Bagaimana mengatasi perasaan resah dan risau anda

By | 30/12/2014

_DSC6444Apa yang berlaku dalam masa penghujung tahun ini banyak mengganggu perasaan. Entah apa yang melanda diri tidak dapat dipastikan hingga membuatkan timbulnya perasaan resah dan risau dalam diri ini.

Mungkin ada banyak cabaran yang melanda membuatkan timbulnya perasaan resah dan risau dalam diri. Saya rasa anda juga sering mengalami masalah yang sama setiap kali timbul cabaran yang datang bertubi-tubi.

Bagaimanakah cara terbaik dalam mengatasi perasaan resah dan risau jika ianya datang melanda? berikut saya kongsikan apa yang saya buat dalam menangani perasaan resah dan risau.

Kenapa timbulnya perasaan resah dan risau

Salah sebuah buku yang amat menarik yang sempat saya beli dan membacanya sepanjang tahun 2014 ini adalah buku tulisan Eckhart Tolle yang bertajuk The Power of Now.

Buku ini menceritakan tentang panduan dalam mencari ketenangan jiwa berdasarkan kefahaman penulisnya. Penulis merupakan seorang pengamal ilmu kerohanian yang tidak punya ikatan dengan mana-mana ajaran agama.

Ia menulis dalam bahasa yang mudah hasil daripada pengalamannya sendiri dalam mencari ketengan jiwa. Ramai orang terutamanya barat telah mengambil manfaat hasil dari tulisan beliau terutamanya apabila buku itu sendiri dipromosikan oleh Oprah.

Sebelum anda teruskan pembacaan tulisan ini, elok saya ingatkan bahawa bukan tujuan saya mahu promosikan mana-mana ajaran kerohanian atau spritual yang berlainan daripada ajaran agama Islam.

Sebagaimana yang semua tahu, ajaran Islam itu amat sempurna. Terlalu sempurna dan telah dihuraikan panjang lebar terutamanya dalam kitab-kita muktabar yang kadangkala mereka yang tidak berusaha menggunakan akal untuk memahami tidak dapat mengambil manfaat dan hidup berterusan dalam resah dan risau yang tidak ada hujung pangkal.

Kebiasaan saya untuk membelek banyak buku dari barat adalah untuk mencedok kefahaman mereka yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan mengenai kehidupan dengan harapan ianya dapat memberikan lebih lagi kefahaman saya terhadap kehidupan berdasarkan agama kita.

Asalkan akidah Islam bertunjang kukuh dalam diri kita hasil daripada proses menuntut ilmu, tak ada yang perlu dirisaukan takut-takut kalau tersesat. Jika kita rasa diri mudah untuk jadi sesat, maknanya kita tak mantap akidah keimanan, macam mana nak mengaku faham agama?

Perasaan resah dan risau disebabkan terperangkap dengan masa

Menurut buku yang saya sebutkan di atas, jiwa kita sentiasa terperangkap dalam lingkungan masa yang mana ianya lebih banyak berupa ilusi daripada realiti.

Semuanya berpunca daripada pemikiran yang sentiasa cuba menguasai diri kita. Pemikiran akan dapat menguasai diri kita hanya apabila kita terperangkap dalam masa.

Masa hanya ada dalam tiga bentuk:

  1. Masa yang lepas
  2. Masa yang akan datang
  3. Masa sekarang

Masa akan bergerak apabila fikiran kita melayang samada pada perkara yang telah berlalu ataupun perkara yang akan datang.

Sebaik sahaja fikiran kita berada pada masa sekarang, masa jadi tidak bergerak. Oleh itu, untuk pastikan diri atau fikiran kita tidak terperangkap dalam masa yang bergerak, kita hendaklah berada dalam masa sekarang.

Tiada resah dan risau ketika main bola

Saya sering terfikirkan keadaan diri ketika bermain bolasepak, salah satu sukan yang amat saya gemari ketika zaman muda remaja.

Tidak pernah berlaku ketika sibuk memberikan tumpuan pada permainan bolasepak samada dikampung atau di stadium, saya dilanda perasaan resah dan risau.

Sebab utamanya jadi begitu adalah disebabkan semasa bermain bolasepak, fikiran sentiasa berada 100% dalam masa sekarang. Kita merasai segala pergerakan, kita melihat segala perkembangan yang berlaku disekeliling tanpa memikirkan masalah yang lalu mahupun masalah yang akan datang.

Jika anda ada sukan atau apa-apa permainan yang amat anda minat, tentu pernah mengalami pengalaman hebat sebegitu. Masa di rasakan seperti terhenti sehinggalah pengadil meiupkan wiselnya, baru tersedar masa dah berlalu satu setengah jam dengan amat pantas.

Rahsia menghilangkan perasaan resah dan risau adalah dengan pastikan diri kita sentiasa berada dalam masa sekarang.

Resah dan risau mahu pergi ke masa depan

Kenapa jiwa resah bila fikiran berada di masa hadapan?

Sebabnya adalah kerana kita tak sabar menunggu apa yang kita cuba bayangkan pada masa yang akan datang. Jika kita tak puas hati pada apa yang ada sekarang, maka kita menanti dan memberikan harapan bahawa masa mendatang akan jadi lebih baik.

Lalu jiwa meronta-ronta tidak suka dengan keadaan sekarang dan mahu meloncat pergi pada masa hadapan. Sedangkan masa hadapan hanyalah satu ilusi sahaja dan belum berlaku. Malah tiada sesiapa yang boleh jamin ianya akan kita lalui. Entah sesaat lagi tiba-tiba sesak nafas dan meninggal dunia, siapa tahu?

Jadi, jika anda tersedar bahawa pemikiran anda sedang melayang ke masa hadapan yang belum lagi berlaku, perhatikan sahaja pemikiran anda itu dan ingatlah bahawa masa yang anda ada hanyalah sekarang. Nikmati ia, lihat diri anda, rasa anggota anda, bersyukurlah anda sedang bernafas dengan baik.

Lihat sekeliling anda sekarang, apa yang ada? dengarilah bunyi yang ada bising atau sunyi, hidupkan kepekaan segala deria yang ada dan ucapkanlah Subhanallah!. Sebaik saja anda kembali dalam keadaan sekarang, insyaallah segala perasaan resah dan risau akan segera hilang.

Perasaan resah dan risau disebabkan masa yang lalu

Jiwa juga akan merasa resah dan risau setiap kali kita teringatkan masa yang telah berlalu. Samada kita teringatkan cubaan pahit kehilangan atau apa-apa saja yang membuatkan jiwa rasa tercalar.

Perkara tersebut telah berlalu dan selagi kita melayan fikiran menghimbau masa itu, maka kesan tercalar itu akan menjadi merah menyala. Kita telah menghidupkan masalah emosi lalu ia semakin menjadi kuat terikat dalam memori.

Jika anda tersedar bahawa fikiran telah membawa anda pada masa yang telah berlalu, perhatikan pemikiran anda sendiri. Lihat apa yang sedang difikirkannya. Rasai bagaimana fikiran itu telah berjaya mencuit perasaan dan rasa fizikal di dalam anggota badan anda.

Biasanya sebaik saja anda melihat pemikiran anda sendiri, imbauan fikiran terhadap masa yang lalu itu akan segera menghilang. Ia hilang kerana fikiran anda sedar bahawa anda sedang berada dalam masa sekarang.

Kembalikan diri anda pada masa sekarang. Dari yang telah berlalu pada sekarang, zoom lagi pada keadaan diri anda sekarang, lihat di mana masalah anda? apakah anda ada masalah sekarang?, jika ada keluar saja dari situ. Itulah yang anda boleh lakukan. Kalau tidak kekal di situ dan bersyukurlah dan nikmati apa yang sedang anda lakukan.

Kalau anda sedang makan, rasailah nikmat makan tersebut. Kalau anda sedang bermain dengan anak-anak, layanlah mereka dan lihatlah keikhlasan jiwa kanak-kanak itu. Jika anda sedang berbual dengan rakan, berikan tumpuan dengan penuh minat. Anda sentiasa boleh lakukannya sekarang.

Hilangkan perasaan resah dan risau dengan berada di masa sekarang

Begitulah lebih kurang apa yang dikongsikan dalam buku yang saya sebutkan di atas tadi. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, boleh beli dan baca.

Jika anda dah dapat fahami apa yang saya sampaikan dalam bentuk yang amat ringkas ini, anda hanya perlu praktikkan diri untuk berada dalam masa sekarang dalam kebanyakan masa yang mungkin.

Pergi ke masa yang lampau dalam sedar apabila anda mahu ambil apa-apa iktibar dan pengajaran dari masa yang lalu untuk digunakan pada masa sekarang. Dan pergilah pada masa yang akan datang apabila anda mahu menentukan hala tuju dan menetapkan apa yang perlu anda buat sekarang.

Bila dah selesai segala yang perlu samada dari masa yang lampau atau pada masa yang akan datang, kembali pada masa sekarang dan berikan sepenuh perhatian pada apa yang sedang dilakukan. Jangan lupa panjatkan rasa syukur pada Allah, Tuhan Semesta Alam.

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

3 thoughts on “Bagaimana mengatasi perasaan resah dan risau anda

  1. Pingback: 10 kata-kata hikmat untuk usahawan - Usahawan101

  2. Hanafi Abdullah

    ada logik juga hujah yang dinyatakan oleh penulis buku tersebut..kita hanya digalakkan resah dan risau jika amalan dan iman semakin kurang!..bila rasa kurang tingkatkan amalan supaya kembali tenang damai..tiada cara lain selain mengingatkan Allah SWT
    Hanafi Abdullah recently posted…Cara Untuk Dapatkan Domain MurahMy Profile

    Reply
  3. blogger lelaki

    satu perkongsian yang menarik…dalam bahasa mudah sibuk diri dengan fokus buat sesuatu untuk agar kita lupakan seketika segala keresahan tersebut…salah satu caranya adalah berzikir…hu3
    blogger lelaki recently posted…Jom Aktifkan MykadMy Profile

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge