cari apa yang kita sukaSatu perkara menarik yang sering saya temui pada orang ramai adalah tidak tahu apa yang dia suka.

Tak tahu apa yang dia suka dalam ertikata menjalani kehidupan dengan melakukan apa yang dia suka itu sebagai satu kerjaya di dalam hidupnya. Ataupun menghabiskan masa lapang luar dari kerjaya dengan memberikan tumpuan membina dan menghayati aktiviti yang dia suka.

Ramai orang yang dah tua dan berjaya di peringkat tinggi sering memberikan nasihat pada mereka yang masih muda untuk sentiasa melakukan apa yang dia suka sebagai kerjaya menjalani kehidupannya.

Ada yang berkata jika kita sentiasa melakukan apa yang kita suka, kita tidak perlu berkerja seumur hidup.

Logiknya memang ada kat situ, kerana jika kerjaya yang dilakukan itu kita suka, kita tidak akan ingat bahawa ianya satu kerja, sebaliknya kita menikmati aktiviti itu dan menghargainya dengan penuh kesyukuran walau apapun yang mendatang, samada susah atau senang.

Sukar nak cari apa yang kita suka

Sebenarnya memang sukar nak cari apa yang kita suka dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini. Kita lebih senang cari apa yang kita tak suka (sebab itu asyik berhadapan dengan yang tak suka saja dalam hidup).

Kita sering dibebani dengan berbagai tanggung jawab dan desakan hidup yang membuatkan apa yang kita suka terpaksa dikorbankan.

Oleh itu, kebanyakan orang akan memilih satu lagi formula kehidupan yang lebih mudah. Mereka akan memaksa atau memujuk diri untuk suka dengan apa yang sedang mereka lakukan.

Ramai juga yang dah tak tahu apa yang dia suka. Dia berhenti terus untuk mengejar apa yang dia suka bila dilatih oleh kehidupan untuk hanya membuat apa yang orang lain suka kita lakukan.

Ibubapa suruh anak buat apa yang mereka suka

Ibu bapa sekarang mendesak anak-anak mereka menjadi apa yang ibu bapa suka. Ada ibu bapa yang teringin nak buat apa yang dia suka tapi terkantoi sebab desakan hidup, lalu mengharapkan kita untuk merealisasikannya. Itu jenis ibu bapa yang pentingkan diri mereka sendiri.

Ada juga ibu bapa yang menemui dan menjalani kerjaya yang mereka suka. Bila kerjaya itu mereka suka, sudah tentu kejayaan datang menemui mereka.

Lalu mereka menasihatkan supaya anak-anak mengikuti jejak langkah seperti mereka. Itu juga sikap pentingkan diri sendiri sebab merasa anak-anak sama sebijik macam ibubapa. Tidak semestinya apa yang ibu bapa suka akan disukai juga oleh anak-anak mereka.

Nasihat paling banyak kita dengar adalah, ibu bapa lebih tahu apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak dan mereka menjangkakan anak-anak ikut arahan mereka kerana bila tua nanti, baru anak-anak itu sedar bahawa ibu bapa betul.

Itu mungkin betul sebelum anak-anak tumbuh akal, tapi tidak lagi relevan bila anak-anak dah akil baligh dan mampu buat anak sendiri.

Masyarakat juga amat mendesak. Mereka menilai seseorang ahli masyarakat berdasarkan persepsi dan amalan biasa di dalam masyarakat itu. Sikap menilai itu membuatkan ramai orang terikut-ikut dan menurut segala jangkaan yang dibuat oleh masyarakat.

Otak primitif halang cari apa yang kita suka

Minda primitif dalam diri manusia yang takut tersingkir dari kumpulan masyarakatnya mendorong kita mengikuti segala jangkaan masyarakat.

Zaman primitif dulu, individu yang tersingkir dari kumpulannya lebih mudah dibaham musuh. Itu satu hukuman yang boleh membawa maut.

Sebab itu, kebanyakan orang menghadapi masalah untuk keluar daripada kebiasaan masyarakat kerana dipengaruhi oleh ketakutan hasil daripada minda primitif yang ada dalam akal.

Contoh paling mudah adalah dalam bab menjadi usahawan. Bukan ramai masyarakat kita yang menceburkan diri dalam perniagaan.

Majoriti dah terbiasa dengan menjadi pekerja makan gaji. Maka lahirlah masyarakat yang menjadi pencari kerja dan berkuranglah kalangan mereka yang menjadi pembuka peluang kerja.

Sekarang manusia bukan lagi pergi memburu dan tinggal dalam kelompok sama di dalam gua. Tersingkir dari jangkaan masyarakat tidak membuatkan anda mati. Malah lukapun tidak.

Buat apa yang anda suka yang mungkin tak seiring dengan kehendak masyarakat, boleh buat anda jadi popular dan dihampiri. Bukannya dipulau. Asalkan ianya tidak bertentangan dari segi syariat dan undang-undang.

Langkah nak cari apa yang kita suka

Bagi mereka yang sekarang dah tak ingat apa yang mereka suka. Juga bagi mereka yang tak pernah ambil tahu apa sebenarnya yang mereka suka, apa kata mulai dari hari ini anda berusaha untuk kenal pasti apa yang anda suka.

Penting untuk kenal pasti apa yang anda suka kerana dunia sekarang adalah dunia yang punyai persaingan yang amat sengit.

Jika anda seorang usahawan yang jalankan perniagaan yang anda tak suka, dan perlu bersaing dengan usahawan produk yang sama tapi dia memang suka dengan perniagaan yang dijalankannya itu, sudah pasti senang-senang saja usahawan pesaing itu titik perniagaan anda.

Begitu juga jika anda sedang kerja makan gaji, sedangkan anda tak suka dengan kerja yang anda lakukan, berbanding dengan rakan sekerja anda yang memang suka dengan kerjayanya, senang sangat nak lihat siapa yang akan lebih mudah disayangi oleh boss dan cepat naik pangkat. Sudah tentu kawan itu jauh tinggalkan anda dari segi kerjaya.

Kalau tak suka bersaing pun, apakah anda mahu berterusan hidup murung sampai pencen, dengan pencapaian yang di bawah atau sama dengan pencapaian purata sahaja. Takkan itu ajaran agama kita dalam melaksanakan sebarang tugasan?

Jadi, mahu tak mahu, cabaran terbaik untuk kita lakukan dalam tempoh sisa hidup yang masih ada ini adalah untuk cari dan kenal pasti apakah yang kita suka.

Berikut adalah langkah yang anda perlu ambil:

  1. Selesaikan keperluan dahulu. Jika dalam keadaan sekarang ini anda tak boleh tinggalkan kerjaya atau apa yang sedang dilakukan atas sebab kewangan, masa dan sebagainya, teruskan saja dan terima keadaan itu sebagai keperluan sementara.
  2. Gunakan apa yang ada untuk tingkatkan pengurusan. Mungkin anda tak boleh paksa untuk suka kerjaya anda sekarang ini. Tapi anda perlu paksa untuk tingkatkan kecekapan dalam memilih yang paling penting antara yang penting dalam melaksanakan tugasan walaupun anda tak pasti samada anda suka atau tidak dengan tugasan tersebut. Latih diri untuk berorientasikan objektif dalam menyusun kerja dari paling penting kepada yang paling tak penting.
  3. Buang segala aktiviti rutin yang tidak berfaedah. Ini untuk membolehkan anda meringkaskan semula kehidupan dan melapangkan masa dan fikiran dalam kepala anda. Antara contoh aktiviti rutin yang banyak memakan masa adalah seperti:
    1. Tonton TV. Elakkan tonton TV dalam tempoh sebulan. Jangan risau, anda tak akan mati kebuluran dan dipenjara atau dibaling batu walaupun mengelak dari tonton sebarang rancangan TV sebulan.
    2. Melayari internet. Melayari internet boleh melekakan. Anda akan mula semak FB, browse dari atas sampai bawah, refresh dan refresh… sedar-sedar dah berlalau 3 jam. Kalau boleh tinggalkan internet sebulan.
    3. Membaca email yang tak perlu. Menyemak email dan membaca maklumat yang banyak diterima dari email juga membuang banyak masa anda. Jika kerjaya anda tidak perlu kepada email, elakkan terus. Jika kerjaya anda perlukan email, disiplinkan diri buka dan semak email dua kali saja sehari. Iaitu waktu tengahari pukul 12 dan pukul 4 petang.
    4. Layan telefon pintar. Whatsapp, FB, dan lain-lain lagi banyak membuang masa. Budaya pegang telefon pintar dalam apa saja keadaan di mana saja macam dah jadi perkara biasa. Gunakan telefon hanya untuk buat dan terima panggilan penting saja.
    5. Baca surat khabar. Elok hentikan saja membei dan membaca surat khabar. Ada orang habis masa sampai lebih dua jam membaca satu persatu cerita-cerita sensasi. Bagi yang gila politik pula habis semua papaer politik dikhatamnya. Hentkan terus baca surat khabar selama sebulan dan rasakan bagaimana jiwa dan fikiran anda lebih tenang dan anda akan lebih bertenaga.
    6. Lebih kerap kata ‘tidak’ daripada ‘ya’. Antara perkara yang banyak menghanyutkan diri kita adalah sering jawab ya dengan sebarang permintaan. Untuk sementara waktu cuba nekad untuk kata tidak terhadap sebarang permintaan yang tidak penting. Kawan ajak minum, kata tidak, rakan kerja tanya ada masa atau tidak, kata tidak…
    7. Tidur kembali selepas solat subuh. Tanam azam untuk terus berjaga selepas selesai solat subuh. Baca tafsir Quran atau baca buku keilmuan atau membina sahsiah diri satu jam di waktu pagi. Ini akan memberikan kesegaran pada minda anda dan ianya akan terus segar sampai petang.
  4. Buat perkara baru. Bila dah banyak perkara yang saya senaraikan kat atas diamalkan, masa menjadi amat lapang. Gunakan masa itu untuk diisi dengan perkara-perkara baru. Anda boleh buat beberapa perkara di bawah sebagai permulaan,
    1. Pergi kedai buku. Tak perlu beli, hanya pergi dan berjalan perlahan-lahan untuk melihat berbagai jenis buku yang ada dijual. Belek satu persatu-satu dan rasakan perasaan anda samada ada suka atau tidak. Ini boleh jadi satu panduan untuk kenal pasti apa yang anda suka.
    2. Pergi ke taman rekreasi. Kalau boleh perfi ke taman waktu pagi atau petang. Pastikan taman itu cantik, banyak pokok, dan ada sungai semula jadi mengalir di dalamnya. Jalan-jalan hirup udara segar dan ambil kesempatan itu untuk menilai kehidupan. Fikirkan apa yang anda nak jadi dan fikirkan apakah kelebihan yang ada pada anda.
    3. Belajar perkara baru. Anda boleh cuba perkara baru seperti belajat bahasa, belajar menulis, belajar naik kuda, belajar berenang, belajar kamera dan sebagainya. Cuba belajar berbagai perkara baru sehinggalah anda jumpa satu perkara yang memang betul-betul membuatkan anda rasa bertenaga. Mungkin itu apa yang anda suka.
    4. Cari kawan baru. Mula bina perhubungan baru dengan kenalan yang baru. Jarakkan sedikit demi sedikit kawan-kawan lama untuk membuang kebiasaan. Bukan bertujuan untuk cari pasal dan berlagak sombong tapi untuk mengubah semula gaya hidup dan mencari kepastian terhadap kesukaan diri.
  5. Dalami aktiviti yang anda minat. Bila dah buat kesemua yang saya sebutkan di atas, pasti anda akan jumpa satu perkara yang anda suka. Bila dah jumpa cuba dalaminya. Belajar dari orang yang lebih arif, beli buku, buat kajian dan buat percubaan. Mungkin itu apa yang anda suka.
  6. Fikirkan cara untuk jana duit. Jika ternyata anda dah suka sangat dengan perkara tersebut. Cari jalan bagaimana boleh dikongsikan aktiviti itu dengan orang lain. Berikan khidmat anda dan fikirkan juga tentang komersial. Anda boleh buat kerja minat itu sebagai kerja part time.
  7. Serap perlahan-lahan jadikan kerjaya. Jika kerjayanyang sedang dilakukan sekarang tak seiring dengan minat, pastikan anda pupuk minat itu setiap kali ada masa lapang. Bina nilai komersial perlahan-lahan dan mungkin ianya boleh jadi kerjaya utama anda. Kalau tidak boleh, cari kerjaya lain yang memerlukan minat anda tersebut.

Kenapa masih tak cari apa yang kita suka

Jangan buang masa lagi hidup atas takrifan orang lain terhadap diri kita.

Melainkan anda adalah seorang yang mengalami masalah down sindrom atau masih dianggap tidak mumaiyiz oleh saudara, jiran, kenalan, ibu bapa, dan saudara mara, maka anda sebenarnya perlu ada hala tujuan hidup anda sendiri.

Jangan jadi murung kerana tak suka dengan kerjaya, gaji pula tak setinggi mana, tak pernah suka dengan boss yang ada, tak pernah bersemangat untuk pergi kerja hari isnin, rasa terpaksa menyiksa diri entah sampai bila dan anda katakan…

‘aku tak ada pilihan…’

Pembohong!

Bukan anda tak ada pilihan, tapi tak sanggup menghadapi cabaran.

Jika diikut apa yang anda ingin lakukan, orang akan kata (atau mengata) kat belakang atau kat depan,  orang akan pandang semacam, duit mungkin tak mencukupi, kehidupan akan menjadi sukar, dan berbagai lagi cabaran… itu semua menjadi cabaran berat buat anda.

Itulah sebenarnya yang ditakutkan, bukan tak ada pilihan, maka ramai yang tak nak mula cari apa yang dia suka. Dan kalau tahu pun, tak nak buat langkah mula.

Anda bagaimana?

Total
51
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Suke Sgt kedai buku, mesti nak beli buku yg berkaitan keagamaan, motivasi bisnes, buku resepi, perniagaan.. Keluar kedai buku mesti Ade buku nak beli, x mampu yg mahal beli yg murah je pun jadi lah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge