makan, rehat dan bersenam penting untuk berjayaAda 3 perkara asas yang usahawan perlu jaga dalam kesibukan membina perniagaan mereka. Walau macam mana sibuk sekalipun 3 perkara asas ni tidak boleh terlepas pandang dengan apa alasan sekalipun.

Bila dah jadi usahawan, kita sedia maklum bahawa fokus utama usahawan adalah untuk menaikkan syarikat atau perniagaan mereka. Setiap waktu otak usahawan akan cuba memikirkan bagaimana nak tambah pendapatan dan dalam masa yang sama bagaimana nak kurangkan kos.

Berdasarkan matlamat nak tambah pendapatan dan kurangkan kos tersebut, maka idea dijana dari segala maklumat yang ada untuk digabungkan menjadi satu percubaan terbaik.

Bila idea dah ada, usahawan akan melaksanakannya dan hasil dari perlaksanaan itu dikumpulkan pula segala maklumat atau data untuk dianalisa.

Setelah penganalisaan dibuat, perubahan atau pembaikan terhadap idea awal tadi dilakukan dan diaplikasikan lagi. Hasilnya dianalisa pula dan dibuat lagi penambah baikan, dan idea diperbetulka lagi. Begitulah berterusan aktiviti yang akan dilakukan selagi perniagaan tersebut mahu diteruskan.

Kesemua aktiviti yang disebutkan di atas memang mengasyikkan. Walaupun nampak hanya satu proses yang mudah yang mempunyai 3 langkah sahaja, tetapi ia banyak menghabiskan masa para usahawan. Sehari habis, datang seminggu, datang pula sebulan dan datang pula setahun. Sedar-sedar masa berlalu dan setahun dirasakan seperti sebulan saja.

Sebab itu jika kita tidak letakkan keutamaan pada 3 perkara asas yang usahawan perlu jaga dari awal, kita akan hanyut. Berikut saya kongsikan 3 perkara asas yang semua para usahawan perlu jaga, saya, anda dan semua.

3 perkara asas yang usahawan perlu jaga

Bila dah dinamakan perkara asas, ianya memang asas sangat dan sebenarnya semua orang tahu. Tapi tahu tidak bermakna kita tidak akan terlepas pandang. 3 perkara asas tersebut adalah:

Perkara asas #1 : Makan

Tenggelam dalam kesibukan bekerja kadangkala membuatkan usahawan terlupa nak makan. Kelaparan yang sedikit tidak terasa sehinggalah bila tenaga dah macam nak habis, baru tersedar bahawa kita belum makan.

Ada juga yang makan apa saja ikut selera perut. Bila sehari bertemu dengan 10 orang yang berbeza, maka pertemuan akan diatur bersama dengan makan minum di kedai. Maka usahawan yang tak jaga makan akan makan dan minum sebanyak 10 kali juga.

Makan pula bukan main-main, semuanya makanan berlebihan yang tidak diperlukan oleh badan. Ada usahawan merasakan duit hasil dari usaha penat mereka perlu dinikmati dengan konsep tak perlu berkira nak makan sedap.

Boleh makan sedap, tapi bukannya bermakna makan berlebihan sampai badan membesar berlebihan dari yang sepatutnya.

Jagalah makan untuk memastikan perjalanan kita sebagai seorang usahawan dapat dinikmati dengan optimum. Ambil masa untuk mendapatkan sedikit sebanyak tips pemakanan yang baik dan amalkannya.

Jangan lupa untuk berpuasa sunat. Kalau boleh seminggu dua kali. Kalau tak mampu sebulan 3 kali. Ia perlu diamalkan juga sedaya mungkin untuk meningkatkan daya keazaman dan menanam disiplin dalam diri.

Kajian menunjukkan mereka yang memotong sebanyak 30% jumlah kalori yang diambil dari biasa dalam pemakanannya akan menjadi jauh lebih sihat dan kuat serta bersemangat.

Perkara asas #2 : Rehat

Rehat bagi sesetengah usahawan adalah perkataan yang menakutkan. Jika masa diambil untuk rehat takut akan terlepas peluang. Berbagai ketakutan timbul yang membatkan para usahawan tak mahu rehat.

Ada kawan-kawan usahawan yang anggap tidur adalah sesuatu yang merugikan. Mereka akan berjaga dari subuh sampai pukul 3 atau 4 pagi. Tidur hanya dua tiga jam sahaja sehari dan muka kelihatan seperti zombie.

Mereka yang sering amalkan aktiviti berjaga panjang ini lama kelamaan akan bermuka hitam dan kemasai. Perjalanan sistem penghadaman juga akan terganggu dan ia bakal menimbulkan berbagai-bagai penyakit.

Banyak contoh orang yang tak jaga jumlah tidur atau rehat yang cukup berakhir dengan pendek umur. Kalau pendek umur mati mengejut masih ok lagi. Tapi kalau panjang umur dan merana dengan berbagai penyakit hanya menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Rehatlah dalam linkungan 7 atau 8 jam sehari. Tidur yang mencukupi seumpama aktiviti mengisi minyak ke dalam tangki kereta dengan penuh. Bila dah penuh berjalanlah ke mana yang kita mahu dan tidak perlu untuk fikirkan untuk mengisi minyak lagi.

Perkara asas #3 : Bersenam

Ini satu lagi yang bukan saja para usahawan tak pernah jaga, malah hampir semua orang samada yang kerja makan gaji atau tak ada kerja susah nak amalkan.

Badan kita dibentuk untuk lebih banyak bergerak daripada duduk saja. Orang yang mati disebabkan kurang bergerak jauh lebih ramai berbanding daripada kematian yang disebabkan oleh berbagai penyakit merbahaya di seluruh dunia.

Aktiviti berjala kaki setengah jam atau satu jam setiap pagi terlalu banyak manfaatnya untuk para usahawan. Bila dah jadi usahawan, kita ada kelebihan menyusun masa kita sendiri.

Oleh itu adalah sesuatu yang amat merugikan jika masa itu tidak diperuntukkan sedikit untuk bersenam dengan berjalan pagi setiap pagi sebelum melaksanakan tugasan perniagaan.

Bersenam dapat menyegarkan minda. Kesegaran minda mampu membuatkan aktiviti berfikir dan menganalisa segala aktiviti perniagaan kita dengan lebih tepat, cepat dan mantap. Itulah yang amat berguna bagi semua usahawan yang mahu berjaya.

Jangan lupa 3 perkara asas yang usahawan perlu jaga

Janganlah kita pandang remeh akan 3 perkara asas yang usahawan perlu jaga di atas. Isinya mudah dan anda semua boleh kembangkannya dengan lebih terperinci.

Buat kajian, carilah bahan bacaan untuk perbaiki amalan 3 perkara asas tersebut di atas. Tidak ada perkara yang lebih baik untuk dikecapi dalam kehidupan sebagai seorang usahawan selain daripada berusaha menjalani kehidupan yang seimbang.

Bila kita mendisiplinkan diri dengan memasukkan 3 perkara asas di atas dalam kehidupan sebagai usahawan, masa akan menjadi pendek dan penuh dengan aktiviti.

Masa yang pendek ini membuatkan kita terpaksa merancang semua pergerakan dan usaha kerja kita. Ini membuatkan hanya kerja yang memberikan kesan paling tinggi terhadap usaha kita sahaja akan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan.

Memang terlalu banyak kerja penting yang kita nak buat, tetapi bukan semua kerja penting itu kita yang mesti buat. Buat hanya kerja paling penting yang kita cekap dan banyak hasil dan selainnya serahkan pada orang lain. Insyaallah perniagaan akan berkembang dengan lebih baik lagi.

Moga kita semua dapat mengamalkan 3 perkara asas yang usahawan perlu jaga di atas, Insyaallah!

Total
3
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge