kaya masa kaya minda sihatkan tubuh badanAda 7 cara yang amat mudah untuk diamalkan jika anda mahu kaya masa dan juga kaya minda.

Saya gunakan perkataan ‘kaya masa’ dan ‘kaya minda’ untuk gantikan perkataan ‘kesihatan tubuh badan dan minda’ yang dah biasa sangat diguna pakai oleh semua orang.

Bila sebut tentang kaya, kebiasaannya, orang akan kaitkan dengan kebendaan.

Kalau anda nak nafikanpun, terima saja hakikat setiap kali orang sebut si anu itu kaya, gambaran kebendaan seperti wang ringgit, hartanah dan seumpamanya akan terus terpampang dalam gambaran minda.

Hanya apabila anda tersedar bahawa ada perasaan kecewa sebab diri tak ada sebagaimana orang yang dikatakan kaya itu, barulah anda cuba pujuk diri bahawa ada banyak lagi perkara lain yang membuatkan anda kaya.

Maksudnya, kaya selain dari kebendaan hanya datang kemudian. Itupun untuk sedapkan hati sahaja.

Kaya masa dan kaya minda

Tujuan saya katakan kaya masa dan kaya minda itu sebagai ganti kepada kesihatan tubuh badan dan minda adalah untuk kaitkan kesihatan kepada sistem matawang yang biasa manusia pakai sekarang.

Ada 3 jenis matawang sahaja yang amat bernilai dalam sistem dunia sekarang ini;

  1. Benda berharga – ini termasuklah wang fiat, wang kertas, emas, perak, bitcoin, lembu, air, besi, banglow, beras dan macam-macam lagi yang diterima pakai oleh sekurang-kurangnya 2 individu dalam melakukan transaksi nilai.
  2. Masa – Ini juga satu lagi jenis matawang yang sentiasa dikejar oleh manusia yang tak ada masa atau kesuntukan masa. Ada orang sanggup tukarkan matawang nombor satu kat atas tu demi untuk mendapatkan masa. Dengan masa, banyak perkara yang dapat dilakukan. Untuk tidur atau hanya untuk tak buat apa-apa.
  3. Fleksibel – Kita ambil dari perkataan Bahasa Inggeris yang membawa maksud lentur atau mudah untuk disesuaikan. Ini juga satu lagi perkara yang ramai manusia kejar. Ada orang yang tak suka sesuatu yang rigid, lurus bendul atau terkongkong. Fleksibel menggambarkan kebebasan untuk membuat pilihan yang bersesuaian dengan keadaan dan keperluan.

Untuk mendapatkan masa dan menikmati keupayaan menyesuaikan diri dalam sebanyak mungkin keadaan, manusia perlukan kesihatan tubuh badan dan kesihatan minda.

Sebab itu saya kata, kesihatan tubuh badan dan minda adalah sumber matawang yang amat bernilai selain daripada kebendaan. Masa juga jadi amat bernilai hanya apabila tubuh badan dan minda sihat.

Malah, dengan kesihatan tubuh badan, anda juga mampu berusaha dan mendapatkan kebendaan yang anda idamkan.

Tak perlu nak pusing-pusing lagi dan terima saja kebenaran bahawa kesihatan tubuh badan dan minda adalah sejenis kekayaan yang amat penting dan perlu dikejar oleh semua orang. Malah perlu dijadikan keutamaan nombor satu dalam kehidupan manusia.

Kejar benda lupa kesihatan

Malangnya terlalu ramai manusia moden yang sanggup buat apa saja demi mengejar kebendaan supaya dia kaya benda. Tapi terlalu sedikit yang ambil berat untuk dapatkan kekayaan masa dan minda sedangkan itu jauh lebih utama dari kebendaan.

Kita perlu letakkan kesihatan tubuh badan dan minda sebagai perkara paling penting melebihi kekayaan kebendaaan. Jika untuk mendapatkan kekayaan benda, kesihatan terpaksa dikorbankan, elok fikirkan semula pengorbanan yang terlalu besar itu.

Banyak duduk jadi pembunuh utama

Ada satu buku yang saya baca mengatakan bahawa banyak duduk merupakan pembunuh paling utama manusia di seluruh dunia. Kalau campur kesemua punca masalah kesihatan manusia, majoriti besar akan membawa kepada banyak duduk sebagai punca utama.

Terutamanya zaman serba moden sekarang, gaya hidup manusia lebih menjurus kepada kurangnya aktiviti bergerak. Sebaliknya banyak duduk dah jadi gaya hidup yang biasa bagi kebanyakan manusia zaman moden ini.

Elakkan banyak duduk

Jika anda sedar bahawa banyak duduk mampu buat anda mati awal; kalau tak mati awalpun, ia boleh buat anda cepat tua dan tak larat, maka itu sudah tentu satu berita baik.

Maknanya untuk mengelakkan mati awal dan tua sebelum waktunya hanyalah dengan pastikan anda lebih banyak buat aktiviti bergerak dan bukannya duduk.

Mudah bukan?

7 amalan mudah kaya masa dan minda

Memang mudah sangat sebenarnya untuk pastikan anda tak banyak duduk.

Saya berikan 7 amalan mudah yang boleh dibuat dengan kadar segera untuk jadi kaya masa dan kaya minda.

Anda perlu mulakan segera kesemua 7 perkara yang di bawah ini dan istiqamah sampai semuanya jadi darah daging sebati dengan diri. Bila dah jadi tabiat, semuanya mudah dan tak perlu dipaksa-paksa lagi.

Berikut 7 perkara mudah yang boleh anda mula amalkan.

  1. Jalan kaki – Samada anda pastikan untuk berjalan kaki setiap pagi sebagai senaman sedut udara nyaman kat taman atau keliling kampung, atau jalan kaki untuk pergi kerja. Pastikan sekurang-kurangnya 30 minit diperuntukkan setiap hari untuk jalan kaki.
  2. Elak guna lif atau eskalator – Sebaliknya gunakan kaki anda. Dengan menggunakan kaki anda mampu mantapkan posisi tubuh badan (postur), kuatkan otot dan kuatkan sistem pernafasan tubuh badan.
  3. Perbanyakkan aktiviti sosial dan riadah – Peka kepada apa saja aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti riadah bersama keluarga atau kawan-kawan. Bila ada saja peluang, terus sertai dan tak perlu fikir panjang lagi. Jangan jadi kera sumbang duduk kat rumah dan lepak nonton TV saja.
  4. Elak jajan, pilih buah – Sentiasa pastikan buah-buahan ada kat atas meja dapur kat rumah. Bila tangan gatal rasa nak makan jajan, pergi ambil buah dan kunyah. Anda akan bekalkan banyak nutrisi ke dalam tubuh badan dan elakkan berbagai bahan kimia yang biasanya merosakkan.
  5. Tidur dengan secukupnya – Jangan bertolak ansur dengan bab tidur. Pastikan anda rehat secukupnya antara 7 ke 8 jam sehari. Jangan lebih dan jangan kurang.
  6. Bersukan – Pilih apa saja jenis sukan yang anda minat dan layan secara rutin. Anda boleh main dengan anak-anak atau dengan kawan-kawan. Kalau tak minat sukan, bela binatang seperti kucing dan seumpamanya, supaya anda boleh bermain dengan binatang peliharaan itu.
  7. Sentiasa pantau rutin harian – jangan leka dari memberikan perhatian terhadap rutin harian anda. Ini amat mudah dilakukan sekarang dengan menggunakan aplikasi telefon pintar. Anda boleh cuba muat turun aplikasi ‘Life Cycle‘ kalau pakai iPhone. Apps ini boleh bantu anda pantau segala aktiviti anda 24 jam dan boleh berikan ringkasan harian, mingguan dan bulanan. Ubah mana yang tak betul bila sedar dah mula menyonsang.

Cuba perhatikan 7 perkara mudah yang saya senaraikan kat atas tu.

Apa, susah sangat kah nak amalkan kesemua itu?

Saya yakin ramai yang dah buat kebanyakan daripada yang saya senaraikan itu. Mungkin tak lengkap lagi.

Mulakan azam dari sekarang untuk lengkapkan kesemua 7 perkara mudah itu dan jadikan sebagai amalan biasa kehidupan anda.

Bila nak pilih pekerjaan, bila nak buat keputusan terhadap sesuatu aktiviti, pastikan kesemua 7 perkara itu tidak diganggu gugat.

Jika terpaksa pilih antara kesihatan atau kebendaan, pilihlah kesihatan. Sebab dengan kesihatan, anda akan jadi kaya masa dan kaya minda.

Itu kekayaan yang lebih penting daripada kekayaan harta benda.

Total
30
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

13 comments

  1. saya suka bila tuan cakap, kita mesti ada pekerjaan yang tak menganggu gugat semua itu.

    yang paling saya akui, jangan duduk lama.

    sekarang ni saya dah mula sakit bahu (lenguh) yang panjang. sebab saya habiskan masa almost 12 hour mengadap pc dan drawings dan apa lagi. dan umur saya baru 30.

    saya cuba slow down the activity. meaning that; bukan tak ambil kerja drawing tp saya buat dengan lebih pantas dan dalam lingkungan waktu bekerja sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge