Apa yang anda buat untuk hilangkan rasa bosan dengan apa yang anda buat sekarang?

Maksud saya, untuk hilangkan rasa bosan dengan apa yang anda ada sekarang. Dari segi kerja umpamanya. Mungkin anda dah rasa bosan dengan kerja yang anda sedang buat dan dah tak sanggup lagi untuk teruskan kerjaya tersebut.

Antara sebab ramai orang yang buat keputusan nak jadi usahawan, nak mulakan perniagaan, adalah atas faktor dah terlalu bosan dengan kerjaya mereka. Bila dah tak tahan rasa bosan tersebut, mereka buat keputusan untuk berhenti kerja saja demi untuk hilangkan rasa bosan yang sering melanda dalam jiwa.

Walau bagaimanapun, majoriti besar mereka yang sering luahkan rasa bosan dengan kerja, dan kononnya nak letak jawatan, berhenti kerja, tak pernah buatpun apa yang mereka rancangkan tu.

Mereka tak berhenti kerjapun untuk hilangkan rasa bosan tersebut. Malah masih tetap kekal kerja kat tempat yang sama dengan jawatan yang sama. Dan paling malang, masih kekal layan perasaan yang masih bosan dengan kerja yang dia buat.

Cara mudah hilangkan rasa bosan

Masalah utama yang dihadapi adalah rasa bosan dengan apa yang ada. Matlamat yang mahu dicapai sekarang adalah untuk hilangkan rasa bosan tersebut.

Apa yang perlu difikirkan sekarang adalah bagaimana nak hilangkan rasa bosan itu.

Berhenti kerja atau berhenti dari melakukan apa yang sedang dilakukan, mungkin adalah adalah satu jalan mudah untuk selesaikan masalah kebosanan. Sebab itu ada idea nak berhenti kerja dan jadi usahawan.

Kalau berani tak apalah jugak. Terus letak jawatan dan mula cari jalan berniaga sampai berjaya. Memang akan selesai masalah bosan dengan kerjaya. Dan akan mula hadapi masalah lain pulak yang mungkin jauh lebih berat. Tapi, sekurangnya masalah bosan dengan kerja dah berjaya diselesaikan.

Tapi biasanya, ramai yang memang tak beranipun, cakap saja tapi tak buat. Kekal-lah layan rasa bosan tu. Sebab bukan mudah nak letakkan jawatan berhenti kerja dan berniaga. Semua orang tahu masalah tu.

Jadi ada tak cara lain, yang lebih mudah, untuk hilangkan rasa bosan dengan apa yang anda buat sekarang?

Punca utama rasa bosan

Sebelum cari jawapan kepada masalah bagaimana nak buang rasa bosan tersebut, perlu faham terlebih dahulu kenapa anda rasa bosan.

Rasa bosan biasanya disebabkan anda dah tak rasa apa-apa lagi. Dah tak teruja dan tak dapat menikmati keseronokan dengan apa yang sedang dilakukan. Kemudian ditambah pula lagi dengan timbulnya rasa teringin kepada benda atau perkara yang tidak ada pada kita.

Maka mula jiwa meronta-meronta tak mahu dan tak rela dengan keadaan sekarang ini. Jiwa meronta-ronta nak ke tempat lain atau mahu segalanya berubah bukan seperti keadaan sekarang.

Punca utama kesemua itu berlaku adalah disebabkan satu sifat utama yang ada pada semua manusia. Sifat mudah dan pantas untuk sesuaikan diri dengan keadaan semasa. Sifat sesuaikan diri tersebut amat kuat wujud di dalam diri kita semua.

Anda mungkin tak sanggup fikirkan keadaan di mana rumah anda semuanya tenggelam dek banjir, semua kelengkapan rumah musnah dan tak boleh pakai lagi. Memang rasa ngeri bila fikirkan kesemua itu.

Tapi apabila semua itu benar-benar berlaku, tak lama untuk anda sesuaikan diri dengan kejadian. Anda dah tak rasa ngeri lagi. Malah mula fokus pada cari jalan bagaimana nak selesaikan semua masalah yang melanda. Mula terima keadaan dan sesuaikan diri dengan kesukaran yang dihadapi tersebut.

Kalau anda pernah patah anggota tangan atau kaki atau jari. Atau pernah luka teruk tak boleh bergerak selesa. Tentu anda faham bagaimana mudahnya anda sesuaikan diri dengan semua keadaan itu.

Itulah kehebatan kejadian manusia. Memang punya keupayaan sesuaikan diri yang amat tinggi dengan apa yang berlaku dan apa yang dia ada.

Malangnya, kelebihan itu jugalah yang membuatkan anda mudah rasa bosan. Masa tak ada isteri cantik yang ada sekarang, bukan main jiwa, asyik teringat setiap saat. Bayangkan indahnya hidup jika anda dapat memilikinya.

Tapi bila dah setahun dua kahwin, dah mula rambang mata tengok wanita cantik lain pulak!. Semuanya adalah disebabkan sifat mudah sesuaikan diri yang ada tersebut.

Kenang semula ke belakang sekali sekala

Bagi anda yang dah rasa bosan dengan apa yang anda ada sekarang. Cuba kenangkan semula 5 tahun yang lalu. Atau tahun sebelum anda ada semua yang ada sekarang. Bagaimana perasaan anda ketika itu?

Masa saya mula datang KL dulu, saya hanya pakai motor kapcai saja. Motor Kris kepunyaan seorang kawan yang saya beli secondhand. Panas terik atau hujan lebat terpaksa diredah ketika itu. Tayar motor lebih kerap pancit berbanding tayar kereta. Bila tayar pancit ketika panas terik, bayangkan keadaan bila kena heret motor kapcai tu 7 atau 8 kilometer sebelum jumpa kedai moto.

Masa itu, saya sentiasa idamkan ada sebuah kereta sendiri. Kereta murahpun tak apa. Asalkan ada aircond dan boleh dipandu ke mana-mana yang saya suka. Bukan nak berlagakpun, sekadar nak keadaan lebih selesa, itu saja.

Bila saya lihat keadaan diri saya sekarang dalam bab kenderaan. Subhanallah! Masyaallah!, betapa nikmatnya apa yang Tuhan sudah anugerahkan pada saya. Inilah apa yang saya mahu sebelum ini dan ternyata Tuhan makbulkan segala permintaan saya. Apa lagi yang saya nak bosankan?

Perhati secara mendalam apa yang ada

Bayangkan pagi esok, sebelum nak ke tempat kerja, anda akan peluk dan cium isteri dan anak kecil anda. Kalau sebelum ini, anda akan cium macam nak tak nak saja. Baik isteri mahupun anak kecil anda tu.

Sebab rasa yakin esok masih ada. Isteri tu jugak yang akau aku cium esok, anak itu juga yang akan merengek itu dan ini esok. Begitulah kebiasaannya. Mahu tak rasa bosan!.

Pagi esok, sebelum nak peluk dan cium mereka, cuba bayangkan yang selepas itu anda tak akan dapat jumpa mereka lagi. Isteri atau anak anak anda akan pergi selama-lamanya. Memang semua orang tak mahu bayangkan keadaan sedemikian, nauzubillah! minta dijauhkan oleh Allah dari malapetaka sedemikian.

Tapi hakikatnya, anda boleh saja hilang semua keluarga anak dan isteri anda esok atau lusa. Atau munkin petang inipun tak sempat nak jumpa mereka bila balik kerja nanti. Semuanya dah tiada. Siapa boleh nafikan semua itu?

Jadi bayangkan esok pagi, adaah ciuman dan pelukan terakhir orang yang anda sayang tu. Dah tak dapat pelung tu lagi selepas itu.

Apa yang akan berlaku?

Mungkin anda nak lepaskan anak dari pelukan dan genggamanpun susah. Rasa tak mahu lepas ciuman pada pipinya yang lembut tu. Begitu juga pada isteri atau pasangan anda. Mula perhatikan semua yang ada padanya. Kesedihan di dalam anak matanya, kesukaran dan kesabarannya selama ini dan bermacam-macam lagi perincian yang anda akan mula nampak.

Apa anda akan rasa bosan lagi dengan apa yang anda ada sekarang?

Total
19
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

  1. Lepas baca artikel tuan ni

    Senang saja nak selesaikan masalah bosan ni

    Syukur pada semua nikmat Allah.

    Memang benar kata bijaksana zaman dulu.

    Bahagian dunia lihat mereka yang berada di bawah kita.

    Bahagian akhirat lihat mereka yang berada di atas kita.

    Dan.

    Orang putih dah kaji semua ini, dalam law of attraction dan juga mindfullness.

    Menarik kupasan mereka dalam bidang ni. Banyak dah betul, cuma tertinggal bahagian tuhan saja
    Ibu Zaid recently posted…Cara Menghilangkan Jerawat Batu? Ibu Mengandung & Adik Manis Wajib Cuba!My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge