Pernah terfikirkah beza antara orang bijaksana dengan orang yang pandai?

Dalam Bahasa Inggeris, bijaksana kita panggil sebagai ‘wise’ manakala pandai pula kita panggil ‘clever’.

Perkataan yang sering kita dengar berkenaan kebijaksanaan dalam Bahasa Inggeris adalah ‘Wisdom’. Ia ditakrifkan sebagai keupayaan seseorang untuk membuat satu keputusan yang terbaik dalam melayari kehidupan ini.

Sudah tentu orang yang bijaksana itu merupakan seseorang yang punya pengetahuan yang banyak, juga sarat penuh dengan pengalaman. Kedua-dua keupayaan tersebut membuatkan dia sering kelihatan tenang dan membuat sesuatu keputusan awal yang amat baik.

Orang bijaksana dengan orang pandai

Ada satu ayat yang dikatakan disebut oleh Einstein begini,

“A clever person solves a problem. A wise person avoids it”

Ayat yang pendek itu mendalam maknanya.

Dalam kehidupan ini, semua orang tahu bahawa masalah itu adalah lebih mudah untuk dielakkan berbanding untuk diselesaikan. Justeru itu adalah mudah untuk mengenal pasti antara orang yang bijak dengan orang yang pandai dalam cara mereka melayari kehidupan ini.

Orang yang bijaksana sentiasa sentiasa memikirkan cara bagaimana untuk mengelak masalah. Sebab dia tahu itu merupakan perkara yang paling mudah untuk dilakukan jika dia mahukan kehudupan yang baik dan aman.

Tapi dunia tidak melihat sangat pada orang yang bijaksana sebab tidak ada apa-apa cerita yang menarik yang boleh dijadikan sebagai satu cerita sensasi.

Ya lah!

Orang yang bijaksana sentiasa mengelak lebih awal dari terjerumus ke dalam masalah berbanding terjah ikut suka hati dan terperangkap ke dalam masalah. Membuatkan dia tidak perlu memerah otaknya, terpaksa bertungkus lumus untuk selesaikan masalah yang dihadapinya. Itu bukanlah skrip cerita wayang yang digemari ramai.

Usahawan bijaksana dengan usahawan pandai

Dalam dunia keusahawanan, ada ramai usahawan bijaksana yang melayari dunia perniagaan mereka tanpa mendapat apa-apa perhatian. Ini berikutan daripada sikap bijaksana mereka dalam memilih jenis perniagaan yang lebih terjamin tidak bermasalah berdasarkan pemerhatian disekelilingnya.

Ada banyak perniagaan yang tidak bermasalah sebenarnya.

Anda boleh lihat sekeliling anda sendiri perniagaan-perniagaan yang terbukti masih wujud sejak dahulu sehingga sekarang. Tak perlulah saya senaraikan kat sini perniagaan-perniagaan tersebut sebab saya yakin anda sendiri boleh melihatnya.

Nota: Perniagaan yang sentiasa relevan tersebut tak semestinya kedai makan atau jual nasi lemak. Ada seribu satu macam lagi perniagaan wujud jika anda buka mata dan jalan sambil memerhati sekeliling dan bukannya terbenam pada smartphone.

Jika ada yang menceburi perniagaan yang memang terbukti sentiasa relevan itu gagal, ianya bukanlah disebabkan bisnes yang dceburinya itu tak bagus, tapi dia sendirilah yang sebenarnya tak bagus sebab gagal memenuhi segala asas yang diperlukan sebagai seorang usahawan.

Jika usahawan itu berjaya, ianya adalah perkara biasa sahaja sebab memang perniagaan yang dipilihnya dah dketahui sentiasa relevan. Jadi tidak akan ada liputan yang hebat dari media dan tidak akan menarik perhatian orang ramai. Usahawan bijaksana itu akan kekal low-profile tidak diketahui.

Ada pula orang yang suka ceburi jenis perniagaan yang masih belum terbukti ada permintaan. Potensi perniagaan sebegitu, untuk mencetuskan masalah pada orang yang mencubanya adalah tinggi.

Jadi tidak hairanlah sebaik saja dia mula keluarkan duit, pinjam sini dan sana, bertungkus lumus ketengahkan idea perniagaan dan produknya, dia sentiasa ditembak dengan seribu satu masalah dari segenap penjuru.

Ditakdirkan usahawan itu seorang yang pandai. Maka dia berkorban apa saja, harta mahupun nyawa, selamatkan kehidupannya dan bisnesnya sedikit demi sedikit dan akhirnya setelah cukup merana dia akhirnya berjaya timbul juga. Itupun sekadar cukup makan sahaja. Dari segi untung dan rugi masih tidak ditahap yang selesa.

Namun begitu, usahawan sebegitulah yang akan mendapat liputan meluas dari segenap penjuru. Dia akan diundang oleh media, masuk TV, masuk Radio. Diminta buat buku ceritakan pengalamannya dan berbagai lagi sambutan dari orang ramai yang menjulangnya sebagai seorang hero.

Dan ramailah yang impikan untuk jadi sepertinya.

Dan ramai juga yang terlupa untuk melihat usahawan bijaksana kat atas tadi yang tidak mendapat liputan yang meluas. Sebab usahawan bijaksana sentiasa ambil pendekatan untuk elakkan diri dari masalah berbanding terjun dalam masalah dan terpaksa berhempas pulas untuk selesaikannya.

Orang bijaksana sentiasa terpinggir tak glamour

Dalam kehidupan yang lain sama juga. Ramai orang yang bijaksana sentiasa mencari jalan mengelakkan diri dari masalah di hadapan mereka dengan membuat keputusan-keputusan yang bijak.

Mereka selamatkan masyarakat, mereka selamatkan keluarga, pekerja, pelajar dan lain-lain lagi dengan cara mengambil pendekatan mencegah lebih awal dari terjerumus masuk ke dalam masalah. Tapi mereka tidak akan glamour sebab perjalanan yang lancar itu biasanya tidak mengundang perhatian.

Malah orang ramai tak menghargainya pun.

Macam ayah yang bijaksana berusaha berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya menyara dan melindungi seluruh isi keluarganya. Ada perkara yang dia tegas lebih awal untuk dielakkan, maka masalah tak timbul kemudian hari. Ada perkara yang dia terpaksa pejam mata buat juga walaupun tidak disukai oleh anak bini sebab dia tahu tanpa melakukan perkara tersebut, keluarga bakal melarat satu hari nanti.

Dan terbukti masalah tak timbul namun biasanya usaha tidak akan dihargai sebab memang lumrahnya begitu. Usaha dan kerja mereka yang bijaksana jarang dapat dilihat sebab kebijaksanaan mereka malayari kehidupan melalui pendekatan pencegahan atau mengelakkan diri dari masalah adalah satu pendekatan yang sukar untuk dibuktikan dan tak boleh dilihat.

Saya yakin ada ramai orang bijaksana kat luar sana. Pegawai polis yang melaksanakan tugasnya melalui pendekatan pencegahan umpamanya, jarang mendapat liputan. Guru besar dan guru-guru yang sentiasa bijaksana pandang jauh ke depan dan mendidik serta menguruskan sekolah dengan baik juga ada ramai, tapi tak siapa yang akan berikan tumpuan.

Ketua syarikat yang sentiasa ambil pendekatan awal mencegah syarikat dari terjerumus ke dalam masalah umpamannya kurang glamour berbanding CEO yang selamatkan syarikat yang hampir muflis. Sedangkan dari awal, sikap tak bijak CEO itu juga yang membuatkan syarikat hampir lingkup.

Namun begitu, tak perlu risau untuk jadi orang bijaksana. Biarlah tak mendapat perhatian asalkan anda laksanakan tugas yang diamanahkan dengan cara yang terbaik melalui kebijaksanaan mencegah berbanding merawat. Sebab itulah tugasan utama kita sebagai insan di muka bumi ini, Bukan untuk jadi glamour, tapi untuk melaksanakan tanggung jawab dengan baik.

Wallahu’alam.

Nota: Idea tulisan tercetus dari buku The Art of The Good Life – Rolf Dobelli. Tulisan ini juga untuk menjawab soalan kenapa saya berhenti makan sedangkan makanan masih ada banyak…

 

Total
28
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge