anak orang asli

Dalam artikel yang lalu, saya ada kongsikan pengalaman masuk hutan ke Kampung orang asli di Pos Lenjang. Dalam artikel tersebut, saya hanya berikan tumpuan terhadap aktiviti kerja amal yang dijalankan dalam ekspedisi itu.

Mungkin orang lain yang turut serta dalam ekspedisi itu lebih fokus kepada membantu orang asli dengan memberi tunjuk ajar terhadap cara hidup moden yang lebih tersusun dan teratur.

Memang itu perlu dilakukan. Manusia moden macam kita dah banyak merosakkan habitat tempat tinggal orang asli kat dalam hutan itu.

Demi pembangunan, itu tak dapat dielakkan. Bila kita dah rosakkan habitat penempatan mereka, perlulah ada bantuan untuk memberi tunjuk ajar agar mereka dapat sesuaikan diri.

Punca sebenar masalah orang asli

Ramai orang bandar yang masuk ke dalam hutan memberikan bantuan pada orang asli punya hasrat yang mulia. Mereka terpanggil untuk membantu selesaikan masalah kehidupan orang asli.

Itu dari perspektif kita sahaja.

Adakah orang asli punya perspektif yang sama sebagaimana dengan semua orang moden yang cuba membantu mereka selesaikan masalah kehidupan mereka?

Saya yakin orang asli punya perspektif yang berbeda.

Saya dengar perkongsian dalam Radio BFM, dari aktivis yang mengkaji apakah jalan terbaik untuk membantu masalah orang asli. Dia kongsikan perkara yang menarik yang diluahkan oleh orang asli.

Ketika ditanya oleh orang asli kenapa mereka semua datang masuk ke penempatan orang asli, para penyelidik dengan jujur mengatakan mereka berhasrat membantu kehidupan orang asli.

Tapi, jawapan dari orang asli amat sinis dan menarik.

“Masalah yang kami hadapi adalah kamu semua”, kata orang asli pada mereka.

“Sebelum kehadiran kamu semua, kami tak ada masalah untuk hidup. Semua masalah mula timbul apabila kamu mula hadir dalam kehidupan kami. Masalahnya adalah kamu semua!” jawab orang asli dengan sinis.

“Pergi saja dari sini. SEmua masalah akan selesai. Itu cara terbaik untuk bantu kami”, tegas orang asli.

Ertinya, masalah semua akan selesai seandainya orang moden tak rosakkan segala habitat penempatan hidup mereka.

Belajar dari orang asli tentang kehidupan

Untung, saya dengar terlebih dahulu apa perspektif sebenar orang asli terhadap kita orang moden yang masuk dengan niat untuk memberikan bimbingan kepada mereka tentang hidup.

Jadi saya masuk ke dalam penempatan dan bersama dengan mereka, dengan niat untuk cuba memahami kehidupan dan pemikiran mereka.

Mungkin saya yang perlu belajar tentang kehidupan dari mereka berbanding apa yang saya boleh ajar pada mereka.

Perkara paling ketara yang saya belajar dari orang asli tentang kehidupan adalah dalam bab kepenggunaan. Mereka hanya dapatkan keperluan asas sahaja untuk hidup dan tidak terjebak dengan perangai manusia moden yang suka beli dan simpan bersepah-sepah barang dalam rumah mereka.

Kalau masuk dalam rumah mereka yang masih asli. Anda akan dapat lihat dengan jelas betapa mereka hidup dengan cara yang amat ringkas sekali. Pemilikan mereka adalah amat asas, malah bilik pun tak dalam rumah asli mereka itu.

Tak ada almari baju, tak ada almari pinggan mangkuk, tak ada stor, semuanya amat asas. Hidup mereka tetap riang dan tidak nampak apa-apa kecacatan dari segi moralnya.

Budaya kebendaan manusia moden

Kebetulan sebelum itu saya tengah menelaah satu buku tentang budaya pengguna yang sudah menjadi satu budaya penting kepada manusia moden.

Penulis buku itu merupakan seorang profesor yang mengkhususkan kajiannya terhadap sejarah kepenggunaan.

Lebih tepat lagi, sejarah bagaimana manusia mula berubah menjadi makhluk yang rakus membeli dan menyimpan barang-barang dalam pemilikan mereka. Kerja kuat untuk beli barang atau menggunakan segala jenis perkhidmatan yang ada yang kebanyakannya tidak diperlukan untuk hidup bermakna.

Penulis buku itu berkata, dalam kajian yang dilakukan oleh negara Jerman, setiap orang Jerman yang meninggal akan tinggalkan lebih kurang 10 ribu barang yang ada dalam pemilikannya ketika hidup!.

Saya tak pasti bagaimana orang kita di Malaysia.

Tapi saya rasa lebih kurang sama sahaja. Mungkin lebih banyak lagi sebab dari buku lain yang saya baca, penduduk Asia masih rakus dalam aktiviti pemilikan barang dan harta benda berbanding penduduk barat sekarang.

Cuba anda renungkan sejenak dan cuba bayangkan jika anda mati sekarang. Apa agaknya dan berapakah jumlah barang yang akan anda tinggalkan?

Tengok senarai barang kat rumah satu persatu. Buku, pakaian, skru lama, peralatan, gadjet, segala barang lain di rumah dan segala barang yang anda simpan di pejabat, dalam laci, atas meja dan merata tempat lagi.

Mahu ada puluhan ribu jika dikira satu persatu!

Paling penting sekali, dalam puluhan ribu barang yang anda simpan itu, berapakah jumlah barang yang memang penting dan diperlukan untuk anda hidup penuh bermakna.

Bukankah kerja kuat, cari duit dan beli punya banyak barang yang akhirnya majoriti besar barang tersebut anda tak guna, adalah satu kerja yang agak sia-sia. Apakah kita sedar apa yang dilakukan sebenarnya?

Mati tinggal semua pada waris

Teringat juga saya pada tulisan Hamka. Dia kongsikan cerita perbualan yang berlaku ketika mengkebumikan jenazah kenalannya, seorang hartawan.

Seorang kawannya berbisik dengan soalan, berapa banyak agaknya harta yang si mati tinggalkan. Pada fikiran penanya itu, sudah tentu teramat banyak.

Lalu Hamka menjawab, “banyak mana aku tak pasti, tapi yang pastinya, semuanya ditinggalkan dan menjadi milik waris sekarang dan bukan lagi milik si mati”.

Teramat benar sekali apa yang Hamka katakan.

Kita perlu pastikan apa yang ditinggalkan benar-benar dapat mendatangkan manfaat kepada waris yang ditinggalkan apabila mati nanti. Sudah pasti itu lebih berfaedah daripada meninggalkan puluhan ribu barang yang akhirnya tetap tidak digunakan juga oleh para waris.

Sikap banding diri dengan orang lain

Ketika saya ceduk gulai ayam dan masukkan ke dalam pinggan setiap penduduk orang asli yang berbaris malam itu, saya mencuba berbagai eksperimen secara sengaja.

Antaranya saya masukkan jumlah ketulan ayam yang berbeza pada dua kanak-kanak orang asli yang setia menghulurkan pinggan yang berisi nasi menunggu dimasukkan lauk dan kuah.

Yang seorang saya masukkan ketulan ayam yang besar. Kawannya pula saya hanya masukkan cebisan kecil sahaja isi ayam. Saya biarkan begitu dan melihat reaksi kawannya yang dapat isi yang amat kecil.

Dia merenung muka saya cuba membaca isyarat samada saya dah selesai atau belum. Bila dia lihat saya, angguk, dia dengan selamba berlalu ke depan untuk ambil sayur pula. Langsung dia tak kerling pada pinggan kawannya yang punya lauk lebih besar dan banyak.

Dia tak cuba bandingkan apa yang dia dapat dengan apa yang kawannya dapat. Apa yang ada dalam pinggannya, itulah miliknya.

Saya terharu sangat dengan sikap kanak-kanak orang asli itu. Betapa sikap membanding dirinya dengan kawannya bukanlah satu sikap yang menjadi amalan spontan dalam dirinya.

Sebaik saja dia beredar, saya panggilnya semula dan masukkan lagi lauk ke dalam pinggannya. Dia hanya tersenyum dan beredar.

Dalam buku budaya kepenggunaan yang saya ceritakan di atas tadi, budaya rakus membeli dan memakai sebanyak mungkin barang dan perkhidmatan ada juga kaitan dengan sikap membandingkan diri dengan orang lain.

Perlu kejar sebagaimana yang orang lain ada.

Tapi itu masih kurang menjalar di kalangan orang asli kat dalam hutan itu. Sekurang-kurangnya di tempat yang saya pergi itu. Saya tak pasti bagaimana dengan penduduk orang asli di tempat lain.

Pernahkah anda terfikir berapa jumlah barang yang orang dahulu tinggalkan di saat matinya. Di Eropah ketika abad ke 15 dahulu, rata-rata penduduk Eropah hanya tinggalkan beberapa barang sahaja dikala kematiannya.

Cermin mukapun adalah sesuatu yang amat jarang dimiliki oleh penduduk Eropah ketika itu. Sudu dan garfu yang disimpan oleh satu-satu keluarga ketika itu hanya dalam lingkungan 10 ke 12 sahaja.

Pakaian yang dimiliki oleh orang ketika zaman itu akan diwarisi dari satu jenerasi ke satu jenerasi. Begitu juga perabut atau peralatan penting lain. Sebab itu segala barang yang dibuat oleh orang zaman itu dibuat dengan niat untuk dapat bertahan dari jenerasi ke jenerasi.

Saya juga perasan ketika zaman kanak-kanak di rumah kayu beratapkan rumbia dikampung dahulu, memang cermin muka adalah barang ‘rare’. Ada satu cermin bingkai disangkut dalam bilik mak sudah cukup. Sekarang berapa cermin muka yang ada kat dalam rumah anda? Berapa sudu dan garfu dalam simpanan anda?

Renung semula kehidupan

Bukanlah saya nak cerita buruk atau baik terhadap perkembangan budaya tersebut di atas. Terpulang pada ideologi atau pegangan masing-masing terhadap aktiviti kehidupan yang diamalkan.

Tujuannya hanya sekadar untuk kita renungkan semula perubahan yang berlaku pada diri kita dari dahulu sampai sekarang. Kalau tak buat macam itu, kita akan memandang remeh dan tidak menghargai apa yang ada pada kita sekarang.

Bila ada sikap memandang remeh sedemikian, kita akan jadi orang yang mudah lupa daratan dan tidak bersyukur dengan nikmat yang tersedia ada di sekeliling kita.

Sebenarnya banyak persoalan yang akan muncul bila kita punya sikap bertanya terhadap segala pengalaman yang ditempuh dalam menjalani kehidupan ini. Itupun jika kita sanggup berhenti sebentar dari kesibukan dan mula pekakan semua deria yang ada buat merenung segala kejadian di sekeliling kita.

Jika kita masih terus terhoyong hayang dengan kesibukan, kita sengaja membiarkan akal autopilot menguasai diri dan hidup akan terus hanyut dan akal akan terhenti dari digunakan untuk merenung segala kejadian.

Total
22
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge