_DSC6339Bagaimana anda mulakan kehidupan anda setiap hari di waktu pagi? apakah amalan rutin anda setiap pagi sebelum bersiap dan bergegas melaksanakan tugasan.

Mungkin ramai yang bangun setiap pagi, solat subuh, kemudiannya mula kelam kabut bersiap untuk pergi kerja. Hantar anak ke sekolah, pergi ke pasar, beli sarapan dan sebagainya.

Mungkin ada juga yang relaks sikit selepas tunaikan solat subuh dengan sambung tidur sebentar sebelum bangun semula untuk ke tempat kerja atau keluar minum dengan kawan di kedai kopi.

Atau mungkin juga ada yang tak bangun solat subuh pun, tidur panjang sampai matahari terang menyuluh masuk ke tingkap rumah di sebabkan semalamnya tidur lewat terlajak berborak dengan rakan-rakan lepak.

Walau apapun cara anda mulakan kehidupan setiap hari, yang pentingnya mulakan pada waktu pagi. Jangan mulakannya pada waktu tengahari. Ada banyak perbezaan yang dapat anda rasakan jika hari dimulakan pada waktu pagi.

Amalan baik dengan peruntukkan waktu pagi buat diri sendiri

Sebagaimana yang saya gambarkan di atas tadi, kebanyakan daripada orang ramai akan terus kelam kabut laksanakan tugasan mereka, untuk orang dan bukannya untuk diri sendiri setiap bermulanya awal pagi.

Waktu yang diperuntukkan sebelum bangun itu, boleh dikira sebagai peruntukan untuk diri sendiri dari segi memulihkan tenaga dalam dan fizikal yang diperlukan oleh tubuh badan.

Namun begitu ianya perlu dilengkapkan lagi dengan peruntukkan masa untuk diri sendiri bagi membina mental dan memberikan kekuatan pada daya tumpuan minda anda.

Oleh itu, saya cadangkan agar anda semua peruntukkan satu jam selepas bangun dari tidur untuk diri sendiri bagi melakukan 3 amalan baik yang akan saya kongsikan di bawah nanti.

Jika anda bangun lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Pastikan bangun sejam lebih awal dari waktu azan. Peruntukkan masa sejam tersebut untuk mantapkan minda dan mengasah ketajaman fikiran dan melatih daya tumpuan.

Jika anda bangun tepat waktu solat subuh pula, solatlah dulu samada di masjid atau surau atau bersama dengan keluarga di rumah, dan selepas selesai semua itu, pencilkan diri sendirian untuk peruntukkan masa selama sejam khas buat diri anda sendiri.

3 amalan baik untuk dijadikan tabiat rutin setiap pagi

Telah saya katakan tadi, hanya tempoh masa sejam sahaja yang anda perlu untuk melakukan 3 amalan baik khas untuk diri anda sendiri ini.

Dalam tempoh tersebut, jangan ada gangguan. Ia mesti dilaksanakan secara berterusan selama sejam sampai habis dengan tenang tanpa gangguan.

Apa yang anda perlu lakukan adalah seperti berikut:

  1. Peruntukkan lebih kurang 1/3 dari masa untuk senaman ringan. Anda boleh pilih senaman ringan yang anda suka. Boleh buat regangan, push-up, pump-in, skipping, angkat besi, atau amalkan senaman mantapkan pinggang dan tulang belakang dari petua di sini.
  2. Peruntukkan sepertiga berikutnya pula untuk menyemak sasaran kerjaya atau kehidupan anda. Oleh itu, perlu ada buku nota. Perlu ada sasaran tertulis dalam buku nota itu. Perlu ada strategi dan taktik bagaimana anda mahu mencapai sasaran yang telah anda gariskan. Gunakan masa dalam 20 minit itu untuk semak semula, fikirkan semula apa-apa yang patut dan juga untuk muhasabah pencapaian yang telah terbina.
  3. Peruntukkan sepertiga terakhir untuk membaca. Paling baik adalah dengan habiskan terjemahan Al-Quran berserta tafsirannya daripada Tafsir Al-Azhar, Hamka atau lain-lain yang menjadi pilihan anda. Jika anda dah habiskan keseluruhan 30 juzuk tafsir Al-Azhar itu, anda boleh baca buku non-fiction lain. Motivasi, pengurusan, pemikiran, biography, Sirah, atau lain-lain yang boleh menjadikan minda anda berkembang.

Mulakan kehidupan biasa selepas amalan baik di atas

Sebaik sahaja anda habis melakukan kesemua yang saya sebutkan di atas tadi, bolehlah anda mulakan aktiviti harian seperti biasa semula.

Bagi diri saya, biasanya akan terus bersiap pakai pakaian sukan dan turun ke bawah untuk berjalan kaki selama satu jam di sekeliling taman. Kadang-kadang isteri akan turut serta dan anak-anak juga akan turut sama di waktu cuti sekolah.

Saya dan isteri akan berjalan sekeliling padang dan anak-anak pula akan buat aktiviti mereka sendiri samada main bola, main buaian atau naik basikal.

Bila habis senaman satu jam itu, saya akan pergi dapatkan sarapan untuk semua, bersarapan dan seterusnya barulah bersiap untuk keluar ke pejabat.

Walau apapun, yang anda lakukan samada kerja makan gaji atau jadi usahawan, cuba ubah cara bagaimana anda mulakan waktu pagi anda sekarang. Peruntukkan satu jam untuk lakukan 3 amalan baik yang saya saran di atas tadi sehinggalah ianya menjadi tabiat sebati dalam diri.

Jika amalan baik tersebut dah jadi sebati dalam diri. Anda tak puas jika tertinggal amalan baik tersebut, membuatkan minda akan sentiasa berusaha sediakan diri agar amalan baik itu tak terlepas.

Bayangkan jika setiap hari amalan baik itu berjalan lancar. Apa akan berlaku selepas seminggu, selepas sebulan, selepas setahun dan selepas 3, 5, 10 tahun…!

Insyaallah dengan amalan baik itu, saya yakin anda akan jadi apa yang telah anda sasarkan dalam buku nota yang anda semak setiap pagi itu. Insyaallah. Moga saya mampu kekalkan amalan baik di atas, begitu juga anda.

Total
66
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

  1. kiranya 1 lagi boleh saya tambah, yaitu biasakan bangun tidur minumlah air putih 1 gelas insyaalh untuk memperpanjang umur kita.amin . sukses selalu menyertai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge