

Bila yang tahu pasal bisnes anda terlalu sedikit, mungkin boleh kira jari, ertinya untuk kenal pasti siapa mereka terlalu mudah. Oleh itu sila buat pemerhatian. Kenal pasti siapa mereka dan bagaimana mereka tahu kewujudan bisnes anda itu.

Anggar berapa ramai jumlah mereka.

Contoh mudah:

Kalau premis bisnes anda tepi jalan. Berapa ramai orang yang lalu lalang setiap hari depan kedai anda tu?

Itulah jumlah mereka yang tahu kewujudan anda.

Jumlah atau angka tersebut merupakan perkara pertama yang anda perlu cuba ukur dan buat anggaran.

#2. Berapa ramai yang jadi pelanggan

Kalau tadi anda dah buat anggaran berapa ramai yang tahu kewujudan bisnes anda. Sekarang anda perlu kira pula berapa ramai yang berjaya anda jadikan pelanggan.

Ertinya, mereka yang tahu pasal bisnes anda dan mereka tertarik untuk datang dan seterusnya yakin lalu keluarkan duit dari poket mereka untuk mencuba apa yang anda jual.

Anda telah berjaya tukarkan prospek kepada pelanggan.

Berapa ramai jumlahnya?

Jumlah tersebut diperlukan untuk mendapatkan satu lagi angka yang amat penting dalam perniagaan anda.

Katakan dalam sehari, anda berjaya kumpulkan seramai 100 orang pelanggan. Dalam anggaran anda di atas tadi, katakan seramai 1000 orang tahu kewujudan anda sebab mereka sentiasa lalu pergi dan balik depan premis perniagaan anda.

Dari semua angka tersebut anda boleh dapatkan angka yang dipanggil nisbah peratusan pertukaran jadi pelanggan berbanding prospek.

Dalam contoh yang saya berikan, nisbah tersebut adalah 100/1000. Dalam peratusan ianya bersamaan dengan 10%

Ertinya dalam 1000 orang yang tahu anda wujud, anda berjaya tukarkan seramai 100 orang menjadi pelanggan. Itu merupakan angka kedua yang anda perlu simpan dan pantau baik-baik untuk aktiviti memajukan perniagaan anda supaya lebih baik.

#3. Berapa nilai belian mereka

Kalau tadi anda dah ukur berapa ramai berjaya dijadikan pelanggan, sekarang anda kena perhatikan pula berapa secara purata, pelanggan anda berikan duit pada perniagaan anda

Penting!

Nampak tak betapa pentingnya catitan dalam perniagaan.

Anda perlu cari jalan untuk buat kesemua catitan tersebut bila dah berniaga. Jangan main-main dengan aktiviti mencatit ini kalau mahu pergi jauh.

Anda boleh kira dengan mudah berapa ringgit purata setiap pelanggan berbelanja membeli produk atau servis anda jika setiap nilai jualan dicatit. Orang putih sebut ‘sales’. Itulah duit yang masuk ke dalam perniagaan anda.

Anda perlu tahu berapa hasil jualan perniagaan anda itu setiap hari atau bulan.

Dalam contoh yang saya berikan kat atas tadi, kalau pelanggan anda adalah seramai 100 orang sehari, anda hanya perlu bahagikan jumlah sales dengan jumlah pelanggan yang ada.

Katakan jumlah jualan anda adalah RM2000 sehari.

Maksudnya, setiap pelanggan, secara purata belanja sebanyak RM20 seorang untuk satu hari.

Nota:

  • Pastikan jumlah 100 pelaggan yang anda catit atau pantau itu adalah orang yang berlainan.
  • Penting untuk perhatikan dan kenal setiap pembeli supaya anda boleh ingat pelanggan anda itu. Berikan identiti pada setiap pelanggan anda supaya anda boleh ingat dan pantau.

Ada lagi 2 angka yang anda perlu ukur selain dari apa yang saya dah kongsikan dalam artikel kali ini. Saya akan sambung lagi pada artikel selepas ini untuk lengkapkan 5 perkara yang anda perlu ukur untuk memudahkan aktiviti memajukan perniagaan anda.

Untuk sementara waktu ini, anda hanya perlu ingat, cari jalan untuk mendapatkan ketiga-tiga angka yang saya sebut kat atas tadi.

Kalau anda masih berniaga secara koboi, tanpa membuat sebarang catitan angka, pastikan anda mula ubah cara koboi tersebut. Selagi itu tidak anda laksanakan, jangan berangan-angan untuk memajukan perniagaan anda dengan mudah dan berkesan.

Semua kiraan itu adalah matematik mudah. Anda tak perlu lulus universiti untuk buat semua kiraan itu. Tak perlu masuk kursus diploma perniagaan, ambil diploma akaun, atau lain-lain seumpamanya untuk amalkan semua itu.

Lulusan darjah 6 pun mampu lakukan semua kiraan tersebut. Apa yang saya kongsikan adalah maklumat yang berorientasikan ilmu praktikal dalam perniagaan. Oleh itu tak perlu risau dan rasa kecil jika anda tidak belajar tinggi.

Saya ulang 3 angka pertama yang anda wajib ukur dan catit bermula dari sekarang:

  1. Berapa ramai orang dah tahu pasal perniagaan anda
  2. Berapa ramai dari yang tahu itu berjaya anda jadikan pelanggan
  3. Berapa ringgit setiap orang belanja secara purata membeli apa yang anda tawarkan.

Insyaallah sambungan akan menyusul kemudian kalau saya panjang umur.

Bila dah habis nanti, anda tentu akan tersenyum. Sebab anda akan sedar betapa mudahnya mencari jalan untuk majukan perniagaan anda jika anda faham 5 ukuran yang penting ini dalam apa saja perniagaan.

Total
19
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

  1. Orang di negara barat suka kongsi kejayaan dan cara-cara mereka dengan berbuka kepada semua orang supaya dapat membantu orang lain untuk berusaha dan berjaya dalam perniagaan juga. Inilah semangat yang kita perlu belajar daripada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge