Semua orang tak dapat lari dari dunia jualan.

Secara terus atau tidak, anda sentiasa berhadapan dengan situasi menjual. Anda mungkin menjual barang sebagai seorang usahawan.

Mungkin juga anda mahu menjual perkhidmatan.

Atau menjual idea anda kepada kawan, boss, pasangan, anak-anak, jiran, orang tua dan siapa saja.

Ramai orang dengan yakin, percaya yang dia tak pandai menjual. Mungkin anda salah seorang dari mereka. Tapi sedar atau tidak, anda sampai ditempat anda sekarang setelah melalui seribu satu aktiviti menjual.

Ada jualan yang gagal. Ada juga jualan yang berjaya.

Tak ada orang yang berterusan gagal dalam aktiviti menjualnya. Begitu juga tak ada orang yang berjaya dalam kesemua aktiviti menjualnya.

Bakat bukan penentu samada anda boleh berjaya sebagai seorang penjual atau tidak. Tapi latihan yang betul sudah pasti akan membantu anda menjadi seorang jurujual yang baik.

Berikut saya kongsikan 7 perkara yang anda perlu sentiasa ingat dalam dunia jualan. Baca dan hadam.

Terjemahkannya berdasarkan kedudukan anda sekarang. Samada anda memang seorang jurujual atau seorang pekerja yang makan gaji, seorang pelajar, seorang kawan, seorang suami atau isteri, seorang anak atau ayah, seorang adik atau abang atau kakak.

Jualan anda insyaalah lebih mudah untuk mencapai sasaran jika sentiasa berpegang kepada 7 perkara yang disenaraikan di bawah ini.

#1. Pembeli buat keputusan untuk faedah dirinya sendiri

Bila anda tawarkan produk atau perkhidmatan atau idea, fokus kepada manfaat yang pembeli akan dapat. Semua cerita yang anda sampaikan wajib berkisar tentang pembeli dan bukan tentang diri anda.

Kebanyakan jualan gagal disebabkan anda fokus pada diri anda sendiri. Bukan kepada pembeli. Siapa nak beli produk atau khidmat atau idea yang berat sebelah macam itu?

Jika anda nak minta izin pada ibu untuk keluar rumah, fokus jalan ceritanya yang memberikan pemahaman bahawa ada manfaat kepada orang tua anda. Insyaallah dia tentu dengan bangga akan memberikan keizinannya.

#2. Jangan buat andaian pembeli setia akan kekal setia

Andaian begitu membuka ruang luas untuk pesaing mencuri pembeli setia anda.

Pembeli setia mudah saja untuk berubah jika anda buat sikap sambil lewa sehingga dia rasa anda tidak ambil peduli tentangnya. Meletakkan diri anda dalam zon selesa tidak pernah membantu untuk menghalang pelanggan anda lari kepada pesaing.

Mentang-mentang ibu anda sentiasa izinkan anda keluar, anda anggap itu akan berlaku kekal selamanya. Lalu anda ambil sikap sambil lewa dan tidak berjaga-jaga terutamanya dalam hal menjaga hatinya.

#3. Bakal pembeli ada kalanya tidak berterus terang

Ketika anda betemu dan berbincang dengan prospek atau bakal pembeli, bukan selalu dia akan berterus terang. Dia akan cakap lain sedangkan dalam hatinya berbeza.

Oleh itu pastikan anda peka kenal pasti kata-kata yang tidak keluar dari mulutnya. Lihat gerak tubuh mereka, intonasi dan segalanya.

Jika perlu, bersedia untuk bertanya soalan tidak selesa untuk mendalami keadaan sebenar.

#4. Berjaya buat perbentangan kes hanya sebahagian kecil dari proses menjual

Jika anda nak berjaya menjual, kerjanya jauh lebih banyak dari mendapatkan peluang buat pembentangan.

Perlu buat kajian dan mencari banyak maklumat terlebih dahulu. Perlu kerja keras bina perhubugan yang baik dengan bakal prospek sebelum semasa dan selepas pembentangan.

Jika anda hanya fokus ketika buat pembentangan, mendapat respon yang sangat baik ketika pembentangan, lalu rasa dah berjaya. Itu memang satu andaian yang tak bijak.

Dalam contoh anak yang nak minta izin ibunya untuk keluar, proses memahami kehendak ibunya, perangainya dan lain-lain seumpamanya adalah wajib. Kena buat sebelum semasa dan selepas selesai minta izin. Ambil hati dia sebelum, semasa dan selepas. Baru boleh tutup kes.

#5. Jangan buat janji palsu

Ini asas kepada kualiti. Berikan apa yang anda dah janji. Maka produk atau khidmat atau idea anda akan jadi berkualiti.

Jika anda berikan lebih sedikit saja daripada yang anda janji, anda naik jadi cemerlang.

Tapi jika anda kurang sikit saja, orang utara kata ‘satu hun’ saja. Terus anda jadi conman. Penipu tak boleh diharapkan. Silap hari bulan jadi ‘viral’.

Salah faham juga boleh memberikan ruang kepada anda, dikecam sebagai penipu. Jadi berikan penerangan yang jelas, tidak berbelit dan tidak mengelirukan. Pastikan pembeli faham sebagai mana anda faham.

Sebab itu semua pengambil order di rangkaian makanan segera antara bangsa wajibkan proses ulang semula order. Semua itu untuk lelakkan salah faham.

Dalam kes ibu anda tadi, anda sendiri tahu akibatnya jika anda beritahu nak pergi main bola sepak di padang, tapi pergi tengok wayang!.

#6. Cakap buruk tentang pesaing sangat tidak bijak

Jangan amalkan sikap macam tu untuk buat jualan. Jangan tonjolkan kebaikan produk anda berdasarkan keburukan pesaing.

Dalam dunia perniagaan, kualiti produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan adalah subjektif. Bergantung kepada apa yang pelanggan mahu. Kalau apa yang dia mahu ada pada produk anda, maka berkualitilah.

Jadi tak ada produk yang lebih berkualiti jika dibuat perbandingan antara A dengan B secara zahirnya. Kereta proton tidak semestinya berkualiti rendah berbanding BMW.

Kalau semua syarat minima yang pelanggan mahu ada pada proton, maka dimata pelanggan berkualitilah dia. Jadi tak guna dok cerita benda buruk tentang BMW.

Jika cerita buruk tentang pesaing adalah tidak bijak, cerita buruk tentang pelanggan pesaing pulak adalah kerja ‘bodoh piang’. Anda memang sengaja mahu pelanggan kekal tak mencuba produk anda.

#7. Jangan berpesta awal sebelum ke garisan penamat

Selagi pelanggan tak buat pembelian, itu belum habis cerita lagi. Bila dah buat pembelianpun, masih belum habis cerita lagi. Masih ada kerja after sales yang perlu diselesaikan.

Jadi jangan berpesta awal sebelum ke garisan penamat. Anda mungkin dedahkan diri kepada kemaluan besar jika mengamalkan sikap berpesta awal sebelum masanya. Macam-macam boleh berlaku. So relaks, tangguh dulu dan pastikan semua selesai terlebih dahulu.

Selesai semua 7 perkara yang anda perlu ambil perhatian dalam dunia jualan. Mungkin ada banyak lagi garis panduan yang perlu anda cari. Tapi setakat itu saja yang saya dapat gariskan kat sini.

Ini garis panduan yang khas untuk ingatkan diri saya sendiri. Saya tulis dan kongsikan untuk semua moga ada manfaatnya.

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge