Baca ini dan fikirkan semula cara anda bertindak!

By | 30/10/2012

Elderly Men Besties Walking In Parisian ParkSebelum melakukan apa-apa perkara pastikan anda sentiasa ingat akan mati !

Mungkin dengan itu anda akan berfikir semula cara anda bertindak.

Ingat mati itu perlu untuk menghilangkan rasa lazat pada kehidupan, itu sering disarankan dan diulang oleh para cerdik pandai agama.

Ingat mati itu perlu untuk menjadi orang yang hebat, itu kata saintis.

Berkenaan mati dalam AlQuran:

“Dan tiada seorangpun yang mengetahui (dengan pasti) apa yang dilakukannya esok, dan tiada seorangpun yang mengetahui di mana dia mati” – Surah Luqman, ayat 34.

Panduan Rasul,

Abdullah bin Umar melaporkan, Nabi Muhammad menepuk kedua-dua bahu saya dan menerangkan, “di dunia ini jadilah saudara seperti orang dagang, ataupun seperti orang yang berada dalam perjalanan.”

Kata sahabat, Abdullah bin Umar:

“Pada waktu petang jangan tunggu sampai hari pagi. Pada waktu pagi, jangan tunggu sampai hari petang. Semasa sihat, jangan tunggu sampai sakit, dan semasa masih hidup, jangan tunggu sampai sudah mati.” Direkodkan oleh Bukhari.

Fikirkan semula cara anda bertindak

Dari semua maklumat yang ada di atas, kita diajak memikirkan satu perkara penting.

Perkara itu adalah:

“NOW!”

atau

“SEKARANG”

Apa saja yang kita buat, fikirkan apa akibatnya jika tiba-tiba mati muncul di depan mata!.

Nabi suruh kita jadi seperti pengembara.

Seorang pengembara tidak membawa selain dari perkara yang diperlukannya sahaja. Jika terlalu banyak barang yang dibawa, ia amat menyusahkan perjalanan.

Maknanya hidup ringkas dengan membuat apa yang benar-benar mendatangkan faedah saja dan tinggal selain dari itu.

Ringkasnya agama menggalakkan kita sentiasa ingat mati dan ianya dipersetujui olah kajian sains.

Salah satu cara ingat mati adalah dengan mengingati kawan-kawan kita yang telah mati.

Saya kongsikan di sini sedikit cerita tentang kawan-kawan saya yang telah mati:

  • Ali Kocak – Kawan saya sejak kecil. kami sama-sama meronda sekeliling kampung, sama-sama tuang mengaji, sama-sama mandi sungai. Perkara biasa bagi Ali sejak kecil adalah kemalangan basikal. Bila remaja, dia naik motor. Kemalangan motor lalu menjadi kebiasaan padanya. Dan akhirnya Ali Kocak meninggal dunia kemalangan motorsikal. Dia meninggal ditempat kejadian. Kami baru berumur 17 tahun waktu itu. Sampai sekarang saya masih ingat rupa Ali.
  • Lin Pak Dali – Juga kawan saya sejak kecil. Kami sama-sama membesar. Bila remaja bawa haluan masing-masing dan dia memang ligat. Bercakap Hokkien cukup fasih. Bila dewasa dia berubah dan kahwin. Lin kerja bawa lori dan dia meninggal setelah baru seminggu berkahwin. Sempat juga dia tinggalkan zuriat dalam temph seminggu berkahwin tapi dia sendiri tidak dapat menyaksikan anaknya.
  • Che Mat Gula Batu – Dia kenalan saya ketika di ITM. Lebih jauh junior dari saya dan saya suka sikap sentiasa senyumnya. Dia seorang yang baik hati dan kami sering berhubungan ketika dia menjadi pegawai bank menguruskan pelaburan Forex. Dia sering bercakap tentang financial freedom. Selepas berhenti dari kerja bank dia sering berhubung melalui telefon sehinggalah saya dapat berita dia meninggal dunia terjatuh ketika memasang lampu dirumahnya. Saya terfikirkan ketika itu dia sudah tidak memerlukan wang lagi.
  • Taufik Cikgu Azmi – Ini kawan saya ketika sekolah rendah dari darjah satu sampai darjah 6. Selepas sekolah menengah kami berpisah. Dia ke Amerika saya ke Eropah. Kami jumpa semula selepas masing-masing dah berkahwin. Dia aktif berpolitik, bercita-cita tinggi dan saya baru nak menjalinkan semula silaturahim bila mendapat berita dia tidur dan tidak bangun-bangun lagi keesokan harinya. Dia di serang strok ketika tidur, kami baru berumur 41 tahun.
  • Norin Renpest – Dia kawan saya yang berada dalam industri yang sama. Saya outsource kerja saya di sebelah utara padanya. Orangnya jujur dan cukup rajin. Kerja kuat dan sentiasa ceria. Setiap kali balik utara saya minum teh dengannya dan kongsi pengalaman berniaga sehingga suatu hari saya menelefonnya dan diangkat oleh seorang wanita. “Norin ada?”, tanya saya. “Dia baru meninggal pagi tadi” jawab perempuan itu. “Saya isterinya”, sambungnya lagi. Saya terus terbayangkan kesibukan Norin.
  • Haji Rahman – Ini kenalan saya melaui seorang kawan. Dia jauh lebih senior dari saya dan kami sering jumpa di restoran Pelita Subang Jaya. Haji Rahman cukup sibuk dan sering berurusan dengan projek berjuta-juta ringgit setelah pencen menjadi pegawai tinggi kerajaan. Saya sering bertanya kenapa dia masih ligat memikirkan wang?. Dia hanya senyum dan berkata projek aku berjuta-juta tapi aku sendiri tak ada duit dalam poket, semuanya hutang belaka, siapa nak bayar kalau aku tak pulon?. Akhirnya saya dapat berita dia meninggal dalam lif untuk pergi mesyuarat dengan client. Saya berkata, dia sudah tidak perlu fikirkan bagaimana nak bayar hutang lagi.

Ramai lagi yang dah meninggal tapi saya senaraikan beberapa kawan yang sama ligat macam saya mencari rezki yang tak pernah kesudahan.

Nyata mati itu datang tiba-tiba tanpa memberikan sebarang amaran.

Jika anda sentiasa fikirkan itu, tentu akan terfikirkan semula bagaimana cara anda bertindak.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Baca ini dan fikirkan semula cara anda bertindak!

  1. nazrimi

    الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
    (156) (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge