2016 Celebrations At Large Concert With Crowd And Band PlayingKebanyakan daripada kawan-kawan yang saya jumpa terutamanya yang berniaga akan merungut pasal keadaan ekonomi gawat yang sedang berlaku sekarang.

Para peniaga merungut hasil jualan mereka menrudum dengan teruk berbanding hasil-hasil jualan sebelum ini. Peniaga di pasar malam juga merungut, kedai mamakpun merungut, bengkel kenderaan juga merungut, peniaga di pasaraya membeli belah juga merungut.

Penurunan paling teruk yang dirasakan oleh kebanyakan orang yang berniaga dalam pasaran terbuka adalah ketika GST diperkenalkan oleh kerajaan. Ramai yang rasa gayat seperti keadaan kita ketika kecut perut apabila kapal terbang tiba-tiba henjut turun bawah.

Tetapi kemudiannya suasana perniagaan kembali naik semula sedikit ke atas. Tetapi masih di tahap bawah tidak sebagai mana asal. Ertinya secara purata ada kesan penurunan sedikit selepas beberapa lama GST diperkenalkan.

Betulkah 2016 ekonomi gawat ?

Menurut kajian daripada RHB, keadaan ekonomi negara adalah mencabar pada tahun 2016 ini. Suasana kewangan negara agak turun dan naik dengan kedudukan matawang ringgit yang tidak memberansangkan.

Semua itu diburukkan lagi dengan suasana politik yang berselerak sekarang. Tak payah kita ulas pasal keadaan politik kat sini, hanya menyemakkan pemikiran sahaja. Kita fokus hanya pada kehidupan kita sebagai orang awam terutamanya dalam isu perniagaan.

Dalam kesemua negara Asian, negara kita mencatatkan rekod atau prestasi yang paling teruk berbanding semua negara-negara lain. Ini semua disumbang oleh keadaan politik negara, menurut pandangan pakar.

Walaupun asas ekonomi negara kita adalah kukuh dengan kedudukan industri perbankan yang masih dalam keadaan sihat, tetapi, sentimen keadaan politik memainkan peranan yang besar dalam menentukan keadaan sesebuah negara.

Baru-baru ini pula Moody’s Investors Service telah menurunkan penarafan kredit (Credit-Rating) negara kita daripada Positif kepada Stabil.

Penarafan Kredit ini merupakan kedudukan atau kemampuan sesebuah negara dalam membayar hutang.

Kedudukan yang rendah membuatkan pelabur takut untuk melabur di negara kita (dengan membeli Bon yang dikeluarkan kerajaan contohnya) sebab kemungkinan kerajaan tak bayar hutang adalah tinggi.

Dalam keadaan itu, kadar faedah hutang negara akan meningkat dan Kerajaan terpaksa peruntukkan duit yang lebih banyak untuk membayarnya.

Bila duit banyak digunakan untuk bayar hutang, maka peruntukkan untuk pembangunan dan memeriahkan produktiviti rakyat akan berkurangan. Ini semua melembabkan lagi keadaan ekonomi.

Kesannya kian lama kian terasa sehinggalah akhirnya akan melanda kita semua yang berniaga secara kecil-kecilan ini.

Kenapa saya tulis semua yang berbelit dan susah nak hadam kat atas tu ?

Sebabnya untuk membenarkan apa yang sedang berlaku sekarang. Memang secara teorinya keadaan ekonomi negara tidaklah sama dengan zaman-zaman sebelum ini.

Perniagaan ketika ekonomi gawat

Sebelum kita buat andaian tentang status ekonomi rakyat, cuba tanya bagaimana kedudukan ekonomi kita sekarang.

Atau lebih mudah lagi bagaimana tabiat membeli kita sekarang? adakah kita tarik handbrake terus dan mengelakkan daripada aktiviti keluarkan duit dari poket untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan yang diperlukan ?

Saya yakin anda yang masih ada kerja dan masih dapat bayaran gaji dari majikan masih tetap berbelanja tanpa banyak sangat berfikir.

Begitu juga anda yang berniaga yang masih ada hasil jualan dan mencatatkan keuntungan, masih tetap ada pendapatan atau lebihan untuk berbelanja segala keperluan.

Tetapi jika anda sebahagian daripada tenaga kerja yang telah mengambil tawaran VSS. Atau jika anda usahawan yang bergantung pada projek kerajaan dan projek pula tak ada, mungkin anda semua berdepan dengan masalah kewangan, walaupun tidak semestinya sekarang.

Secara dasarnya, ekonomi akan benar-benar gawat seandainya ramai orang kena buang kerja dan ramai usahawan atau kontraktor tak ada kerja.

Setakat ini, keadaan sebegitu masih belum berlaku pada negara kita. Alhamdulillah. Maknanya akan masih ada berlaku transaksi perniagaan terutamanya terhadap barangan keperluan.

Lagipun, kedudukan nilai matawang ringgit yang rendah sebenarnya meningkatkan lagi aktiviti eksport. Sudah tentu syarikat-syarikat yang fokus pada aktiviti eksport berada dalam keadaan yang agak rancak sekarang ini. Jadi masih ada ramai pekerja yang ada kerjaya dan ada duit.

Tolak campur, timbang sana timbang sini, kita sebenarnya masih ok !

Tapi jika keadaan perniagaan anda merosot, dan faktor ekonomi rakyat sebenarnya tidak berubah sangat, maka kenapa ia jadi begitu ?

Kalau ya pun ada perubahan pada status ekonomi rakyat, kenapa masih ada perniagaan lain yang ok ?

Jawapannya mungkin adalah disebabkan pengurusan perniagaan anda tak mantap secara keseluruhannya.

Ini membuatkan pelanggan anda pergi kepada peniaga lain. Sebab itu perniagaan anda merosot. Bukan sangat atas faktor ekonomi kalaupun ada sedikit.

Jadi apa nak buat ?

Macam mana nak uruskan perniagaan dalam keadaan ekonomi gawat sekarang ?

Cerita perniagaan dalam ekonomi gawat

Ketika mengikuti satu seminar berkenaan ekonomi di MIM satu ketika dahulu dalam zaman ekonomi gawat, ada satu cerita menarik yang disampaikan oleh salah seorang panel dalam seminar tersebut.

Soalan ditanya oleh salah seorang peserta yang merupakan CEO kepada sebuah syarikat di KL. CEO itu mohon saranan daripada panel apa yang mereka perlu lakukan dari segi strategi perniagaan dalam keadaan ekonomi gawat ketika itu.

Panel tidak menjawab soalan tersebut secara terus. Sebaliknya membawa cerita di bawah.

Di sebuah pekan ada seorang usahawan yang menjalankan perniagaan runcit. Usahawan itu memiliki sebuah kedai runcit yang terletak di tepi jalan utama pekan tersebut.

Daripada kesungguhan dan kerja kuatnya, perniagaan kedai runcit itu membesar dan semakin maju. Hasil pendapatan dari perniagaan itulah yang membolehkan dia membiayai anak lelakinya pergi menyambung pelajaran dalam jurusan ekonomi di pusat pengajian tinggi.

Ketika zaman ekonomi gawat melanda di seluruh dunia, kesannya turut sama melanda pekan kecil itu. Begitulah juga perniagaan kedai runcit tersebut turut menerima kesan yang sama.

Semua orang mengeluh dengan keadaan ekonomi dan kebanyakan kedai runcit yang ada di pekan itu mula mengecilkan perniagaan mereka atau cuba beralih arah ke perniagaan lain.

Usahawan tersebut juga membuat keputusan untuk mengecilkan perniagaan yang dijalankannya sekian lama. Barang dikurangkan untuk menjimatkan kos dan berbagai penjimatan kos lain dilaksanakan supaya perniagaannya mengecil.

Kemudian anaknya pulang setelah menamatkan pengajiannya di pusat pengajian tinggi. Dia lihat kedai ayahnya semakin merosot dengan jumlah barang yang dijual tidak lagi seperti dahulu. Kedai suram tidak diuruskan dengan cemerlang lagi dengan signboard kedai yang pudar.

Apabila dia bertanya pada ayahnya, jawapan yang dia dapat adalah kerana ekonomi sedang gawat. Itulah yang semua orang kata dan itulah yang kebanyakan usahawan buat, kecilkan perniagaan untuk kurangkan kos sambil menunggu sehingga ekonomi pulih semula.

Anaknya tidak bersetuju dengan tindakan ayahnya mengecilkan perniagaan dan mengurangkan barangan walaupun keadaan ekonomi sedang gawat. Itu salah kata anaknya.

Oleh kerana percaya dengan kebolehan anaknya itu, lagipun dia dah pergi belajar tinggi dalam bidang ekonomi pula, maka ayahnya mengikut saranan ayahnya walaupun semua orang lain yang berniaga bertindak sebaliknya.

Maka mereka mula mengecat semula kedai runcit, memasang signboard baru yang lebih besar dan mengisi barang yang jauh lebih banyak dan meriah dari sebelum ini yang pernah ayahnya lakukan selama berniaga.

Dan hasilnya ternyata membuatkan perniagaan kedai runcit itu menjana jualan yang amat tinggi walaupun dalam keadaan ekonomi gawat. Pelanggan yang biasanya setia dengan kedai runcit lainpun mula beralih arah ke kedai runcit mereka kerana perbezaan barang dan pilihan yang ketara.

Begitulah akhirnya perniagaan kedai runcit itu ternyata jauh lebih berjaya dari sebelum-sebelum ini walaupun semua orang berkata ekonomi gawat teruk ketika itu.

Itulah jawapan yang diberikan oleh panel dalam bentuk cerita benar yang berlaku di sebuah pekan ketika ekonomi sedang gawat.

Dia menyarankan para peserta seminar berfikir dan buat keputusan yang perlu ketika ekonomi gawat. Jawapannya ada pada usahawan, samada nak dengar kata orang dan ikut tindakan kebanyakan orang atau menyusun strategi bagi meningkatkan perniagaan dalam apa keadaan sekalipun.

Total
102
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge