10983375_10153069366723769_2456299412132076502_nHari Khamis malam Jumaat, malam yang penuh berkat, telah menyaksikan kepulangan ke Rahmatullah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang pemimpin paling hebat dari segi kesederhanaan yang pernah ada di negara kita.

Sifat berpegang pada amanah yang kuat membuatkan Tok Guru Nik Aziz berhati-hati dalam menguruskan pentadbiran negeri Kelantan. Beliau amat berkira dalam urusan perbelanjaan. Berkira antara urusan peribadinya dengan urusan kerajaan pimpinannya.

Takut terlanjur membelanjakan harta milik rakyat ke atas urusan peribadinya membuatkan Tok Guru Nik Aziz mengambil jalan ekstrim dengan menjauhkan terus garisan pembeza yang meragukan. Kalau nak solat di dalam pejabatpun, dia akan padam lampu kerana mahu jimatkan tenaga eletrik.

Selepas dia dilantik menjadi Menteri Besar, pihak majlis datang untuk buat jalan yang lebih sempurna di sekeliling kawasan tempat tinggalnya tetapi dia menghalangnya segera agar jangan diteruskan.

Kalau sebelum dia jadi Menteri Besar dahulu tak buat, kenapa pula bila jadi Menteri Besar nak buat, biarkanlah begitu saja. Terkedu para pegawai mendengarnya.

Tentu ramai yang dah tahu banyak cerita berkenaan Tok Guru Nik Aziz dan tak payahlah nak saya ulang kat sini. Apa yang nak saya cuba fikirkan, adalah perkara-perkara yang saya lihat boleh diambil iktibar oleh para usahawan seperti saya dan anda diluar sana atas beberapa sikap Tok Guru Nik Aziz.

Apa kita boleh belajar dari Tok Guru Nik Aziz

Saya akan cuba senaraikan beberapa perkara penting yang boleh kita belajar dari pemimpin yang amat saya sayangi ini. Jika para pembaca ada sebarang tambahan, bolehlah berikannya diruang komen di bawah nanti agar sama-sama dapat kita berkongsi dan fikirkan.

  1. Belajar ilmu dan kongsikan
    • Tok Guru Nik Aziz mempelajari ilmu dalam jurusan agama Islam sejak kecil sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Dia tak henti belajar selepas itu dengan sikap rajin membaca dan mentelaah ilmu atau maklumat baru.
    • Dengan ilmu itu dia curahkan kembali kepada orang ramai walaupun dengan kesibukan mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan.
    • Malah dia mencari pendekatan yang berkesan agar apa yang disampaikannya dapat difahami oleh semua orang. Ertinya Tok Guru berusaha memudahkan cara peyampaiannya dan bukan menyusahkan dengan terma-terma yang menakutkan orang ramai seperti sesetengah bijak pandai lain.
    • Orang yang pandai adalah orang yang permudahkan proses belajar dan membuatkan proses belajar menjadi mudah dan diminati, bukan sebaliknya.
  2. Tegas dan keras dengan kebenaran
    • Semua orang yang rapat dengan Tok Guru tahu bahawa beliau merupakan seorang yang amat keras dan tegas. Kalau orang utara cakap Cengih. Tapi kekerasan itu disalurkan pada perkara yang benar yang beliau yakin betul. Beliau akan tetap pertahankan pendiriannya dengan konsisten.
    • Sikap tegas seperti ini amat perlu jika mahu mengetuai sesebuah organisasi kerana pemimpin yang tidak tegas adalah seorang pemimpin yang lemah dan mudah diperkotak katikkan.
  3. Sentiasa menghormati keputusan musyawarah
    • Tok Guru merupakan seorang pemimpin yang sentiasa menghormati sebarang keputusan yang telah dibuat melalui permuafakatan. Samada keputusan itu sama dengan kehendak peribadinya atau tidak sama, sekali ianya dibuat, beliau akan pegang dan pertahankannya.
    • Itulah ciri-ciri kepimpinan yang hebat yang ketepikan kehendak peribadi dan lebih utamakan kehendak majoriti dalam sesebuah organisasi.
    • Sikap menghormati dan melaksanakan keputusan majoriti dalam permuafakatan membuatkan pemimpin itu dihormati dan disegani. Sebaliknya, jika pemimpin itu seorang yang tak ikut keputusan muafakat, setuju lain tapi buat lain, akan jatuhlah kredebilitinya kerana akan dilihat lebih mementingkan diri sendiri daripada ahli mesyuarat lain.
  4. Konsisten
    • Ini salah satu ciri-ciri kepimpinan Tok Guru yang membuatkan dia amat digeruni. Selagi tidak ada hujah yang boleh meyakinkannya, dia akan tetap mempertahankan pendiriannya dan terus konsisten dengan pendiriannya itu.
    • Jarang sangat dilihat Tok Guru ubah pendirian sekejap begitu sekejap begini. Samada dari segi perlakuannya, dari segi amalannya atau dari segi gaya hidupnya, Tok Guru mampu pertahankannya dari muda, tua sehinggalah ke hembusan nafas terakhirnya.
  5. Sederhana dalam kehidupan walau ada kuasa
    • Ada dua perkara yang manusia selalu kejar. Pertamanya adalah harta dan keduanya adalah kuasa. Tapi yang paling utama adalah kuasa kerana dengan kuasa seseorang itu dengan mudah boleh dapatkan harta. Dan Tok Guru dapat kuasa.
    • Dengan kuasa yang Tok Guru ada, dia boleh saja buat harta untuk kepentingan peribadi dan juga suku sakatnya. Tapi Tok Guru memilih jalan hidup sederhana tanpa sedikitpun tergugat untuk kumpulkan harta. Ramai pemimpin yang berkuasa tewas dalam bab ini tapi tidak bagi Tok Guru. Sebab itu dia boleh dianggap sebagai ‘insan satu dalam sejuta’.
    • Itu adalah bukti jelas bahawa kita sentiasa boleh pisahkan amalan gaya hidup dengan apa yang kita ada dari segi kuasa atau harta. Kita boleh kekal hidup sederhana walaupun punya syarikat perniagaan yang kaya raya. Tok Guru teleh buktikannya, dia kekal hidup sederhana walaupun ada kuasa yang ramai orang gilakannya.
  6. Tiada istilah pencen dalam perjuangan
    • Mungkin ada yang berpandangan bahawa kita mesti pencen bila tiba masanya dalam apa saja perkara. Tetapi mungkin itu benar dalam bab memegang sesuatu jawatan, kerana jawatan bergantung pada kebolehan dan kemampuan. Bila kemampuan yang diperlukan sudah tak ada, seeloknya pencen.
    • Tapi tidak ada istilah pencen dalam perjuangan. Kehidupan adalah satu perjuangan dan tidak ada perjuangan, maka hilanglah erti kehidupan. Tok Guru tak pernah henti memperjuangkan kepercayaannya samada dalam keadaan kuat atau lemah.
    • Kita sebagai usahawan mungkin boleh pencen dari memegang apa-apa jawatan. Tapi kepercayaan dan perjuangan kita mesti tetap berterusan sehinggalah ke hembusan nafas yang terakhir. Tak ada istilah pencen dalam perjuangan, maka pilihlah perniagaan yang betul yang seiring dengan perjuangan hidup kita untuk bekalan hari akhirat.
  7. Cari jalan bukan cari alasan
    • Kita tentu tahu Kelantan bukanlah Kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu ada banyak kekangan yang dihadapi oleh Tok Guru Nik Aziz sepanjang memerintah Kelantan dari segi membangunkan negeri tersebut. Tapi itu bukan alasan Tok Guru untuk menyerah kalah. Dia berusaha cari jalan dan bukannya cari alasan.
    • Tak Guru tak pernah ambil hati walaupun dia dipinggirkan dari media perdana kecuali untuk memburukkan peribadinya, barulah liputan dibuat. Tak ada Menteri persekutuan yang menziarahinya sejak dia jadi Menteri Besar bila mereka turun ke Kelantan sedangkan dia tuan rumah (hanya Datuk Seri Nazri saja yang pernah lawat – betulkan saya jika salah).
    • Namun pengaruhnya tetap bertebaran walaupun tanpa bantuan. Sebab dia sentiasa cari jalan dan bukan cari alasan.
  8. Gunakan anugerah pemberian Tuhan untuk akhirat
    • Tok Guru ada kuasa, dan dia juga ada pengaruh atau populariti. Tetapi kesemua itu disalurkan semata-mata untuk persediaan dirinya di akhirat nanti.
    • Harta dan kuasa adalah anugerah Tuhan untuk kegunaan kita mengumpul bekalan akhirat dan bukanlah untuk dimegah dan dibangga-banggakan.
    • Kalau perkara berat dan besar iaitu Kuasa Tok Guru mampu gunakannya untuk akhirat, maka kenapa kita yang ada perkara kecil dan ringan ini tak mampu digunakan untuk akhirat. Jika yang kecil gagal, apatah lagi jika diberikan yang besar.

Setakat itu saja yang dapat saya senaraikan buat kali ini. Saya yakin masih ada banyak lagi perkara lain yang boleh kita pelajari daripada kehidupan Tok Guru Nik Aziz kalau kita cuba perah otak untuk keluarkannya.

Memang dengan melihat kematian Tok Guru Nik Aziz, kita akan rasa kagum dan mahu ceritakan bagaimana Tok Guru meninggal dunia sehingga ke saat pengkebumiannya.

Memang melihat cara Tok Guru meninggal itu penting dan menarik, tetapi melihat dan mempelajari cara Tok Guru Nik Aziz hidup adalah jauh lebih penting daripada kematiannya.

Kerana cara beliau hidup itulah yang membawa kepada kehebatan cara kematiannya. Oleh itu, mari kita kongsikan cara kehidupan Tok Guru Nik Aziz kat bawah ini. Saya tahu anda yang membaca tentu ada pendapat lain yang menarik untuk dicurahkan bersama.

Cuma mohon elakkanlah bersikap seperti orang tak siuman yang hanya pandai melihat sudut buruk sahaja pada musuhnya seandainya ada yang tak sealiran dengan pemikiran Tok Guru. Orang meninggal, terutamanya saudara kita, kita kenang mereka dengan kebaikan.

Bahkan, Tok Guru Nik Aziz punya banyak kebaikan jauh lebih banyak berbanding keburukannya apatah lagi kalau nak dibandingkan dengan diri kita sendiri yang amat kerdil ini….

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

10 comments

  1. saya sokong perjuangan tok guru,dan saya nk ucp trima kasih kat tuan,bersyukur dh buat brniaga kecil2an atas apa yg saya bca di blog ini,dh dua tahun ambk masa,tapi skarang bru start,terima kasih mga Allah murahkan rezeki tuan

    1. Tahniah sebab dah mula berniaga. Saya doakan tuan berjaya. Terima kasih doakan saya agar murah rezki, moga Allah kurniakan yang lebih baik pada tuan Insyaallah !

  2. Alhamdulillah… pada penghujung tahun lepas, saya mempunyai kesukaran untuk tahnikkan anak, Allah permudahkan urusan saya dan suami berjumpa dengan arwah TGNA. Di saat akhir hayatnya arwah masih berjasa pada orang ramai. Tidak disangka itulah kenangan terakhir kami bersama arwah.

  3. Penerima Amanah yang hebat

    Dikhabarkan Tok Guru ada 2 batang pen, satu untuk urusan pentadbiran dan satu lagi untuk kegunaan peribadi. Hatta perkara sekecil ini pun beliau ambil berat tidak mahu terlibat dalam salah guna kuasa.

    Kita sebagai usahawan juga perlu mencontohi Tok Guru, jangan sewenang-wenangnya menggunakan harta syarikat terutama sekali duit, ambil gaji sahaja dan jangan rompak syarikat kita sendiri. Kita juga penerima amanah sebenarnya, syarikat dan kita adalah entiti yang berbeza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge