hidup bebas dari hutang

Ada tak cara yang paling mudah untuk diamalkan, supaya kita mampu hidup bebas dari hutang dari muda sampai ke tua?

Untuk anda yang dah menjangkau umur 40 tahun ke atas, mungkin dah terlambat untuk amalkan petua macam itu, kalau ada. Namun begitu, masih tetap berguna untuk diserapkan pada anak-anak atau saudara mara yang masih muda dan masih belum terjebak di dalam perangkap hutang.

Tapi, jika anda masih lagi muda, umur bawah 30 tahun terutamanya, tentu amat memerlukan petua paling mudah yang boleh diamalkan supaya hidup bebas dari hutang.

Lebih-lebih lagi jika anda baru tamat sekolah menengah.

Masih muda dan belum masuk sambung mengaji di mana-mana pusat pengajian tinggi yang ada di Malaysia atau di luar negara.

Golongan sebegini saya yakin amat perlukan petua yang saya rasakan paling mudah dan berkesan untuk membesar dan hidup bebas dari hutang sampai ke tua.

Bebas dari hutang impian utama

Bebanan hutang adalah satu masalah kronik yang dihadapi oleh manusia zaman moden ini.

Kita mungkin bebas dari menjadi hamba sahaya. Sistem perhambaan manusia kepada manusia dah pupus. Tapi setelah terlepas bebas dari menjadi hamba kepada sesama manusia. Orang moden telah dibelenggu pula dengn menjadi hamba kepada wang.

Terpaksa kerja sampai hilang kudrat sebab diikat oleh keperluan terhadap wang. Terpaksa kerja sampai tua sebab terpaksa tanggung hutang rumah dan berbagai jenis hutang lagi. Kerja kuat bukan untuk tambah duit, tapi untuk selesaikan hutang.

Bagi anda yang masih muda, masih ditanggung hidup oleh ibubapa, elok sangat jika bermula dari sekarang, jadikan bebas dari hutang sebagai sasaran dan prinsip utama hidup anda. Sementara masih suci, bebas dari belenggu hutang, elok jangan sampai terjebak.

Cara untuk bebas dari hutang

Petua paling mudah untuk pastikan anda bebas dari hutang sudah tentu adalah “jangan berhutang!”.

Walaupun petuanya amat mudah dan sudah pasti semua orang bersetuju dengan idea tersebut, tapi kenapa terlalu sedikit yang mampu amalkannya?

Saya rasa, punca utama adalah disebabkan semua orang dah selesa menerima keadaan sedemikian. Berhutang dah jadi amalan biasa yang diamalkan oleh majoriti besar umat manusia di seluruh dunia. Sistem ekonomi yang ada di seluruh dunia juga amat menggalakkan orang ramai berhutang.

Bukan saja rakyat digalakkan mengambil risiko berhutang, malah kerajaan besar-besar seperti Amerika umpamanya berhutang dalam jumlah yang amat tinggi. Hampir semua kerajaan yang ada di dunia ini berhutang.

Mereka berharap, dengan menggunakan duit hutang tersebut, pembangunan dilakukan, dan hasil dari pembangunan itu akan mampu membayar duit hutang. Kita juga macam tu. Belanja dahulu walaupun duit tak ada dalam poket. Guna kad kredit. Beli dan pakai terlebih dahulu barang dan bayar perlahan-lahan.

Tapi kita tak semestinya perlu ikut apa yang majoriti orang ramai amalkan. Walaupun 1 billion orang buat sesuatu perkara yang salah, ia tidak akan sesekali membuatkan perkara itu jadi betul. Jadi buat cara kita sendiri dan bebaskan diri dari belenggu hutang sampai ke tua.

#1. Jangan belanja lebih dari pendapatan

Ini petua paling asas. Sentiasa sedar berapa pendapatan yang anda bawa balik setiap hari, minggu dan bulan. Kira dan faham betul-betul semua pendapatan yang anda ada. Dan pastikan perbelanjaan untuk menjalani kehidupan anda tidak melepasi jumlah pendapatan yang ada.

Sekali lagi! cakap mudah. Tapi kenapa masih ramai yang tak dapat nak buat?

Kawal emosi dari membeli

Punca utamanya disebabkan hampir keseluruhan aktiviti pembelian, keputusan dibuat berdasarkan emosi. Bila emosi dan tentukan mahukan sesuatu, akal rasional digunakan hanya untuk mencari alasan kenapa perlu beli.

Cara paling mudah untuk atasi pembelian berdasarkan emosi tersebut adalah dengan tangguhkan pembelian kemudian. Jika anda teringin nak beli sesuatu ketika window shopping, jangan terus beli. KIV terlebih dahulu dan segera tinggalkan tempat itu.

Tapi jika anda jenis yang tak boleh tahan. Elakkan terus dari window shopping. Elakkan terus layari portal pembelian online dan lain-lain seumpamany. Jangan tengok iklan tepi jalan atau iklan kat TV, kat media sosial, kat internet dsn lain-lain lagi. Habis cerita!

Latihan berpuasa sunat

Pastikan anda hanya membeli secara tunai. Elak terus dari menggunakan kad kredit, jika anda jenis yang susah kawal penggunaannya.

Satu lagi cara berkesan untuk kuasai emosi adalah dengan mengamalkan puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Ketika berpuasa layan tengok makanan, layan ke pasar malam dan tahan dari membeli sebab anda berpuasa. Bayangkan bila anda buka puasa nanti. Makan nasi sepinggan dan air segelas dah kenyang dan tak mahu makan apa-apa lagi. Begitulah anda latih menekan emosi.

Elak menunjuk kat orang

Ada banyak juga sebab pembelian berlaku hanya untuk nak menunjukkan kat orang lain. Anda sendiri tahu tak ada gunapun beli sesuatu sebab nak tunjuk pada orang lain apa yang kita mampu.

Ada juga yang membeli sebab nak tunjuk pada orang yang kita tak suka. Yang mungkin merendah-rendahkan kita. Kalau membeli untuk menunjuk pada orang yang kita sukapun perlu dielakkan, apatah lagi sebab nak tunjukkan pada orang yang kita tak suka.

Nilai diri anda ada di dalam dada. Ada pada karakter diri, kebijaksanaan diri dalam menentukan apa yang baik dan apa yang bri untuk diri sendiri. Bukannya pada apa yang anda pakai, bukan pada gaya rambut, atau pakaian yang ada pada badan. Pegang prinsip itu dan insyaallah anda akan hidup bahagia.

#2. Jangan sesekali beli kereta baru

Ramai impian anak muda yang baru dapat kerja, nak beli kereta baru. Rujuk semula pada bab nak menunjuk kat orang lain di atas itu. Jangan buat kerja tak bijak macam itu.

Tak ada kereta baru yang anda beli kekal harganya sebaik saja anda bawa keluar dari kedai kereta. Nilainya terus menjunam sehingga ke tahap 70%. Jangan terpengaruh dengan iklan pembuat kenderaan yang memang dah cekap menghasut orang ramai beli kereta baru.

Fokus pada nilai kewangan sahaja sebelum dan selepas beli.

Lebih baik beli kereta terpakai yang dah berusia dalam lingkungan 5 tahun. Harganya jauh lebih murah dan kualitinya masih utuh jika kena pada modelnya. Pilih Honda atau Toyota yang terbukti paling kurang masuk workshop.

#3. Tak payah masuk universiti jika tak perlu

Cadangan ini mungkin agak kontroversi sikit. Dan mungkin ramai yang akan hentam saya dengan cadangan ini.

Tapi itulah hakikatnya sekarang. Apa yang anda belajar kat universiti selama 5 tahun itu majoriti besarnya tidak membantu anda untuk dapatkan kerja yang baik. Nasihat biasa sebelum ini, masuk universiti dan keluar dapat kerja bagus dah jarang berlaku.

Yang pastinya, sebaik saja anda masuk universiti, anda dah terpaksa berhutang untuk menyara kos pengajian. Kemampuan untuk membayarnya masih belum pasti. Belum kerja dah berhutang!

Lebih baik terus pergi kerja dengan bermula dari bawah. Pengalaman jauh lebih bernilai dari kertas kosong ijazah atau diploma. Jika anda memang punya akal yang bijak, belajar dari praktikal adalah lebih baik dari belajar teori yang akhirnya satupun tak diguna pakai bila kerja nanti.

Tapi jangan tinggal aktiviti belajar ilmu baru. Beli buku, pergi seminar, pergi kursus, dan lain-lain lagi yang menawarkan ilmu praktikal untuk kegunaan kerjaya.

#4. Tanam tabiat menyimpan 10% dari pendapatan

Sebaik saja anda mula kerja, sikit macam manapun gaji yang anda dapat, pastikan simpan dalam lingkungan 10% daripadanya. Amalkan tabiat menyimpan apa saja pendapatan yang anda buat.

Jangan belanja dahulu kemudian baru simpan bakinya.

Pastikan perkara pertama yang anda buat adalah simpan dahulu 10% dan belanja bakinya. Jadikan itu amalan hidup ampai ke mati. Bila dah mula ada duit, mula ambil tahu pasal melabur. Jangan pergi belanja duit simpanan sebelum ianya berjaya menghasilkan apa-apa puntungan tambahan.

Jangan makan induk, jangan juga makan anak kepada induk. Bila induk dah ada cucu, baru boleh dipertimbangkan untuk makan cucu. Harap anda faham kiasan saya itu.

Palaburan terbaik adalah menambahkan ilmu pegetahuan yang boleh menjana pendapatan. Kemudiannya membuka perniagaan sendiri dengan modal yang dah ada dan tak perlu berhutang lagi. Anda boleh buat macam itu jika selepas habis sekolah terus kerja.

Belajar selok belok kerja yang anda lakukan sehingga anda mampu menjadi takeh satu hari nanti. Selepas itu, rekrut mereka yang lebih pandai dari anda dalam jurusan tertentu untuk mantapkan lagi perniagaan anda.

Hidup aman bebas dari hutang

Bagi anda yang masih muda, dan ada impian untuk hidup bebas dari hutang, begitulah saranan saya.

Tak perlu risau nanti kalau semua orang buat macam itu, negara tak akan ada saintis, tak ada tenaga profesional dan lain-lain seumpamanya.

Sebab bukan semua rakyat Malaysia yang akan ikut saranan ini. Dan bukan ramai sangat rakyat Malaysia yang baca blog ini. Jadi tak payah nak risau.

Percayalah cakap saya, hidup memang aman jika bebas dari hutang!

Total
79
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

  1. salam tuan,

    bagi saya hal ehwal masuk universiti tu ada sedikit kebenaran apa yang tuan cakap.

    kdgkala ada orang (bukan semua), yg bercita-cita untuk berjaya seperti yang dinyatakan dalam silibus universiti. ada orang yang ingin berjaya dengan cara lain.

    dalam keadaan ekonomi yang mereka kata paling mencabar sekarang ni, apa yang tuan sampaikan adalah salah satu alternatif yang boleh digunakan sekiranya ingin bebas hutang.

    jika mahu sambung belajar ke peringkat lebih tinggi; sepatutnya kita semua sedia maklum tentang hal-hal hutang yang kita perlu buat itu.

    saya ada kawan yang tak menyambung pengajian ke pusat pengajian tinggi. dia beri saya satu analogi yang mungkin boleh diperkembangkan lagi.

    dia cakap, kau (maknanya saya) belajar degree dan kau telah invest 4 tahun utk ko ‘makan’ ilmu yang orang kumpulkan utk ko siap-siap. ko tak payah dah carik sendiri.

    sama juga, orang yang tak belajar. dia terpaksa invest tenaga (dengan bekerja) untuk mendapatkan ilmu yang ko ada secara sedikit-sedikit dan kadangkala rugi; contohnya kerja lebih duit sikit atau bekerja tapi tidak dibayar gaji.

    jadi sebenarnya sambung belajar tu adalah short cut kepada perjalanan hidup thats why we need to invest.

    walaubagaimanapun, sekiranya saya diberi pilihan samada untuk sambung belajar atau bekerja. pada masa ini saya pilih untuk sambung belajar dan tidak merungut dengan hutang yang saya pegang.

    sebab cita-cita saya memang memerlukan saya untuk belajar pada peringkat ijazah untuk merealisasikannya.

    itu ja pendapat saya.

    wallahualam.

  2. alam tuan, saya silent reader blog tuan yg sgt bermanfaat, saya ada satu soalan, sy masih berumur 19 thn, dan sy agak bersetuju dgn cadangan xperlu masuk university, sebelum artikel ini disiarkan lagi, cuma, sy rse, bagaimana penerimaan masyarakat, lebih2 lagi kalau nak propose wanita yg mempunyai degree? tuan boleh bantu sy x? thank you tuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge