Dalam fikiran anda agaknya ada berapa banyak cara untuk berjaya dari segi ekonomi? dalam kebanyakan hal kehidupan, seseorang itu dianggap berjaya apabila status ekonominya adalah bagus.

Kejayaan lebih banyak dikaitkan dengan status ekonomi seseorang. Jika dia ada banyak harta, ada pangkat yang tinggi dan sudah tentu dengan pangkat tinggi itu pendapatannya tinggi juga, maka kita rumuskan orang itu berjaya.

Ada benar dan ada tak benarnya terhadap amalan kita yang mengaitkan kejayaan dalam kehidupan dengan status ekonomi seseorang. Tapi tak perlulah kita bahaskan masalah itu kat sini.

Apa yang penting, kejayaan ekonomi adalah salah satu daripada keinginan semua manusia yang biasa dan waras seperti saya. Kita tidak bincangkan pada tahap pemikiran mereka yang zuhud dan telah mencapai tahap wali di sini.

Walaupun semua orang inginkan kejayaan ekonomi, namun tak ramai yang berjaya mencapainya. Mungkin secara tidak disedari anda mengandaikan bahawa untuk berjaya dalam arena ekonomi seseorang itu mestilah menjadi seorang yang bijak.

Bijak penting sebagai pelengkap cara untuk berjaya

Ya! kalau ada rasa bijak penting untuk berjaya, anda memang betul.

Tapi masalahnya kita hanya kaitkan bijak, dengan pencapaian seseorang ketika zaman persekolahannya.

Sedangkan bijak yang diukur ketika itu hanyalah semata-mata bijak menjawab soalan peperiksaan. Seorang pelajar yang pandai jawab soalah dengan betul dalam peperiksaan, mereka skor A semua matapelajaran.

Lalu kita terus kata pelajar itu cerah masa depannya. Dia akan berjaya dalam kehidupannya dan dia akan berjaya juga dalam arena ekonomi kehidupannya.

Lebih teruk lagi. Kita membebel kepada pelajar yang hanya dapat B atau C dalam peperiksaan mereka. Kita kata mereka tak akan berjaya dalam kehidupan berbanding si anu dan si anu itu. Kerana mereka lebih bijak.

Tapi hakikatnya saya dan anda semua tahu bahawa bukan semua yang skor A, berjaya dalam arena ekonomi mereka. Dan bukan semua yang hanya dapat C atau B, gagal dalam dunia ekonomi mereka.

Ertinya kita semua dah tahu dan dah dapat saksikan dengan mata kepala kita sendiri bahawa ukuran bijak kita adalah satu ukuran yang tersasar dan menyesatkan.

Bijak bukan sekadar tahu jawab soalan peperiksaan, itu hanya salah satu sahaja daripada cabang bijak. Itulah hakikat yang kita semua mesti faham dan pegang.

Selain dari skor A, ada banyak lagi cara untuk berjaya

Kalau anda masuk dalam golongan mereka yang skor A, anda memang ada harapan untuk berjaya. Biasanya mereka yang skor A, kemudiannya melanjutkan pelajaran dan menjadi profesional seperti Doktor, Peguam, dan seumpamanya, golongan ini ramai yang berjaya dari segi status ekonominya.

Jika anda bukan termasuk dalam golongan skor A, dan tak ada peluang nak jadi Doktor atau Pegauam atau Jurutera dan seumpamanya, maka bagaimana anda boleh pastikan status ekonomi anda juga  berjaya?

Jangan risau kerana kesemua mereka yang hebat status ekonominya walaupun ketika bersekolah biasa-biasa saja berjaya dengan menjadi usahawan.

Satu lagi cara kalau nak berjaya dalam keadaan anda tak skor A ketika bersekolah adalah dengan memilih cabang kerjaya yang anda amat minat dan mahir.

Kejayaan dalam status ekonomi biasanya banyak ditentukan oleh kecekapan kita mengenal pasti bidang kemahiran yang kita suka dan seterusnya berusaha keras untuk mendalami bidang tersebut. Pastikan juga bidang yang kita suka itu bukan bidang popular yang diidamkan oleh orang-orang yang skor A terutamanya.

Untuk berjaya dalam status ekonomi anda, keupayaan menggunakan akal secara baik adalah amat perlu.

Anda juga perlu berfikir secara kreatif dalam melihat peluang yang orang lain tak nampak.

Keupayaan menjalinkan perhubungan sesama manusia juga perlu. Jika anda ramai kawan, lebih mudah untuk anda berjaya.

Dan yang paling penting, integriti perlu ada pada semua orang yang mahu berjaya. Tak guna pakar dalam pelaburan saham tapi kaki penipu dan suka makan harta anak yatim.

Fikirkan samada anda dah selesa dengan status ekonomi anda sekarang dan kalau nak meningkatkannya lagi, tak perlu risau kalau anda bukan dari kalangan mereka yang dianggap bijak ketika bersekolah dulu. Ada banyak lagi cara untuk berjaya selain daripada bijak menjawab soalan peperiksaan.

Total
21
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. “Keupayaan menjalinkan perhubungan sesama manusia juga perlu. Jika anda ramai kawan, lebih mudah untuk anda berjaya.”…

    Pada pendapat Tuan, bolehkah kita berjaya jika bergerak sendirian? Daripada pengalaman, ada tak kenalan Tuan yang pernah berjaya dengan cara tersebut?

  2. sekolah rendah aje selalu skor A…

    masuk sekolah menang..memang susah nak score A.

    Masuk universiti..baru dapat score A semula. haha..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge