Azam tahun baru hijrah yang menarikHari ini 30 Zulhijjah dan esok akan masuk 1 Muharram. Buat yang terlupa mungkin elok berfikir sejenak apakah azam tahun baru hijrah yang boleh difikirkan. Tak perlu kita buat azam hebat-hebat sampai tak terlaksana.

Azam biarlah yang mudah atau kecil-kecil sahaja. Asalkan azam yang kecil itu dilaksanakan dengan konsisten, ianya adalah jauh lebih baik berbanding azam yang hebat-hebat tapi buat bagai hangat-hangat tahi ayam.

Jika anda masih tak ada apa-apa azam tahun baru hijrah yang menarik untuk dilaksanakan, mari lihat cadangan saya di bawah. Apa yang saya senaraikan di bawah adalah antara azam-azam yang saya sendiri mahu laksanakan sebaik mungkin.

Saya rasa ianya mudah untuk dicuba. Mudah, tapi ada banyak kebaikan yang bakal dihasilkan jika saya berjaya laksanakannya dengan konsisten.

Mungkin semua azam di bawah boleh dipertimbangkan untuk dijadikan azam anda juga.

 #1 Jadi pemandu yang cool

Saya boleh dikatakan seorang pemandu yang agak cool. Kebanyakan dari masa saya memandu dalam keadaan tenang dan sentiasa hanyut melayan fikiran.

Tapi kadangkala saya jadi agresif atas faktor luaran. Bila ada pemandu lain yang agresif mencucuk-cucuk bontot kereta dan tergesa-gesa, saya juga akan terikut-ikut.

Ada juga ketika saya fokuskan pada destinasi, nak cepat sampai sebab dah terlewat. Itu membuatkan pemanduan jadi agresif dan jadi tak sabar. Semua itu tetap berlaku walaupun saya tak pernah lebih awal sampai dengan berbuat begitu.

Mulai hari ini, saya berazam untuk hentikan kesemua cara pemanduan agresif. Saya mahu jadi pemandu cool sepanjang masa setiap kali masuk dan memegang steering kereta.

#2 Tarik nafas sebelum bercakap

Walau apapun yang berlaku, walau sehangat manapun tajuk perbincangan, saya berazam untuk pastikan nafas ditarik terlebih dahulu setiap kali mahu berkata-kata.

Dengan amalan tersebut, saya yakin saya tidak lagi akan potong cakap orang lain yang sedang sedap berkata-kata. Kenapa saya asyik nak potong cakap orang sedangkan ketika orang bercakap sepatutnya saya mendengar.

Ini ada kaitan dengan sikap memandu secara agresif di atas tadi.

Dengan kombinasi melatih diri jadi pemandu cool dan seterusnya sentiasa tarik nafas dulu sebelum keluarkan kata-kata, insyaallah saya dapat kawal jiwa yang sering tergesa-gesa macam nak terberak.

#3 Kuasai seni mendengar untuk jadi pendengar yang terbaik

Ini saya mahu kuasai sebaik mungkin. Ia adalah lanjutan daripada azam yang saya sebutkan di atas tadi.

Jika saya mahu halang tiupan qalbu yang meronta-ronta ingin pantas dalam segala hal terutamanya dalam berbicara, saya mesti jadi pendengar yang terbaik.

Biasanya saya hanya mahu bercakap. Saya sering mahu orang saja dengar cakap saya. Saya gopoh mahu halang orang habiskan cerita mereka kerana saya mahu orang dengar cakap saya pula.

Ternyata dengan berbuat begitu saya sebenarnya tak mahu dengar apa saja cerita orang.

Dengar, tapi bukan dalam ertikata dengar yang sebenarnya. Apa guna berbicara bersama, bila tak mahu dengar cerita orang dan hanya fokus pada apa yang kita nak kata saja?

#4 Cari yang betul, yang salah kemudian

Ini satu lagi kecacatan yang ada dalam akhlak saya. Setiap kali orang bercakap, setiap kali orang buat sesuatu, sensor cari salah akan kembang terlebih dulu.

Saya mula cari di mana kesalahan dalam percakapan orang lain. Saya akan cari di mana kesalahan dalam tindakan orang lain. Akhirnya apa saja tak betul, walaupun dalam percakapan orang itu ada banyak yang betul.

Mulai hari ini saya akan cuba pijak terlebih dulu sensor cari salah supaya tak menyala. Saya akan beri keutamaan pada sensor mencari perkara betul dalam percakapan dan tindakan orang. Itu mesti diutamakan terlebih dulu kalau saya mahu hidup aman.

#5 Buat baik pada orang dan diamkan

Ada banyak kali juga saya buat baik pada orang. Setiap kali buat baik saya akan rasa satu kepuasan yang amat besar.

Mungkin puas itu berkembang jadi bangga, lalu saya mula nak cerita pada orang apa yang saya buat baik pada si anu itu.

Setiap kali cerita kebaikan yang saya buat pada orang lain, ia dah jadi bukan rahsia lagi. Biasanya saya akan menyesal kenapa nak cerita kat orang.

Saya nak pujian mungkin, saya nak ungkit mungkin?

Kepuasan yang ada bila buat baik lalu ceritakan pada orang biasanya akan hilang tawar rasa kepuasan itu.

Ia akan digantikan oleh rasa bangga diri yang melampau. Saya khuatir kebaikan itu jadi sia-sia di hari kemudian nanti.

Oleh itu, saya berazam untuk henti kongsikan apa kebaikan yang saya buat pada orang lain. Biarlah saya saja yang tahu.

Kalau orang yang saya buat baik itu nak ceritakan, tak apa… tapi moga saya tidak lagi jadi penyampai berita terhadap kebaikan saya sendiri.

Azam tahun baru hijrah anda

Ok!, itu azam tahun baru hijrah yang saya mahu amalkan. Rasa nak senaraikan banyak lagi. Maklumlah ada banyak sangat akhlak buruk dalam diri ini.

Tapi cukuplah sekadar buat azam tahun baru hijrah yang di atas itu terlebih dulu. Kalau berjaya, tahun depan buat 5 senarai mudah lagi.

Apa pula agaknya azam mudah tahun baru hijrah anda?

Jika sudi, cuba kongsikan di ruang komen di bawah. Mungkin orang lain boleh ambil dan jadikan azam tahun baru hijrah mereka pula.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

10 comments

  1. Alhamdulillah..5 senarai azam tuan, ada juga yg berkaitan dgn saya. Semoga kita sama2 memperbaiki diri.cuma azam utama saya tahun ini utk mulakan bisnes kecil-kecilan dahulu..semoga segalanya dipermudahkan oleh-Nya..aamiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge