kukuh tegapSalah satu doa rutin yang sering saya pohon pada Allah setiap kali selesai solat fardu adalah, semoga Allah kurniakan saya jiwa yang kuat.

Biasanya saya akan sebut begini,

“Ya Allah! kuatkanlah jiwa ku !”

Saya akan ulang sebut ayat di atas berulang kali. Sambil sebut ayat itu, saya pejamkan mata dan bayangkan keadaan diri yang dikatakan berjiwa kuat itu.

Perlu faham makna jiwa yang kuat

Kita mesti faham apa yang kita pohon dari Tuhan. Bukannya main sebut sahaja berdasarkan apa yang orang lain ajar atau berdasarkan apa yang kita baca dari buku atau kitab lama. Jika bayangan terhadap apa yang kita pohon itu tidak jelas, jangan harap kita akan berjaya memilikinya.

Apatah lagi jika kita sendiri tak tahu makna yang kita sebutkan. Apa agaknya yang bakal kita dapat?

Banyak panduan tentang doa yang kita dapat selama ini. Antara yang terkenal adalah doa itu merupakan senjata orang mukmin. Petua tersebut ternyata memang tepat sekali. Banyak sudah bukti bagaimana permintaan atau harapan yang sering kita ulang sebut akhirnya akan menjadi nyata.

Satu lagi perkara yang kita semua tahu adalah tentang, berapa jelas bayangan yang ada dalam kepala terhadap apa yang kita pohon. Kalau pohon sebuah banglo, adakah rupa bentuk banglo yang kita idamkan itu terang dan jelas gambarannya dalam kepala.

Semakin jelas bayangan apa yang kita pohon ada dalam kepala, semakin mudah untuk kita memilikinya. Itulah gabungan dua perkara yang anda mesti tahu dalam bab berdoa memohon apa yang anda inginkan.

  1. Berdoa. Iaitu sebut apa yang kita mahu berulang kali sekurang-kurangnya dapat didengari oleh telinga kita.
  2. Punya bayangan yang jelas dan terang terhadap apa yang kita pohon.

Bagaimana gambaran jiwa yang kuat

Anda dan saya amat memerlukan satu jiwa yang kuat. Kalau nak berjaya dalam hidup, kalau nak menggilap potensi diri ke tingkat yang paling tinggi semampu boleh sebelum mati, kita perlu punya satu jiwa yang kuat.

Persoalannya adalah bagaimanakah gambaran seseorang itu punya satu jiwa yang kuat?

Mungkin 18 tanda atau gambaran yang ada pada seseorang yang punya jiwa yang kuat dibawah ini dapat membantu sedikit sebanyak memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap jiwa yang kuat untuk dimiliki.

  1. Terus ke hadapan. Orang yang jiwanya kuat tak pandang belakang menyesal itu dan ini. Apa yang dah berlaku biarlah ia berlaku, ambil iktibarnya dan pandang ke depan.
  2. Sentiasa dalam kawalan. Orang berjiwa kuat tak mudah nak lepaskan kuasa yang ada pada mereka. Terutamanya kuasa membuat keputusan untuk diri sendiri. Perkataan ‘aku ikut saja !’ mereka tak main.
  3. Menerima baik perubahan. Mereka tidak kekok dan menjauhkan diri terhadap perubahan, malah menerima dan menyesuaikan diri dengannya.
  4. Kekal bersyukur. Mereka tak merungut dan tak buang masa menyumpah perkara yang bukan dalam kawalan mereka.
  5. Baik hati. Mereka bersikap adil pada semua orang dan tidak segan dan kedekut untuk membuatkan orang lain rasa gembira.
  6. Bersedia ambil risiko yang dipertimbangkan. Mereka akan buat kajian, cari maklumat dan buat perkiraan sebelum mengambil sesuatu risiko serta berani mengambil risiko tersebut.
  7. Curahkan segala tenaga untuk perkara semasa. Mereka tak buang masa untuk perkara yang dah berlalu. Kerja pi cari bomoh tengok bayang pencuri dalam air bukan amalan mereka.
  8. Mengaku kesalahan dan kesilapan lalu. Mereka tak cuba mengelak dari mengambil tanggung jawab terhadap kesalahan yang lalu. Mengaku salah diri dan belajar serta mengelak ulang perbuatan tersebut.
  9. Meraikan kejayaan orang lain. Mereka tak cemburu atau irihati kejayaan orang. Mereka meraikannya dan tumpang gembira secara jujur dan spontan.
  10. Sanggup gagal. Mereka buat apa yang dirancangkan dan difikirkan betul dan bersedia untuk gagal. Gagal hanyalah satu pelajaran untuk membuat pembaikan. Mereka tak serik untuk cuba lagi.
  11. Menikmati waktu keseorangan. Mereka tidak risau merasa sunyi dan keseorangan. Samada fizikal atau spiritual. Tidak kisah jika ditinggalkan berseorangan.
  12. Bersedia berusaha sendiri. Mereka tak tunggu bantuan orang dan tidak rasa orang lain perlu membantunya. Yang penting mereka berusaha cari jalan.
  13. Istiqamah dan kekal bertenaga. Mereka tidak menjangkakan semuanya mudah dan pantas. Mereka setia berusaha, kekal bertenaga sehingga berjaya tanpa tergesa-gesa tidak sabar.
  14. Sering mencabar kepercayaan diri. Mereka sering muhasabah diri dan melihat pegangan atau kepercayaan diri yang tidak memberikan faedah, yang perlu diubah.
  15. Berusaha untuk tingkatkan pemikiran. Mereka tak buang masa untuk mengambil tahu urusan yang tidak mendatangkan manfaat. Lebih baik baca buku dari baca gossip politik atau gossip artis.
  16. Mereka buang pemikiran yang tidak bermanfaat. Perkara negatif akan digantikan dengan perkara yang positif.
  17. Menerima ketidak selesaan. Mereka bersedia berada dalam keadaan yang tidak selesa dan bertahan menghadapinya tanpa dikawal oleh rasa tidak selesa itu. Kekal sabar walaupun rasa kekok ketika berada dalam suasana baru.
  18. Sentiasa muhasabah kemajuan. Mereka sentiasa meluangkan masa setiap hari untuk menyemak kemajuan yang telah dicapai. Memeriksa ke mana arah tujuan samada berada di landasan atau tersasar.

Sudah tentu ada banyak lagi sikap atau bayangan mereka yang punya jiwa yang kuat selain daripada yang tersenarai di atas. Tapi sebagai permulaan, cuba baca dan semak semua yang tersenarai dan bandingkan kedudukan diri kita sekarang.

Total
38
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

  1. Doa itu senjata mukmin. Begitulah kuatnya peranan doa dalam kehidupan seharian kita. Oleh kerana itulah sebaik-baiknya kita berdoa dalam bahasa yang kita fahami.

    Supaya kita faham apa yang kita minta dari Allah. Supaya kita dapat menghayati kata-kata dalam doa kita. Dari situ barulah datang dalam hati kita perasaan Allah tu dekat dengan kita dan kita yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa kita.

    Bila adanya keyakinan tersebut, timbullah kekuatan dalam diri kita untuk melakukan apa yang kita minta pada Allah. Sebab kita termotivasi dengan wujudnya rasa Allah dekat dengan kita.

    Inilah apa yang saya ajarkan kepada pesakit-pesakit saya selepas saya merawat masalah gangguan sihir yang mereka hadapi.
    Perawat Islam recently posted…7 Jenis Sihir Melibatkan Suami Isteri & Ketahui Tanda-TandanyaMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge