ubah tabiat burukLama dulu ramai yang percaya bahawa hanya yang berbakat semula jadi sahaja mampu menempa kejayaan dalam perniagaan.

Bukan sahaja dalam perniagaan, malah dalam apa arena pun mereka percaya bakat semula jadi atau keturunan merupakan faktor utama untuk menempa kejayaan.

Sebenarnya, untuk menempa kejayaan dalam perniagaan tabiat merupakan faktor penentu.

Jika seseorang itu mempunyai tabiat yang baik, maka kejayaan insyaallah akan menjadi miliknya. Sebaliknya jika ada tabiat buruk, ia akan menggagalkan hidup anda.

Apa itu tabiat?

Apa sebenarnya yang kita panggil tabiat dan bagaimana membentuk tabiat. Cuba perhatikan tabiaat anda sendiri, apakah perbuatan atau amalan yang sering anda ulang?

Biasanya kita sendiri tak menyedari amalan yang sering kita ulang dan ulang selama ini kerana ia sudah sebati menjadi diri kita sendiri. Kita ulang semua amalan tersebut secara automatik tanpa sedikitpun perlu memikirkannya.

Ada orang suka cabut bulu hidung bila tertekan. Ada pula yang suka gigit kuku bila sedang berfikir secara serius dan ada juga yang suka meludah bila berpuasa. Semua itu adalah tabiat dan ia bukannya ada pada diri sebaik saja kita dilahirkan, sebaliknya hanya muncul mungkin sejak kecil dan mungkin baru sahaja timbul.

Ringkasnya, tabiat itu adalah perkara yang sering kita ulang lakukan. Sampai ke satu tahap, ia menjadi identiti diri kita dan boleh dilakukan tanpa perlu ada pengawasan atau kesedaran.

Bagaimana nak membentuk tabiat?

Untuk membentuk sesuatu tabiaat, anda hanya perlu melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Kenal pasti apakah tabiat yang mahu dibentuk. Sebagai contoh anda mahu membentuk tabiat membaca sebelum tidur.
  2. Sediakan kemudahan untuk mengamalkan tabiaat tersebut. Dalam kes tabiat membaca, anda perlu sediakan bahan bacaan dan tempat yang sesuai untuk membaca.
  3. Sediakan checklist untuk memantau amalan tersebut. Dalam kes tabiat baca buku, anda boleh gunakan diari untuk mencatit samada hari itu anda membaca buku sebelum tidur. Pantau setiap hari dan jika gagal, kenal pasti apa puncanya. Contohnya anda mungkin gagal malam itu sebab balik lewat minum dengan kawan-kawan.
  4. Perbaiki kegagalan dengan membuat perubahan pada suasana. Dalam kes baca buku tadi, anda boleh perbaiki kegagalan di atas dengan memastikan pulang awal sebelum keletihan yang membuatkan anda tak sempat membaca sebelum tidur.
  5. Ulang mengamalkannya sehingga anda tak boleh atau tidak sedap tidur selagi tidak membaca buku terlebih dahulu. Biasanya amalan ini akan merebak ke masa selain dari tidur seperti ketika sedang menunggu bas, menunggu kawan dan lain-lain.
  6. Bila ia dah merebak atau berjangkin ke kawasan lain dalam hidup anda, sah! tabiat membaca telah berjaya dibina menjadi siapa diri anda!.

Buang tabiat buruk dan gantikan dengan tabiat baik

Hampir kesemua daripada urusan yang kita laksanakan saban hari berjalan dengan dipengaruhi oleh tabiat diri kita.

Jika tabiat anda adalah seorang yang suka merancang terlebih dahulu untuk memilih jalan terbaik dalam sesuatu urusan, apa sahaja tugasan yang diberikan akan dijalankan dengan melakukan perancangan terlebih dulu.

Sebaliknya jika anda mempunyai tabiat menangguhkan urusan dan akan kelam kabut hanya apabila telur sudah berada di hujung tanduk, maka apa sahaja urusan akan dilakukan dengan tertangguh dan akhirnya akan selesai hanya setelah di saat akhir

Anda boleh buat apa saja mengikut cara tersendiri atau tabiat tersendiri tanpa perlu ada rasa bersalah. Tetapi seandainya tabiat itu banyak menjadi penyebab kegagalan dalam hidup, ia perlu dikaji semula. Lebih bijak untuk berhenti mengamalkan tabiat tersebut dan digantikan dengan tabiat yang lain pula.

Kenal pasti tabiat pemusnah dalam hidup dan ubat hidup anda

Bila anda dah faham bahawa untuk mengubah kehidupan perlu terlebih dahulu mengubah tabiat diri, maka cubalah kenal pasti apakah tabiat yang selama ini mengheret anda menjadi seorang yang biasa-biasa sahaja.

Cuba tetapkan satu matlamat atau tugasan dan pantau bagaimana anda laksanakan tugasan tersebut. Pantau tugasan itu sehingga habis dan perhatikan samada berjaya atau tidak berjaya dan tahap manakah kejayaannya atau kegagalannya.

Semuanya adalah kesan daripada tabiat yang ada dalam diri anda sendiri yang membentuk cara kerja anda selama ini.

Ini juga bermakna bukan mudah untuk menjadi seorang yang hebat dan berjaya dalam hidup, untuk mengubah hasil semua kerja kita, perlu terlebih dulu mengubah tabiat diri, dan sudah tentu ianya memakan masa.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih mendalam berkenaan kuasa tabiat dalam membentuk kehidupan anda selama ini beli dan baca buku The Power of Habit: Why We Do What We Do in Life and Business. Buku yang mesti dibaca oleh mereka yang mahu ubah diri tetapi tak tahu bagaimana caranya.

Marilah kita ubah tabiat yang buruk satu persatu bermula dengan senaraikan terlebih dulu apakah tabiat tersebut. Jika anda tahu apakah tabiat buruk yang ada pada diri selama ini yang mahu diubah, sila kongsikannya di ruang komen di bawah.

Sumber gambar

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

12 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge