hidup ringkas, selesa dan sederhanaJika anda ada hasrat untuk hidup sederhana, artikel ini saya khaskan untuk anda.

Secara umumnya, ramai yang sebut dia nak hidup dengan cara sederhana. Hanya segelintir sahaja yang secara terang-terang umumkan hasrat untuk hidup mewah dan kaya raya.

Saya ada kawan yang dari awal umumkan matlamat hidupnya untuk jadi kaya raya sekurang-kurangnya memiliki sebuah Jet Peribadi. Ada yang mahukan wang simpanan ratusan juta ringgit, dan macam-macam lagi.

Tak ada masalah untuk tetapkan sasaran jadi kaya raya, masing-masing tentu ada alasan yang tersendiri untuk tentukan cara kehidupannya.

Dari pengalaman, saya lebih kerap bertemu dengan orang yang mahu jalani kehidupan yang sederhana. Saya sendiri suka dan cenderung untuk hidup dengan cara sederhana, atau sebagaimana yang saya suka sebut, Hidup Ringkas.

Apa makna hidup sederhana

Persoalan asas yang berbangkit kat sini adalah, bagaimana nak ditakrifkan sebagai hidup sederhana ?

Sederhana adalah sesuatu yang amat subjektif. Lain orang lain pula makna sederhananya. Lain budaya lain pula makna sederhana mereka. Jadi sederhana pada dasarnya adalah bergantung pada tempat dan ketika.

Boleh juga dikatakan sederhana ditentukan setelah mengambil pertimbangan dari semua pihak yang ada di sekeliling kita. Sebab itu ada orang yang berpendapat, sederhana adalah dengan mengambil jalan tengah.

Bagi saya, sederhana adalah dengan memilih jalan hidup ringkas. Iaitu memilih jalan tengah yang lurus yang sudah pasti menjadi jalan yang paling pendek dan cepat untuk menuju ke sesuatu destinasi. Dan cara amalan untuk menjalani kehidupan yang sederhana adalah dengan hanya membuat perkara yang diperlukan sahaja dan meninggalkan semua yang lain yang tak perlu dan tidak memberikan manafaat.

Seperti juga dengan hidup sederhana, untuk hidup ringkas, jalan yang ditempuhi oleh setiap individu adalah berlainan. Sudah tentu apa yang diperlukan oleh setiap individu itu berbeza antara satu dengan yang lain, bergantung pada situasi, masa dan di mana seseorang itu berada.

7 perkara yang perlu diringkaskan untuk hidup sederhana

Walaupun secara terperincinya, untuk hidup ringkas atau sederhana semua orang berbeza caranya, namun asas untuk menuju gaya hidup yang sederhana adalah sama sahaja untuk semua orang.

Berikut saya kongsikan 7 perkara yang anda perlu ringkaskan, bersesuaian dengan keperluan anda sendiri, untuk mengamalkan gaya hidup yang sederhana.

  1. Kebendaan yang dimiliki – Ini perkara paling asas dan mudah untuk anda mulakan kehidupan yang sederhana. Apa yang anda perlu lakukan adalah mula ringkaskan segala barangan kebendaan yang anda ada, limitkan hanya pada benda yang diperlukan sahaja untuk menjalani kehidupan anda yang selesa.
  2. Kewangan – Anda perlu ringkaskan komitmen kewangan anda untuk hidup sederhana. Ini termasuklah pendapatan, jumlah wang dalam simpanan, dan segala hutang yang ada. Paling penting sekali adalah membetulkan konsep kewangan yang tertanam dalam kepala anda.
  3. Pengisian masa – Apa yang anda isi dalam tempoh 24 jam kehidupan anda. Apa pula yang anda buat dalam tempoh seminggu, sebulan, setahun dan seterusnya 5 tahun dan selanjutnya. Anda perlu seimbangkan segala aktiviti yang ada termasuklah yang serius, yang santai, yang sukar yang senang dan pastikan kesemuanya memberikan manfaat pada diri dan mampu mencapai matlamat hidup anda.
  4. Amalan kesihatan – Tak ada kehidupan yang sederhana untuk mereka yang ada masalah kesihatan yang serius. Biasanya kita hanya beri perhatian pada kesihatan bila tubuh badan dah mula mengalami kerosakan. Oleh itu berikan perhatian pada keadaan tubuh badan dengan segera melalui amaln-amalan ringkas dan mudah.
  5. Jaringan dan perhubungan – Dengan siapa anda berkawan, dengan siapa anda luangkan masa dan berjumpa menentukan tahap kehidupan anda samada sederhana atau tak tentu arah. Ada orang yang tak merancang kenalan dan jaringan main redah saja. Ada pula yang tak kawan dengan orang. Jalan tengah perlu diambil dan dikenal pasti siapa sebenarnya jaringan dan kenalan yang diperlukan.
  6. Teman hidup – Ini termasuklah pasangan sebumbung dan sekatil anda. Juga saudara rapat dan sanak keluarga anda. Juga teman seperjuangan anda dalam hal ehwal agama dan kepercayaan. Perlu dikenal pasti dan diuruskan dengan baik.
  7. Diri anda sendiri – Hakikatnya, inilah yang paling penting. Kenal pasti kecenderungan diri, bakat yang ada, dan paling penting apakah tujuan hidup anda. Anda perlu pastikan apakah yang mebuatkan anda bahagia dan apa pula yang membuatkan anda dapat kepuasan hidup.

Apa yang anda perlu buat untuk mula mengamalkan kehidupan yang sederhana adalah mengambil masa untuk memikirkan ketujuh-tujuh perkara tersebut di atas satu persatu.

Fikirkan bagaimana boleh anda ringkaskan kesemua urusan tersebut di atas supaya ianya tidak jadi berserabut dan membuatkan hidup anda jadi tidak keruan.

Seperti yang saya sebutkan tadi, masing-masing akan ada caranya yang tersendiri untuk merancang amalan hidupnya yang sederhana. Tapi semuanya sudah pasti hanya berkisar terhadap 7 perkara penting yang saya sebutkan di atas itu sahaja.

Yang pentingnya, anda perlu buat perancangan dan ambil masa untuk melihat meringkaskan kesemua 7 perkara tersebut di atas. Panduan untuk membuat perancangan untuk setiap perkara itu akan cuba saya kongsikan nanti bila ada kesempatan.

Saya sendiri sedang berusaha untuk meringkaskan kesemua yang saya sebutkan di atas tadi. Ada yang dah berjaya dilaksanakan sehingga menjadi tabiat diri, dan ada yang masih dalam peringkat merangkak dan perluakan kerja keras lagi.

Selamat menjalani kehidupan yang sederhana… insyaallah !

Total
26
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge