Macam mana anda nak beli 10 buah kereta sekali gus yang kesemuanya dalam keadaan baik dan memuaskan hati?

Jika anda ada terlalu banyak duit, cara paling mudah adalah dengan pergi beli kereta baru.

Habis cerita.

Insyaallah, kesemuanya baik-baik belaka. Kondisinya sudah tentu amat memuaskan hati. Kalau ada yang tak kena di sana sini, bawa balik ke kedai dan mereka akan betulkan dengan kadar rsegera. Semuanya masih dalam tempoh jaminan.

Tapi jika anda tak ada banyak sangat duit. Perlu bijak berbelanja dan optimumkan semua duit yang anda ada dalam membuat pembelian. Pilihan lain yang ada adalah beli saja 10 buah kereta terpakai.

Macam mana nak beli 10 kereta terpakai yang baik

Kalau terpaksa beli kereta terpakai, cabarannya lebih berat berbanding beli kereta baru.

Kelebihannya memang ada. Yang paling pasti, anda dapat kurangkan duit atau kurangkan loan kereta dengan amat banyak sekali. Silap hari bulan, boleh kurangkan kos sampai separuh.

Tapi …

Perlu pastikan kereta terpakai yang anda beli itu kondisinya baik.

Itulah cabaran paling besar.

Jadi macam mana nak pastikan anda beli 10 kereta terpakai yang baik kondisinya?

Saya kongsikan 2 cara yang terbaik

Cara #1. Bawa mak saya pergi beli

Ini cara pertama. Cara paling mudah dan sangat menjimatkan.

Anda tentu tanya kenapa nak bawa mak saya pergi beli 10 kereta terpakai? Dia ada kemahiran pasal kereta ke?

Mak saya memang lansung tak ada apa-apa kemahiran pasal kereta. Dia tak boleh bawa keretapun. Jenis kereta apapun dia tak berapa nak tahu.

Kalau anda nak beli kereta terpakai, dah tahu kereta apa, itu sudah cukup untuk bantu bawa mak saya pergi beli 10 kereta terpakai tu.

Cuma kelebihan yang mak saya ada hanyalah satu.

Dia sangat cekap menilai orang samada boleh dipercayai atau tidak. Macam ada satu deria yang sangat sensitif untuk melihat, berurusan dan kenal orang yang dia jumpa dan berurusan tu.

Deria atau instinct dia sangat tinggi ketepatannya.

Saya akan biarkan dia berurusan dan bertemu serta berbual dengan jurujual. Sekali sekala saya akan tanya apa yang saya nak tahu. Tapi jika mak saya nak tanya apa-apa pada jurujual itu, saya akan berikan laluan dengan kadar segera.

Formula yang saya gunakan kat sini untuk beli 10 kereta terpakai yang baik kondisinya adalah dengan menilai jurujual yang menjual kereta tersebut. Fokus ialah pada jurujual atau penjual dan bukan pada kereta.

Tahu kereta apa yang nak dibeli, apa spesifikasinya dah mencukupi. Yang lain ikut apa yang jurujual tu nak gebang.

Cara #2. Bawa 5 jurutera kereta berpengalaman

Ini cara yang baik juga. tapi kosnya juga tentu tinggi. Jurutera tu, 5 orang pulak, harga untuk kemahiran dan masa mereka bukanlah murah. Mereka tak akan buat kerja kebajikan percuma. Apatah lagi saya nak beli kereta syarikat.

Dalam bisnes, tak ada yang percuma. Semuanya ada kos yang perlu dikeluarkan.

Jurutera yang saya bawa akan lebih fokus pada kereta yang nak dibeli. Tak terima sangat apa gebangan jurujual kereta terpakai tu.

Rasanya jurujual tu pun kalau tahu yang saya bawa kesemua 5 orang tu ialah jurutera kereta, dia tentu tak akan cakap banyak dan tak berani nak tembak lebih kurang.

Kesemua jurutera itu akan lihat kereta, cuba pandu, buka sana buka sini dan habis di periksanya kereta yang nak dibeli.

Cara mana satu pilihan anda?

Agaknya, adakah hasil 10 kereta terpakai yang saya beli tu sama atau tidak? Kalau dibandingkan antara apa yang mak saya pilih, dengan apa yang 5 orang jurutera itu tentukan?

Bagi saya, samada saya bawa mak saya atau bawa 5 orang jurutera, hasil kereta yang saya beli adalah lebih kurang sama saja.

Maksudnya, samada mak saya yang bantu, atau jurutera yang bantu, insyaallah 10 kereta terpakai yang saya beli itu baik kondisinya.

Walalupun mak saya fokus pada jurujual atau penjual kenderaan terpakai. Dan 5 jurutera fokus pada kereta untuk pastikan ianya baik. Hasilnya adalah lebih kurang sama.

Mak saya kesan keboleh percayaan penjual kenderaan samada dia jujur atau tidak. Dia akan lihat orang dan keadaan sekeliling kedai yang saya pergi. Dia akan beri tahu apa yang dia rasa. Kalau dia rasa tak boleh pakai, saya akan ikut. kalau dia rasa boleh dipercayai, saya ikut.

Cara mak saya jauh lebih pantas dan hampir tak ada kos. Belanja mak saya makan tengahari saja dah mencukupi.

Jurutera pula, tak perlu dinafikan keupayaan mereka. Tapi makan masa la sikit nak buat pemeriksaan satu persatu. Mahal pulak nak kena bayar.

Kepercayaan asas utama dalam pembelian

Apa yang nak saya cuba fahamkan kat sini adalah tentang kepercayaan dalam perniagaan. Jika anda berniaga, orang beli apa yang anda jual berdasarkan kepercayaan. Anda sendiri beli barang dari penjual yang anda dah nilai secara sedar atau tidak, boleh dipercayai.

Itu kriteria paling penting samada anda sedar atau tak sedar.

Saya sanggup tarik kereta saya yang rosak atas lebuh raya di Pulau Pinang, bawa ke KL untuk dibaiki walaupun kosnya jauh lebih tinggi. Kos tarik dan kos repair tentu lebih mahal di KL berbanding di Penang.

Tapi sebab saya dah percaya pada mekanik yang saya kenal lama di KL, saya sanggup. Bukan sebab dia lebih murah atau lebih bagus. Tapi sebab saya percaya kat dia.

Jurujual main peranan besar bila menjual

Dalam kes nak beli kereta terpakai, bukan semua orang ada kemahiran tentang kereta. Bukan semua orang ada akses untuk cari jurutera pandai tentang kereta.

Majoriti pembeli tak tahu apa-apa sangat bila nak beli barang yang dia mahukan.

Oleh itu, panduan utamanya sebahagian besar dari pengguna, bila nak beli, adalah samada orang yang menjual itu boleh dipercayai atau tidak. Itu cara yang dah berabad lamanya kita semua pakai.

Maka … ambil beratlah bab membina kepercayaan pembeli bila anda nak berniaga. Apa saja perkara yang boleh membuatkan orang nilai anda tak boleh dipercayai perlu dielakkan.

Apa saja unsur-unsur yang membuatkan orang lihat anda cuba nak menipu perlu dihapuskan. Macam satu artikel yang saya buat sebelum ini tentang workshop kereta. Anda perlu bagus dan dilihat bagus, barulah ngam!.

Kalau nak beli handphone, pergilah ke kedai handphone kat mana-mana pasaraya membeli belah. Kedai yang dah lama kat situ, dah bertahun dibuka dan dah banyak pelaburan stok dan premis dihabiskan menunjukkan dia nak berniaga lama kat situ.

Sebarang isu yang boleh cacatkan rasa kepercayaan orang akan membunuh perniagaannya.

Kalau anda beli handphone pada orang atas jalan ketika sedang tunggu bas nak balik kampung, ada kemungkinan besar barang yang anda beli itu ada masalah. Mungkin orang itu jujur. Tapi kalau dia nak menipupun, apa anda boleh buat.

Lagipun orang yang menjual macam itu tak ada apa-apa risiko kerugian sebab dia tak buat apa-apa pelaburanpun untuk dirugikan. Dia ada semua kelebihan untuk menipu.

Rumusannya, orang beli sebab dia percaya. Apatah lagi jika pembelian yang dibuat mengundang risiko tinggi kalau ada yang tak kena nanti selepas dah buat pembelian.

Tak ada orang yang akan ambil risiko beli dari penjual yang dia rasakan tak boleh dipercayai. Melainkan barang yang anda beli itu murah sangat atau tidak undang masalah kesihatan atau keselamatan.

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge