Bagaimana mengaji Quran buat saya minat membaca

By | 30/07/2013
Mengaji quran

Masa kanak-kanak dulu saya memang ada minat membaca. Tapi hanya buku cerita dongeng atau hikayat terutamanya kisah dongeng dari berbagai negara.

Bila naik sekolah menengah pulak saya minat membaca buku sains fiksyen dan juga buku siri penyiasatan.

Saya akan sorokkan buku-buku yang saya minat membaca  di satu sudut perpustakaan supaya mudah untuk mengambilnya dan membaca.

Selepas itu, minat membaca mula malap. Membaca lebih merupakan satu paksaan kerana nak jawab soalan peperiksaan.

Dalam bab mengaji Quran pulak, mungkin ramai lagi yang jadi seperti saya. Setelah tamat atau khatam Quran, maka saya benar-benar khatam dan tak buka lagi selain daripada surah Yasin.

Permulaan muncul minat membaca Quran

Sehinggalah suatu hari ketika berada di luar negara di bulan puasa, saya terasa nak mengaji Quran untuk menambahkan keberkatan bulan puasa di perantauan. Juga bagi menghilangkan sunyi.

Malangnya, saya merangkak-rangkak seperti orang yang baru kenal huruf. Kesedihan menyelubungi diri ketika itu kerana apa yang saya bayangkan selama ini jauh meleset.

Meninggalkan bacaan Quran terlalu lama membuatkan saya jadi tak reti mengaji dengan lancar. Apatah lagi nak ingat segala hukum dan tajwid….saya menangis sedih ! sia-sia mak bapak hantar pergi mengaji dan berakhir sebegitu.

Lalu sejak malam itu jugak saya tanam azam untuk tidak berhenti mengaji setiap hari sehingga muncul minat membaca Quran dan lancar semula. Kebetulan di Montpellier, France, tempat saya tinggal ada ramai kawan orang Arab, maka saya sering mengaji depan mereka untuk disemak.

Alhamdulillah, saya akhirnya lancar semula dan bertambah baik lagi bacaan terutamanya setelah dibetulkan oleh kawan-kawan berbangsa Arab dari segi sebutan serta makhrajnya. Bila dah lancar, segera minat membaca bertapak dalam diri.

Sejak itu saya tak berhenti mengaji setiap malam walaupun sedikit. Setahun saya akan khatam lebih daripada dua atau tiga kali dan begitulah diulang-ulang tahun demi tahun.

Balik semula ke Malaysia saya pergi jumpa pulak tok guru mengaji yang juga imam di kampung dan belajar membaca berserta tajwid yang betul.

Alhamdulillah, minat membaca Quran semakin tinggi dan saya semakin tak tinggal mengaji. Mengaji dan terus mengaji…kawan-kawan sangkakan saya dah jadi gila isim sebab dah tua bangka masih belajar mengaji.

Tambahan pulak imam akan mengajar atau mendengar bacaan saya dari selepas solat asar sampai pukul 5.30 petang sahaja.

Dia akan beredar selepas itu dan tak benarkan saya keluar selagi belum pukul 6 petang. Maka mengajilah saya seorang diri dalam masjid lama…mahu orang tak kata saya dah gila isim!.

Perubahan kedua pada minat membaca

Sehinggalah satu ketika saya merasa resah dengan suasana umat Islam di negara kita. Terlalu banyak yang berdemo dan berbantah sebab tak puas hati dengan berbagai perkara yang orang bukan Islam buat pada kita.

Masalah makanan ada babi dan sebagainya mendapaty liputan meluas di muka akhbar dan pernah sekali seorang hamba Allah bersoal jawab masalh kononnya ada fishball mengandungi babi.

Orang yang bertanya itu kelihatan memakai rantai leher emas dan juga rantai tangan emas serta cincin emas selamba sahaja. Perkara haram jelas dilakukannya, tapi dia masih sibuk buat bising isu yang tidak pasti lagi sahihnya.

Kemudiannya sata terbaca satu tulisan di akhbar yang mencabar umat Islam bertanya pada diri sendiri samada dia sudah habis membaca Quran dan memahami apa yang dibacanya?

Saya memang selalu baca Quran dah bertahun tak pernah tinggal, taoi apa yang saya baca tu? apa yang diFirmankan Tuhan di dalam Al-Quran itu?

Jika kita benar-benar mengaku sebagai seorang muslim, Al-Quran merupakan kitab rujukan paling utama nombor satu mengatasi segala yang lain. Apakah kita berusaha memahaminya?

Saya terfikir betul jugak apa yang diperkatakan. Kenapa riuh bertempek bakar sana bakar sini, ikat kepala nak mengamuk, apabila ditanya dah habis baca keseluruhan Quran berserta maknanya, dia tersenyum, “belum!”. Sedangkan umur dah suku abad.

Tercabar dengan tulisan itu, saya terus pergi ke kedai kitab dan mencari Tafsir Al-Azhar, tulisan Prof Hamka. Taukeh kedai bertanya saya nak hadiahkan ke Msjid mana?

Saya hairan dia bertanya begitu. “Saya yang nak baca!”, jawab saya ringkas. Dia melihat saya dan bertanya betul ke?, saya angguk. Dia jual kesemua jilid Tafsir tersebut dengan harga kos tanpa ambil sebarang untung.

“Nah! saya hadiah semua keuntungan pada kamu. Bawa balik dan mula membaca!”. Katanya sambil tersenyum. Saya seronok dan semakin bersemangat untuk balik dan habiskan semua bacaan tafsir Hamka hari itu jugak!.

Tanam minat membaca Tafsir sehari setengah jam

Sejak hari itu saya akan luangkan masa setengah jam sehari setiap malam sebelum tidur untuk membaca Tafsir Al-Azhar. Biasanya saya akan leka kerana terlalu asyik dan tenggelam dengan minat membaca maklumat yang dihuraikan oleh Prof Hamka.

Setiap malam saya tak sabar nak sambung lagi setengah jam untuk membaca ayat yang baru. Jadi begitu kerana setiap ayat yang saya sambung sentiasa akan menjawab segala masalah dan persoalan yang tyerpendam dalam diri pada hari siang sebelum itu.

Semua ayat seolah-olah merungkaikan segala masalah hidup saya setiap hari. Jika hari itu bermasalah, sebaik saja membaca ayat baru malam itu, ada jawapan tersembul di dalamnya. Begitulah keseronokan meronta-ronta dalam jiwa.

Minat membaca berkembang ke buku ilmiah lain

Apa yang saya cukup tertarik dengan pengarang Tafsir Hamka adalah keupayaannya menghuraikan berbagai-bagai contoh yang ada di dalam Quran.

Dia akan memetik kata-kata dari para pengkaji dari buku atau tulisan yang dikarang oleh orang barat yang membuktikan kehebatan Al-Quran.

Bila Quran menceritakan berkenaan akal, ada buku berkenaan akal yang telah dibaca oleh Prof Hamka. Menunjukkan Prof Hamka adalah seorang yang tidak lekang mencari maklumat melalui bacaan.

Patutlah dia hebat. Tafsirannya amat hidup tambahan pulak dia sesuaikan dengan keadaan semasa dan bertepatan dengan budaya kita orang Nusantara.

Itu membuatkan saya terikut-ikut jadi begitu. Saya yakin akan kelebihan mengkaji melalui membaca terutamanya buku-buku dari barat yang para cendekiawannya rajin membuat kajian demi kajian bagi memudahkan kehidupan.

Bila masuk bab tertentu yang saya rasa ingin tahu, keesokannya saya pergi kedai buku dan mencari buku ilmiah yang menceritakan perihal yang sama.

Rentetan dari baca tafsir dan mendalami dengan membeli buku ilmiah di kedai buku membuatkan saya mula menjadi kaki baca buku.

Semua tabiat itu tersebar dalam semua perkara yang saya buat. Bila saya berniaga, maka banyaklah buku-buku yang menyentuh tentang perniagaan yang akan saya beli dan baca setiap kali ada masalah.

Bila saya gila politik pula banyaklah buku politik yang saya beli dan mula membaca bagi memahami keadaan secara rasional….

Begitulah sedikit perkongsian bagaimana saya boleh jadi kaki baca buku. Moga-moga ada yang mendapat inspirasi untuk mula mebaca Al-Quran dan mula membaca Tafsir Quran sampai habis sebelum mabis nyawa dikandung badan.

Berapa lama saya dapat habiskan kesemua jilid Tafsir Al-Azhar?

“7 tahun!”

Ya! saya ambil masa selama tujuh tahun untuk habiskan kesemua tafsir tersebut dengan membacanya setiap malam selama setengah jam.

Berapa banyak buku pulak saya beli rentetan dari membaca tafsir tersebut?

“Satu bilik di rumah, saya reserve khas hanya untuk susun buku saja sekarang. Dah jumlahnya semakin bertambah!”

Jika anda terpanggil untuk melakukan perkara yang sama, jangan tangguh lagi. Terus ke kedai kitab dan dapatkan Tafsir Hamka dan mula membaca.

Jangan berlagak nak marah orang bukan Islam sana sini dan dalam masa yang sama anda yang beragama Islam itu tidak pernah membaca dan faham apa yang Allah utuskan pada Rasulnya….malulah sikit!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

19 thoughts on “Bagaimana mengaji Quran buat saya minat membaca

  1. anne

    Thank you for this post!
    Sy sedang membaca “The Meaning of Al-Qur’an – The Guidance for Mankind” translated by Muhammad Farooq-i-Azam Malik..haven’t finish it but I’m already confused as to which book should I read next. Will definitely check out ‘Tafsir Al-Azhar, tulisan Prof Hamka’.

    Anyways, sy nk tanya pendapat, patut tak jikalau di siang hari sy baca novel etc. dan baca Quran hanya di malam hari?

    Reply
    1. Shubhi Post author

      Tahniah !, moga mendapat keberkatan dan manfaat yang berganda dengan usaha Puan. Novel bagi saya merupakan bacaan utk pleasure. Ok asalkan tidak berlebihan

      Reply
  2. fazani

    As Salam..di mana saya bole dptkan buku tafsir Al Azhar?Saya tinggaldi Johor.Di Johor di mana saya bole dapatkan?

    Reply
  3. onlajer

    sebenarnya kita dianjurkan untuk sekurang – kurangnya khatam setahun 2kali,membcanya setiap hari walaupun kekadang hanya semuka sahaja.

    Reply
  4. Zuan

    alhamdulillah, walaupun saya lambat minat dalam hobi membaca, tapi sekarang saya dah addicted dengan membaca. percaya atau tidak, jika awal tahun lepas rak buku saya penuh dengan komik, dan tiada langsung buku ilmiah, harini ada lebih 20 buah naskah buku buku ilmiah tentang agama, biografi, self help dan hartanah.

    Reply
  5. Anonymous

    Readers are Leaders. InsyaAllah :)-dzariff-

    Reply
  6. kakiblog

    sekarang terjawab sudah mengapa tuan mempunyai gaya bahasa mengkagumkan…tuan banyak membaca dan mendalami al Quran.Saya terinspirari untuk menjadi seperti tuan juga.insya Allah

    Jom baca entri terbaru :Kini Robot.txt Sudah Kembali

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Masyaallah, tersenyum malu pulak saya, rasa bangga…Astagfirullah Al’azim. Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Moga ramai yang akan khatam baca tafsir Al-Quran terutamanya Tafsir Al-Azhar, Insyallah!

      Reply
  7. AUC

    alhamdulillah x ramai org macm tuan… sbb tu saya selalu pesan pd anak murid yg telah khatam supaya terus belajar alquran sbb dialah panduan hidup di dunia dan akhirat…

    Reply
  8. Naziman Azlye

    Inilah apa yang berlaku pada diri saya, dengan mengaji Quran telah memupuk diri sikap minat membaca. Bukan membaca itu yang penting tapi kualiti bahan bacaan lebih penting. Chat internet dan SMS juga membaca.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Hebat ayat tu…kualiti bahan bacaan lebih penting…ya chat dan internet juga membaca…ada yang melalaikan dan ada juga yang bermanfaat.

      Reply
  9. Hafizul

    Emm panduan macam ni ramai yang buat tak kesah aje..Saya pun masih fail lagi bab tajwid ni..terasa gak nak belajr mnegaji ngn tok guru mcm yang bro lakukan ni..emmm..tapi entah lah…

    Reply
  10. fiezaradzi

    kadang2 memang kita lupa pada asas sebenarnya. kita sibuk cari kesalahan org lain, tanpa selidik kekurangan diri kita.
    terima kasih atas perkongsian ni, de contoh gambar ke tafsir tu? boleh cari lepas ni. yg de tafsir uthmani je..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge