Hidup dalam zaman sekarang akan menjadi sungguh indah jika anda bebas dari hutang kad kredit. Lebih menakjubkan lagi jika mampu bebaskan diri daripada punyai sebarang hutang.

Hidup bebas dari sebarang hutang mungkin menjadi salah satu daripada idaman berjuta-juta manusia di atas muka bumi ini. Terutamanya kepada para penduduk negara yang sedang membangun.

Tetapi, untuk membebaskan diri dari sebarang hutang mungkin agak sukar sekarang. Anak-anak muda dah mula berhutang sebaik sahaja berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Selepas habis belajar, dan mula masuk ke dunia pekerjaan, anak-anak muda terpaksa pula berhutang untuk membeli kenderaan. Selepas itu berhutang lagi untuk beli rumah.

Majoriti rakyat dari golongan pekerja hanya akan habis bayar dan bebas dari hutang apabila dah masuk usia senja. Itupun kalau ada perancangan dan dapat tahan godaan daripada terjebak dengan kehidupan mewah dan berlebih-lebihan.

Fokus hanya pada bebas dari hutang kad kredit dahulu

Oleh kerana rakyat negara kita merupakan antara rakyat negara yang paling banyak hutang kad kredit, adalah lebih baik kita sasarkan diri untuk bebas dari hutang kad kredit terlebih dahulu.

Bila dah berjaya bebas dari kad kredit, barulah kita berusaha untuk bebaskan diri daripada hutang yang lain pula.

Sebenarnya, jika kita hidup bersederhana dan mampu tahan godaan nafsu serta tak terikut dengan masyarakat sekeliling, hutang kad kredit adalah sesuatu yang tidak diperlukan.

Saya tak katakan kad kredit tak perlu. Mungkin ada banyak kegunaan dan kelebihan dengan memiliki kad kredit.

Tapi yang tak perlu dan mesti dielakkan adalah dengan menggunakan kad kredit untuk berhutang. Kita mesti elakkan diri dari membeli apa saja barang kalau wang yang ada dalam poket atau simpanan tidak mencukupi untuk membayar kos harga barangan tersebut.

Misinya sekarang adalah untuk tidak berbelanja pada wang yang belum kita miliki. Keazaman untuk buat begitu merupakan satu teknik bagi menentang usaha mereka yang mahu kita sentiasa hidup dalam keadaan terikat hidung.

Langkah bebas dari hutang kad kredit

Berikut saya kongsikan beberapa langkah mudah untuk anda yang sedang menghadapi masalah ada banyak hutang kad kredit yang tak pernah habis-habis.

  1. Ambil masa sebentar untuk merancang – Saya tahu ramai yang kata mereka cuba merancang untuk bebas dari hutang kad kredit ini. Tapi biasanya dilakukan sekadar dalam khayalan pemikiran sahaja. Oleh itu, tolong ambil serius perkara penting ini. Duduk bersendirian dan buat perancangan di luar kepala. Gunakan buku nota, atau gunakan komputer atau smart phone untuk kerja perancangan ini.
  2. Jumlahkan semua hutang yang ada – Berapa kad kredit yang anda ada sekarang? berapa jumlah hutang yang ada daripada setiap kad kredit itu?. Senaraikan kesemuanya dan susun secara menaik dari jumlah paling kecil ke jumlah yang paling besar.
  3. Bayangkan keadaan jika anda habis bayar kesemua hutang tersebut – Bila semua dah dikira dan dijumlahkan. Berhenti sebentar untuk membuat sedikit latihan mental. Bayangkan diri anda yang dah habis bayar kesemua hutang kad kredit tadi. Berapa agaknya jumlah yang boleh anda peruntukkan bagi menyimpan? Lihat bagaimana anda tersenyum ketika itu. Bayangkan bagaimana anda tenang menunggu gaji masuk tanpa perlu fikirkan peruntukan untuk pergi bayar hutang kad kredit. Anda sebenarnya adalah antara warga unik yang bernasib baik ketika itu.
  4. Tetapkan peruntukan untuk bayar hutang kad kredit – Sekarang ambil pen dan kertas semula dan buat bajet pendapatan anda. Berapakah jumlah paling selesa yang boleh ditepikan untuk membayar hutang kad kredit setiap bulan. Mulakan terlebih dahulu membayar hutang dari kad kredit yang paling sedikit.
  5. Hentikan penggunaan kad kredit – Tulis satu azam besar dalam diari anda untuk tidak membeli melainkan secara tunai. Jangan terpedaya untuk guna kad kredit dengan harapan atau janji untuk segera membayarnya bila cukup bulan. Itu hanyalah satu tipudaya pada diri anda sendiri. Ingat! dengan menggunakan kad kredit ketika membeli belah, anda pasti akan terlajak lebih dari 20%. Oleh itu simpan kad kredit di tempat selamat dan hentikan penggunaannya kecuali untuk pergi bayar hutang yang berbaki padanya.
  6. Musnahkan kad yang lebih – Bayar hutang paling sedikit. Dan bila dah habis, segera musnahkan kad kredit tersebut jika anda ada lebih dari satu kad kredit. Sasarkan untuk ada hanya satu kad kredit saja.
  7. Cari kawan yang ada masalah yang sama – Jangan buat sendirian, ianya agak sukar. Carilah kawan seorang atau dua atau lebih yang mempunyai misi yang sama seperti anda. Buat perjumpaan sekurangnya sebulan sekali untuk kongsikan pengalaman dan perasaan anda serta kejayaan dalam berhenti penggunaan kad kredit.
  8. Berdoa – Ini paling penting!. Jangan lupa untuk memohon bantuan dari Tuhan. Jadikan doa untuk langsaikan hutang kad kredit sebagai salah satu daripada doa wajib anda setiap kali selesai solat dan sebelum tidur serta ketika bangun tidur.
  9. Semak kedudukan hutang – Amalkan untuk menyemak kedudukan hutang kad kredit anda sekurangnya sebulan sekali. Jangan asyik memikirkan masa yang lama lagi untuk habis. Anda hanya perlu memikirkan cara baru untuk tambah pendapatan agar hutang lebih cepat dibayar

Apa yang saya gariskan di atas adalah untuk mereka yang masih terkawal hutangnya. Bukan untuk mereka yang dah teruk sampai tak terurus. Bahkan itulah yang nak kita elakkan jika kita mampu bebas dari hutang kad kredit sekarang.

Jika anda ada hutang kad kredit yang terlalu banyak ada cara lain yang lebih bagus. Antaranya adalah dengan duduk dengan bank yang anda hutang itu dan buat permohonan untuk tukat pada hutang lain dan musnahkan kad kredit itu. Kalau teruk sangat, elok dapatkan bantuan dari mereka yang lebih pakar.

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Kad Kredit ada juga pengalaman ngerinya buat saya. Pernah berhutang 4 ribu ringgit. Tiap-tiap bulan bayar kat bank macam tak kurang je hutang tu. Saya nasihatkan kalau nak berniaga tak perlulah ada kad kredit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge