bernasib baik“Nasib baik banyak main peranan untuk berjaya, bukan semua orang boleh berjaya !”

Itu komen yang saya dapat ketika sesi akhir, dalam program kursus lengkap perniagaan yang baru saya jalankan baru-baru ini.

Bulan ini merupakan salah satu bulan yang paling sibuk buat diri saya. Dari awal bulan sampailah semalam, saya asyik travel dan bercakap tak berhenti pada para usahawan.

Ada kursus pendek satu hari yang berupa pengenalan kepada asas perniagaan, dan ada kursus panjang 3 hari 4 malam yang merupakan kursus lengkap perniagaan dari A sampai Z.

Mungkin ramai pembaca yang pelik dan tertanya-tanya, apa pasal saya tak pernah tawarkan atau buat promosi untuk orang ramai masuk kursus yang saya buat. Sedangkan ramai yang bertanya bila saya nak anjurkan kursus, mereka nak turut serta.

Saya tak boleh nak jawab lagi soalan itu. Tapi cukuplah sekadar nak beritahu bahawa setakat ini, saya tak dapat lagi anjurkan kursus terbuka untuk para usahawan lain macam mula-mula dulu.

Sebelum ini, memang saya buka pada umum. Kursus pendek separuh hari atau sehari penuh yang saya jalankan di pejabat. Selepas itu saya mula terikat dengan satu badan yang berusaha untuk memajukan para usahawan bumiputra, dan masa saya sudah tidak ada untuk kursus terbuka.

Lagipun, saya perlu juga ada masa dan berikan tumpuan pada perniagaan saya sendiri. Kerja buat kursus, dan kerja bimbing usahawan ini merupakan satu minat dan menjadi salah satu cabang sumbangan saya kepada masyarakat.

Perlu nasib baik untuk berjaya

Berbalik pada soalan peserta yang saya sebutkan di atas sekali tadi.

Mungkin anda juga bersetuju dengan kenyataan tersebut. Bukan semua orang boleh berjaya. Nasib baik atau orang putih kata ‘lucky’, perlu ada untuk melengkapkan kejayaan seseorang.

” Saya tengok ramai orang berusaha gigih. Kerja kuat tidak kenal penat. Banyak masa dihabiskan untuk mengejar kejayaan, tapi hampa… tak kemana… “, sambung peserta di atas tadi memberikan hujahnya.

Saya tak pasti samada dia meluahkan pandangan tersebut sebagai mencerminkan dirinya sendiri, atau sekadar pandangan secara umum berdasarkan pemerhatiannya.

Walau apapun, dia memang memberikan satu fakta yang benar.

Memang ramai orang yang berusaha dan berkerja kuat di luar sana. Malah, jumlah orang yang kerja kuat bertebaran atas muka bumi ini jauh lebih besar jumlahnya berbanding mereka yang kelihatan relaks dan menikmati kehidupan ini.

Dan memang amat menyedihkan, mereka yang kerja kuat, pulun macam nak rak tak henti-henti itu kekal pada takuk yang sama tidak ke mana. Sedangkan yang relaks, yang enjoy kehidupan, nampak selesa, mereka kelihatan naik dan naik meninggalkan para pekerja kuat tersebut dari segi kejayaan dan pencapaian.

Atas fenomena tersebut, mungkin ramai yang meletakkan faktor nasib baik sebagai satu kemestian untuk menempah kejayaan.

Apa itu nasib baik

Kita boleh ertikan nasib baik itu seperti satu peluang yang datang secara tidak disangka-sangka. Orang bernasib baik biasanya dikatakan berada di tempat yang betul, pada masa yang tepat dan berada atau bertemu dengan orang yang terpilih.

Tapi ramai yang lupa bahawa, faktor paling asas adalah tuan punya badan itu sendiri. Kalau tuan punya badan, mindanya tidak bersedia, pengalamannya tiada, kefahamannya juga kosong, tidak ada apa-apa peluang yang mampu dihidu oleh mindanya.

Tidak ada apa-apa yang akan berlaku pada orang yang sebegitu dalam apa-apa keadaan sekalipun. Jumpalah siapa saja, di mana saja, pukul berapapun, tidak ada kesan pada dirinya.

Itulah yang pernah diungkapkan oleh ahli sains berbangsa Perancis lama dahulu,

“Dans les champs de l’observation le hasard ne favorise que les esprits préparés.”

Kalau nak diterjemahkan secara umum erti kata-kata di atas, peluang hanya pergi kepada minda yang terlatih atau bersedia.

Minda perlu bersedia untuk bernasib baik

Perkataan asasnya kat sini adalah minda.

Jika anda kerja kuat macam nak rak, tapi langsung tidak menggunakan akal, anda hanya meletihkan badan dan membuang tenaga sahaja.

Maksud menggunakan akal di sini adalah, berada dalam keadaan sedar dengan segala amalan dan kerja yang dilakukan. Bukan main ikut-ikutan, dan bukan disebabkan orang suruh atau sekadar nak menghabiskan masa.

Untuk berupaya melakukan kerja minda tersebut, mahu tak mahu, anda perlu berundur sekejap ke belakang dan membuat pemerhatian terhadap apa yang telah dilakukan. Buat analisa, buat catitan, perhatikan hasil yang diperolehi berbanding apa yang diharapkan.

Bila dan buat pemerhatian, perbaiki amalan dan tindakan dan ulang semula segala usaha yang sedang dilakukan. Apakah ianya adalah lebih baik atau lebih buruk. Buat analisa lagi dan begitulah seterusnya berlaku sehinggalah kejayaan datang.

Ada kalanya, apa yang diusahakan tidak memberikan hasil langsung terhadap apa yang disasarkan. Tetapi perkara luar yang tidak disengajakan yang akan memberikan kejayaan. Bila jadi begitu, orang akan andaikan kita bernasib baik.

Hakikatnya, perkara luar yang tidak disangka itu dikesan oleh kita hasil daripada latihan minda dalam proses mencuba dan menganalisa selama ini.

Sebab itu saya percaya tidak ada nasib baik pada orang yang tidak melatih mindanya sepanjang berusaha merealisasikan impiannya.

Berusaha dan latih minda

Oleh itu, apa yang kita semua boleh lakukan sekarang adalah terus berusaha dan pastikan anda latih minda supaya bersedia.

Hanya dengan melakukan semua itu barulah anda boleh melihat peluang apabila ianya berlaku. Gunakan akal dan sentiasa berfikir mencari jalan supaya hasil yang dikecapi menjadi lebih baik.

Rumusannya,

Tidak ada nasib baik pada orang yang tidak menggunakan akal dalam menjalani kehidupannya.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge