Bagaimana membebaskan minda dari belenggu politik

By | 18/05/2013
politik

Istiqamahnya Haji Man Gua
Minggu lepas saya bawa beberapa orang kawan pergi mendapatkan khidmat membetulkan segala sendi anggota tubuh badan di Kampung Jerang, Durian Tipus, Jelebu.

Ini kali kedua saya ke sana dan telah saya tulis sebelum ini trip pertama di sini.

Trip kali ini kami lebih rabung (rancak) berbual kerana ada bersama saya seorang kawan lama sekampung dengan Haji man Gua.

Mereka dah agak lama tak berjumpa. Jadi perbualan menjadi santai dan spontan sesama kami seperti dah lama kenal.

Haji Man Gua in seorang yang amat istiqamah. Menurut kawan lamanya yang saya bawa bersama, Haji Man Gua hidup susah sejak kecil. Dia di bela oleh ibu tiri kerana sejak kecil dan tidak hidup dimanjakan seperti orang lain.

Haji Man Gua pernah beberapa kali disuruh mencerahkan hutan untuk dijadikan sawah. Bayangkanlah tugas yang sebegitu berat itu jika anda disuruh melaksanakannya. Walaupun dengan jentera berat, ianya tetap memakan masa.

Tapi Haji Man Gua tetap melakukannya dengan tekun dan istiqamah sehingga apa saja yang disuruh akan berjaya dilaksanakannya.

Sikap yang sama saya lihat apabila dia menjalankan aktiviti merawat dengan membetulkan tulang sendi sekarang. Dia amat istiqamah daripada pagi hari sehinggalah malam. Hanya itu saja yang diberikannya tumpuan.

Haji man Gua tak baca surat khabar, dia tak baca internet dan dia tak dengar radio atau menonton TV. Haji Man Gua juga tak pergi dengar ceramah politik apa lagi untuk aktif dalam hal ehwal politik kepartian.

Tidak hairanlah dia hebat dalam kerja yang dilakukannya itu dan hasilnya berganda-ganda berbanding orang lain yang cuba menjadi manusia serba boleh dan mengambil tahu semua perkara.

Namun daripada perbualan yang berlaku sesama kami tempoh hari nampaknya dia masih tidak ketinggalan jauh daripada arus peristiwa politik yang sedang berlaku di negara kita.

Usahawan perlu bebaskan minda
Apa yang mahu saya utarakan disini adalah masalah kebanyakan daripada kita yang terlalu asyik melayan politik sehingga apa saja tindak tanduknya terbelenggu dek fahaman politik.

Mungkin masalah ini merupakan masalah saya sendiri dan para usahawan lain tidak mengalami keserabutan yang sama seperti saya.

Politik adalah satu perkara penting yang tidak boleh tidak kita perlu libatkan diri. Kesedaran politik adalah satu tanggung jawab setiap individu yang punya perjuangan.

Adalah sesuatu yang pelik seorang usahawan tidak ada pandangan politik. Seorang usahawan yang hebat dan berjaya sudah pasti mempunyai perjuangan dan visi hidupnya yang tersendiri dan ini tidak dapat dipisahkan daripada semangat berpolitik.

Walau bagaimana pun, jika kepala otak terlalu disumbat dengan segala-galanya politik, kita akan mabuk dan terbawa-bawa sehingga mengganggu tumpuan terhadap perniagaan.

Apatah lagi jika dunia politik di negara kita adalah politik yang tidak matang dan lebih condong kepada fitnah. Cuba lihat di media alternatif terutamanya di FB, dalam 100 berita, mungkin hanya satu yang boleh dipercayai kesahihannya.

Di dalam media massa popular pula, tidak semuanya disampaikan dengan kaedah memberikan maklumat pada rakyat. Sebaliknya ia lebih berupa propaganda yang cuba membawa kepada satu aliran kepercayaan yang diingini oleh pihak yang punya kuasa.

Sejak tahun 2008, saya tidak pernah ketinggalan mengambil tahu segala-galanya yang menyentuh politik. Saya juga mula berblog dan mula membahaskan segala kejadian politik.

Saya menyertai kebanyakan rapat umum politik. Berbagai-bagai buku saya beli dan baca untuk mendalami kefahaman saya terhadap perkara politik. Sehinggakan buku yang menyentuh perlembagaan juga saya beli dan habiskan.

Buku sejarah juga saya baca termasuklah sejarah Tanah Melayu, sejarah kemunculan Kesatuan Melayu Muda. Memoir Hussain Mustafa yang merupakan Timbalan Presiden KMM juga saya beli dan baca.

Apa saja tulisan yang berupa memoir kehidupan yang mengimbau sejarah Tanah Melayu sentiasa mendapat tempat di hati saya.

Kembali hidup ringkas
Sehinggalah saya tersedar betapa saya telah jauh menghanyutkan diri dalam arus kesesakan politik tanah air. Saya terfikir samada apa yang saya fokuskan tersebut benar-benar mendatangkan faedah pada diri saya sebagai seorang usahawan? Jawapannya, tentu anda sendiri dapat teka.

Akhirnya saya kembali kepada falsafah hidup ringkas dengan melakukan dan memberikan tumpuan pada yang perlu dan mendatangkan manafaat demi mencapai matlamat sahaja dan tinggalkan sgala yang lain dari itu.

Tindakan tersebut membuatkan terlahirnya blog hidup ringkas ini dan saya mula meninggalkan sedikit demi sedikit kemabukan politik.

Perkara pertama sekali yang dilakukan adalah dengan berhenti membeli dan membaca surat khabar. Rasa macam nak menggigil pada mingu-minggu awal kerana nak tahu perkembangan tapi dapat juga ditahan dan akhirnya menjadi biasa.

Dalam perjumpaan santai bersama kawan-kawan, saya kekang diri daripada memberikan komen atau pandangan politik terhadap isu-isu semasa.

Saya hanya mendengar dan mengambilnya sebagai maklumat sahaja tanpa memebrikan pendapat. Ini membuatkan segala perkara besar kejadian dan isu semasa tidak akan terlepas daripada pengetahuan saya walaupun membaca paper dan menonton TV sudah ditinggalkan.

Tuhan saja yang tahu betapa leganya jiwa apabila,berjaya mengamalkan kaedah bertenang daripada suasana politik. Minda mula lebih jernh dan tumpuan pada daya fikir keusahawan kembali menjadi tajam.

Malangnya sebaik sahaja Perdana Menteri umumkan pembubaran parlimen, saya kembali memberikan tumpuan semula kepada isu politik sehinggalah tamat PRU ke 13 baru-baru ini.

Saya sangkakan, dengan tamatnya pilihanraya, segala nya akan kembali tenang. Rupanya politik masih tidak habis dan saya juga masih turut hanyut.

Maka sekali lagi saya terpaksa memutuskan semula perhubungan dari dunia politik dengan melakukan amalan yang sama seperti sebelum ini agar tumpuan dapat diberikan semula pada kerjaya saya sebagai usahawan.

Berikut apa saya buat untuk bebaskan minda daripada belenggu politik

  • Berhenti beli surat khabar secara rutin kecuali jika mahu mendapatkan mklumat atau rumusan penting pemerintahan negara.
  • Berhenti bertemu kawan-kawan yang asyik bercerita tentang politik saja seolah-olah mereka adalah pemimpin parti politik.
  • Keluarkan semua rakan-rakan di FB yang asyik bercerita tentang politik. Jika ada di kalangan kekawan yang telah di ‘unfriend’ oleh saya harap jangan marah. Saya hanya akan kekalkan mereka yang tidak mabuk politik sahaja sebagai kawan di FB.
  • Berhenti menulis blog politik. Segala tulisan yang menyentuh politik di blog lama telah saya ‘revert back to draft’ untuk satu masa yang tertentu sehingga diperlukan semula.
  • Berhenti bercakap atau memberikan komen atau pendapat tentang politik selagi tidak diperlukan. Dengar sahaja untuk mengambil tahu dan simpan sebagai maklumat dan bukan untuk dibahaskan.
  • Berikan tumpuan hanya pada bacaan bahan yang menyentuh keusahawanan, ekonomi, biography, dan lain-lain seumpamanya. Lupakan terus bahan politik yang menyemakkan dada. Biarlah penggiat atau aktivis sahaja melajukan kerja-kerja tersebut.
  • Tidak perlu menghadirkan diri lagi dalam mana-mana rapat umum yang berbaur politik kecuali jika mahu mendapatkan maklumat yang menyentuh kerjaya atau usaha yang sedang dilakukan sahaja.
Usaha menggiatkan diri mengekang perasaan daripada disemakkan dengan belukar politik baru seminggu saya laksanakan dan masih dalam peringkat awal yang belum stabil.
Moga usaha saya ini akan membuahkan hasil dan tumpuan untuk meningkatkan aktiviti keusahawanan dan kebajikan akan dapat dilipat gandakan. Insyallah! Doakan saya.

 

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

5 thoughts on “Bagaimana membebaskan minda dari belenggu politik

  1. Anonymous

    politik dan kehidupan tak boleh dipisahkan, politik ada di mana2, politik d temapat kerja, politik dgn kawan2…rasanya kena tambah kepada “politik parti” lebih tepat kut… Lan Trong

    Reply
  2. Amirul Ramli

    sangat bersetuju.. sy pun bila dah terlayan sangat politik ni sampai satu kerja pun tak jalan… mcm dah kena perangkap. haha

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge