Pernahkah berlaku pada diri anda, bisnes jatuh teruk dan dah tak dapat diselamatkan lagi.

Kena tutup kedai dan anda mula hilang arah, rasa malu, risau dan takut dan seribu satu macam perasaan kelam lagi timbul bermain dalam fikiran?

Kalau anda memang kaki buat bisnes, memang suka sangat bidang keusahawanan ni, tentu pernah alami pengalaman bisnes jatuh teruk dan bungkus tutup kedai.

Tak payah nak gebang kalau anda ada pengalaman jadi usahawan, tak pernah berlaku bisnes jatuh walaupun sekali.

Malah, bisnes jatuh berkali-kali pun bukanlah satu perkara luar biasa yang berlaku pada orang yang nak jadikan perniagaan sebagai sumber sara hidupnya.

Orang yang sampai sekarang masih terkial-kial tak kemana, buat apa saja bisnespun tak jadi, sebenarnya terlalu ramai kat luar sana. Kalau anda juga jenis yang macam itu, tak perlu risau. Kawan-kawan yang macam itu ada ramai. Nak mengaku atau tidak saja.

Bisnes jatuh perkara biasa

Dalam kehidupan, jatuh dan bangun adalah lumrah. Dalam apa saja urusan yang anda buat, ada kalanya naik dan ada kalanya turun. Bila dah berjaya naik tinggi ke ataspun, masih tak ada jaminan yang anda akan terus kekal mengecapi nikmat kejayaan.

Itulah lumrah kehidupan.

Yang jadi masalah adalah apabila anda berikan tumpuan pada apa orang nak kata.

Manusia kebanyakannya memang suka berikan penilaian yang terburu-buru. Membuat hukuman berdasarkan pertimbangan yang cetek. Tambah pulak penilaian dibuat kat kedai kopi, tak ada hakim, tak ada peguam bela dan tak ada pendakwaraya. Tentu seronok buat kenduri mengata pada orang yang jatuh.

Langkah awal bila bisnes jatuh

Jadi langkah paling mula yang anda perlu lakukan bila bisnes jatuh, adalah jangan ambil peduli apa orang nak kata.

Dengar dan hadam untuk kutip mutiara yang terselit dari kata-kata itu tak apa. Tapi tak perlu diserapkan masuk dalam hati. Tak payah nak ambil hati sebab anda sendiri tahu pertimbangan mereka jauh lebih cetek dari apa yang anda sendiri tahu.

Langkah kedua bila bisnes jatuh

Bila duduk termenung seorang diri kat kedai kopi tepi tasik, cuba renung dan tanya diri anda sendiri. Pernah tak anda pandang hina atau pandang rendah pada orang lain sebelum ini yang pernah jatuh. Pernahkah anda kutuk orang yang bisnes jatuh sebelum ini, kawan-kawan, musuh, kenalan atau sesiapa saja.

Itu langkah kedua.

Supaya anda belajar dari sekarang bahawa itu satu kesilapan besar. Menghukum orang rendah dan lekehkan orang yang bisnesnya jatuh adalah satu perkara yang tak patut dilakukan. Tak betul amalkan perangai macam itu.

Jadi, bila anda sendiri jatuh sekarang, adalah peluang untuk faham dan sedar dan hentikan amalan sedemikian bermula dari sekarang dan bawa sampai ke mati.

Langkah ketika bila bisnes jatuh

Selepas dah buat niat tak akan kutuk orang yang bisnesnya jatuh lagi selepas ini, anda perlu tanya soalan mudah ini pulak.

Adakah bisnes anda jatuh sebab anda buat perkara jahat?

Fikir masak-masak sampai dapat jawapan. Renung sedalam-dalamnya dan tuliskan senarai kejahatan yang anda buat, yang dirasakan ada pengaruh dalam membuatkan bisnes anda jatuh. Kalau memang betul ada, anda perlu letakkan pen dan pergi ambil wuduk.

Segera solat sunat taubat. Solat sunat taubat ni boleh dibuat pada bila-bila masapun. Tak haram sebab solat sunat itu dibuat selepas sebabnya berlaku. Iaitu anda telah bertaubat, jadi nak kena solat sunat taubat. Berlainan dengan solat sunat hajat. Bukan boleh buat semua masa sebab selepas solat baru anda nak buat hajat, Sebab solat berlaku kemudian.

Kenapa saya suruh solat taubat dan sebab apa saya suruh anda bersyukur sangat-sangat akan kejadian bisnes anda telah jatuh tu?

Sebab anda sepatutnya rasa syukur pada Tuhan turunkan bala pada anda supaya anda sedar diri dan insaf. Itu tandanya Tuhan memberikan rahmatNya pada anda. Apa lagi rahmat yang lebih besar dari itu?

Cerita betul orang jatuh dari tempat tinggi

Sengaja saya nak selitkan sikit cerita orang yang saya kenal rapat. Bekas pegawai kerajaan pangkat tinggi. Hidup mewah senang lenang buat duit kiri dan kanan.

Memang semua saudara mara dan kawan-kawan tahu dari mana duit tu semua datang.

Buat rumah berjuta-juta. Kereta mewah tak payah nak cakap. Bini melaram macam bidadari. Hidup senang lenang.

Dipendekkan cerita  akhirnya dinasihatkan letak jawatan. Kes dah terbongkar dan sekelip mata hilang kuasa dan sumber nak melaram.

Isteri cabut lari dengan lelaki lain dan dunia kelihatan gelap buat dirinya.

Macam biasa, orang akan kata kat belakang. Habis satu kampung orang gossip dari belakang. Seronok berpesta mengata pada orang yang macam tu. Lagipun semua orang rasa tak bersalah sebab padan muka dia jatuh sebab buat salah.

Tapi saya puji tuan punya badan dan itulah yang saya komen setiap kali keluar cerita kawan yang saya kenal itu. Memang ada yang terkejut bila saya puji. Tapi bila saya terangkan, semua orang setuju.

Macam yang saya sebutkan kat atas tadi. Perlu rasa cemburu pada orang macam tu sebab ternyata Tuhan sayangkan dia. Dihantarnya bala dan terbalikkan kehidupannya. Kalau tak datang bala itu, entah sampai bila dia akan sedar, Tuhan saja yang tahu.

Memang betulpun dia berubah. Pindah tempat, cari kerja lain, cari isteri lain dan tak ada lagi peluang untuk buat duit haram. Hidup aman dan muka bersih senyum tak tersekat lagi. Apa lagi nikmat yang lebih baik dari itu?

Bisnes jatuh bukan sebab jahat

Kembali semula pada cerita bisnes anda jatuh di atas tadi. Selepas puas merenung dan korek sana dan sini, ternyata bisnes anda jatuh bukan sebab anda jahat.

Ada sebab lain yang tak dapat dielakkan. Sebab lain yang bukan dalam kawalan anda.

Memang ada banyak perkara yang bukan dalam kawalan kita. Cuaca, polisi kerajaan, perubahan budaya dan citarasa masyarakat, bencana alam, dan lain-lain seumpamanya.

Kalau memang jelas itu puncanya, apa nak risau lagi. Apa nak rasa malu. Tutup buku dan kalau memang tak ada lagi jalan untuk pulihkan bisnes itu, cari saja bisnes lain. Apa nak kelam kabut sangat.

Sebab yang dibawah kawalan

Tapi kalau bisnes jatuh atas sebab yang memang dibawah kawalan anda, cuba senaraikan apa perkara tersebut. Sebab apa anda leka sehingga bisnes sampai jatuh. Kenapa anda tak buat apa yang sepatutnya dibuat?

Apakah sebab anda memang tak tahu atau memang tak ada selera untuk laksanakan perkara tersebut? Kalau memang betul macam itu, ambil perhatian apa yang saya nak kata kat bawah ni.

Anda perlu ingat bahawa dalam berniaga, ada banyak perkara yang kita mesti buat. Dalam banyak-banyak itu, ada yang kita suka buat dan ada yang kita memang tak suka nak buat. Kesilapan ramai usahawan adalah dia hanya pilih untuk buat benda yang dia suka saja. Yang tak suka dia abaikan.

Buat apa yang anda suka, itu memang betul. Dah suka, buatlah, lagipun kerja itu wajib dibuat. Memang mudah.

Tapi yang anda tak suka, tapi masih tetap wajib dibuat, janganlah pulak dibiarkan begitu tetap tak buat. Dah anda tak suka buat, cari orang lain, bayar gaji atau berikan ekuiti dan sebagainya untuk buat kerja wajib yang anda ak suka buat tu.

Dengan berbuat begitu, anda akan selesaikan semua urusan yang wajib dibuat, samada anda suka atau tak suka, bagi melancarkan perniagaan.

Dengan maklumat itu, anda boleh buat semula dan betulkan semula perniagaan. Pulihkan semula dengan satu pendekatan baru dan insyaalah semuanya akan ok semula. Lagipun anda tak ada buat jahat. Mesti ada orang yang sudi membantu untuk anda pulih semula.

Jadi bangun dan teruskan semula perjalanan anda.

Yang penting bagaimana anda bangun semula

Jatuh tergolek, tersembam, terlentang kemudian bangun dan jatuh semula, bangun lagi adalah perkara biasa. Jangan risau sangat perkara itu.

Apa yang lebih penting, adalah bagaimana anda bangun semula untuk teruskan perjalanan. Sebab perjalanan masih ada selagi anda masih bernafas. Buat apa yang anda cekap dan jangan buang masa buat macam-macam sedangkan anda sendiri tahu setiap orang ada had kecekapannya.

Kalau timbul rasa cemburu tengok orang lain naik mencanak tinggi ke atas, popular, semua orang kenal, hidup bergaya dan berjaya, ingatkan diri anda balik yang bukan semua orang perlu jadi glamour atau popular serta dicatitkan namanya dalam buku sejarah. Itu hanya sekelumit manusia sahaja.

Tak perlu cemburu dan tak perlu nak kejar mereka. Jangan terikut-ikut sangat dengan cerita ‘From Zero to Hero’ yang terlalu banyak diviralkan sekarang ini. Ia lebih banyak membuatkan anda rasa sesak dan tak selesa.

Sampai ke satu tahap yang mencukupi segala keperluan hidup, tambahan berlebihan tidak sedikitpun akan mengubah apa-apa kebahagian dalam jiwa anda. Itu memang dah dibuktikan oleh kajian demi kajian.

Kejar untuk hidup mencukupi dan fokus buat bidang yang anda memang dah cekap. Semakin rendah anda letakkan tahap kepeluan hidup anda, semakin cepat anda bahagia dan hidup aman. Itu rahsia mudah yang ramai masih tak mahu ikut.

Nanti saya hurai semula bab tu dilain masa… insyaallah!

Nota: Saya akan buat kursus perniagaan pada hari Sabtu, 24 Feb 2018. Baik untuk anda yang mahu mencari panduan bagaimana menguruskan bisnes secara konsisten dengan menggunakan 5 formula yang mudah dan berkesan. Jika berminat, sila Daftar Kat Sini segera!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Sampai ke satu tahap yang mencukupi segala keperluan hidup, tambahan berlebihan tidak sedikitpun akan mengubah apa-apa kebahagian dalam jiwa anda. Itu memang dah dibuktikan oleh kajian demi kajian.

    Kejar untuk hidup mencukupi dan fokus buat bidang yang anda memang dah cekap. Semakin rendah anda letakkan tahap kepeluan hidup anda, semakin cepat anda bahagia dan hidup aman. Itu rahsia mudah yang ramai masih tak mahu ikut.

    Ayat ini sangat terkesan dihati.Terima kasih tuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge