metal-chains-1500x1000Untuk menyambung artikel saya sebelum ini berkenaan 16 petua Napoleon Hill untuk berjaya, saya sambung lagi petua berikutnya.

Ada lagi 14 petua yang belum saya kongsikan dalam artikel yang lalu. Kita lihat beberapa lagi petua Napoleon Hill untuk dipertimbangkan dalam amalan kehidupan kita.

Petua Napoleon Hill yang ke-3

Self Confidence

Jika kita lihat penerangan terhadap perkataan Self-Confidence ini, ia memberi maksud keadaan yang ada pada seseorang untuk yakin akan keupayaan dirinya, yakin akan kualiti yang ada dalam dirinya dan yakin akan pertimbangan dan keputusan yang diambilnya.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang gadis muda yang baru mula berkerja di sebuah syarikat swasta. Dia minat dalam bidang keusahawanan dan ingin bertemu dan berbual dengan saya berkenaan mintanya tersebut.

Antara pertanyaan yang saya masih ingat darinya adalah bagaimana nak permudahkan urusan temuduga agar lebih terjamin kejayaannya.

Jawapan saya adalah, Self Confidence.

Dalam banyak-banyak temuduga untuk ambil pekerja yang biasa saya lakukan, saya sentiasa akan ambil individu yang ada keyakinan diri yang paling tinggi sebagai pekerja saya.

Pengalaman saya menghadapi temuduga ketika zaman makan gaji dulupun begitu. Setiap temuduga yang saya hadir dengan keyakinan diri yang tinggi, biasanya akan berakhir dengan saya diterima berkerja.

Bila dah jadi usahawanpun begitu juga. Setiap kali pegi jumpa orang untuk dapatkan pelanggan, perlu ada keyakinan diri. Salah satu sebab saya mudah buat jualan adalah kerana saya amat yakin dengan apa yang saya tawarkan.

Kisah keajaiban ‘yakin’

Banyak cerita tentang bagaimana orang berjaya hanya disebabkan oleh percaya dan yakin ini. Salah satu cerita yang saya rasa hebat adalah bagaimana sekumpulan tentera yang hilang arah di atas pergunungan bersalji berjaya balik ke kem apabila timbu perasaan yakin dalam diri mereka.

Ceritanya begini,

Sekumpulan tentera sesat di dalam keadaan cuaca buruk tanpa punyai panduan peta di atas pergunungan yang sejuk dan bersalji. Mereka perlu kembali ke kem segera jika mahu terus hidup.

Masalahnya adalah tak ada di antara mereka yang biasa dengan tempat tersebut dan kebanyakan dari mereka dah mula khuatir dan putus asa.

Nak dijadikan cerita, salah seorang dari mereka terjumpa peta pergunungan tempat mereka berada, terjahit kemas bersama dengan beg yang dibawanya. Maka semua orang berasa lega dan mula yakin bahawa mereka dapat kembali ke kem dengan selamat.

Berpandukan peta tersebut, akhirnya mereka semua selamat sampai kembali ke kem. Mereka terselamat dari mati kesejukan dan sesat di atas pergunungan. Maka bergembiralah seluruh ahli kumpulan itu.

Ketika menceritakan bagaimana mereka dapat pulang dengan berpandukan peta yang ada dalam beg salah seorang rakan mereka, baru mereka tersedar bahawa peta yang mereka rujuk itu adalah pergunungan Pyrene di Eropah, sedangkan mereka berada di pergunugan lain yang tak sama.

Jadi bagaimana mereka selamat sampai ke kem. Sebabnya adalah keyakinan diri datang semula dan hasil dari itu semua keupayaan lain mula timbul.

Faktor yakin

Berbalik pada takrif self confidence yang saya berikan di atas tadi, anda perlu ada 3 perkara penting untuk timbulkan rasa yakin pada diri:

  1. Tahu apa yang anda boleh lakukan dan apa yang anda tak boleh lakukan.
  2. Tahu tahap kualiti diri anda sendiri. Iaitu, jika anda yakin boleh jual 10 barang sebulan, biasanya, anda memang boleh lakukannya begitu. Ertinya apa yang anda jangkakan terhadap kebolehan anda adalah sama dengan keadaan sebenar.
  3. Yakin dengan keputusan dan pertimbangan anda. Ini juga lebih kurang sama dengan kualiti yang disebut di atas tadi tapi lebih kepada hal ehwal mental.

Kebanyakan masalah yang orang ramai hadapi adalah dalam urusan nombor 1 di atas. Ramai yang tak pasti apa yang dia tahu dan apa yang dia tak tahu.

Dia tak sedar akan keupayaan dirinya sendiri, maka bagaimana nak timbulkan keyakinan diri ?

Kenapa tak yakin

Biasanya keyakinan diri hilang disebabkan timbulnya perasaan takut. Menurut Napoleon Hill, ada  6 jenis takut yang biasanya ada pada kita:

  1. Takut pada kesusahan atau kemiskinan
  2. Takut pada peningkatan umur menjadi tua
  3. Takut dikritik
  4. Takut kehilangan orang atau sesuatu yang dicintai
  5. Takut pada sakit
  6. Takut mati

Jika anda dapat kuasai perasaan takut yang disenaraikan di atas itu, anda akan dapat kayakinan diri yang tinggi dalam apa saja urusan yang ingin dilakukan.

Keyakinan membantu buat keputusan nekad

Untuk makluman anda, kali pertama saya berhenti kerja untuk berniaga, saya amat yakin dengan apa yang mampu saya lakukan. Sebab itu saya tanpa rasa takut letakkan jawatan dan mula melayari dunia keusahawanan.

Walaupun yakin, saya gagal juga dengan usaha niaga pertama yang saya lakukan. Tapi keyakinan masih tetap ada dan saya cari jalan perniagaan lain pula. Ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Begitulah seterusnya sampai sekarang. Yang pentingnya, jumlah kegagalan yang saya hadapi tidak setinggi jumlah kejayaan yang saya kecapi.

Jadi secara puratanya saya masih berjaya. Sekurang-kurangnya masih berjaya meneruskan kehidupan dan menunaikan segala tanggung jawab saya yang wajib.

Tak jadi usahawan sebab takut

Sekarang anda tahu kenapa ramai yang masih takut nak berhenti makan gaji dan berniaga sepenuh masa sampai berjaya, sebabnya tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan tidak ada keyakinan pada diri sendiri.

Mereka tak tahu apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan, tidak tahu tahap kualiti diri mereka sendiri dan tidak yakin dengan pertimbangan atau keputusan yang mereka lakukan.

Dalam keadaan begitu, nasihat saya adalah teruskan saja makan gaji dan jangan buat pasal berhenti kerja dalam keadaan takut dan tidak yakin. Itu lebih selamat.

Petua Napoleon Hill ke-4

Simpan duit

Tak payah nak hurai lagi kebaikan petua simpan duit ini sebab ramai orang dah tahu bagaimana besarnya faedah mereka yang mampu simpan duit.

Masalahnya adalah ramai orang yang tak mampu amalkannya secara konsisten.

Masalah paling berat yang ada pada kebanyakan orang adalah sikap lebih suka berbelanja habiskan duit. Ini bertentangan dengan sikap suka simpan duit yang bermanfaat untuk diri sendiri.

Perkara asas di sini adalah tabiat. Anda tak akan boleh simpan duit jika sikap simpan duit ini tidak dijadikan tabiat dalam diri.

Berapa banyak anda simpan bukanlah persoalan. Yang pentingnya jadikan ia satu tabiat diri terlebih dahulu dari sekarang.

Untuk jadikan sesuatu amalan itu sebagai tabiat diri, anda hanya perlu ulang lakukannya berkali-kali sampai ia menjadi sebati.

Buat resolusi sekarang untuk peruntukkan 10% dari apa saja pendapatan anda sebagai simpanan untuk pelaburan.

Tak payah fikir panjang dan fikirkan cara bagaimana nak lakukannya, anda hanya perlu mula hari ini, atau hujung bulan ini bila dapat gaji nanti, terus masukkan 10% dari pendapatan tersebut ke dalam satu akaun asing dan biarkan di situ.

Petua Napoleon Hill yang ke-5

Imaginasi

Ayat terkenal yang ramai biasa dengan adalah, apa yang anda mampu bayangkan dalam imaginasi terhadap diri anda, anda mampu mendapatkannya”.

Ramai pakar motivasi dah perkatakan perkara ini, malah anda boleh duduk atas kerusi dan buat imaginasi bagaimana anda pukul bola golf dengan baik di padang secara rutin, sebagai latihan golf anda, dan anda akan mampu pukul bola golf dengan baik.

Masa mula buat keputusan nak jadi usahawan dulu, saya sering buat imaginasi bagaimana diri saya bila menjadi usahawan nanti.

Saya tak pernah lupa untuk perbaiki keadaan apa yang saya bayangkan terhadap diri saya. Saya bayangkan diri saya sendiri, syarikat saya, pekerja saya, masa yang saya ada dan segala-galanya sebagaimana yang saya mahu.

Dan ajaibnya, apa yang saya bayangkan, semuanya saya dapat.

Dan sampai sekarang saya masih tetap amalkan imaginasi ini, tapi sudah tentu lebih baik daripada apa yang saya mahu dahulu.

Untuk dapatkan idea imaginasi ini, anda perlu menimba ilmu, baca buku, baca atau dengar pengalaman orang, pergi berjalan, berkawan dan buka minda serta dedahkan diri dengan sebanyak mungkin pengalaman baru.

Petua Napoleon Hill ke-6

Inisiatif dan kepimpinan

Sebelum anda layak punya daya kepimpinan, anda terlebih dahulu mesti ada sikap merangka dan melaksanakan apa yang perlu untuk dilaksanakan tanpa disuruh atau di arah oleh orang lain, itulah yang dinamakan inisiatif.

Kalau anda hanya asyik perlu disuruh terlebih dahulu baru nak bergerak, macam mana nak jadi pemimpin ?

Bila dah ada iniatif, maka barulah ada kemungkinan untuk anda jadi pemimpin, tapi tidak semestinya anda ada daya kepimpinan yang baik.

Syarat jadi pemimpin hebat

Untuk ada daya kepimpinan yang baik anda mesti ada dua kualiti:

  1. Mampu buat keputusan yang baik
  2. Mampu yakinkan orang lain untuk laksanakan keputusan tersebut

Dari pengalaman, saya yakin kemampuan untuk punya inisiatif yang tinggi dan kemampuan untuk memimpin dengan baik amat penting untuk berjaya dalam apa saja urusan. Apatah lagi dalam urusan perniagaan dan pembinaan syarikat.

Bagaimana nak dapatkan momentum inisiatif dan kepimpinan ini ?

Mulakanlah dengan perkara-perkara kecil terlebih dahulu dan tak perlu buat perkara yang hebat-hebat. Yang pentingnya anda konsisten dan tidak tergopoh gapah.

Hidup bukan perlumbaan

Biasanya orang yang tergopoh gapah ini cuba berlumba dengan orang lain, itu sikap yang hanya menyusahkan diri sendiri.

Bagi saya hidup bukanlah satu perlumbaan dengan individu lain, ianya adalah perbandingan antara anda yang sekarang dengan diri anda yang sebelum ini.

Asalkan anda menjadi lebih baik dari semalam, sedikit demi sedikit, itu adalah sesuatu yang hebat !.

Jika ada orang lain lebih kaya, lebih berjaya, lebih segala-galanya, itu adalah urusan mereka dan anda tidak diminta untuk berlumba dengan mereka semua.

Seandainya anda melihat cara orang lain, itu semata-mata urusan belajar dan mengambil iktibar dari cara yang orang lain lakukan untuk mencapai sasaran.

Jika sesuai, maka anda boleh adaptasikan cara yang sama untuk mencapai apa yang disasarkan. Ingat kejayaan bukanlah satu perlumbaan !

Petua Napoleon Hill ke-7

Enthusiasm

Dalam Bahasa Indonesia, perkataan Enthusiasm ini diambil terus dan dinamakan sebagai rasa antusias.

Kita boleh memahami perkataan ini dengan makna menikmati keseronokan dalam melakukan sesuatu perkara dengan penuh semangat.

Buatlah apa saja urusan. Jika anda lakukannya dengan penuh rasa keseronokan, menikmatinya dan dengan penuh semangat, sudah pasti hasilnya adalah cukup baik.

Jika anda melakukan sesuatu dengan seronok dan penuh semangat, perasaan ini akan berjangkit pula pada orang lain yang turut sama terlibat dengan apa yang sedang kita lakukan.

Rasa antusias ini sememangnya boleh berjangkit pada orang lain sekeliling kita. Sebab itu ia memainkan peranan yang besar dalam memastikan kejayaan urusan yang sedang dilaksanakan.

Cuma masalah besarnya adalah, agak sukar untuk berlakon seolah-olah kita sedang seronok dan bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara.

Nak berniaga sebab bosan kerja

Ramai orang yang hilang rasa antusias ini terutamanya mereka yang sedang makan gaji. Bila perasaan itu sudah tidak ada, maka ramai yang mahu beralih arah cari kerja lain.

Bagi yang memang ada keinginan nak jadi usahawan pula, itu dijadikan alasan untuk mereka berhenti kerja dan mula berniaga.

Hakikatnya, rasa antusias perlu dicari untuk membolehkan kita terus berusaha dan mencapai kejayaan. Salah satu sebab hilangnya rasa antusias adalah disebabkan kita tidak ada hala tuju dan tidak jelas dengan tujuan sebenar apa yang sedang dilakukan.

Kuasai minda untuk antusias

Oleh itu, bagi yang sedang makan gaji dan mula rasa bosan dan hilang semangat untuk buat kerja, itu merupakan satu peluang untuk melatih diri mengembalikan rasa antusias.

Caranya adalah dengan meletakkan sasaran yang kita ingin sangat mencapainya seperti mendapat pengiktirafan dari majikan, mengetahui setakat mana keupayaan kita dan lain-lain lagi seumpamanya.

Jika anda dapat kuasai rasa antusias ini dalam keadaan makan gaji, maka anda memang bersedia untuk jadi usahawan. Anda amat memerlukan keupayaan ini bila berniaga.

Siapa kata bila anda jadi usahawan anda akan sentiasa rasa bersemangat dan seronok. Ada waktunya anda akan dihantui oleh rasa bosan dan mula nak mengalah apabila ditembak dengan berbagai masalah dari segenap penjuru.

Hanya mereka yang ada pendekatan terbaik cara untuk kembalikan rasa antusias saja akan berjaya kayuh sampai habis dalam usaha membina perniagaan sehingga berjaya.

Petua Napoleon Hill ke-8

Self-Control

Keupayaan untuk kawal diri ada hubung kait dengan rasa antusias yang dinyatakan di atas.

Anda mesti bijak kawal diri dan jangan biarkan rasa seronok dan bersemangat itu merosakkan usaha mencapai matlamat.

Sebab itu saya kata rasa antusias perlu dilatih untuk memblehkan kita mengawalnya dan ianya ada jika anda mampu mengawal diri.

Kawal diri ini sebenarnya adalah keupayaan mengawal minda. Semuanya dalam kepala anda.

Jika anda dapat kawal apa yang difikirkan, pilih apa yang anda nak fikir dan buang yang tidak mendatangkan manfaat untuk difikirkan, maka anda sudah tentu mampu mengawal diri.

Banyak perkara tidak meneronokkan bermain dalam kepala dan berlaku dalam kehidupan kita disebabkan kita tidak mampu kawal apa yang patut difikirkan.

Latihan kawal minda

Cuba buat satu latihan mudah sekarang.

Pejam mata dan bayangkan tentang satu peristiwa yang pernah anda lalui yang mengecewakan anda sebelum ini. Mungkin angkara perbuatan kawan atau siapa saja.

Sebaik saja anda fikirkan peristiwa itu semula, secara automatik anda akan rasa lemah, marah dan kecewa, sedangkan sebelumnya anda tak rasa begitu.

Sekarang, pejam mata dan bayangkan kejadian atau perkara yang membuatkan anda rasa seronok dan bersemangat yang pernah berlaku sebelum ini. Mungkin peristiwa anda mendapat pujian hasil dari kerja anda yang lalu.

Dengan berbuat begitu, secara automatik anda mula naik semangat, seronok dan bertenaga.

Itu semua hanyalah contoh kenapa saya katakan rasa antusias ini boleh dikawal jika anda berupaya kawal minda atau kawal diri. Hanya perlu fikirkan perkara yang positif dan buang cepat-cepat yang negatif.

Jika anda mahu belajar lebih lanjut akan perkara ini, cuba pelajari teknik NLP. Ia amat bermanfaat dan amat berkesan untuk melatih keupayaan mengawal diri.

Petua Napoleon Hill ke-9

Sikap beri lebih dari bayaran

Dalam bahasa inggeris, Napoleon Hill tulis begini, ” Habit of doing more than paid for “

Mudah nak faham petua ini. Lihat saja di tempat anda makan gaji, siapa yang ada sikap begini dan siapa yang tidak ada.

Biasanya pekerja yang amat berkira dari segi kerja dengan apa yang dia dapat, akan tetap di takuk lama tanpa ada kenaikan pangkat. Saya pernah lihat semua fenomena ini ketika zaman makan gaji dahulu.

Bagi mereka yang tak pernah berkira, golongan ini yang biasanya tak ramai akan cepat naik pangkat. Mereka jadi rebutan Boss di semua jabatan.

Bukan nak perasan, tapi saya dapat rasakan saya masuk dalam kategori mereka yang sentiasa berikan lebih daripada apa yang dibayar.

Niat saya adalah untuk belajar dan menerima cabaran untuk mengetahui kemampuan diri. Tapi hasilnya saya mudah naik pangkat dan mudah naik gaji. Biasanya dua kali setahun saya akan dapat kenaikan gaji.

Bila anda jadi usahawan, sikap ini terlebihlah pentingnya. Apa yang anda perlu lakukan adalah berikan segala apa yang dijanjikan dan tambah bonus perkara yang tak disangka oleh pelanggan.

Tambahan tak semestinya mahal, malah panggilan follow-up bertanyakan samada pelanggan ok atau tak ok dengan apa yang dia dapat adalah amat berharga.

Petua Napoleon Hill ke-10

Personaliti yang menarik

Bagaimana agaknya nak bina personaliti yang menarik ?

Anda hanya perlu mulakan dengan melihat perkara asas sahaja terlebih dahulu. Pertamanya dari segi penampilan fizikal anda.

Jaga kebersihan samada muka tubuh badan, ketiak, kuku, rambut, bulu hidung dan lain-lain seumpamanya. Pastikan ianya selari dengan budaya setempat.

Cuba imbau sejenak keadaan anda berbual dengan orang yang ketiaknya hamis kuat !, adakah anda anggap orang itu menarik ? dan anda mahu lanjutkan lagi perbualan dengannya ?

Jaga kebersihan diri, itu perkara asas yang universal bagi kita semua.

Keduanya beri perhatian terhadap perwatakan anda. Jangan sombong, jangan besar diri dan jangan sakitkan hati orang lain.

Tak perlu bertekak dengan pendapat orang lain yang anda tak setuju. Anggap saja ianya sebagai satu maklumat untuk anda mengenalinya.

Paling penting, jangan terus menghukum sesuatu perkara berdasarkan perspektif anda sendiri. Fahami terlebih dahulu dan ambil semuanya sebagai maklumat dan bukannya untuk menjatuhkan hukuman.

Yang pentingnya anda tak perlu bergaya mewah untuk membuatkan anda menarik dan anda juga tak perlu berlagak bagus untuk mendapatkan pengiktirafan orang. Bersederhana lah dalam segenap lapangan kehidupann anda.

Petua Napoleon Hill ke-11

Fikiran yang tepat dan jelas

Ini ramai sangat yang tewas. Ramai orang tak dapat bezakan antara maklumat berbanding fakta. Semua hasil dari sikap kita yang suka pukul rata secara umum terhadap satu kejadian terpencil.

Contohnya, bila dia kena kencing dengan seorang Ustaz, dikatakannya semua Ustaz tak betul. Itu sikap suka pukul rata secara umum terhadap sesuatu peristiwa terpencil.

Untuk mendapatkan keupayaan berfikir secara tepat dan jelas, anda perlu relaks dan tidak terburu-buru menghukum. Dapatkan sebanyak maklumat yang perlu terlebih dahulu dalam membuat apa saja keputusan.

Berkawan dengan orang yang bijak, jadikan membaca sebagai tabiat rutin dan banyakkan mengguna akal waras dari akal emosi.

Antara faktor penting untuk anda berjaya dalam perniagaan adalah kebolehan untuk membezakan antara fakta dengan maklumat.

Faktor ketidak upayaan berfikir dengan tepat dan jelas juga membuatkan majoriti usahawan melakukan 90 kesilapan dalam 100 keputusan yang dia buat di awal perniagaan. Oleh itu berwaspadalah !.

Petua Napoleon Hill ke-12

Daya tumpuan

Orang biasa panggil perkara ini sebagai Fokus. Saya pernah tulis beberapa artikel berkenaan fokus ini.

Buat satu-satu perkara dalam satu masa. Habiskan terlebih dahulu perkara paling penting sebelum memulakan perkara lain.

Sediakan diri dan persekitaran agar anda mampu memberikan tumpuan yang maksimum dalam apa saja urusan yang dilakukan.

Belajar untuk bijak menutup gangguan ketika anda perlu kepada daya tumpuan yang tinggi. Sediakan sekurang-kurangnya 30 minit di awal permulaan kerja khas untuk fokus kepada aktiviti merancang samada kerjaya atau perniagaan anda.

Keupayaan untuk fokus ini juga banyak bergantung pada keupayaan anda berfikir dengan tepat dan jelas. Ia hanya timbul apabila anda dah pasti dengan sasaran utama yang mahu dicapai.

Saya teringat kata-kata menarik yang saya tak pasti dari siapa, katanya, orang berjaya adalah mereka yang paling banyak berkata “No” berbanding “Yes”.

Itu ada kaitan dengan sikap fokus yang kuat dalam diri, mereka yang fokus tidak akan teragak-agak untuk kata ‘no’ pada perkara yang tidak selari dengan matlamat mereka.

Petua Napoleon Hill ke-13

Kerjasama

Ini amat jelas sekali kegunaannya. Tak ada orang yang berjaya hebat jika tidak mampu menjalinkan kerjasama dengan orang lain.

Usahawan yang berjaya mengumpulkan keuntungan serta kekayaan yang hebat adalah hasil daripada keupayaan mereka mengatur dengan lancar dan harmoni ramai individu lain dalam mencapai matlamat mereka.

Antara takrif usahawan atau dalam bahasa inggerisnya, Entrepreneur, adalah individu yang mampu mengabungkan segenap sumber yang ada untuk merealisasikan matlamatnya perniagaannya.

Oleh itu jangan kemut dan kedekut untuk buat apa saja perkara secara berkumpulan. Rezki untuk semua manusia di muka bumi ini sudah dijamin oleh Allah.

Dalam Quran, Allah jamin semuanya cukup atas muka bumi ini untuk semua manusia, tak timbul konsep sumber terhad untuk diedarkan pada permintaan yang berlebihan. Takrifan itu yang merupakan takrifan ekonomi barat adalah bertentangan dengan apa yang disebut dalam Al-Quran.

Apa yang berlaku apabila ada orang susah makan tak cukup dan sebagainya adalah disebabkan tidak ada budaya kerjasama sesama manusia yang tamak dan tak faham konsep ekonomi sebenar.

Petua Napoleon Hill ke-14

Kegagalan

Agak pelik pula bila Napoleon Hill kata kegagalan itu perlu ada untuk berjaya dalam kehidupan. Biasanya kita faham kegagalan itu dalam ertikata negatif yang tidak diingini.

Tapi sebenarnya kegagalan itu tidak pernah ada melainkan pada orang yang berhenti mencuba. Sebab itu beliau kata semua orang perlu hadapi kegagalan yang sementara itu sebagai guru untuk dia mengubah laluannya ke laluan yang lebih hampir kepada kejayaan.

Purata usahawan yang menjalankan perniagaan akan melakukan secara purata sebanyak 70 kesalahan dari 100 keputusan yang dia buat.

Tengok tu, tadi saya kata mereka yang baru mula berniaga akan buat silap dalam 90 keputusan dari 100 keputusan yang dia buat.

Ertinya, sepanjang anda jadi usahawan, anda akan buat kesalahan demi kesalahan. Sebab itulah anda temui jalan demi jalan yang lebih baik untuk mencapai sasaran. Itupun sekiranya anda masih kekal mencuba dan mencari jalan.

Jadi jangan dok risau takut buat silap sampai tak buat sebarang keputusan. Itu jauh lebih teruk daripada buat keputusan yang silap.

Anda nak tahu berapa banyak keputusan silap yang orang makan gaji buat sebelum dia jadi usahawan dan berniaga ?

Saya rasa mereka buat 100 kesilapan daripada 100 keputusan yang mereka ambil, sebab itu mereka masih makan gaji sampai sekarang… itu adalah satu keputusan yang silap, hehe ! jangan marah !

Petua Napoleon Hill ke-15

Bertolak ansur

Anda cuba sendiri fikirkan apa faedahnya, tentu mudah nak fahami perkara ini bukan ?

Petua Napoleon Hill ke-16

The Golden Rule

Petua ini maknanya adalah untuk berikan pada orang lain seperti mana yang anda mahu seandainya anda duduk di tempatnya.

Mudah saja nak ulas perkara ini dan sata rasa anda tentu dah naik muak baca artikel yang saya rasa antara yang paling panjang dalam blog ini.

Oleh itu, saya tamatkan kat sini sahaja. Harap-harap petua Napoleon Hill ini dapat memberikan anda sedikit inspirasi untuk berjaya.

Total
36
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Jika saya berasa bosan dengan kerja makan gaji sekarang ini dan cuba untuk jadi usahawan atau peniaga adakah itu langkah atau tindakan yang salah?

    Saya memang ada minat dan niat untuk berniaga. Saya sudah melakukan beberapa kerja yang berlainan dan masih tak merasakan hala tuju dalam kerja makan gaji. Masa merupakan antara kekangan utama yang membuatkan saya berasa begini. Walaupun kerja sekarang saya ini mempunyai masa depan yang baik tetapi bergantung pada ekonomi semasa.

    Mohon pendapat dan nasihat tuan. Terima Kasih saya dahulukan. 🙂

  2. Assalamualaikum..
    Boleh tuan kupas Bisnes Model Canvas dalam 1 artikel..ia di kenali BMC..semoga ia bermanfaat untuk audiens semua..insyaAllah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge