terus terangSikap berterus terang merupakan satu sikap yang terpuji. Banyak faedahnya jika anda amalkan sikap berterus terang.

Orang yang menjadikan sikap berterus terang sebagai amalan hidupnya biasanya jauh berbeza meninggalkan orang lain dari segi pencapaian hidup mereka.

Namun itulah antara sifat yang jarang ada pada masyarakat kita. Kebanyakan orang lebih suka berlapik dan berbelit-belit dalam menyatakan perkara sebenar. Malah kebanyakan orang lebih suka memendam rasa dan biarkan perasaan itu membesar menjadi barah dalam minda.

Antara masyarakat yang saya biasa bergaul adalah masyarakat Arab dan Perancis. Mereka punya sikap berbeza dalam bab berterus terang ini. Ini dah jadi amalan biasa dalam masyarakat mereka.

Orang Arab contohnya (rakan-rakan Arab yang saya kenali di Eropah), akan sentiasa melepaskan saja apa yang mereka fikirkan terhadap sesuatu perkara tanpa berlapik. Begitu juga orang Perancis, mereka lebih suka berterus terang tanpa berbelit-belit menyampaikan pendapat atau tegursn mereka.

Sikap ini memudahkan perjalanan hidup mereka terutamanya dalam mencari perkara sebenar terhadap sesuatu isu. Ia banyak membantu sesama kita membetulkan perhubungan dan kehidupan.

Terpaksa berterus terang

Oleh kerana saya dah terlanjur menjadikan khidmat membantu para usahawan untuk berjaya dalam perniagaan mereka sebagai salah satu dari aktiviti hidup, maka saya terpaksa bersikap berterus terang.

Maklum balas yang saya sering dapat adalah, saya jenis mulut laser. Apa saja isu yang berbeza pandangan di dalam fikiran saya, akan dilepaskan begitu saja tanpa berlapik.

Bagi yang tidak pernah langsung berhadapan dengan orang sedemikian, akan menganggap saya kurang sopan dan tidak pandai jaga hati orang.

Tapi ada juga yang menerimanya dengan positif sebab ada kebenaran berfakta dengan apa yang saya utarakan, tetapi melabelkan saya sebagai garang dan berbisa lidahnya.

Walaupun saya yakin sikap berterus terangmerupakan sikap yang perlu ada pada semua orang yang mahu berjaya dalam apa saja lapangan yang mahu diceburi, ia perlu ada cara yang betul untuk diamalkan.

Jika salah diamalkan, ia membawa padah terutamanya dalam masyarakat yang masih tidak biasa dengan amalan sikap ini.

5 langkah berkesan berterus terang

Saya masih berusaha untuk perbaiki cara pengamalan sikap berterus terang ini agar ianya lebih berkesan tanpa ada kesan sampingan yang memudaratkan pengamalnya.

Berikut saya kongsikan tips yang amat mujarab yang saya petik dari tulisan Dr. Michael Heah. Beliau merupakan seorang Coach dalam dunia korporat yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Dr. Michael Heah dilahirkan pada tahun 1952, berasal dari Teluk Intan dan aktif dalam dunia coaching di sebuah organisasi bernama Corporate Coach Academy.

Ini panduan yang diberikan oleh beliau;

  1. Minta kebenaran dahulu – Ini perkara asas yang penting lebih-lebih lagi dalam masyarakat kita yang suka memendam rasa. Dengan meminta izin, anda menyatakan rasa hormat anda pada orang yang anda mahu berterus terang.
  2. Nyatakan matlamat – Berikan matlamat baik yang anda mahu capai dengan berterus terang. Anda perlu berikan alasan kenapa ianya penting pada diri anda atau pada orang itu atau pada kedua-duanya sekali.
  3. Berterus terang pada isu bukan pada peribadi – Ini amat penting untuk diberikan perhatian besar setiap kali berterus terang. Berikan input terhadap isu dan bukannya terhadap sifat atau karakter orang yang anda berbual. Jangan berkata pendapat orang itu bodoh, sebaliknya katakan pendapatnya bertentangan dengan fakta sebenar. Atau jangan kata orang itu malas, sebaliknya fokus pada isu lambat menepati masa.
  4. Berikan cadangan – Selepas berterus terang, pastikan ianya diikuti dengan cadangan yang baik bagaimana mengatasinya atau membetulkan isu yang berlaku. Berikan juga cadangan kearah pembaikan berterusan.
  5. Dengar respon dengan sabar dan sopan – Hormati orang yang anda tegur dengan memberikan perhatian penuh pada apa responnya. Cuba fahami apa sebenarnya yang difikirkan olehnya. Jangan anggap orang lain berfikiran sama seperti anda. Cuba selami mindanya dan minta penjelasan supaya anda lebih faham.

Dunia sekarang menyaksikan hampir semua orang berani bersikap terus terang secara terbuka. Tapi bukan dengan cara berdepan.

Orang ramai menggunakan media sosial seperti Facebook untuk meluahkan perasaan mereka atau rasa tidak puas hati mereka dalam sesuatu perkara.

Ramai yang menutup rasa pengecut mereka dengan tidak memaparkan peribadi sebenar di profil mereka. Nama samaran, gambar diri yang palsu dan tidak relevan dan lain-lain lagi cubaan menyorok dari identiti tulin.

Ramai yang secara berterus terang menghamburkan perasaan mereka terhadap seseorang atau organisasi, dalam posting media sosial mereka.

Sebab itu dapat dilihat perubahan terhadap masyarakat kita yang lebih agak terbuka kerana terpaksa menerima hakikat bahawa bukan semua orang akan bersetuju dengan mereka.

Namun begitu cara berterus terang di media sosial banyak membawa mudarat. Faktor utamanya adalah cara berterus terang yang tidak betul dan lari dari matlamat asal.

Petua yang saya berikan di atas amat mujarab dalam menangani amalan berterus terang dalam kehidupan seharian kita. Samada dalam kerjaya, pada anak buah, pada pekerja atau dalam media sosial.

Point No. 3 di atas paling penting untuk diamalkan ! jika anda berterus terang di media sosial. Ketengahkan isu dan bukannya sifat atau karakter atau peribadi.

Tak payah sebut berlagak pandai, rasa alim, sombong, bodoh atau sebagainya. Hanya fokuskan pada isu yang mahu diterus terangkan dan berikan hujah atau fakta terhadap pandangan anda.

Semoga kita semua dalam amalkan dengan berkesan dan seterusnya dapat menjadikan sikap berterus terang ini sebagai budaya yang mampu mengubah tahap kejayaan masyarakat kita.

Total
23
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Assalamualaikum

    Kena bayar ke kalau nak minta nasihat tuan dalam perniagaan yang saya usahakan sekarang. Berterus teranglah. Kalau kena bayar berapa harganya. Sya nak tgk poket terus terang mmg tgh broke abis.

  2. Assalamualaikum..
    Memang sikap ini lah yang saya dok perhati ada pada kebanyakan orang yang berjaya yang pernah saya jumpa selain dari diri Tuan penulis sendiri . Saya sendiri pun masih jauh dengan sikap ini. Kena bersedia untuk menghadapi Tuan pemilik HidupRingkas ini dalam menimba ilmu dengan beliau.
    InsyaAllah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge