D7K_3573 copySejak dari sekolah rendah saya amat aktif melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Masa sekolah rendah dulu di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam, guru besar yang ada semuanya jenis yang amat menggalakkan sukan pada para pelajarnya. (kredit Photo: Shahrizal)

Para gurubesar menerapkan misi yang sama, iaitu samada pelajar cemerlang dalam akademik, atau cemerlang dalam sukan. Guru besar tak kisah jika pelajarnya malap dari segi akademik jika dia cemerlang dalam sukan.

Kalau cemerlang dalam akademik, tak kisah jika dia kaki bangku. Dan sekiranya cemerlang dalam kedua-dua arena sudah tentu akan menjadi pelajar contoh dan diketengahkan dalam barisan kepimpinan.

Masa sekolah rendah, saya hanya minat bersukan. Bab belajar saya tak pulun langsung. Masa penilaian hanya dapat 2 A, 2 B dan 1 C. Tak kisah sangat masa itu sebab saya mewakili bolasepak untuk sekolah.

Sekolah Stowell zaman saya sentiasa menang dalam mana-mana pertandingan dari peringkat daerah hingga ke peringkat negeri. Sekali belasah sekolah lawan berkarung-karung sampai cikgu bola nasihat jangan belasah teruk sangat, kesian pada sekolah lain.

Para pemain boleh mendapat layanan istimewa dari Guru Besar. Makan tengahari dibekalkan setiap kali ada perlawanan. Semua pemain bolasepak akan diberikan minuman Glukos setiap hari. Bolah balik awal jika ada perlawanan dan macam-macam keistimewaan lagi.

Ternyata strategi guru besar dalam menerapkan nilai sukan pada pelajarnya mampu mengubah sikap pelajar yang cemerlang dalam sukan. Bila saya masuk sekolah menengah yang team bolasepaknya tak boleh cari makan, saya beralih pada pelajaran.

Pencapaian akademik saya bila masuk sekolah menengah meningkat tahun demi tahun. Senang saja saya kejar keciciran selama sekolah rendah dulu hingga akhirnya saya pergi ke luar negara bila dapat keputusan SPM yang cemerlang. Itulah penangan atau kesan yang diterap dari aktif bersukan.

Belajar dari sukan

Sekarang saya rasa elok dikongsikan pada semua kenapa strategi pilih sukan atau akademik itu penting untuk jadikan kita manusia berguna dalam kehidupan.

Tak lain tidak ia mampu menerapkan falsafah yang baik dalam perjalanan kita menghadapi naik dan turun dalam kehidupan. Berikut saya kongsikan antara perkara yang mampu diterapkan dek aktif bersukan. Jom belajar dari sukan…

  1.  Berikan tumpuan pada apa yang kita hendak
    • Sukan mengajar kita fokus pada perkara yang kita mahu dapatkan. Tak berlaku dalam aktiviti sukan di mana fikiran kita beku hanya pada apa yang kita tak mahu. Bila kita pegang bola, kita akan tumpu pada mengawalnya dan bila nampak pelang kita tumpu pada sasaran samada menjaringkan gol atau membuat hantaran pada pemain sasaran.
    • Setiap kalai kita hilang tumpuan pada perkara yang kita tak nak, misalnya tak mahu orang ambil bola dari kita, biasanya bola akan dapat pada pihak lawan.
    • Kita sering dapat segala apa yang kita tak nak samada dalam sukan atau dalam kehidupan. Sebabnya adalah kerana otak tak akan faham perkataan tidak. Bila kita gambarkan tak mahu orang lain dapat bola, gambaran otak hanya ada gambaran bola dapat kat orang lain. Maka itulah yang arahan diberikan pada pergerakan kita.
    • Bila fokus pada apa yang kita mahu, otak akan melaksanakannya dari segi tindakan. Bila dalam kehidupan kita fkus pada apa yang kita mahu dengan jelas, lebih mudah untuk kita mencapainya.
  2. Pencapaian hebat adalah hasil daripada komitmen yang tinggi.
    • Mungkin ramai orang akan anggap Lin Dan ada bakat yang besar dalam arena badminton. Sebab itu dia sering tewaskan Lee Chong Wei. Begitu juga orang akan anggap Lee Chong Wei ada bakat dan dilahirkan berbakat.
    • Hakikatnya mereka memberikan komitmen yang amat tinggi dalam membina keupayaan diri mereka. Jumlah latihan mereka jauh lebih hebat berbanding orang lain. Malah apa yang mereka bina adalah lebih menyeluruh berbanding orang lain. Itu sebab utama mereka cemerlang dan bukannya disebabkan bakat semula jadi.
    • Dalam kehidupan juga begitu. Mungkin orang anggap usahawan berjaya disebabkan dia anak seorang usahawan atau datang dari keluarga usahawan. Hakikatnya adalah dia memberikan komitmen yang tinggi untuk berjaya, sebab itu dia cemerlang.
    • Bagaimana besarpun bakat yang ada pada diri kita, tanpa komitmen tinggi, kita tak akan ke mana-mana. Sekadar jadi jaguh kampung saja dan jadi kaki gebang di kedai kopi saja akhirnya.
  3. Terima hakikat bahawa semua orang cuba menyekat kemaraan kita.
    • Dalam sukan jika kita andaikan pihak lawan asyik nak jatuhkan kita sahaja, memang betul sangkaan itu. Memang itu kerja pihak lawan, dia mahu ke depan dan tinggalkan kita dibelakang.
    • Tak akan berlaku samada secara sedar atau tidak sedar pihak lawan akan bantu kita menang dengan sengaja. Itu bukan kerjanya kecuali dia dirasuah. Sudah jadi tabiat pesaing akan cuba jatuhkan diri kita.
    • Oleh itu jangan mengeluh dan salahkan pesaing.
    • Begitu juga dalam kehidupan, tak perlu megeluh dan salahkan orang lain yang nak tinggalkan kita pergi ke depan. Mereka sekadar buat apa yang perlu mereka buat.
    • Apa yang penting kita bertanggung jawab sendiri untuk pastikan diri kita maju ke depan dengan membaca dan menggunakan segala situasi yang ada. Asalkan ianya tidak melanggar etika, undang-undang dan syariat, kita perlu berusaha.
  4. Jangan benci pesaing, sebaliknya tingkatkan prestasi diri.
    • Dalam sukan, bila anda menaruh kebencian pada pesaing, anda akan kalah dengan mudah. Sebaliknya jika anda berikan tumpuan melonjakkan prestasi anda dengan belajar dan belajar dari kesilapan diri dan juga lawan, anda akan menjadi jaguh.
    • Dalam kehidupan juga begitu, tak perlu nak rasa benci pada orang lain. Ia hanya memancarkan tenaga negatif dalam diri anda dan ia hanya merosakkan diri anda sendiri.
    • Lihat kehebatan orang dan belajar dari situ. Orang yang anda kagum walaupun dia pesaing mampu memberikan anda inspirasi pada diri anda sendiri dan anda akan belajar meningkatkan prestasi diri.
    • Bila anda benci pada orang, anda hilang daya tumpuan dan langkah anda mula sumbang. Malah tenaga negatif yang keluar dari perasaan benci itu bakal memakan diri.
  5. Sentiasa bertenang
    • Dalam apa saja jenis sukan, kawalan diri agar sentiasa bertenang mampu menjamin kejayaan. Orang yang hilang kawalan perasaan marah dalam permainan bola sepak siap hari bulan akan kena buang padang. Anda tak dapat apa-apa dari sikap tak bolah kawal marah itu selain dari menyusahkan semua orang.
    • Begitu juga dalam kehidupan, orang yang sentiasa tenang dan hebat mengawal perasaannya akan sentiasa membuat keputusan yang bijak. Jikaorang itu kaki panas baran dalam sukan, dalam kehidupannya juga tak akan kemana-mana.
    • Rugilah diri jika aktif bersukan tapi tak mampu mengawal perasaan marah dan kecewa. Jadikan sukan sebagai gelangang mengawal emosi anda.
  6. Buang sikap memaksa diri.
    • Dalam sukan, pencapaian paling tinggi biasanya terhasil bila anda melaksanakannya dengan lancar dan tanpa paksaan. Cuba pukul bola golf dengan paksaan, anda akan hayun macam orang yang tak pernah pukul bola golf.
    • Anda tak perlu buktikan anda hebat dalam apa-apa permainan kerana ia sepatutnya lancar dan bersahaja. Itulah tahap maksimum dalam menguasai apa-apa permainan. Dan ia datang dari komitmen latihan demi latihan.
    • Begitu juga dalam kehidupan, anda tak perlu tergesa-gesa dan nak tunjuk hebat sebelum masanya, sebelum anda bersedia. Semua itu perlu berlaku dengan bersahaja dan nampak natural. Dan semuanya adalah hasil dari pembinaan tabiat sedikit demi sedikit dan bukannya dengan sekali hentak.
  7. Hidup dalam keadaan semasa.
    • Tak ada orang yang sedang bermain bola, sedang bawa bola di kakinya mengimbau kisah kelmarin ketika dia mengelecek. Tak ada juga yang membayangkan masa depan, esok atau lusa bagaimana dia mendapat sorakan ketika menjaringkan gol. Itu semua akan berakhir dengan bola hilang dari kaki anda direbut pihak lawan.
    • Dalam apa saja sukan, orang yang sedar keadaannya, merasakan segala pergerakannya, melihat dengan jelas sekelilingnya dan berikan sepenuh tumpuan pada keadaan, ketika itu juga, dapat menguasai permainannnya dengan baik. Sedikit saja leka, tempo permainan akan terus sumbang.
    • Begitu juga dalam kehidupan. Orang yang hidup dalam keadaan semasa, sekarang dan di situ juga ditempat dia berada akan mendapat perasaan tenang dan merasakan kesyukuran.
    • Kehidupannya jadi cemerlang dan tidak dibayangi imbauan kenangan lalu dan tidak juga tergesa-gesa nak pegi ke masa hadapan yang belum tentu berlaku. Hasil kerjanya semua akan hebat dan bernilai tinggi.

Itulah semua yang anda boleh belajar dari sukan. Itu semua anda boleh terapkan dalam kehidupan jika anda seorang yang aktif bersukan. Sukan bukan tempat membuang masa dan tidak mengutip apa-apa untuk melatih diri menjalani kehidupan. Sukan juga bukan untuk dilihat semata-mata.

Libatkan diri dalam aktiviti sukan. Kalau anda dah tua berumur, terapkan pada anak-anak dan ajar mereka semua falsafah tersebut di atas. Ia akan jadi sikap diri secara automatik di luar sukan.

Mungkin sebab itu saya berada di sini di tempat saya ada sekarang. Sikap membaiki diri dan belajar yang telah menyerap masuk hasil daripada aktiviti sukan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Itupun tahap yang saya ada hanya sekadar tahap amatur dalam aktiviti sukan dan bukannya tahap pro, saya masih berjaya berdikari dan menyara keluarga seadanya.

Moga artikel ini memberikan sedikit pencerahan realiti kehidupan khas untuk mereka yang mahu berjaya. Tak kira dalam apa saja urusan anda samada bekerja atau berniaga. Moga sama-sama dapat kita belajar dari sukan dan amalkannya, Insyaallah!

Nota: Maaf jika ada kesilapan ejaan yang sering berlaku sebab biasanya update secara spontan sekali nafas untuk jimatkan masa tanpa proof reading… harap maaf

Total
24
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

11 comments

  1. terbaik… jangan dihitung setiap langkah diambil,tetapi pastikan tiap langkah bernilai tinggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge