comfort zoneDalam artikel yang sebelum ini, saya ada senaraikan 10 tabiat ringkas yang anda perlu amalkan kalau nak jadikan diri anda seorang yang berjaya dalam kehidupan. Dan salah satu daripada saranan saya adalah untuk sentiasa berusaha keluar dari zon selesa.

Proses membina kejayaan dalam hidup tidak akan dapat dilakukan seandainya seseorang itu tidak sanggup keluar daripada zon selesa di mana dia sedang berada.

Contoh mudah boleh dilihat kepada impian kebanyakan orang yang nak berhenti kerja makan gaji dan menjadi usahawan. Ramai yang gagal berbuat begitu disebabkan tidak dapat meyesuaikan diri dan meyakinkan diri untuk keluar dari zon selesa.

Ringkasnya, banyak kemajuan akan terbantut hanya disebabkan seseorang itu tidak mahu keluar dari zon selesa.

Oleh itu, jika anda mahu meningkatkan keupayaan diri, menjadi lebih baik daripada tahap yang ada sekarang, anda perlu berlatih untuk menjadi seorang yang tidak takut untuk keluar dari zon selesa.

Latihan untuk menjadikan amalan keluar dari zon selesa sebagai tabiat diri boleh dimulakan dengan melakukan perkara-perkara kecil terlebih dahulu. Bila dah dapat sesuaikan diri dan menyediakan mental yang kuat untuk sentiasa keluar dari zon selesa, lama-lama kelamaan, anda akan mampu melakukan perkara yang jauh lebih besar.

Semuanya hanyalah mainan minda sahaja, dan minda boleh diubah dengan latihan tanpa jemu.

10 latihan ringkas keluar dari zon selesa

Berikut adalah 10 cadangan yang boleh anda lakukan sebagai latihan kecil untuk melatih diri keluar dari zon selesa.

  1. Ubah cara berpakaian – Apa kata sekali sekala anda ubah cara berpakaian yang berlainan daripada kebiasaan anda. Mungkin anda jenis belia 4B yang pakaiannya macam belia berdisiplin dan lurus. Anda boleh cuba ubah pula kepada cara pakaian santai yang berlainan. Begitu juga sebaliknya. Jika anda sentiasa berpakaian santai, cuba pula ubah cara pakaian belia 4B.
  2. Ubah lingkungan kekawan – Jika semua kawan-kawan anda hanya dari kalangan orang Melayu, apa kata ubah pula pergi berkawan dengan bangsa lain. Boleh saja samada bangsa India atau bangsa Cina. Buat jadual untuk rapatkan diri anda dengan mereka sehingga anda mampu merasa selesa.
  3. Belajar bahasa baru – Kalau dah cuba berkawan dengan kenalan berbangsa Cina, misalnya, jadikan agenda belajar bahasa Cina sebagai sasaran. Mungkin anda boleh belajar bahasa Kantonis atau mungkin Hokkien. Atau anda boleh juga belajar berbahasa Inggeris apabila berkawan dengan kawan dari bangsa yang berbeza. Buang saja perasaan tidak selesa, itulah tujuan utamanya.
  4. Belajar subjek berat – Pergi ke MPH atau mana-mana kedai buku lain, beli sebuah buku dalam bab ekonomi dunia misalnya. Kalau anda memang dah pakar dalam bab ekonomi, boleh cuba subjek lain seperti psikologi umpamanya. Kalau anda nak baca bab ekonomi yang menarik boleh cuba beli buku ekonomi yang ditulis oleh Ha-Joon Chang bertajuk, 23 Things They Don’t Tell You About Capitalism.
  5. Cuba sukan baru – Kalau anda masih belum bersenam, mulakanlah bersenam. Jalan kaki sajapun boleh. Tak perlu jauh-jauh, sekadar keliling taman atau kampung tempat tinggal anda. Boleh saja cuba permainan baru seperti Ping-Pong umpamanya. Atau Bolasepak, atau Ragbi. Asalkan ianya adalah sejenis sukan atau aktiviti baru, ianya mampu memberikan latihan untuk keluar dari zon selesa.
  6. Berbual dengan orang asing – Cuba mulakan perbualan dengan siapa saja orang yang anda tak kenal yang anda jumpa di mana-mana. Belajar memulakan perbualan dan belajar untuk jadikan perbualan menarik. Belajar untuk mengenali orang yang anda tak pernah kenal. Pastikan anda berjaga-jaga agar tidak berlaku perkara tidak diingini.
  7. Berikan pandangan setiap kali berbincang – Antara budaya orang kita adalah kurang bertanya, hanya dengar dan angguk. Kalau tak setujupun, hanya akan diluahkan selepas keluar dari majlis. Apa kata anda jangan lepaskan peluang untuk bertanya atau memberikan pendapat setiap kali menyertai perbincangan dan seumpamanya. Buang rasa tidak selesa dan teruskan amalan tersebut sampai anda jadi selesa.
  8. Banyak mendengar – Jika anda jenis yang asyik nak bercakap dan memberikan pandangan sahaja, cuba ubah pula kepada aktiviti banyak mendengar dan cuba memahami pendapat orang lain.
  9. Ubah jalan – Cuba ikut jalan yang berbeza lain daripada jalan yang anda biasa lalui. Mungkin ketika pergi kerja atau mungkin dalam perjalanan lain. Atau anda boleh ubah kenderaan pergi kerja. Kalau biasa naik kenderaan sendiri, cuba pula naik kenderaan awam, begitulah juga sebaliknya.
  10. Ubah menu makanan – Ini paling mudah untuk dilakukan jika anda jenis suka makan kat kedai. Ada banyak pilihan untuk dicuba. Kalau anda jenis memasak sendiripun boleh juga ubah menu. Belilah buku masakan yang berlainan dari kebiasaan anda.

Sebenarnya ada banyak lagi latihan ringkas lain yang anda boleh fikirkan. Semua bergantung pada diri anda sendiri dan bagaimana kebiasaan anda selama ini.

Yang pentingnya, sentiasa buat latihan ringkas yang kecil untuk biasakan diri keluar dari zon selesa. Jika biasa di amalkan, anda akan menjadi lebih mudah untuk menukar haluan hidup daripada makan gaji kepada menjadi usahawan.

Cerita paksa diri keluar dari zon selesa

Masa zaman kanak-kanak dahulu, saya sering pergi solat berjemaah Magrib dan Insya di masjid dengan menaiki basikal.

Untuk ke Masjid, saya terpaksa melalui jalan di belakang sekolah yang amat gelap. Di tengah jalan itu ada sebuah pokok durian yang amat besar dan tinggi. Di sekeliling pokok durian itu pula penuh dengan semak samun dan di belakangnya adalah bendang yang luas.

Orang semua kata kawasan itu keras. Maksudnya, keras dari segi mistik, dan bukannya batang pokok itu yang keras.

Bila semua orang cakap begitu, saya sering ternampak berbagai bayangan berupa lembaga hitam, berada di perdu pokok durian yang besar tersebut. Mungkin sekadar imaginasi saya sahaja. Jadi setiap kali lalu kat situ saya akan kayuh sekuat hati supaya cepat melewati kawasan tersebut.

Bila kayuh, saya terasa seperti lembaga hitam sedang mengejar saya, dan ianya amatlah menyeramkan.

Saya ceritakan pada arwah ayah saya tentang perkara tersebut dan minta nasihatnya apa nak buat ?. Dia kata, bila rasa takut, kayuh perlahan-lahan. lawan rasa takut tersebut. Kalau masih takut, turun dari basikal dan berjalan perlahan-lahan.

Itulah yang saya cuba buat setiap kali melalui kawasan tersebut. Lagi timbul rasa takut lagi saya perlahankan perjalanan. Ada masanya sampai saya berhenti tak bergerak betul-betul depan perdu pokok durian yang besar itu.

Ada sekali saya buat perkara yang sama… tiba-tiba bunyi nyaring yang amat kuat membuatkan saya terkejut besar. Saya campak terus basikal dan lari tak pijak tanah sampai ke rumah. Mungkin Usain Boltpun tak mampu kejar saya masa tu.

Sebenarnya itu adalah bunyi kucing bergaduh. Disebabkan saya memang sedang menguji diri tahan takut, serangan bunyi secara tiba-tiba begitu, mebuatkan saya hilang arah dan lesapkan diri dengan kadar segera.

Tapi itulah latihan yang saya sering amalkan sejak mendapat petua dari arwah orang tua. Banyak lagi perkara lain yang saya cuba selepas itu untuk melawan takut.

Sekarang baru saya sedar itu merupakan latihan untuk belajar keluar dari zon selesa yang ayah saya ajar. Sesungguhnya, ia amat banyak membantu, moga arwah ayah saya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh hendaknya, amin !.

Mungkin anda ada cerita sendiri dalam melatih diri keluar dari zon selesa. Boleh kongsikan kat ruang komen. Kalau anda masih tebal berada dalam zon selesa, boleh mula berlatih dari sekarang.

Selamat mencuba !

Total
36
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. saya sekarang tengah mengikuti beberapa segmen dalam modul latihan sendiri..

    in shaa Allah setelah berjaya akan dipromosi besar-besaran agar orang lain boleh juga menjejakinya..

    selain boleh keluar dari zon selesa ..ia pasti membawa perubahan yang amat positi dalam diri seseorang..
    mrhanafi recently posted…Menanti Bulan Ramadhan Penuh DebaranMy Profile

  2. Sangat santai tips yg tuan cadangkan. Memang bukan senang nak keluar dari zon selesa, tapi bila ada orang yang boleh jadi pemangkin semangat,alangkah bertuahnya.! 😉

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge