Azam 2016Apa azam 2016 anda ?. Seperti biasa, masuknya tahun baru kita mula cakap pasal azam.

Bagus juga kebiasaan sebegitu. Sekurang-kurangnya kita sediakan satu masa dalam setahun untuk buat muhasabah pencapaian diri dan seterusnya buat kemas kini terhadap sasaran dan matlamat dalam kehidupan.

Tahun, bulan, minggu, hari dan waktu adalah pedoman untuk kita jadikan ukuran masa.

Sebagai makhluk, kita ada jangkahayat tertentu. Kita ada mula dan ada akhir, oleh itu ukuran masa amat penting supaya kita tidak lalai.

Jika kita tak ada jangka hayat akhir di dunia ini, maka sudah tentu masa sudah tidak menjadi relevan lagi.

Azam 2016 dan 2 unsur diri

Ada dua unsur dalam diri kita. Pertamanya roh dan keduanya jasad.

Jasad diperlukan untuk pengisian roh. Ia satu bentuk ujian bagaimana kita menggunakan pinjaman jasad tersebut untuk kepentingan roh.

Roh itu kekal. Sebaliknya jasad ada jangka hayatnya. Bagaimana kita menggunakan jasad itu selama jangka hayat masih ada, menentukan kedudukan roh kita selepas jasad diceraikan dari roh.

Itulah yang menjadikan masa teramat penting.

Penting untuk roh sebenarnya. Oleh kerana roh memerlukan jasad yang ada jangkahayat untuk hidup dalam dunia ini, maka masa menjadi penting untuk roh selama kita ada di dunia.

2 azam 2016 yang penting

Meleret panjang pula saya sampai ke bab roh dan jasad. Tetapi perlu disebut sebab nak tunjukkan betapa pentingnya azam yang nak saya sebutkan nanti.

Kali ini saya nak cakap pasal 2 azam 2016. Azam itu penting untuk pembinaan jiwa kita selama masa masih ada atas muka bumi ini.

2 azam 2016 ini, yang seandainya dijadikan sebagai azam, terhadap mereka yang belum buat lagi kedua-duanya, insyaallah bakal mengubah kehidupan anda dalam masa 5 tahun lagi daripada sekarang.

Ertinya, anda bakal berubah menjadi hebat pada tahun 2021 nanti, insyaallah.

Memang tak banyak.

Hanya 2 azam sahaja yang saya nak cadangkan agar semua melaksanakannya. Saya sebutkan dua azam tersebut di bawah:

  1. Jalan kaki sekurang-kurangnya 30 minit setiap pagi – penting untuk kesihatan jasad dah roh.
  2. Baca buku 30 minit di setiap permulaan hari – penting untuk perkembangan roh dan penggunaan jasad.

Azam 2016 #1 – Jalan kaki 30 minit setiap pagi

Sudahkah anda amalkan jalan kaki atau brisk walk atau jogging setiap pagi ?

Mungkin ada banyak jawapan.

Ada yang dah jogging atau buat senaman lain secara rutin sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Tapi biasa buat amalan itu pada waktu petang.

Berkemungkinan ada ramai yang menjawab memang nak buat tapi masa tidak mengizinkan.

Bagi mereka yang dah amalkan senaman sekurangnya 3 kali seminggu tapi hanya pada waktu petang. Saya cadangkan anda selitkan juga senaman setiap pagi. Samada ubah masa dari petang ke waktu pagi, atau kekal yang petang, tapi tambah waktu pagi pula.

Untuk golongan kedua yang memang nak buat, tapi memberi seribu alasan yang munasabah kenapa dia tak boleh buat, saya nak anda cuba hentikan memberi alasan sekarang.

Sebab kita nak cerita pasal azam tahun baru ni !, jadi marilah cari jalan bagaimana nak lakukannya.

2 langkah cari jalan azam 2016 #1

Sebagai permulaan untuk cari jalan bagaimana nak buat, anda boleh buat perkara berikut:

  1. Senaraikan alasan kenapa tak boleh buat – Ini tentunya perkara mudah. Sebab semua alasan itulah yang membuatkan anda tak buat selama ini, betul tak?. Jadi ambil pen, ambil kertas dan mula buat senarai satu persatu kenapa anda tak bleh amalkan jalan kaki setiap pagi 30 minit.
  2. Selesaikan halangan untuk setiap alasan yang diberikan – Bila dah ada alasan, cuba perah otak untuk membuang segala halangan yang ada dengan nekad mencari jalan. Ini satu ujian untuk melihat sejauh mana tahap kreativiti akal yang anda ada.

Contohnya alasan anda adalah masa tak ada sebab terpaksa hantar anak sekolah di awal pagi. Oleh itu halangannya adalah masa pagi digunakan untuk hantar anak ke sekolah.

Cuba tanya pula kenapa tak jalan kaki 30 minit terlebih dahulu sebelum hantar anak ?

Atau kenapa tak jalan kaki 30 minit selepas hantar anak ?

Mungkin anda akan berikan pula alasan selanjutnya untuk pertanyaan kenapa tak buat samada sebelum atau selepas hantar anak.

Mungkin alasannya nak kena bersiap dan sediakan sarapan untuk keluarga.

Bahas pula alasan itu kenapa dan bagaimana nak atasinya sampailah akhirnya anda tewas dan nampak jalan untuk mengamalkan jalan kaki 30 minit setiap pagi.

Kalau anda fokus pada cari jalan, sudah tentu anda akan nampak cara untuk realisasikan apa yang nak dilakukan.

Kalau anda tewas dengan alasan demi alasan, anda tak akan berubah.

Kenapa perlu amal jalan kaki waktu pagi

Tentu ada yang bertanya kenapa nak kena buat awal pagi juga?.

Awat!, tak boleh buat waktu petang ke ?

Sebabnya adalah waktu awal pagi merupakan masa terbaik untuk mulakan aktiviti jaga kesihatan. Tak ramai yang melakukannya dan kalau ada yang buat biasanya mereka adalah insan-insan yang hebat.

Cuba lihat siapa yang sering amalkan aktiviti jalan kaki setiap pagi. Biasanya orang tua-tua yang dah pencen kerja.

Dan mereka bukan sebarang pencen, biasanya pencen dari jawatan yang tinggi. Punya kedudukan yang baik dalam masyarakat dan punya tahap kesihatan yang baik berbanding mereka yang seumur dengan mereka.

Kalau ada yang masih muda tapi dah amalkan aktiviti senaman awal pagi sebelum pergi kerja, mesti samada mereka usahawan yang berjaya (atau bakal berjaya) atau pekerja makan gaji yang berjaya (atau bakal berjaya).

Jalan kaki awal pagi segar satu hari

Setiap kali anda mulakan hari dengan senaman seperti jalan kaki (brisk walk) di awal pagi. Tubuh badan anda akan kekal bertenaga lanjut sehingga 8 atau 12 jam seterusnya.

Pembakaran tenaga akan berterusan dari awal pagi waktu anda bersenam itu sehinggalah ke petang.

Itu membuatkan anda lebih peka ketika bertugas nanti selepas bersenam. Minda juga akan lebih fokus dan cekap. Semangat juga akan lebih tinggi.

Aktiviti jalan kaki atau bersenam awal pagi ini seumpama anda charge bateri telefon pintar sampai full bar. Bila kita tengok tahap bateri full bar, semua kerisauan akan hilang, tak perlu fikir pasal bateri nak habis lagi.

Sama juga bila dah isi minyak kenderaan sampai penuh. Rasa lega tak perlu fikir pasal nak kena isi minyak lagi dan nak kena fikir nak cari kat mana stesen minyak.

Dalam keadaan segar dan peka sebegitu, anda mampu kawal stress dengan mudah. Ini mengelakkan masalah kesihatan lain yang ada hubung kait dengan tekanan, seperti darah tinggi, lemah jantung dan seumpamanya.

Tak payah nak cerita panjang lah rasanya.

Yang penting senaman awal pagi ini membuatkan anda segar sepenuh hari sampai petang berbeza daripada jika tak bersenam di awal pagi.

Jadi, cari jalan juga sampai dapat supaya tahun 2016 ini, amalan itu menjadi tabiat diri.

Anda akan lebih produktif dan lihat selepas 5 tahun lagi perubahan yang akan berlaku pada diri anda.

Langkah selanjutnya

Samada dah mula dapat amalkannya atau tidak. Minggu ini anda perlu buat perkara berikut:

  1. Pergi beli kasut – Jangan kemut duit untuk beli kasut sukan. Beli yang mahal sikit supaya kalau anda tak buat senaman, anda akan rasa bersalah. Bajet dalam RM150 ke RM200 untuk beli kasut berkualiti. Sekarang ada banyak jualan murah sampai diskaun 70%, pergi dapatkannya.
  2. Sediakan kelengkapan lain – Beli stokin, beli, pakaian tshirt sukan yang selesa dan seluar track yang selesa. Sediakan pakaian untuk 2 pasang sebab anda perlu bertukar dua kali dalam masa seminggu. Nanti bagi alasan pakaian basuh pula untuk hentikan senaman.
  3. Setting gadget kesihatan – Dalam telefon pintar ada apps yang banyak untuk pantau berapa langkah perjalanan kaki anda setiap hari. Saya pakai app Fitbit. Ada apps lain yang free, download dalam telefon pintar anda untuk dibawa bersama setiap kali jalan kaki di awal pagi. Sasarannya adalah untuk dapat sekurangnya 5 ribu langkah setiap pagi.

Nota:

Untuk kekal sihat, jumlah langkah yang seseorang perlu berjalan seminggu adalah sebanyak 70 ribu langkah. Ertinya sehari kita kena jalan 10 ribu langkah. Jika setiap hari dimulakan dengan 5 ribu langkah atau lebih, maka untuk mencapai 10 ribu langkah lebih mudah. Asalkan kita sentiasa cari jalan untuk berjalan kaki dan kurangkan naik kenderaan.

Sedikit panduan jalan kaki awal pagi

  • Mulakan dengan sedikit senaman regangan ringan sebelum jalan kaki. Mulakan dengan berjalan perlahan ala-ala kangkung macam makan angin. Sedut udara nyaman sambil nikmati suasana pagi yang indah itu.
  • Jalan kaki di taman di mana ada banyak tumbuhan hijau. Kat taman perumahan biasanya ada padang permainan. Jalan kaki kat situ saja dan tak perlu pergi jauh-jauh ke taman khas untuk bersenam.
  • Biarkan otak berfikir apa yang dia nak fikirkan. Pastikan anda berada dalam keadaan sedar dan dapat melihat apa yang otak anda sedang fikirkan. Jika otak melayang ke arah fikiran negatif, jangan risau, perhatikan saja fikiran itu dan rasakan emosi anda ketika itu. Anda boleh memilih samada nak teruskan fikir negatif atau nak fkirkan yang positif pula, asalkan anda berada dalam kawalan dan sedar apa yang sedang difikirkan.
  • Kalau tak tahu apa nak fikir, berzikir. Samada menyebut nama-nama Tuhan yang indah-indah itu atau memujiNya dan fikirkan kebesaran Tuhan sepanjang berjalan.
  • Selepas jalan kaki lenggang kangkung, mula hayun tangan angkat sampai paras atas dari bahu. Biar secara harmoni. Ini akan membuatkan langkah anda secara automatik menjadi laju.
  • Kekal berterusan sebegitu sampai 30 ke 45 minit.
  • Bila tamat, sekali lagi buat senaman regangan yang lebih lama. Buat senaman berat sikit seperti duduk dan bangun atau push-up (10 x 3 kali) atau mendagu (5 x 3 kali).
  • Selepas selesai semua itu balik ke rumah dan minum air kosong satu gelas dan bersedia untuk bersiap.

Azam 2016 #2 – Baca buku 30 minit permulaan hari

Berapa ramai yang jadikan amalan baca buku sebagai amalan kehidupannya ?

Kalau nak ikutkan data kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya sebelum ini, rakyat kita paling malas membaca buku.

Malah pensyarah di universiti juga malas baca buku walaupun baik sikit daripada orang biasa.

Ringkasnya tahap membaca rakyat negara kita amat rendah jauh berbanding dengan rakyat negara lain yang maju.

Kalau anda nak tahu, purata para CEO dari syarikat hebat luar negara membaca buku dalam lingkungan 5 naskah buku sebulan !.

Kalau nak jadi macam mereka, anda perlu baca buku dalam lingkungan banyak itu sebulan. Tapi jika anda hanya baca buku sebuah sahaja sebulan, ia dah mengatasi majoriti rakyat Malaysia.

Ingat !, anda jauh lebih bagus daripada majoriti orang Malaysia dengan membaca hanya senaskah buku sebulan.

Kalau ada aktiviti yang boleh saya katakan yang banyak membantu saya membuat perubahan dalam hidup, ianya tak lain dan tak bukan adalah aktivi atau amalan membaca.

Peruntukkan sekurang-kurangnya RM1 ribu untuk beli buku setahun. Itu semua dapat pengecualian cukai pendapatan. Jadi tak rugi sedikitpun, malah berbaloi.

Nak baca buku apa

Untuk mereka yang baru nak berjinak nak jadikan amalan membaca sebagai tabiat diri, tak perlu nak pening dengan persoalan nak baca buku apa.

Sasaran paling penting buat sementara waktu ini adalah untuk jadikan tabiat membaca buku sebagai amalan harian terlebih dahulu.

Oleh itu pastikan anda cari buku yang menarik minat anda untuk membacanya. Asalkan ianya bukan jenis novel cinta rekaan, majalah atau surat khabar sudahlah.

Takkan tak ada apa-apa yang anda minat ?, biasanya saya akan cadangkan untuk cari buku berkenaan biography seseorang yang anda kagum.

Baca riwayat hidupnya, baca perjalanan dan ranjau kehidupannya dan baca cara pemikirannya.

Bila dah lekat amalan membaca

Bila anda dah selesa dengan amalan membaca, mula pula bacaan terhadap buku ilmiah yang berat tetapi amat baik untuk perkembangan minda.

Anda boleh pilih buku berkenaan pengurusan masa, motivasi, bagaimana insan berfikir, kepimpinan, perniagaan, pemasaran, teknologi, falsafah dan lain-lain seumpamanya.

Kalau tak pasti nak mula bacaan berat dalam jurusan mana, mulakan dengan membaca Tafsir Quran berserta dengan huraian dan interpretasi. Saya cadangkan Tafsir Al-Azhar tulisan Prof Hamka yang lengkap 30 juzuk.

Untuk buku-buku ang berat sebegitu yang melibatkan pengetahuan dan perkembanan minda, pastikan anda membacanya di awal pagi permulaan hari.

Masa mana nak membaca di awal pagi

Masa nak mula membaca bacaan berat dan penting itu terpulang pada diri masing-masing. Samada selepas solat subuh atau selepas melakukan amalan jalan kaki di atas tadi.

Anda juga boleh baca di tempat kerja sebelum mula melakukan tugasan. Kalau nak baca di tempat kerja, pastikan sampai awal 30 minit sebelum masuknya waktu kerja formal.

Selepas selesai membaca selama 30 minit, barulah mula laksanakan kerja atau tugasan anda.

Selepas selesai membaca sebelum mula kerja

Paling baik, selepas selesaikan bacaan dan sebelum mula laksanakan tugasan, buat sedikit perancangan untuk hari tersebut.

Sediakan buku nota dan pen. Tulis apa nak buat sepanjang hari dan pastikan anda semak terlebih dahulu tugasan semalam.

Mungkin ada terlalu anyak kerja yang erlu ditunaikan, tak kisah. Senaraikan semua tugasan itu dan kemudiannya pilih mana yang paling penting untuk dilaksanakan.

Pilih urusan yang jika anda buat dan siapkan urusan itu, kerja lain jadi tidak penting dan mungkin tak perlu dilaksanakan lagi. Mulakan urusan yang paling sukar tapi anda tahu ianya penting.

Nekad untuk tidak terjerumus dengan kerja yang minda malas anda suka, iaitu kerja yang anda seronok lakukan seperti semak email, baca FB, baca akhbar, layari portal news dan seumpamanya.

Itu sedikit panduan dalam bab perancangan kerja, yang bukan menjadi tajuk utama kita kali ini. Insyaallah lain kali kita tulis artikel khas untuk itu.

Selamat tunaikan azam 2016

Begitulah sedikit panduan khas untuk azam 2016 tahun ini. Pastikan kita berusaha untuk cari jalan laksanakannya dan jangan cari alasan.

Akhir kata, saya ucapkan selamat tahun baru 2016 untuk semua pembaca yang mengunjungi blog hidupringkas.com

Saya doakan agar tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun yang lalu untuk semua. Doakan juga untuk saya.

Ikhlas,

Mohd Shubhi Abdul

Total
33
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge