Anda mungkin salah seorang dari mereka yang kaya

By | 23/02/2013

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, bilangan orang kaya di Malaysia pada tahun 2015 akan bertambah dua kali ganda menjadi 68,000 orang. Jumlah orang kaya sekarang adalah seramai 32,000 orang.

Saya tak pasti apa definisi menteri kewangan kita terhadap orang yang dikatakan kaya. Adakah dia mempunyai nilai bersih RM100 ribu, RM1 juta, RM10 juta atau RM1 billion. Nilai bersih adalah nilai sebenar setelah segala aset yang dimiliki ditolak dengan hutang yang ditanggung.

Walau apapun definisi mereka saya tetap dengan kepercayaan bahawa orang yang kaya adalah mereka yang mempunyai pendapatan lebih sedikit daripada perbelanjaan. Serendah manapun pendapatan anda jika pandai berjimat dan mengawal perbelanjaan sentiasa kurang daripada pendapatan, anda hidup sebagai orang kaya.

Bagi pembelian benda-benda yang perlu berhutang, pastikan anda berhutang pada perkara yang nilainya adalah sentiasa menaik dan bukan menurun. Contoh benda yang nilainya menaik adalah hartanah dan benda yang nilainya menurun adalah kereta.

Jika diikutkan takrifan saya, saya yakin masih ramai yang tidak dapat melepasi takrifan mudah tersebut. Masih ramai yang berbelanja melebihi pendapatannya dan berhutang banyak pada perkara yang nilainya menyusut dan tidak membeli aset yang nilainya berkembang.

Oleh itu marilah kita bersungguh-sungguh untuk merangka semula kewangan kita dan berikan komitmen yang penuh bagi merealisasikan cara hidup mereka yang kaya, iaitu berbelanja sentiasa tidak melebihi jumlah pendapatan.

Berikut laporan dari Bernama:

KUALA LUMPUR, (Bernama) – Bilangan individu kaya di Malaysia akan meningkat lebih sekali ganda daripada 32,000 orang sekarang kepada 68,000 orang pada 2015, dengan nilai bersih masing-masing meningkat sebanyak US$140 bilion hingga US$330 bilion.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata bilangan yang mengagumkan ini memberikan keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia. Beliau juga berkata negara ini mestilah membangunkan industri pengurusan pelaburan domestiknya yang boleh mengurus bukan sahaja kekayaan domestik, malah juga kekayaan di peringkat rantau Asia Pasifik.
Ahmad Husni berkata industri pengurusan kekayaan adalah sektor perkhidmatan kewangan paling pantas berkembang di Malaysia dan Asia Tenggara. Dalam hubungan ini, penetapan 2013 sebagai tahun pengurusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah tepat pada masanya, kata beliau pada pelancaran Pengurusan Kekayaan Labuan IBFC 2013 hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan industri pengurusan pelaburan domestik. Mengenai satu perkara berkaitan, Ahmad Husni berkata Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan tinggi tahun ini kerana ia menerima banyak pelaburan.
“Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, pengguna domestik sebenarnya amat kukuh, sumber utama sebenarnya adalah daripada pelaburan orang ramai dan juga pelaburan kerajaan. “Jadi, bagi masa depan, kita yakin kita boleh mengekalkan pertumbuhan tahun ini,” kata beliau, sambil menambah bahawa kerajaan yakin dalam berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi akan berlegar sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge