Anda zalim jika melanggar lampu isyarat merah

By | 31/10/2012
 5th-avenue-nyc-1500x1000Bila keadilan mahu dirumuskan dalam satu ayat, ramai yang akan menjawab:

“Keadilan itu adalah, meletakkan sesuatu pada tempatnya”

Itulah makna yang saya sering terima namun ia masih tidak dapat memuaskan hati kerana ia nampaknya tidak menyeluruh.

Apa makna keadilan pada anda, apakah anda bersetuju dengan makna yang biasa diberikan seperti di atas atau anda punya makna lain yang lebih menarik?.

Makna ‘tidak adil’

Bila bercerita tentang keadilan, saya teringat satu peristiwa ketika saya berada di luar negara dulu. Ketika itu saya sedang menonton berita TV bersama dengan satu keluarga arab yang telah lama berhijrah dan menetap di Perancis.

Berita TV menunjukkan sebuah laporan yang memaparkan gambar kanak-kanak Ethopia yang kurus kering kebuluran menunggu mati. Melihat gambar yang terlalu menyedihkan tersebut, tiba-tiba Tok Arab itu mengkritik, ‘apa yang Tuhan buat?, tengok kanak-kanak yang tidak berdosa itu?.

Dia berkata begitu sambil berpaling pada semua orang seolah-olah meminta sokongan. Saya tergamam dan sudah tentu tidak sedikitpun membenarkan apa yang dia sebutkan itu. Kenapa dia mahu menyamakan sentimen kemanusiaannya dengan kedudukan Tuhan?.

Apa yang dilihat oleh orang tua arab tersebut menunjukkan bahawa dia berprasangka bahawa Tuhan telah berlaku tidak adil kerana tidak membantu menyelamatkan kanak-kanak yang suci bersih tersebut daripada mati kebuluran.

Peristiwa tersebut membuatkan saya tercari-cari apa makna ‘adil’, bagaimana Tuhan itu sentiasa adil? adakah jawapan yang paling tepat yang mana ia boleh diguna pakai samada pada makhluk mahupun pada Tuhan. Alhamdulillah akhirnya saya menemui jawapan yang cukup memuaskan.

Seseorang itu berlaku tidak adil apabila dia melakukan salah satu dari 2 perkara yang berikut:

  • Mengambil hak orang lain.
  • Melanggar ketentuan atau undang-undang yang dibuat oleh mereka yang berautoriti menentukan mana boleh dan mana tak boleh.

Jika kita bertanya pada perkara pertama di atas, adakah sesuatu yang bukan hak Allah, jawapannya sudah tentu tidak ada, maka dalam hal tersebut ternyata Allah sentiasa adil.

Jika kita bertanya pula dalam perkara kedua samada ada kuasa lain yang boleh menentukan mana yang Allah boleh buat dan mana yang Allah tak boleh, maka sudah pasti tidak ada yang lebih berkuasa melainkan Allah. Terang benderang di sini bahawa Allah juga sentiasa adil dalam difinasi kedua.

Rumusannya apa sahaja yang Tuhan lakukan, Dia sentiasa berlaku adil.

Bagaimana memastikan anda sentiasa berlaku adil

Seandainya anda ikut suka hati mengetuk kepala orang lain, maka anda telah mengambil haknya untuk tidak disakiti, maka anda telah berlaku tidak adil.

Begitu juga jika anda melanggar lampu isyarat jalanraya dengan meneruskan perjalanan walaupun lampu berwarna merah, maka anda juga telah berlaku tidak adil kerana melanggar undang-undang yang ditentukan oleh mereka yang berautoriti.

Pemahaman terhadap takrifan di atas membuatkan saya menjadi lebih cenderung untuk tidak melanggar sebarang undang-undang yang ditentukan oleh mereka yang berhak menentukannya. Walaupun dengan melakukan itu saya sering di sangka pengecut oleh kawan-kawan, saya sebolehnya tetap dengan perinsip untuk sentiasa berlaku adil.

Kita juga perlu mempelajari apakah hak-hak diri kita, orang lain, anak-anak, ibubapa, pekerja dan lain-lain dan pastikan hak mereka jangan kita ambil. Ini bukanlah sesuatu yang mudah dan sudah pasti memerlukan masa dan pemahaman yang mendalam.

Oleh itu janganlah jemu berfikir dan belajar agar kita dapat menjalani kehidupan yang mudah dan sentiasa berlaku adil.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Anda zalim jika melanggar lampu isyarat merah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge