budaya hidup ringkasArtikel kali ini saya nak yakinkan pembaca untuk pertimbangkan ideologi hidup ringkas diterapkan dalam gaya hidup seharian anda.

Saya juga akan cuba kongsikan idea bagaimana hidup ringkas ini mampu memaksa otak anda untuk sentiasa berfikir.

Perkara penting amalan hidup ringkas

Antara perkara yang cukup penting perlu diberi perhatian untuk anda amalkan hidup ringkas adalah sentiasa mencari jalan untuk meringkaskan semua perkara yang rumit atau kompleks.

Ada banyak amalan dalam hidup yang kita amalkan disebabkan amalan itu sudah lama diamalkan oleh semua orang sebelum ini.

Bila dipersoalkan kenapa nak buat macam tu?

Ada orang yang akan marah sebab pertanyaan itu seperti mencabar atau mengkritik amalan semua orang sejak sekian lama.

Hakikatnya, bukan semua amalan itu kekal relevan sepanjang masa.

Suasana dan keadaan sentiasa berubah dari zaman ke zaman. Satu-satu amalan itu mungkin direka dan diamalkan pada masa awalnya sebab bersesuaian dengan masa dan keadaan ketika itu. Ia direka untuk meringkaskan keadaan yang rumit ketika itu.

Setelah masa berlalu, ditambah pula dengan sikap manusia yang suka tokok tambah disana sini. Banyak amalan menjadi rumit. Semakin lama semakin berbelit-belit dan akhirnya lebih banyak menyusahkan orang.

Upacara akad nikah yang mudah dan ringkas

Masa saya duduk di Perancis satu ketika dahulu, saya hadiri satu majlis akad nikah kawan dan pasangannya.

Majlis akan nikah itu dibuat di sebuah masjid di Montpellier.

Itu pengalaman pertama saya menghadiri satu majlis akad nikah dengan Tok Kadi merupakan seorang imam berbangsa Arab.

Oleh kerana kami semua bertutur dalam Bahasa Perancis, maka majlis tersebut diadakan dalam bahasa yang sama.

Saya terlopong melihat bagaimana imam itu melakukan upacara akad nikah.

Dia terus berkata (lebih kurang), dalam Bahasa Perancis;

‘Aku nikah akan dikau dengan Ana bt Anu, dengan mas kahwin sekian-sekian…’

Lalu kawan saya yang nak berkahwin itu terus menjawab;

‘Aku terima!’

Dah habis!

Saya terkebil-kebil bertanya dalam hati, “Selesai?”

Wah! mudahnya!.

Awat kat kampung akau susah sangat?

Kenapa penganting lelaki biasa rasa macam nak mati bila nak lalui majlis akad nikah.

Kenapa Tok Imam goyang tangan kuat-kuat 3 kali dan entah apa sebab akan geleng kepala suruh ulang semua semula sekali lagi. Ada kalanya sampai berkali-kali.

Itu pengalaman awal zaman muda remaja yang mendedahkan saya betapa sesetengah amalan menjadi rumit tanpa ada apa-apa kebaikan malah menyusahkan.

Perlukah kita teruskan dengan sesuatu amalan itu sedangkan ada cara yang lebih mudah tanpa merosakkan matlamat yang mahu dicapai oleh semua orang?

Ada orang suka merumitkan keadaan

Malangnya dalam kehidupan sebenar, ada orang yang secara tidak sedar lebih suka kepada yang rumit dan kompleks.

Kebiasaannya ia jadi begitu disebabkan sifat rumit dan komplek itu menjadi tempat ia bergantung hidup menjana pendapatan. Mungkin pedas sikit pendapat saya ini, tapi itulah kenyataannya yang banyak berlaku.

Maka apabila ada idea atau cadangan yang mahu meringkaskan segala kerumitan yang tidak diperlukan itu, sudah pasti akan ada saja halangan dan penolakan secara keras.

Antara golongan yang tidak suka kepada budaya ringkas tetapi praktikal ini ada seperti golongan ahli falsafah dan golongan ahli akademik.

Mereka menolak yang ringkas sebab bertentangan dari segi falsafah. Juga sebab ianya terlalu ringkas dari segi akademik yang sudah terbina sekian lama dikupas dan dikupas sehingga melalut ke tahap tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada orang ramai.

Jika banyak perkara yang rumit diringkaskan ke tahap mudah malah mendatangkan manaat yang jauh lebih baik, maka hilanglah sumber pendapatan orang yang selama ini diperlukan oleh orang ramai. Maka tidak menghairankan akan ada saja golongan yang akan sentiasa menolak usaha membuatkan amalan menjadi ringkas.

Hidup ringkas bukan ambil mudah

Jangan silap faham yang budaya untuk sentiasa berfikir meringkas segala amalan yang rumit itu sama dengan sikap ambil mudah.

Contohnya apabila kerajaan menghadapai masalah tak ada duit, jalan penyelesaian yang masuk dalam kategori ambil mudah adalah dengan mencetak lebih banyak duit.

Itu memang satu penyelesaian yang ringkas tapi ia sebenarnya sikap suka ambil mudah.

Pendekatan ambil mudah sebegitu boleh menghancurkan ekonomi sebuah negara seperti mana yang pernah berlaku di beberapa negara Afrika contohnya sebelum ini.

Tiada hidup ringkas tanpa berfikir

Dari situlah datangnya sebab kenapa saya kata amalan hidup ringkas akan memaksa anda sentiasa menggunakan otak untuk berfikir.

Tidak ada orang yang boleh menemui jalan ringkas bagi menggantikan proses atau perkara yang rumit dan kompleks tanpa terlebih dahulu mendalami perkara yang nak diringkas itu terlebih dahulu.

Bila dah mendalam, perlu perah otak dan berfikir diluar kotak untuk mencari jalan yang lebih ringkas tanpa merosakkan unsur-unsur penting yang perlu dicapai pada akhirnya.

Otak juga perlu dikerah supaya cara ringkas yang diperkenalkan itu mampu digunakan pakai secara umum dalam skop yang besar dan bukannya sekadar kes terpencil yang jarang berlaku.

Itu bukan kerja mudah sebenarnya.

Sebab itu ramai yang tak sanggup untuk jadikan budaya hidup ringkas itu sebagai amalan hidup. Ia akan memenatkan otak berfikir dan sentiasa mencabar diri dan bertanya apakah cara yang sedang diamalkan ini masih relevan.

Penemuan sains dan budaya ringkas

Jika anda lihat sejarah perkembangan ilmu sains sejak lama dahulu, semuanya berpunca kepada usaha mencari jalan bagaimana menerangkan segala kejadian yang berlaku dalam satu rumusan yang ringkas dan umum.

Formula seperti F=ma atau E=mc² dan sebagainya adalah rumusan ringkas yang berjaya menerangkan banyak kejadian.

Hanya mereka yang mendalam ilmunya akan faham dan mampu menemui ringkasan-ringkasan sedemikian.

Produk seperti iPhone juga adalah hasil dari usaha untuk meringkaskan produk dan dalam masa yang sama memberikan manfaat yang banyak dan hebat.

Usahawan dan hidup ringkas

Jika anda seorang usahawan, ini peluang untuk mula amalkan budaya hidup ringkas  ke tahap maksimum.

Sasarkan untuk meringkaskan segala proses atau produk ke tahap yang maksimum tanpa merosakkan matlamat yang mahu dicapai. Malah lebih hebat jika dapat mendatangkan manfaat jauh lebih baik daripada biasa.

Sentiasa cabar diri kenapa anda buat sesuatau perkara itu demikian. Adakah masih relevan. Tak bolehkan ianya diringkaskan lagi.

Jangan main buat dan ikut saja atas alasan memang macam itupun amalan semua orang selama ini.

Hanya usahawan yang mampu buat semua itu di dalam syarikatnya sendiri sebab dia taukeh.

Kalau makan gaji, akan ada banyak halangan dan kekangan dari semua orang. Rakan sekerja, boss dan majikan dan hampir semua orang yang anda tak boleh kawal.

Semua orang akan berusaha tanpa mereka sedari untuk menghalang apa saja cubaan yang keluar dari amalan biasa. Sebab itu susah nak ringkaskan semua perkara bila makan gaji.

Bila anda ada syarikat sendiri, budaya hidup ringkas perlu dijadikan amalan seharian anda. Ia mampu memaksa otak berfikir cari jalan mudah.

Manfaatnya cukup banyak untuk menjadikan usaha perniagaan anda berjaya mengatasi persaingan yang hebat dalam dunia perniagaan sekarang.

Total
35
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge