fruit-breakfast-1500x1000Ini satu bab pada menyatakan perkara tabiat untuk berjaya….

Jika anda ada impian untuk jadi seorang yang berjaya dalam hidup, anda boleh lakukannya dengan mudah.

Memang ada jalan mudah untuk berjaya dalam hidup, walaupun kebiasaannya, orang kata untuk berjaya itu susah. Yang jadi susah adalah disebabkan anda terlalu taksub untuk buat perkara besar sekali gus.

Jalan mudah untuk berjaya adalah dengan memberikan tumpuan kepada membentuk tabiat yang baik menjadi sebati dalam diri anda. Tak kira walaupun tabiat itu kecil saja dan mudah untuk diamalkan, asalkan ianya satu tabiat yang baik, ia dapat membantu anda untuk berjaya.

Orang yang berjaya menempah kejayaan besar dalam hidup mereka, adalah mereka yang berjaya mengamalkan banyak tabiat kecil yang baik, secara konsisten sepanjang hidup. Jika anda berjaya buat begitu, anda juga bakal menempah kejayaan demi kejayaan yang ingin anda capai.

Untuk mulakan sekarang juga, perjalanan menempah kejayaan hidup anda, berikut saya kongsikan 10 tabiat ringkas untuk dijadikan sebagai amalan dalam hidup bermula dari sekarang.

1. Kemas tempat tidur sebaik saja bangun pagi

Adakah anda biasa kemaskan tempat tidur setiap kali bangun pagi ?

Atau biasanya ada orang lain yang tolong kemaskan untuk anda ?

Jika tabiat ini bukan lagi satu amalan dalam kehidupan, elok anda mulakannya dari sekarang.

Jangan perduli samada ada orang yang akan tolong kemas atau tidak, atau anda ada pembantu rumah yang buat semua kerja tersebut. Bermula dari sekarang andalah yang akan jadi tukang kemas tempat tidur yang anda sendiri gunakan.

Dengan mengamalkan tabiat kemas tempat tidur sebaik saja bangun dari tidur, anda memberikan impak lega dalam hati.

Anda akan rasa puas melihat hasil kekemasan yang anda lakukannya sendiri. Apatah lagi urusan itu menjadi perkara pertama setiap permulaan hari anda. Rasa puas dan lega itu akan merebak kepada urusan lain yang bakal anda lakukan seterusnya pada hari itu.

 2. Jaga kebersihan mulut

Dah jadi perkara lumrah kebanyakan orang, untuk gosok gigi sebaik saja masuk bilik air, setelah bangun pagi. Tapi ada juga orang yang pemalas untuk buat urusan tersebut.

Jika malas, tolong amalkannya dari sekarang. Bukan lamapun untuk ambil berus gigi, letak ubat dan berus gigi.

Jika anda dah biasa berus gigi setiap pagi, bagaimana pula amalan berus gigi sebelum tidur ?

Ini amalan yang tak berapa ramai orang lakukannya.

Jangan begitu !, cuci mulut dan buang segala kekotoran dari celah gigi sebelum terjun ke atas tilam.

Kalau anda dah biasa berus gigi sebelum tidur dan setiap kali bangun pagi. Tambahkan lagi amalan kesihatan mulut itu dengan mengamalkan flos pada celahan gigi yang anda mahu simpan.

Nasihat doktor yang saya dengar, bila ditanya soalan, ‘bagaimana nak flos gigi ?’, itulah yang mereka jawab.

‘Flos pada mana-mana gigi yang anda nak simpan sampai tua !’

Jangan lupa beli alat bersihkan lidah. Anda boleh dapatkannya di farmasi atau pasaraya besar pada bahagian penjagaan mulut dan gigi.

Amalan bersihkan lidah membantu anda kekalkan kesegaran mulut dan membuang sisa makanan dan minuman yang melekat pada lidah.

Mulut anda tak akan berbau busuk seandainya amalan tersebut dijadikan tabiat.

3. Tulis tugasan yang perlu dibuat

Ini amalan yang agak jarang orang lakukan. Biasanya amalan ringkas dan mudah ini hanya diamalkan oleh mereka yang berjaya dalam kehidupannya.

Apa kata anda terapkan amalan ringkas menulis tugasan yang perlu dilaksanakan sebelum mula buat kerja di awal hari.

Tak perlu tulis panjang berjela, cukup sekadar perkara paling penting diikuti dengan yang penting kemudiannya kurang penting.

Buat kotak kecil dihujung setiap perkara yang anda tulis tersebut.

Ini untuk memudahkan anda pangkah di dalam kotak itu apabila buat semakan dihujung habisnya waktu kerja anda. Kerja yang berjaya dilaksanakan akan dipangkah di dalam kotak yang disediakan tadi, itulah kegunaannya.

Perasaan puas akan menyelinap setiap kali anda berjaya buat pangkah terhadap perkara yang berjaya diselesaikan.

Nota: Sudah tentu anda bijak untuk memilih selesaikan kerja yang paling penting berbanding yang penting !.

4. Rehat untuk kembalikan tenaga

Walau sesibuk manapun tugasan anda, jangan lupa ambil masa untuk rehatkan diri. Anda boleh rehatkan diri dengan melakukan solat 5 waktu pada masanya. Ini mengembalikan rasa bergantung harap anda terhadap Pencipta.

Orang yang tidak pernah putus bergantung harap pada Penciptanya tidak akan kenal erti putus asa.

Sebab dia tahu dan yakin Penciptanya adalah Tuhan semesta alam. Jika Tuhan itulah yang menyelamatkan Nabi Ibrahim dari Namrud, jika Tuhan itulah yang selamatkan Musa dari angkatan Firaun, apalah sangat urusan untuk menjadikan anda seorang yang berjaya !.

Teruskan mengharap, tak ada siapa tahu apa yang sedang menanti anda diesok hari !.

5. Paksa diri buat perkara baru

Jangan asyik nak ulang buat perkara yang dah selesa saja, cuba senantiasa buat perkara kecil yang anda tak biasa. Jika anda jarang berikan pendapat dalam perbualan, mulakan sekarang, berikan pendapat anda.

Anda juga boleh cuba perkara baru seperti menegur orang baru yang anda tak biasa tegur.

Jangan takut !

Buang rasa malas nak cuba perkara baru. Cuba berbual dengan orang yang anda tak pernah berbual, atau makan di tempat yang tak biasa anda makan.

Semua itu perkara mudah yang boleh melatih anda keluar dari zon keselesaan dan seterusnya menjadikan ianya satu tabiat baru dalam kehidupan anda.

6. Berpakaian kemas dan segak

Ada orang yang tak ambil perhatian terhadap pemakaian mereka. Jangan buat begitu, buat pilihan yang betul dan mulakan memilih untuk berpakaian kemas dan rapi supaya anda nampak lebih menarik.

Pakaian tak semestinya mahal dan berjenama. Asalkan ianya kemas dan menarik sudah mencukupi. Biarlah bersesuaian dengan keadaan dan tak perlulah melampau.

Jangan jadikan amalan berpakaian selekeh sebagai tabiat diri. Begitu juga dengan muka anda. Jangan biarkan jambang atau misai berserabut dan nampak seperti bermasalah. Rambut biar kemas dan gunting bulu hidung yang tersembul keluar dari lubang hidung anda itu.

7. Baca buku atau dengar perkara ilmiah

Jangan asyik baca surat khabar atau majalah hiburan saja. luangkan sedikit masa untuk baca bahan ilmiah yang berat samada dalam bab pengurusan atau subjek seperti ekonomi atau bisnes.

Jika anda tinggal di Lembah Kelang cuba dengar radio BFM 89.9, atau Radio Bernama. Dengar maklumat atau perbahasan ilmiah yang berat di dalam siaran radio tersebut.

Luangkan sedikit masa setiap hari untuk jadikan perkara tersebut sebagai amalan.

8. Jadikan diri bertenaga

Senang saja untuk jadikan diri anda bertenaga. Cuba parkir kenderaan anda jauh dari tempat yang anda nak pergi. Berjalan kaki lebih jauh sedikit dari biasa. Anda juga boleh lupakan naik lif, gunakan tangga. Bukan susahpun.

Banyakkan berjalan kaki dan mula kurangkan aktiviti berkenderaan.

Anda juga boleh mulakan aktiviti berjalan kaki setiap pagi atau selepas balik kerja. Keluarkan peluh sedikit. Tambah lagi dengan senaman pumping atau mendagu. Anda akan jadikan diri anda bertenaga dan segak apabila ianya menjadi amalan hidup.

9. Tak perlu kata ok untuk semua perkara

Jangan kerana nak ambil hari orang anda terima semua perlawaan. Belajar katakan tidak pada perkara yang tidak membantu anda selesaikan urusan anda setiap hari. Anda boleh mulakan dengan menolak pelawaan minum dari kawan-kawan ketika anda belum selesaikan urusan kerja.

10. Kemaskan keadaan sekeliling

Di mana saja anda duduk, pastikan tempat tersebut kemas dan tidak berselerak. Jika anda tak dapat buat apa-apa untuk kemaskan tempat tersebut, sila keluar dan jangan duduk di situ.

Anda boleh mulakan dengan menjadikan tempat kerja anda kemas dan tersusun. Pastikan juga ianya sentiasa tersusun rapi. Kema meja sebaik saja selesai kerja, kemas pejabat sebelum keluar dan balik ke rumah.

Jadikan kesukaan berada di tempat yang kemas dan tersusun sebagai tabiat diri anda. Samada anda sendiri lakukannya kalau boleh atau keluar dari tempat berserabut yang anda tak ada kuasa untuk kemaskannya.

Amalkan 10 tabiat ringkas di atas segera

Anda boleh lihat senarai 10 tabiat di atas bukanlah sesuatu yang besar dan sukar untuk diamalkan. Malah semuanya tidak mengambil masa yang lama untuk dilakukan.

Anda juga tidak perlu belajar tinggi untuk buat kesemua perkara tersebut di atas. Tapi amalan mudah dan ringkas itu mampu mengubah kehidupan anda menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan, insyaallah.

Moga ianya menjadi amalan kita semua !

Total
177
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge