9 kelebihan gaya hidup ringkasDah lama juga saya tak tulis pasal budaya atau gaya hidup ringkas yang merupakan tema blog ini.

Bagi anda yang baru berkenalan dengan hidupringkas.com, mungkin punya persepsi yang blog ini khas untuk para usahawan.

Jika anda punya persepsi sedemikian, memang tak menghairankan. Sebab banyak artikel yang menyentuh berkenaan dunia keusahawanan kat sini.

Sebab utama banyak artikel pasal dunia keusahawanan kat blog ini adalah atas faktor diri saya sendiri yang juga merupakan seorang usahawan.

Selain menjalankan perniagaan, saya juga banyak terlibat dengan aktiviti membantu para usahawan terutamanya usahawan kecil-kecilan, untuk memajukan perniagan mereka.

Kat negara kita sekarang, ramai orang yang cari makan dengan menjalankan bisnes membantu usahawan untuk berjaya dalam perniagaan masing-masing. Malah ramai yang menjadikan bisnes bantu usahawan sebagai bisnes utama mereka.

Kat situ saya berbeza sedikit.

Jadi usahawan ikut gaya hidup ringkas

Saya jalankan usaha bantu usahawan ini bermula dari minat dan keinginan untuk berbudi pada masyarakat.

Saya kongsikan cara saya berdasarkan pengalaman dan amalan sendiri untuk melegakan kehidupan usahawan yang sedang mengalami kesesakan hidup sebagai usahawan.

Langkah awal untuk melaksanakan matlamat tersebut (bantu usahawan), adalah dengan membuat blog hidupringkas ini.

Di blog ini, saya ketengahkan idea, bagaimana dengan menjalani gaya hidup ringkas, banyak membantu usahawan berdepan dengan cabaran dunia perniagaan.

Saya juga tekankan pada pembaca, kalau nak hidup ringkas, paling sesuai adalah dengan jadi usahawan.

Begitu juga, bagi yang sedang makan gaji, dan ada niat nak jadi usahawan, anda boleh mencapai matlamat itu dengan mudah jika mula amalkan gaya hidup ringkas.

Satu lagi perbezaan antara kebanyakan mentor usahawan lain dengan saya, adalah dari segi konsep menjalani kehidupan sebagai seorang usahawan.

Gaya hidup ringkas ‘vs’ gaya hidup jutawan

Saya tak janjikan orang yang saya bantu, untuk jadi jutawan.

Saya hanya mahu pastikan anda boleh hidup selesa dengan gaya hidup ringkas dan bukan dengan gaya hidup jutawan. Tak ada swafoto duduk depan Audi model terbaru dan tak ada swafoto tunjuk rumah yang ada 8 bilik, jika itu semuanya tak perlu.

Bagi saya, insyaallah, anda pasti boleh sara hidup diri sendiri dan keluarga dengan menjadi usahawan.

Itulah yang menjadi ketakutan paling besar yang menghalang ramai orang yang sedang makan gaji, terjun jadi usahawan.

Mereka paling takut kalau-kalau jadi usahawan tak boleh hidup atau tidak selesa seperti makan gaji.

Masyarakat sekeliling juga ramai yang beranggapan sedemikian.

Ibu bapa tak sokong anak-anak mereka berhenti kerja dan berniaga sebab takut anak-anak hidup susah merempat mati kelaparan.

Sedangkan itu satu pandangan yang salah.

Yang teruk hidup merempat dan menyusahkan orang lain bila jadi usahawan adalah mereka yang terjun ke dunia usahawan dengan impian nak jadi super jutawan.

Nak jadi super jutawan ok. Bukan salah tanam impian macam itu.

Yang salahnya adalah bila tak sedar bahawa nak jadi usahawan super jutawan, perlu pastikan bisnes boleh sara kehidupan taukeh dan tanggungannya terlebih dahulu.

Bila bisnes dan taukeh dah stabil, baru boleh mula langkah kedua pula untuk jayakan bisnes dalam skala yang lebih besar.

Perlu selesaikan fardu ain dahulu, baru fikirkan fardu kifayah.

Itu perkara asas yang ramai terlupa. Solat wajib biar selesai terlebih dahulu sebelum nak pulun buat solat sunat.

Perumpamaan lain; kena masuk sekolah rendah dahulu, kemudian sekolah menengah, sebelum masuk universiti

KIV sebentar dan fokus terlebih dahulu untuk berbisnes dengan betul dari awal.

Fasa itulah yang mahu saya berikan tumpuan pada mereka yang sedang hadapi masalah dalam dunia perniagaan. Fasa betulkan bisnes di peringkat awal.

Bila faham dengan tahap kedudukan perniagaan dan diri anda sendiri, anda akan faham sasaran pertama yang perlu dicapai. Iaitu, stabilkan bisnes. Supaya anda boleh hidup dan sara anak isteri serta tanggungan lain.

Bila matlamat itu jelas, maka mudahlah saya nak bimbing menggunakan konsep atau gaya hidup ringkas untuk perbetulkan bisnes dari awal.

Apa itu gaya hidup ringkas

Gaya hidup ringkas adalah gaya yang mementingkan tumpuan hanya pada perkara yang mendatangkan hasil dan manfaat terhadap sasaran yang mahu dicapai.

Anda tak akan mampu hidup ringkas jika tak tahu dan tak jelas dengan sasaran yang sedang dikejar.

Bila tak jelas nak kejar apa, bayang-bayang lalu kat tepi saja sudah cukup untuk anda tinggalkan urusan yang sedang dibuat untuk pergi kejar bayang tersebut.

Kemudian akan datang lagi bayang lain pula. Dah tukar haluan pulak.

Kejar bayang yang baru datang itu.

Akhirnya buang masa dan tak ada apa-apa hasil. Sebab itu keletihan dan akhirnya menyusahkan semua orang lain.

Saya ulang sekali lagi.

Gaya hidup ringkas adalah menjalani kehidupan yang fokus, dengan melakukan hanya perkara yang perlu sahaja yang seiring dengan matlamat yang ditetapkan.

Ada 9 kelebihan jika anda amalkan gaya hidup ringkas.

Saya berikan senarainya kat bawah ini;

#1. Fokus pada minat dan kekuatan

Tak ada perkara yang lebih menyenangkan selain dari melakukan aktiviti yang kita minat.

Bila kita minat dan berikan ruang masa yang secukupnya untuk layan minat tersebut, ia akan bertukar menjadi kekuatan pada diri kita.

Kalau nak hidup ringkas, ini perlu dikenal pasti dengan betul. Luangkan masa untuk muhasabah diri betul-betul apa yang membuatkan anda rasa puas hati dan puas hidup.

Bila dah kenal pasti, mula rencanakan langkah-langkah untuk menuju ke arah itu.

Mula buang aktiviti yang tidak membawa anda ke situ perlahan-lahan supaya perjalanan menjadi lebih ringan dan tidak terbeban.

#2. Luangkan masa dengan orang penting dalam hidup anda

Bila anda mula bebaskan masa dari buat perkara yang tak seiring dengan minat dan kekuatan, anda akan dapati ada lebihan banyak masa yang terluang.

Masa tersebut boleh disalurkan kepada orang-orang yang penting dalam hidup anda.

Ibubapa, isteri (suami), anak-anak, saudara mara, sahabat dan jiran.

Mereka itu semua penting kerana perlu dijadikan golongan yang secara telus dan ikhlas, sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada kejayaan anda.

Semakin banyak anda luangkan masa bersama mereka, semakin banyak sokongan dan bantuan yang anda akan dapat.

Semakin meningkat dan semakin mudah anda mencapai sasaran yang sedang dikejar.

#3. Beri tumpuan lebih pada jana pengalaman

Ada dua perkara yang biasa memberikan anda rasa puas.

  • Kebendaan – Mendapatkan benda baru sentiasa dapat memuaskan diri.
  • Pengalaman – Melalui pengalaman baru juga mampu memberikan kepuasan diri.

Tapi anda tentu sedar, kalau dah lama hidup dalam dunia seorang yang dewasa. Mendapatkan benda baru tidak pernah habis. Paling lama rasa puas hanya dalam 2 atau 3 bulan. Selepas itu dan mula jeling nak benda lain pula.

Manusia punya keupayaan untuk sesuaikan diri dengan pantas.

Benda baru, dalam masa yang singkat jadi benda yang tak berapa nak dihargai. Jika anda seorang lelaki, tentu hairan macam mana ada lelaki yang boleh ceraikan Fasha Sanda. Haaa! tak payah nak hairan. Apa saja, hatta Puteri Gunung Ledang sekalipun, bila dah dapat, akan datang fasa susut nilai.

Sifat mengejar kebendaan bukan satu sifat yang boleh berikan ketenangan.

Untuk selami gaya hidup ringkas, tumpuan perlu diberikan pada menjana pengalaman baru.

Ini jauh lebih menarik dan akan tersimpan kekal dalam diri anda. Ia juga mampu meningkatkan nilai diri dan keyakinan diri ke tahap yang lebih tinggi.

Kalau nak beli benda juga, pastikan barang yang anda nak beli itu tahan lama selama mungkin. Sekali beli anda dah tak perlu fikirkan nak tukar atau dapatkan yang baru. Orang yang nak hidup ringkas akan pentingkan kualiti dan ketahanan barang.

Sebagai contoh, kalau beli perabut kat rumah, pilihlah perabut yang sekali beli boleh diwariskan. Kalau tidak tak payah beli lagi. Pakai apa yang ada saja dulu. Begitu juga dengan pakaian, jam tangan, dan lain-lain keperluan yang asas.

#4. Hidup lebih selesa

Bila anda fokus lebih pada menjana pengalaman baru berbanding menghimpun kebendaan baru, sudah tentu anda tidak akan terbeban dengan suasana yang sesak dengan barang yang tak perlu.

Hidup lebih selesa dan tak payah nak fikir pasal selenggara dan sebagainya.

Masa lebih banyak untuk fokus pada urusan yang jauh lebih penting untuk tingkatkan diri sendiri.

Bila ada barang yang tak perlu, duduk berdebu kat rumah, anda boleh jual, sedekah atau buang saja.

Aktiviti buang benda yang tak perlu sedikit demi sedikit akan melegakan jiwa anda sedikit demi sedikit.

#5. Buang semua memori tak guna

Amalan kurangkan kebendaan yang tak perlu itu akan turut sama membuang bebanan memori yang tak guna.

Surat marka (awek) lama, buku tak pakai atau buku yang anda beli tapi tak pernah baca, silap beli perkakasan atau sebagainya, ada kisah penyesalan terpendam dalam memori secara tidak disedari.

Bila anda nekad untuk jual, sedekah atau buang terus semua itu, ia turut sama pergi dengan semua memori penyesalan yang terselit dalam minda.

Anda akan dapati aura meningkat lebih tinggi dan lebih bersemangat untuk maju ke depan.

#6. Menjana kreativiti

Selama ini anda terperangkap dengan peralatan yang terlalu banyak diperlukan untuk kehidupan harian. Kalau tak ada anda rasa susah.

Jadi anda akan beli walaupun sedar mungkin hanya akan pakai 5 tahun sekali.

Bila anda nekad buang semua benda sebegitu dan tinggalkan yang asas dan kerap diguna pakai, anda akan jadi lebih kreatif.

Bila timbul keperluan, anda akan perah otak untuk memikirkan bagaimana nak selesaikan masalah hanya dengan apa yang ada.

Aktiviti ini jadi satu latihan untuk serlahkan kreativiti yang ada dalam diri anda.

#7. Menghampiri kebebasan dari kekangan kewangan

Beli hanya bila perlu sangat dan kerap diguna pakai.

Sewa atau pinjam lebih diutamakan. Itu akan selamatkan duit anda dalam tempoh jangka panjang.

Bila dah banyak barang anda buang dan kosongkan rumah, bila teringat nak keluarkan duit nak beli benda baru, anda akan kenang semula barang yang dah banyak dibuang.

Ini juga akan membuatkan anda fkir dua kali untuk beli. Anda akan selamatkan duit lagi.

Barang tak banyak nak kena selenggara juga boleh selamatkan lagi duit poket anda.

Sedar tak sedar duit semakin banyak boleh disimpan dan boleh dilaburkan pada aktiviti yang menjana pendapatan samada pasif atau aktif.

#8. Permudahkan aktiviti mengemas

Ini mudah untuk difahami.

Bila barang tak banyak sangat, tak banyak masa yang diperlukan untuk buat kerja mengemas. Tak perlu buat itu dan ini, untuk pastikan rumah atau pejabat tersusun rapi.

Masa boleh disalurkan pada aktiviti lain yang boleh menjana pendapatan atau membina jaringan atau bersenam jalan kaki mengecapi keindaham alam

#9. Dapat mengenali diri anda yang sebenar

Bila dah tak banyak benda yang anda miliki, hanya yang perlu dan berfaedah sahaja untuk diri, anda mula sedar bahawa, diri anda bukanlah apa yang anda miliki.

Sebaliknya anda mula menyelami apa yang ada dalam jiwa, pengalaman dan ilmu serta kefahaman hidup.

Itulah diri anda yang sebenarnya.

Bila anda sedar dan kenal siapa diri, anda mula mantapkan nilai-nilai hidup yang mahu diperjuang dan dipertahankan.

Anda akan jadi orang yang konsisten dan yakin dengan apa yang anda mahu.

Bila nilai hidup terbentuk, lebih mudah untuk membuat pilihan dan membuat keputusan terhadap perkara-perkara yang berat dan penting dalam hidup anda.

Lebih mudah untuk kenal pasti perkara yang paling penting dalam banyak-banyak perkara yang penting.

Jom amalkan gaya hidup ringkas

Ada 9 kelebihan yang dah saya senaraikan kat atas jika anda mulakan gaya hidup ringkas sekarang.

Jika anda berminat dan idea ini masuk dalam kepala, bermulalah dari sekarang.

Buat apa yang perlu sahaja dan mula tinggalkan semua yang tak perlu. Perlahan-lahan sehingga anda tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk diri anda sendiri.

Tak payah nak risau apa orang nak kata.

Kalau mereka nak katapun dengar dan tapis. Jika baik dan sesuai untuk anda, boleh terapkan. Kalau tidak, abaikan saja.

Total
93
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Saya mula berkenalan dengan Blog Hidup Ringkas ini semasa saya saya mencari maklumat berkaitan hidup yang dikatakan sebagai “minimalism”. Tahniah tuan blog kerana banyak berkongsi tips kehidupan yang saya anggap ‘mahal’, tetapi diberikan percuma.
    Terima Kasih.
    Azwan recently posted…BerdoalahMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge