Anda kaya jika boleh buat begini!

By | 10/12/2012

kaya Sejak manusia diketahui membuat keputusan tanpa menggunakan pemikiran rasional, para peniaga mencipta berbagai teknik untuk mempengaruhi pembeli berbelanja lebih daripada apa yang mereka perlu.

Kajian menunjukkan hampir 50% barang yang dibeli oleh mengunjung pasaraya merupakan barangan yang tidak dirancang sebelum mereka ke situ.

Apa saja yang kita buat dipengaruhi oleh tabiat
Semua tersebut berlaku kerana kita bertindak melakukan sesuatu terutamanya dalam kes membeli berdasarkan tabiat dan bukannya keperluan. Tabiat tertanam jauh di sudut minda dan bergerak tanpa kita sedari.

Manusia tak akan berubah dari jahat menjadi baik dalam tempoh 24 jam. Kita tak akan berubah dari kedekut menjadi pemurah dalam tempoh 24 jam dan begitu juga dengan akhlak-akhlak lain.

Ia memerlukan latihan demi latihan sehingga akhirnya akhlak tersebut bertapak kemas di dalam minda, barulah ianya mula menjadi tabiat diri kita. Ringkasnya kita adalah apa yang kita sering ulang dan ulangi.

Bagaimana mengawal tabiat yang merugikan kita
Terlalu sukar untuk mengubah tabiat yang sudah lama bertapak. Walaupun hati berazam tidak mahu melakukannya, kita masih tetap mengulangi sesuatu tabiat tanpa disedari.

Tabiat bergerak melalui 3 langkah:

  1. Signal pendorong – Apa saja yang kita lakukan sudah pasti ada faktor pendorongnya atau lebih tepat lagi dinamakan signal yang mencetus perbuatan. Contohnya: orang potong barisan!
  2. Perbuatan rutin – Cetusan dari signal di atas membuatkan kita mengulangi apa yang biasa kita lakukan. Contonhnya: Tekan hon kereta dgn kuat!
  3. Ganjaran – Ini adalah matlamat utama yang mahu dicapai setiap kali sesuatu tabiat diulang. Contohnya: Rasa puas dapat melepaskan geram pada sikap kurang ajar potong barisan

Para kapitalis mengenal pasti 3 langkah di atas dan membuat berbagai helah untuk menggerakkan kita membeli apa saja yang mereka jual walaupun ianya tidak perlu.

Untuk mengelakkan kita tertipu dan buat sesuatu pembelian tanpa sedar, maka langkah terbaik adalah dengan menghindari sebanyak mungkin faktor pendorong yang mencetus tabiat.

Berikut beberapa langkah yang boleh kita lakukan

  • Elakkan terus menonton sebarang iklan. Samada iklan TV, Radio atau bercetak, semuanya merupakan faktor pencetus yang memberikan signal dalam minda secara tidak disedari untuk kita mengambil tindakan. Jangan lupa cegah semua keluarga kita dari iklan!
  • Elakkan ‘window shopping’. Ramai yang apabila tak ada kerja akan keluar melilau cuci mata dengan bersiar-siar di kompleks membeli belah. Kesemua susun atur barangan serta reka bentuk dalaman mencetuskan sikap beli tanpa sedar. Begitu juga dengan poster iklan yang berselerak di situ mempengaruhi minda.
  • Musnahkan kad kredit anda. Tidak ada yang lebih membunuh kewangan kita selain daripada penggunaan kad kredit. Setiap signal membeli yang tercetus akan dimudahkan dengan adanya kad jahat tersebut. Penggunaan kad kredit juga mendedahkan tabiat membeli anda kepada kapitalis yang seterusnya menjual maklumat pada penjual barangan lain untuk memujuk anda membeli.
  • Beli apa saja dengan tunai. Dengan penggunaan cash, anda terpaksa memujuk jurujual memberikan hutang terlebih dahulu sebelum membelinya, ini hampir mustahil untuk dilakukan! Hasilnya ia akan membantutkan rutin anda.
  • Pandang terus ke depan apabila membeli barang rumah/dapur di pasaraya. Semua susunan di pasaraya menghasilkan berbagai signal untuk tindakan rutin kita berlaku. Dengan menjadi robot dan tumpukan hanya pada senarai barang yang ditulis, anda mungkin selamat daripada memasukkan pringgles atau lain-lain dalam troly!
  • Bayangkan anda sebenarnya kaya raya tetapi tidak mahu orang lain tahu. Latih sikap sebegini setiap kali anda mahu lawan jiran atau kawan menukar kereta atau rumah baru. Begitu juga dengan pakaian atau kedai di mana anda makan atau minum, pilih tempat yang orang tak dapat syak anda sebenarnya kaya.

Mungkin setakat itu sudah memadai untuk mengurangkan kita berbelanja membeli benda yang tak perlu.
Kita juga boleh berusaha mengubah perbuatan rutin setiap kali signal pendorong tercetus jika sentiasa sedar dan sering mengingatkan diri. Tetapi rutin mestilah digantikan dengan perbuatan lain yang dapat menghasilkan ganjaran sama seperti biasa.

Sebagai contoh:
Bayangkan diri anda dipotong barisan. Untuk memuaskan hati yang marah, anda mesti buat sesuatu pada pemandu biadap tersebut. Ini boleh dilakukan dengan mengambil gambar perbuatannya dan laporkan pada pihak berkuasa.

Sentiasa sediakan segala peralatan h/p berkamera dengan rapi setiap kali memandu. Lama kelamaan anda akan lakukan semua itu secara automatik dan akan tertawa puas setiap kali orang potong Q! hahaha!

Jika anda ada lagi idea lain yang bernas dan praktikal, jangan segan untuk tambah di ruangan komen di bawah.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Anda kaya jika boleh buat begini!

    1. Mohd Shubhi Abdul

      kalau suruh orang lain beli barang melalui on-line mungkin lebih selamat. Dia akan beli apa yang kita suruh saja…hehehe

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge