Apa mak buat dengan semua kain?

By | 27/01/2013

Apa yang Ibu saya lakukan pada semua kain pelikat dan kain batik yang banyak yang telah saya hadiahkan padanya?

Setelah menghadiahkan semua kain yang saya tak dapat jual, saya memberikan tumpuan pada usaha menjayakan bisnes jual baja yang baru saya dapat dari Adlan.

Memahami industri baja
Bisnes jual baja memerlukan saya mengetahui serba sedikit berkenaan industri pertanian. Masa itulah saya kenal apa itu NPK yang menjadi mainan mulut para petani apabila bercerita tentang baja. masa itu juga saya tahu berkenaan baja kompos, baja organik, taik ayam berapa harganya seguni dan berapa harga taik lembu.

Tak sangka pulak rupanya taik binatang ada harga dan ada pula yang mengusahakannya dengan memasukkan ke dalam guni dan disusun dengan baik.

Ketika itu saya teringat tentang hukum hakam berjual beli ketika belajar bab muamalat daripada guru saya. Antara barangan yang tak sah berjual beli adalah barang yang najis. Semua orang tahu taik ayam tu najis, jadi bagaimana hukumnya makan duit hasil daripada penjualan taik ayam tersebut.

Saya yakin tentu ada jalan penyelesaiannya. Kalau saya diberikan pilihan, saya akan proses terlebih dahulu taik ayam itu menjadi baja kompos barulah dijual kepada pembeli. Ini mengelakkan kita daripada berurusan dalam perniagaan taik ayam segar.

Lebih banyak tahu terasa semakin bodoh
Sebelum jual baja, saya merasakan industri tersebut seperti tidak ceria dan kurang aktiviti. Berapalah sangat jenis baja yang ada di dalam pasaran. Jadi saya anggap tentu urusan untuk kembangkan perniagaan ini lebih mudah dengan pesaing yang boleh kira jari.

Selain dari memastikan baja dijual untuk menyara perniagaan, baja juga perlu dihantar kepada agensi-agensi yang diiktiraf untuk melakukan ujian serta mencuba kehebatan baja kita. Antara tempat yang saya hantar adalah di pusat penyelidikan tanaman padi di Kedah.

Dengan bangga dan yakin kami mahu mereka mencuba baja kami dalam tanaman padi. Malangnya terdapat ratusan baja sedang beratur untuk diuji kehebatan baja masing-masing. Entah bila baja kami akan mendapat gilirannya saya tidak pasti.

Ini amat mengejutkan saya. Rupanya terdapat bersepah-sepah baja dalam pasaran dan sedang diperkenalkan ke dalam pasaran dan juga sedang menunggu untuk masuk ke pasaran. Samada baja keluaran tempatan amaupun dari luar negara, semunya cuba untuk memasuki pasaran.

Ternyata dunia perniagaan terlalu sesak. Semakin maju, semakin sesak persaingan yang para usahawan terpaksa lalui. Sebut sahaja apa-apa produk, anda akan dihidangkan dengan terlalau banyak pilihan. Seperti dalam cerita Matrix yang mengisahkan heronya meminta senjata, maka akan muncul ribuan jenis senjata di hadapannya untuk dipilih.

Untuk mendapatkan gambaran keadaan persaingan di dunia perniagaan sekarang ini, cuba anda fikirkan tentang ayam. Jika anda mahu makan ayam dan pergi ke pasaraya untuk membelinya, akan ada berjenis-jenis ayam yang ditawarkan. Ayam organik, ayam murah, ayam turki, ayam kampung, ayam pencen, ayam beku, ayam impot.

Itu belum dicampurkan lagi dengan adanya ayam yang telah dipotong siap, potong kecil, potong besar, peha sahaja, dada sahaja, sayap sahaja, telah siap diperap dengan bahagian-bahagian yang berbeza dan beribu satu pilihan lagi yang ada di sekeliling kawasan menjual ayam sahaja.

Persoalannya, jika anda seorang penjual ayam……

“apakah yang membuatkan pembeli akan memilih ayam anda…?”

Begitulah juga yang terjadi kepada baja yang kami sedang berusaha menjualnya. Soalan ini sebenarnya mampu memecahkan kepala sesiap saja dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah seperti memetik jari.

Kain pelikat dan kain batik
Kembali pada tajuk asal cerita ini. Satu hari sebelum saya mahu keluar rumah ibu memberikan saya wang RM5 ribu. “Nah, duit hang…!”, kata ibu.

Saya terkejut dan bertanya, “duit apa pulak ni Mak?”.

“Ini duit hasil dari jualan kain pelikat dan kain batik hang” jawab ibu sambil tersenyum.

Rupanya dalam kesibukan saya menjual baja, Ibu hanya mengambil masa sebulan untuk mengosongkan semua kotan kain-kain yang saya hadiahkan padanya.

Mak saya seorang yang rajin mengikuti kuliah agama di sekeliling kampung saya. Dia akan pergi berkumpulan dengan rakan-rakannya seramai 3 atau 4 orang. Itulah aktiviti yang menyihatkan ibu samada secara fizikal mahupun mental. Mereka akan berjalan kaki berbatu-batu untuk pergi dan balik belajar agama.

Setiap kali pergi mengaji dia akan membawa bersama beberapa helai kain batik dan kain pelikat untuk ditunjukkan pada kawan-kawannya di pondok pengajian. Aktiviti mudah itu akhirnya menghabiskan kesemua stok kain yang saya hadiahkan padanya.

“Mak ambillah kesemua duit itu, saya dah hadiahkan pada mak dan itu semua menjadi hak mak”, kata saya pada Ibu.

Sejak itu mak saya menambah pendapatannya hasil dari perniagaan kain batik, pelikat, tudung dan lain-lain dengan menjadikan wang tersebut sebagai modalnya. Dia kini mendapat pembekal baru dari Indonesia pula yang menjadi kawan rapat serta pembekalnya dalam perniagaan tersebut.

Begitulah kisahnya, jika anda tak mampu menjalankan sesuatu perniagaan itu, tidak bermakna orang lain juga tidak mampu. Kita sering mendengar komen ikhlas dari kawan yang mengkondem apa saja perniagaan yang mahu kita jalankan atas alasan dia telah pernah melakukannya dan gagal.

Kita sering cenderung menganggap orang lain semua sama macam kita. Sikap ini membuatkan kita melimitkan pilihan yang ada dan menyusahkan semua orang.

Berilah peluang pada orang lain untuk mencari jawapan sendiri samada dia mampu atau tidak mampu dan jangan sesekali membuat keputusan untuk orang lain. Kisah mak saya jual semua kain yang diberikan padanya banyak mengajar saya untuk menghadapi masa yang mendatang.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Apa mak buat dengan semua kain?

  1. Anonymous

    Ya Tuhan, sangat betullah apa yg en shubhi katakan. Kita x berjaya x smestinya org lain x berjaya..

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Ya, jika kita tak mampu, carilah orang lain yang mampu lakukan. Jika kita tak berjaya, berilah kepercayaan pada orang lain dan doakan moga dia berjaya…

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge