Kali pertama saya berhenti kerja untuk berniaga adalah pada tahun 1997. Masa itu saya kerja di sebuah kilang buat kenderaan di sebelah utara sana.

Tapi itu bukanlah kali pertama saya terjun berniaga. Pada tahun 1985 lagi ketika itu baru tamat tingkatan 5, saya dah mula berniaga. Masa itu buat bisnes burger untuk cari duit belanja sementara tunggu keputusan SPM.

Anak orang susah perlu pandai pakai akal untuk cari duit. Tambah pulak ayah dah meninggal sejak tingkatan 2 lagi. Jadi duit adalah sumber rare buat saya ketika itu.

Tak timbul bab saya minat bisnes tapi tak tau nak buat apa. Memang tak timbul lansung dalam keadaan persoalan utama yang ada dalam kepala adalah kat mana nak cari duit. Sebab itu kadangkala saya naik hairan bila mendengar orang kata dia memang minat berbisnes kemudiannya terus tanya soalan nak buat bisnes apa ya?

Bukan nak kata salah dengan pertanyaan orang yang sedemikian. Tapi sebab memang saya berniaga pada mulanya disebabkan tekanan untuk cari duit. Jadi saya memang tak boleh nak jawab bagaimana nak bantu mereka yang memang minat sangat nak berniaga tapi tak tau nak buat apa.

Rumusan saya dalam bab tersebut adalah, orang yang memang minat nak bisnes tapi tak tau nak bisnes apa, sebenarnya memang tak berapa ada masalah sangat dengan duit untuk hidup. Sebab itu tak wujud tekanan dalam otak untuk membuatkan mereka kreatif.

Ok! sambung balik cerita saya mula buat bisnes burger kat atas tadi.

Sebaik saja buat keputusan nak buat perniagaan burger ketika itu, sebab saya memang dah ada kemahiran untuk buat benda itu, maka saya terus cari jalan untuk mulakannya. Tak fikir pasal masalah lagi. Yang saya fikir adalah macam mana nak buka bisnes burger.

Habis satu persatu halangan saya tewaskan sehingga akhirnya terbukalah stall burger tu. Mula berniaga dan buat apa saja yang patut supaya bisnes untung dan meningkat. Jadi itu perkara pertama yang saya belajar masa berniaga.

#1. Jangan fikir panjang sampai tak bermula

Apa saja perkara yang anda nak buat terutamanya dalam bab nak berniaga, tak perlu fikir panjang-panjang itu dan ini. Nak sempurnakan persediaan dan sebagainya sebelum bermula tak akan bawa anda ke mana-mana.

Bila dah ada idea yang difikirkan bernas dengan sedikit perkiraan dan pemerhatian terhadap contoh-contoh yang ada, terus bermula dan jangan tunggu lagi. Melainkan idea bisnes anda itu memang tak ada lagi manusia kat mukabumi ini yang buat, mungkin anda perlu kaji semula dengan lebih mendalam.

Mesti ada pasal kenapa langsung tak ada manusia tak buat. Kalau ada kes macam itu, fikir panjang adalah perlu. Kalau tak, sediakan diri lebih kurang dan terus jalan. Mudah dan pantas. Kalau nak gagal, biarlah gagal dengan pantas supaya lebih cepat belajar.

Bila dah bermula, ada perkara yang amat penting dalam berbisnes. Malah bukan saja dalam bab bisnes, dalam bab lainpun macam itu juga. Perlu belayar ke depan dan sentiasa pegang steering untuk sentiasa imbangi arah tuju perjalanan tersebut.

Itulah perkara kedua yang saya belajar.

#2. Bergerak dan kawal perjalanan supaya sentiasa ke depan

Cuba naik basikal atau kereta tanpa pegang steering. Apa akan berlaku?

Kalau kenderaan anda bukan jenis yang automonomous yang sedang hangat diperbincangkan oleh orang teknologi sekarang, anda perlu kendalikan steering kenderaan tersebut. Kalau tidak, anda ada potensi untuk langar tembok, kenderan lain atau langgar orang.

Walaupun ada jalanraya yang lurus, walaupun anda dah tahu nak ke mana, mengawal pemanduan masih tetap penting. Malah paling penting dalam apa saja urusan yang memerlkan anda bergerak ke depan ke hala yang nak dituju.

Dalam bisnes macam itu juga. Tak ada bisnes yang jenis autonomous. Walaupun ada geng bisnes yang suka Meeting Lewat Malam cuba yakinkan anda untuk bayar starter kits dan anda akan kaya pakai Merz, jangan nak percaya. Memang tak ada bisnes yang macam itu setakat ini.

Itulah perkara yang jauh lebih penting dari persediaan rapai ketika nak mula. Jika anda gagal dalam mengendalikan semua urusan perbetulkan arah dan halatuju itu, anda akan letih dan buang banyak masa dan insyaallah tak akan ke mana-mana. Tersadai sekerat jalan adala!.

#3. Kejayaan anda bukanlah hasil penuh diri sendiri

Mungkin ada orang yang rasa dia sampai ke tahap kejayaan yang dikecapinya sekarang adalah hasil dari usaha penuh dirinya sendiri. Jadi dia perlu kaut dan nikmati segala kejayaan itu dan berlagak tunjuk kat semua orang.

Tapi saya tak rasa macam tu.

Bila saya fikir balik dalam semua perniagaan yang saya jalankan dari dulu sampai sekarang. Saya rasa peranan saya terlau kecil berbanding dengan peranan keadaan dan semua orang sekeliling saya.

Kalau saya tak bantu kawan yang pandai buat burger ketika masih sekolah dulu, sudah tentu saya tak akan reti buat burger. Kalau saya tak kenal dia sudah tentu saya, tak dapat bantu dia. Kalau saya tak sekolah kat situ, tentu saya tak jumpa dia dan saya boleh patah balik ke belakang dan ke belakang.

Ada terlalu banyak benda yang dluar kawalan saya berlaku. Kampung saya dilahirkan, ibubapa saya, sekolah saya, apa yang saya perlu belajar, dengan siapa saya kenal dan banyak lagi semuanya bukan pilihan saya sejak mula. Tak boleh nak kawalpun.

Semua rentetan itu membawa saya ke sini. Dan bagaimana saya nak dakwa yang semua hasil yang saya dapat, walaupun bukanlah hebat sangat pun, adalah hasil usaha dan peranan saya. Terlalu banyak yang berlaku diluar kawalan saya sebenarnya. Kerja saya hanyalah melihat apa yang ada, apa yang berlaku dan buat pilihan untuk nak pakai atau nak tolak. Itu saja.

Jadi keputusan yang anda buat memainkan peranan besar dalam apa saja yang berlaku pada anda sekarang. Itu yang menentukan apa yang bakal berlaku di depan nanti. Itupun masih tak pasti. Kita hanya ambil keputusan berdasarkan maklumat yang telah kita belajar sebelum ini.

Itulah satu lagi perkara penting yang saya belajar

#4. Sentiasa tambah kebijaksanaan untuk buat keputusan

Kerja besar yang anda boleh buat sekarang adalah untuk buat keputusan berdasarkan di mana diri anda sekarang dan berdasarkan apa yang telah anda lalui sekarang.

Semua itu merupakan maklumat penting untuk anda buat keputusan bagi mencapai apa yang anda sasarkan.

Tapi maklumat saja tak cukup. Ada orang yang hafal semua benda yang berlaku dalam dunia ini, tahu itu dan ini tapi hanya sekadar tahu saja. Kalau tidak ada kebijaksanaan untuk sambung segala titik yang terputus, tak akan ke mana-mana.

Jadi perlu sentiasa tambah kebijaksanaan menggunakan akal. Tambah keupayaan berfikir dan membuat rumusan. Perlu tambah pengetahuan, perlu belajar dari orang yang berpengalaman, perlu baca buku dan regangkan otak itu supaya lebih fleksibel.

Antara cara mudah untuk belajar buat keputusan yang bijak adalah dengan melihat pada orang yang berjaya. Macam yang saya kata kat atas tadi. Peranan besar diri sendiri adalah untuk buat keputusan. Yang lain itu kita tak boleh nak kawal sangat.

Jadi bila kita tengok orang berjaya, study keadaan sekelilingnya dan lihat apa keputusan yang dia buat. Bukan sekadar tiru bulat-bulat apa yang orang berjaya buat. Tapi sebaliknya perlu melihat bagaimana dia buat keputusan. Sebab apa yang berlaku, apa yang orang berjaya itu ada sudah tentu tak sama dengan keadaan kita.

Jadi perlu lihat konsep, bukan sekadar baca cerita.

#5. Pandang sekeliling dan sejarah diri anda

Satu lagi perkara penting yang mungkin ramai tak buat adalah untuk merenung kembali pada diri sendiri. Merenung apa yang telah dia lalui, apa yang dia ada dan siapa orang disekellingnya.

Tapi malangnya, ramai yang lebih suka merenung kembali apa yang dia tak ada dan menyesali dan mengharapkan agar dia ada sebagaimana orang lain ada. Jika berterusan begitu, sampai bilapun anda tak akan ke mana sebab tak tahu apa kelebihan diri sendiri.

Semua kejadian yang berlaku pada diri anda dari kecil sampai sekarang bukan untuk disia-siakan. Siapa yang anda kenal, kampung mana anda dilahirkan, siapa kawan sekolah anda, apa pengalaman kerja anda, apa yang teah anda belajar, semuanya boleh dipergunakan untuk perjalanan hidup anda ke depan.

Sudah pasti semua tu boleh dipergunakan. Bukan saja untuk mendapatkan bantuan, malah untuk menentukan apa yang perlu disasarkan juga adalah dalam segala maklumat perjalanan yang telah anda lalui.

Renung semua itu dan mula buat keputusan yang bijak.

Yang pentingnya jangan dok renung apa yang anda tak ada dan mengeluh serta mengharapkan anda ada, baru nak bergerak.

Oklah! setakat ini dahulu kali ini. Nanti saya sambung lagi di lain artikel. Saya harap anda renung kembali dari dulu sampai sekarang, buka satu peratu apa yang anda bawa dalam diri tu dan lihat apa yang boleh dimanfaatkan untuk perjalanan seterusnya.

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge