ibu tuaBukan mudah nak balas jasa ibu bapa. Mungkin hakikat sebenarnya, kita tak akan mampu membalas jasa mereka walau dengan apa cara sekalipun.

Oleh itu, usaha balas jasa ibu bapa perlulah dijadikan satu usaha yang berterusan sehinggalah samada kita sendiri atau mereka menghembuskan nafas yang terakhir di muka bumi ini.

Saya yakin semua orang sedar yang mereka perlu berusaha membalas jasa ibu bapa mereka, cumanya kebanyakan dari masa, kita terhijab oleh kesibukan mencari makan dan meneruskan kehidupan sendiri.

Nota: Gambar di atas hanya hiasan. Tapi ada mirip rupa ibu saya yang dah tua. Moga Allah anugerahkan kebaikan dan membalas segala jasa pada kedua ibu dan bapa lebih baik sebagaimana mereka curahkan kasih sayang mereka pada saya.

Perkara asas balas jasa ibu bapa

Perkara paling asas untuk balas jasa ibu bapa adalah dengan senantiasa menghadirkan diri untuk mereka. Ertinya, kita semua perlu selalu ada masa untuk mereka.

Jika anda sentiasa ada alasan sibuk dan tak sempat nak tunjuk muka pada ibu bapa, sampai hanya mampu ziarah mereka setahun sekali atau dua kali sahaja, cuba fikirkan perkara di bawah.

Bayangkan ketika anda sedang sibuk buat kerja mencari makan dan keperluan hidup, tiba-tiba anda dapat panggilan dari kampung memberitahu ibu atau bapa anda sedang nazak.

Apa agaknya yang anda akan lakukan ?

Balas jasa ibu bapa ketika mereka sihat

Saya yakin semua orang akan terus tinggalkan kerja mereka masing-masing walau sepenting mana sekali pun kerja yang sedang dilakukan. Itu ertinya, tak ada yang lebih penting selain dari menghadirkan diri untuk melihat ibu atau bapa anda.

Sudah tentu ramai yang pernah alami keadaan sedemikian. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa dah lanjut usianya. Anda sendiri tentu pernah alami saat sedemikian. Di saat itu, anda sendiri membuat pilihan untuk mengadakan masa untuk mereka.

Terbukti bahawa pilihan untuk memberikan masa pada ibu bapa adalah pilihan anda sendiri. Oleh itu, kenapa anda tidak mahu membuat pilihan sebegitu tanpa perlu tunggu ibu atau bapa nazak baru nak balik.

Dari segi kepentingan, berada bersama ibu bapa ketika mereka sedar dan sihat sudah tentu jauh lebih baik daripada berada disamping mereka ketika mereka sudah nazak atau tidak sedarkan diri.

Jadi, mulai dari sekarang, utamakan untuk luangkan masa walaupun sebentar sekerap mungkin sementara ibu bapa masih sihat kuat dan sedar.

Bagaimana nak balas jasa ibu bapa

Jika ada tak ada idea bagaimana nak balas jasa ibu bapa, berikut saya kongsikan sedikit idea untuk melakukan perkara tersebut.

  1. Ziarah ibu bapa secara berkala tetap – Jadikan aktiviti menziarahi mereka sebagai satu amalan yang berkala dan tetap. Bergantung kepada jarak antara anda dengan mereka, sekurang-kurangnya, jadikan acara ziarah mereka sebagai acara bulanan.
  2. Layan dan berbual dengan mereka – Bila balik sentiasa tanam azam untuk bersama, berbual dan mendengar cerita mereka selama mungkin. Sekurang-kurangnya peruntukkan masa separuh hari dari pagi sampai tengahari untuk bersembang dengan mereka. Makan pagi dan makan tengahari dengan mereka dan dengar apa saja cerita mereka.
  3. Bawa mereka jalan – Orang tua bukan teringin sangat nak pergi berjalan-jalan makan angin. Tapi jika anda ajak mereka ziarah saudara mereka, sudah tentu mereka akan gembira sangat. Bila anda bawa mereka ziarah saudara mara, anda buat dua perkara sekali gus, berjalan makan angin dan ziarah.
  4. Bawa mereka makan – Kalau anda pandai masak, cuba sekali sekala masak untuk mereka. Kalau tak pandai, bawa mereka makan di kedai atau restoran yang mereka mahu. Pastikan anda bawa mereka makan makanan kegemaran atau apa saja makanan yang mereka teringin.
  5. Berikan mereka hadiah – Jangan lokek untuk menghulurkan hadiah pada mereka setiap kali balik kampung. Hadiah asas yang penting adalah masa anda yang sibuk itu. Dan hadiah lain boleh anda fikirkan bersesuaian untuk mereka.
    • Biasanya kita biasa berikan hadiah pada ibu. Kita sering lupa untuk memberikan hadiah pada bapa. Oleh itu, pastikan anda berikan juga hadiah pada bapa walaupun biasanya bapa lebih suka mendiamkan diri. Cuba berikan pada bapa jam umpamanya, atau kalau tak ada duit berikan pakaian yang mereka suka. Anda tentu boleh agak apa yang bapa anda suka.
  6. Ziarah kawan mereka – Jika bapa anda sudah tiada, pastikan anda ziarah kawan-kawan bapa anda. Begitu juga jika ibu dah tiada, pastikan anda ziarah kawan ibu anda yang masih hidup. Kalau kedua-dua mereka masih hiduppun, jangan lupa ziarah kawan-kawan ibu bapa anda tersebut, bawa bersama ibu dan bapa anda.
  7. Berikan saraan bulanan – Jangan lupa untuk berikan wang saraan pada mereka setiap bulan hasil dari pendapatan anda. Tak kisah samada banyak atau sedikit, yang penting bagi. Tak kisah juga samada mereka dah kaya banyak duit atau tidak. Makna terhadap pemberian itu jauh lebih besar berbanding nilai sebenarnya.
  8. Sentiasa doakan mereka – Ini sebenarnya tak perlu disebut. Tapi apa salahnya kita peringati perkara penting ini. Dalam setiap doa solat fardu anda, pastikan anda doakan kesejahteraan mereka. Doakan kesihatan mereka dan mohonlah agar Tuhan tenangkan jiwa mereka selalu.

Apa yang saya kongsikan kat atas adalah apa yang saya buat. Mungkin ada lagi idea lain yang boleh anda berikan untuk menunjukkan usaha kita balas jasa ibu bapa. Kalau anda ada lagi idea, tolong kongsikan kat ruang komen di bawah.

Ingat !, jangan tunggu ibu bapa dah tua atau anda sendiri dah tua baru nak fikir balas jasa mereka. Anda wajib melakukannya sekarang juga walau sesukar mana sekalipun.

Ibu saya sekarang tinggal dengan adik saya. Setiap kali saya balik kampung, saya akan singgah tidur kat rumah pusaka sekurang-kurang sehari walaupun tiada sesiapa kat rumah itu. Disaat berseorangan kat rumah, imbauan masa saya dari remaja sehinggalah tua bersama ibu membuatkan saya mengalirkan air mata kerinduan.

Berjalan ke dapur, saya nampak kelibat ibu sedang bertungkus lumus masak untuk saya. Duduk kat meja makan saya bayangkan susah payah ibu hidangkan makanan kegemaran saya. Pendek kata di sudut mana sekalipun bayangan ibu yang amat suci kasih sayangnya pada saya sentiasa muncul dalam benak kepala.

Di kala itu, saya sedikit lega bila teringatkan ibu masih ada. Biasanya sebaik saja selesai kerja, saya akan terus pergi ke rumah adik dan bersama dengan ibu sekurang-kurangnya sehari semalam. Saya akan pandang mukanya, saya akan dengar apa saja ceritanya…

Bila tiba masa nak balik, saya cium tangannya, saya cium pipinya, saya cium dahinya. Air mata ibu akan mengalir setiap kali saya buat begitu… “selalu talipon mak tau !”, kata-kata akhir yang sering ibu sebutkan. Entah berapa kali lagi saya akan mendengar kata-kata itu… hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

Total
88
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

9 comments

  1. bole menelifon setiap hari sekali dan bercakap ngn ibu 5-7 min dan bercakap ngn bapa 5-7 min….nie yg sy practikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge