15 perkara kecil yang membahagiakan

By | 03/06/2013

Sejak akhir-akhir ini perkara bahagia menjadi tajuk utama berligar-ligar dalam benak fikiran. Entah sebab apa, setiap aktiviti yang dilakukan pertanyaan ‘adakah aku gembira?’ terpancul dalam pemikiran.

Antar perkara popular yang sering kita dengar berkenaan bahagia adalah kononnya kita akan bahagia jika:

  • Ada simpanan RM1 juta dalam akaun bank
  • Ada rumah banglow atau corner lot di taman penginapan berprestij
  • Ada kereta mewah seperti BMW, Audi, Ferrari, dan sebagainya.

Semuanya berkisar pada kewangan. Jika banyak wang tentu kita akan bahagia. Tetapi realitinya bukan semua orang ada kemampuan untuk miliki banyak wang.

Cuba lihat sekeliling, orang yang tak banyak wang jauh terlalu ramai berbanding mereka yang ada banyak wang.

Bila kebanyak orang berfikiran bahawa dengan ada banyak wang dia akan bahagia, ini berakhir dengan terlalu ramai yang akan rasa hidup dia tak bahagia.

Sedangkan syarat mudah untuk banyak wang perlu dimulai dengan menjadikan diri kita seorang yang bahagia.

Oleh itu kita perlu menarik perhatian semula kepada perkara-perkara yang membuatkan diri menjadi bahagia dan memperbanyakkan aktiviti tersebut.

Saya cuba memikirkan beberapa perkara yang selama ini dapat memberikan kebahagiaan dan kedamaian.

Mungkin anda juga ada senarai tersendiri yang berbeza namun asasnya kita semua pasti ada aktiviti atau perkara yang membuatkan rasa bahagia timbul dengan hanya menggunakan apa yang telah kita ada.

Antara perkara yang membahagiakan saya selama ini adalah:

  1. Berjumpa dengan kawan-kawan yang saya selesa berada bersama mereka. Ada ramai kawan-kawan yang tidak bersifat memaksa kita mengikut pendapat atau kehendak mereka. Jika memberikan pendapat, mereka lebih terarah kepada memberikan nasihat berdasarkan ilmu yang mereka ada dan tidak ada paksaan untuk kita menerimanya.
  2. Menonton cerita yang memberikan kesedaran berdasarkan kehidupan sebenar. Kadangkala tinggal keseorangan dalam rumah dan berpeluang tengok TV yang menyiarkan rancangan yang menarik mampu menimbulkan kesedaran dan menaikkan semangat.
  3. Membaca buku. Cerita berkenaan biography seseorang yang kongsikan pengalaman hidupnya tidak pernah menjemukan.
  4. Berjalan kaki di waktu pagi bersenam sambil menikmati suasana damai alam sekitar. Suasana segar di waktu pagi tidak pernah mengecewakan kita. Melihat kemeriahan hidupan liar mula keluar mencari makan membuatkan semua masalah menjadi mudah.
  5. Berada dalam kedai buku. Walaupun tak ada duit untuk membeli buku, dengan berada di dalam kedai buku sambil membelek semua buku yang menarik dan membaca sedikit ulasan dalam buku tersebut memberikan kepuasan yang tinggi. Apa lagi dengan melihat terlalu banyak buku yang berkualiti dengan berbagai persembahan menarik pada kulit memberikan satu sumber inspirasi yang positif pada diri.
  6. Mendengar masalah kawan-kawan atau sesiapa saja yang sudi berkongsi. Setiap kali mendengar kawan atau kenalan baru atau sesiapa saja yang waras berkongsikan masalah cukup membahagiakan. Tak kira apa masalah yang diutarakan walaupun kita sendiri tidak punya jawapan pada masalahnya memberikan keyakinan pada diri kita sendiri. Ini cukup membahagiakan.
  7. Berkongsikan pengalaman menarik pada orang yang sudi mendengar dengan tekun. Ada orang yang cukup berbakat menunjukkan rasa minat dengan apa saja cerita kita. Perhatian diberikan dengan penuh kyusuk tanpa matanya liar memerhatikan orang lalu lalang. Matanya tepat memandang pada diri kita yang sedang bercerita. Ini sungguh membahagiakan.
  8. Belajar perkara baru. Tak ramai yang minat untuk belajar menambahkan ilmu, itulah kebanyakan daripada kita rasa. Tetapi ada masanya kita akan tertarik dan memberikan perhatian pada sesuatu benda baru yang diberikan oleh orang yang tahu. Tanpa paksaan kita memberikan perhatian dan menyimpannya untuk diamalkan. Kalau tak faham kita akan bertanya untuk cuba memahami. Bila faham kita pulang membawa satu benda baru dengan rasa damai dan puas.
  9. Balik kampung berjumpa ibu. Setakat ini, tak ada perkara lain yang lebih menyeronokkan apabila balik kampung. Melihat ibu ceria dan bertanyakan apa masakan yang kita nak makan adalah satu anugerah yang entah sampai bila akan saya miliki. Moga Allah panjangkan nikmat ini. Insyallah.
  10. Menulis. Saya mula menulis sejak tahun 2008 bila blog diperkenalkan oleh seorang kawan. Sejak itu aktiviti menulis menjadi satu terapi yang memberikan kedamaian dan kebahagiaan. Melihat hasil tulisan kita sudi dibaca oleh orang menambahkan lagi rasa puas dan damai apatah lagi bila pembaca memberikan komen yang menunjukkan mereka begitu suka sehingga mendorong mereka meluahkannya agar diketahui penulis.
  11. Solat berjemaah di dengan orang-orang yang kita kenali. Bersolat di masjid atau surau sebaik saja masuk waktunya memang mendatangkan kelegaan. Masa menjadi panjang sebaik saja solat selesai dilaksanakan. Keseronokan memuncak bila para jemaah adalah dikalangan mereka yang kita kenali. Mungkin itulah nikmat bersalaman selepas selesai solat yang patut kita kekalkan dan amalkan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
  12. Bawa anak-anak berjalan. Tak ada perkara yang menyeronokkan bagi kanak-kanak selain daripada keluar makan angin. Dengan keluar sekali sekala keseronokkan lebih terasa dan dihargai dan kekal sehingga ke mati.
  13. Makan di rumah masakan isteri. Bila sering sangat makan diluar barulah terasa betapa selesanya makan dirumah. Tambahan pula isteri pandai masak. Ini cukup membahagiakan.
  14. Tangkap gambar dan proses untuk simpanan. Ini juga satu perkara yang lebih condong kepada hobi. Hobi bila dilakukan dengan sedikit disiplin dan tersusun memberikan kepuasan yang tinggi terutamanya jika hobi itu dapat dimanafaatkan untuk tujuan lain.
  15. Membantu. Memang semua orang rasa damai setelah dapat memberikan bantuan pada orang lain. Biasanya rasa kecewa akan timbul jika tidak dapat memberikan bantuan pada mereka yang meminta. Tetapi apabila bantuan yang diminta mampu kita tunaikan lalu diberikan pada yang meminta itu, timbul rasa bahagia yang berpanjangan.
Banyak lagi kalau nak disenaraikan. Bila dah buat senarai baru perasa rupanya terlalu banyak yang mampu menimbulkan kebahagiaan.
Yang paling menarik sekali, kesemua itu tidak memerlukan kita ada wang sejuta dalam akaun bank. Kalau ada yang memerlukan wangpun, bukanlah dalam satu jumlah yang banyak dan kebanyakkan orang dapat menyediakannya.
Bagaimana senarai anda? boleh kongsikan di sini jika berminat untuk memberikan idea pada semua yang membaca.
Hantar senarai 10 perkara yang membahagiakan anda ke mohdshubhi@hidupringkas.com untuk saya paparkan dalam blog ini.
Perkara baik jika tidak dikongsikan akan membunuh potensi kebahagiaan dengan mudah…harap ada yang sudi buat senarai dan email pada alamat yang saya berikan.
Kerjasama anda diucapkan ribuan terima kasih.
Ikhlas,
Mohd Shubhi
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “15 perkara kecil yang membahagiakan

  1. syafiq

    Bahagia bila faham dan thu aper tugasan yg perlu disiapkan di twmpt kerja setiap hari..dan dpt siapkan tugasan tersebut pada masa ditetapkan

    Bahgia bila dpt bermain ftsal or keluar joging bersama kawan..

    Bahagia bila dpt blanjer kwn makan ataupon tgk wyg

    Bahagia bila dpt solat awl waktu dan berjemaah..

    Bahagia bila dapat hadiah atau paper sahaja dr kenalan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge