“Bagaimana cara untuk naikkan jualan setelah dah belajar uruskan kewangan?”

Itu soalan yang salah seorang pembaca blog ini utarakan.

Dia tanya soalan itu setelah baca artikel yang saya tulis pada 10 Oktober 2016 dulu.

Tajuk artikel lama itu adalah “Tips ringkas urus kewangan perniagaan kecil yang wajib dilakukan”. Buat pembaca yang belum baca lagi artikel tu, sila pergi ke pautannya.

Elok baca artikel itu terlebih dahulu.

Terutamanya jika anda dah berniaga tapi masih tak berapa pasti cara nak uruskan kewangan. Cara uruskan kewangan yang saya kongsikan pada artikel tersebut sangat mudah. Anda boleh buat walaupun sangat fobia pasal akaun atau matematik.

Panduan mudah naikkan jualan perniagaan

Dalam artikel sebelum ini, saya ada kongsikan beberapa panduan untuk pastikan bisnes anda tak ada masalah kewangan.

Dalam artikel itupun ada saya selitkan bagaimana cara nak naikkan jualan dalam perniagaan anda tu. Dengan berusaha untuk naikkan jualan, sudah tentu ia membawa kepada peningkatan tunai dalam perniagaan anda.

Untuk perniagaan yang masih tak lepas titik pulang modal. Dalam ertikata lain, masih tak cukup jumlah jualan, wajib untuk berusaha naikkan jumlah jualan. Kalau tak lepas titik pulang modal, macam mana nak ada untung!.

Oleh sebab panduan untuk naikkan jualan dalam artikel lalu itu sangat asas. Maka saya luangkan sedikit masa untuk kembangkan lebih sikit pasal cara nak naikkan jualan dalam perniagaan anda dalam artikel ini.

Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk naikkan hasil jualan dalam bisnes anda. Jom kita tengok macam mana nak buat.

#1. Tingkatkan jumlah pelanggan baru

Saya rasa cara ini paling popular yang para sifu kita kat luar sana akan ajar.

Kalau selama ini, secara purata, jumlah pelanggan yang datang hanya 100 orang sahaja sebulan, contohnya, maka cuba tambah jadi 120 orang. Maksudnya tambah lagi 20 orang baru.

Untuk tambah lagi 20 orang, anda perlu buat salah satu dari 2 perkara berikut:

  • Tambahkan lagi jumlah orang yang tahu pasal bisnes atau syarikat anda tu. Saya yakin 100% masih ada terlalu ramai yang belum tahu yang bisnes anda wujud. Jika betul caranya, setiap penambahan jumlah orang yang tahu, akan membantu tambah pelanggan yang datang ke bisnes anda.
  • Kalau anda rasa semua dunia dah tahu tentang bisnes anda tu. Tapi hanya 100 orang saja yang beli. Itu bermakna anda perlu perbaiki teknik closed deal. Juga perlu baiki teknik menarik pelanggan yang betul dengan menggunakan teknik buat iklan berdasarkan konsep AIDA.

Semua usaha kat atas tu masuk dalam kategori pemasaran dan pengiklanan.

Bila sebut bab iklan, sudah tentu ada kos.

Anda tentu akan jawab, saya dah kepupusan terus semua baki duit. Dah tak dapat nak korek lagi duit untuk buat pemasaran. Duit yang ada perlu diperuntukkan kepada aktiviti modal operasi sahaja.

Ada cara lain tak selain dari tambah jumlah pelanggan baru?

#2. Tambah jumlah pembelian setiap pelanggan

Ini cara yang tak perlu keluarkan modal.

Anda hanya perlu maniskan muka dan maniskan mulut sahaja.

Dengan buat 2 perkara asas itu saja kepada setiap pelanggan yang datang, anda akan menarik minat setiap pelanggan untuk beli lebih dari niat asal mereka.

Cuba bayangkan suasana ketika anda sedang berniaga nasi lemak dan jual kuih muih di tepi jalan. Ada seorang pelanggan yang memang biasa datang membeli kat kedai tepi jalan anda tu. Dai sedang buka pintu keretanya nak turun untuk ke kedai anda.

Sebaik saja dia buka pintu, anda keloi ke arahnya ..

“Assalamualaikom Bang!” anda sapa sambil tersenyum lebar. Tersangat mesra seperti mendapat seribu like pada posting di FB anda.

“Wah! nampak segar berseri-seri Abang hari ni!”, anda tambah lagi kemesraan dengan pujian. Kesannya akan lebih berganda jika anda seorang perempuan yang bersih penampilannya dan anggun perwatakannya.

Oleh kerana anda tahu dia tak pernah beli kuih. Hanya beli nasi lemak sahaja selama ini. Anda pasang strategi untuk pecahkan tradisi kemut duit yang ada pada abang itu.

“Kuih ni selalunya yang paling awal habis Abang!. Ramai sangat yang suka. Memang sedap”, itu ayat jujur yang anda kongsikan maklumat pada abang hensem tersebut.

Anda akan berjaya tingkatkan jumlah perbelanjaan kepada majoriti besar setiap pelanggan yang selalu datang ke kedai anda itu dengan kadar segera. Semuanya berlaku tanpa sedikitpun keluarkan duit.

Mungkin keluar duit sikit sebab anda tenyeh gincu mahal pada bibir anda yang muncung tu. Yang selama ini anda biarkan natural tanpa gincu.

#3. Tambah kekerapan pelanggan datang

Ini juga satu lagi cara yang anda boleh buat tanpa keluarkan kos.

Jika pelanggan biasanya datang sekali saja dalam sehari. Setiap pagi sahaja contohnya. Anda boleh likat setiap pelanggan supaya datang sehari 2 kali atau lebih.

Sama juga macam kes kat atas tadi. hanya perlu manis mulut dan manis muka sahaja. Beritahu kat abang tadi kedai anda sebelah petang pun buka.

“Petang pun ada buka kedai ni bang. Lagi banyak kuih muih sebelah petang” itu ayat mula ketika dia sedang hulurkan wang.

“Tengahari saya balik sebentar. Tukar pakaian yang sesuai sikit dalam keadaan cuaca panas ni. Dah comel, datang balik untuk sesi petang”

“Datanglah sekali sekala bang tengok suasana petang!, bawa kawan-kawan”, tambahan sambil menjeling manja. Pegang lama sikit duit tu ketika menghulurkan padanya.

Abang yang hanya datang sekali sehari tu, berkemungkinan akan datang dua kali selepas ini.

Itu semua hanya contoh sahaja. Jika anda rasa itu cara yang gatal, carilah idea lain yang tak nampak gatal. Saya buat macam itu sebab nak bagi anda nampak betapa mudahnya nak naikkan jualan tanpa keluarkan sebarang kos.

#4. Tingkatkan jualan produk paling mahal

Ini juga satu dari strategi yang anda boleh buat dengan mudah. Sasarannya masih sama. Pada pelanggan yang dah memang biasa datang sahaja.

Anda tentu tahu mana satu produk paling mahal dan mana satu produk paling murah. Dengan ubah susun atur produk yang ada sahaja, anda bakal merubah keseluruhan hasil jualan.

Katakan kedai runcit anda ada banyak rak.

Susun kesemua produk paling mahal anda pada paras kedudukan mata. Dan susun kesemua produk paling murah anda ke kedudukan paling bawah. Lagi murah lagi bawah sampai tersorok kena tunduk baru nampak.

Boleh juga letak tinggi kena langut baru nampak.

Susun juga produk paling mahal anda di sekeliling tempat pelanggan berjalan nak bayar. Supaya mudah dia capai dan letak atas kaunter ketika nak bayar.

Semua ini akan bantu tingkankan hasil keseluruhan jualan dalam perniagaan anda secara drastik. Sebab jualan produk mahal akan naik. Jualan produk murah akan kekal atau kurang sikit. Jumlah pelanggannya masih tetap sama.

Cuba naikkan jualan sekarang

Saya hanya berikan sedikit panduan mudah yang sangat logik dan terbukti berkesan.

Anda boleh fikirkan lagi idea-idea lain yang praktikal.

Buat dan ukur.

Mana yang berkesan teruskan dan buat penambah baikkan. Mana yang tak berkesan. Hentikan atau ubah sampai berkesan.

Semoga bermanfaat untuk semua !

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge